Cadangan Azam Tahun Baru untuk Pembaca Buku


Sepertimana biasa, hidup tidak cliché jika pada ambang tahun baru, masing-masing tidak tampil dengan azam baru untuk memulakan hidup yang baru dengan usia yang bertambah 1 tahun daripada sebelumnya. Si Bilis Sinis juga tidak ketinggalan dijangkiti virus yang sama. Tetapi, harapan si bilis ini lebih tertumpu ke arah perubahan yang mungkin boleh digarap oleh kawanan pembaca-pembaca budiman dalam sikap menilai hujah melalui pembacaan.
Makanya, si Bilis Sinis terpanggil untuk menyenaraikan beberapa azam tahun baru untuk rakan-rakan pembaca buku sama ada pembaca tegar ataupun pembaca atas pagar.

1.       Membaca sebarang jenis buku tanpa mengira ideologi.

Setiap orang yang terjebak dengan budaya membaca atau ketagihan buku untuk ditelaah, akan mempunyai kecenderungan terhadap jenis-jenis buku yang tertentu. Mereka (kita) juga akan mempunyai kebencian atau ketidaksukaan terhadap beberapa jenis buku atau beberapa jenis ideologi tidak kira ianya berdasarkan politik, budaya ataupun sekadar ideologi ikut-ikutan manusia. Maka cadangan Bilis Sinis di sini ialah untuk kita semua kawanan pembaca untuk meratah setiap jenis buku yang kita jumpa tanpa mengira latar belakang ideologi supaya dapat kita menjengah segenap sudut ruang lingkup keterbukaan dalam berideologi yang sepatutnya kita raikan. Jika kita betul-betul ingin menghargai keindahan pelangi, maka kita tidak boleh menafikan kewujudan 7 warnanya yang berbeza.

2.       Membedah buku yang menjentik pegangan kita.

Budaya membaca tanpa membedah buku dalam konteks menerangkan persetujuan atau perbezaan pendapat kita (pembaca) dengan penulis adalah satu kebejatan dalam budaya membaca. Hal ini kerana, sikap ini akan menidakkan budaya bertukar fikiran dan berbincang yang sepatutnya diamalkan oleh pembaca sama ada melalui mata pena mahupun melalui pembincangan bertikam lidah atau bertukar kata. Dengan kurangnya berbincang atau berhujah ini, maka intipati pembacaan yang dikutip akan menjadi statik dan tidak dapat dikembangbiak dengan lebih luas. Maka untuk memaksimumkan manfaat pembacaan, kita perlu rajin membedah buku yang menjentik pemikiran kita dan yang menggoncang pegangan kita untuk kita jelaskan sama ada jentikan dan goncangan itu relevan untuk dilayan atau tidak. Hal ini akan membentuk kematangan.

Teringat akan sebuah perbincangan pada hari Jumaat yang lalu bersama rakan-rakan membedah buku di Pulau Pinang, seorang rakan dalam kumpulan diskusi buku melontarkan pendapat yang lebih kurang bunyinya seperti berikut,

Instead of just being a keyboard warrior, berhujah di media sosial melalui papan kekunci semata-mata, why not kita menjadi penulis hujah dan penghimpun fakta dalam kita membalas kata-kata dan lontaran idea dari luar yang mungkin kita setuju atau yang mungkin kita tidak setuju dengannya. Kita bedah buku kemudian kita membalas hujah yang berbeza dengan corak pemikiran kita, juga dengan hujah. ”

Sehingga ke hari ini, sikap artikel lawan artikel atau hujah lawan hujah ini mungkin agak kurang kita amalkan (sekadar pandangan peribadi tanpa statistik). Maka aku berharap kita sama-sama dapat menyuburkan budaya membaca dan membedah buku, di samping berdiskusi dan membalas artikel dengan artikel yang kedua-duanya berasaskan ilmu.

3.       Membuang taasub dalam pembacaan.

Taasub merupakan sejenis virus yang boleh merebak dengan cepat jika sistem immunisasi pembaca (kebolehan untuk berhenti dan berfikir dengan kritis) berada di tahap yang rendah atau tidak diaktifkan. Hal ini kerana, tanpa pemikiran yang kritis, sesuatu idea yang dilontarkan oleh tokoh yang kita cintai akan terus ditelan tidak kira betapa basinya hujah tokoh tersebut atau betapa dangkalnya lontaran fakta bersulam falasi logika yang diluahkannya. Bahkan mungkin hujah itu sekadar luahan muntah seorang penglipur-lara yang kehabisan modal tetapi tetap dijilat licin oleh sang pentaasub yang tidak berpendirian.

Hal ini berlaku salah satunya kerana kekurangan kebolehan menjadi kritis dalam menilai hujah. Tidak kira tokoh yang kita sanjungi itu berpangkat Tuan Guru, Doktor Falsafah dalam bidang agama atau bidang bukan agama atau mungkin tokoh yang berhujah melalui pena (buku atau tulisan virtual), kita perlu berhenti sejenak dan menilai ketepatan hujah yang dihidangkan sebelum kita menelannya ke dalam perut pemikiran kita. Kenapa sewaktu memilih makanan untuk diisi ke dalam perut yang berkeroncong, kita kadang kala terlalu memilih, tetapi untuk jamahan minda dan penggerak anggota (ideologi) kita dengan mudah menelan tanpa membuat penilaian?

4.       Bersedia untuk berbeza.

Kalau sudah dinamakan manusia, mana mungkin semuanya sama. Maka, rentetan daripada pembuangan taasub kepada penulis atau penghujah sesuatu ideologi, kita perlu bersedia untuk berbeza. Tanggungjawab untuk mengawal diri sewaktu berbeza itu terletak kepada kematangan akal kita selaku pembaca. Apa guna menghabiskan masa mengikuti wacana, menjamah buku melalui budaya membaca jika jauh di sudut hati kita, kita anti kepada perbezaan? Kita terus bermusuhan semasa berbeza?

Mungkin untuk beberapa perkara, pembaca hujah ideologi tertentu tidak boleh berkompromi dan bertoleransi atas prinsip yang telah lama digigit dengan gigi geraham, tetapi bukankah lebih molek jika bahasa yang digunakan atau lenggok anggota dalam menghurai perbezaan itu diperindahkan? Perlu kita sedari bahawa perbezaan dalam isu yang mampu dinilai menggunakan akal terbatas kita masing-masing, tidaklah boleh dijadikan batu asas untuk saling membenci dan bermusuhan.

Bacalah sebanyak mana buku di mana sahaja, pastikan kita sentiasa peka bahawa hasil tulisan yang sedang kita baca itu bukan wahyu kurniaan Tuhan kepada Nabi, tetapi hanya sekadar tulisan daripada seorang manusia biasa untuk sebilangan manusia biasa yang lain. Ruang untuk berbeza itu sentiasa ada, asalkan kena pada syaratnya dan kena pada adab dan tingkah laku seorang pembaca.

5.       Mencipta Legasi Pembaca.

Perlu diingat dan disemat kuat sebagai azimat bahawa pembaca yang kritis dan penulis yang idealis berpotensi menyelamatkan ummat. Berbekalkan prinsip ini, Bilis Sinis ingin mencadang dan mencanang supaya kita (kumpulan pembaca) terus menerus menyemai sikap suka membaca dalam jiwa anak-anak kecil, remaja dan tunas muda. Dengan wujudnya legasi ini, kita tidak perlu khuatir akan ancaman ideologi luar yang membawa ketaasuban atau rentak pemikiran yang menagih butanya critical mind kerana legasi yang kita tinggalkan tidak akan menelan sebelum memamah dan akan meluah jika disuap kebasian hujah.

Ringan-ringankanlah anggota dan jiwa untuk berfikir dan bertindak bagaimana caranya untuk menyebarkan budaya membaca dengan kritis. Bergabunglah dengan mana-mana kumpulan dan aktivis yang gigih ingin melahirkan warisan pembaca dan penulis. Moga dengan usaha seperti ini, setelah matinya seorang pembaca atau penulis, akan terbangkitlah 10 atau 100 Bilis Sinis yang kritis melawan jerung idealis yang antagonis.

Semoga tahun baru kali ini atau yang akan datang disambut dengan pemurniaan makna pembacaan dan kritikan. Semoga tahun baru yang disambut saban waktu dan zaman, akan terus melahirkan pembaca baru yang terbuka dengan perbezaan dan bersedia bertukar hujah dan pandangan.

SELAMAT TAHUN BARU UNTUK SEKELIAN PEMBACA BUDIMAN.

#BilisSinis
#AzamTahunBaruSeorangPembaca

Comments

Popular Posts