RESENSI BUKU : Yang Singgah dan Pergi, karangan Hafizul Faiz

Yang Singgah dan Pergi merupakan karya tulisan saudara Hafizul Faiz. Sebagai pelajar jurusan Persuratan Melayu, saya memperakui keindahan lenggok bahasa yang digunakan oleh saudara Hafizul Faiz menggerakkan kesungguhan saya untuk terus membaca dari bab ke bab dalam buku ini. Dalam erti kata yang mudah, buku ini memerihalkan catatan-catatan hidup saudara Hafizul Faiz. Namun begitu, olahan catatan beliau dengan bahasa yang santai dan estetik banyak memberi kefahaman kepada pembaca dengan mudah untuk memahami maksud yang ingin beliau sampaikan. Travelog beliau bukanlah suatu bingkisan sejarah hidup yang berpuitis sahaja tetapi hadir dengan pelbagai pandangan beliau terhadapan isu semasa, gerakan mahasiswa/i dan peranan pemuda-pemudi yang menjadi tunjang kepada masa depan ini.

Selain itu, pada hemat saya juga, pemikiran al-marhum Profesor HAMKA turut mempengaruhi pemikiran saudara Hafizul Faiz. Namun begitu, saya juga percaya saudara Hafizul Faiz mempunyai weltanschauung beliau yang tersendiri. Perjalanan hidup beliau sewaktu bergelar mahasiswa juga turut memberi ilham dan menyuntik semangat saya untuk turut aktif dalam persatuan yang kurang terikat dengan pihak pentadbiran universiti. Penyebaran ilmu dalam kalangan kelompok pelajar perlu disuburkan oleh usaha pelajar itu sendiri tanpa terikat dengan idea yang hadir daripada pihak atasan kerana kita tidak akan mempunyai pemikiran yang tersendiri atas apa yang kita pelajari. Anjuran yang dilakar oleh saudara Hafizul Faiz dalam bukunya turut memperlihatkan alternatif yang lebih praktikal untuk pelajar universiti selain daripada berkecimpung dalam politik kampus dan persatuan di universiti. Pelajar harus mencari matlamat sebenar mereka menjadi mahasiswa/i daripada terikut-ikut rentak rakan atau senior di universiti.

Akhir kata, buku Yang Singgah dan Pergi ini sangat baik untuk dibaca dan dimiliki oleh bakal pelajar atau mahasiswa/i awal tahun. Buku ini akan mengajak anda berfikir secara kritis mengenai pandangan hidup sebagai seorang pelajar universiti. Semoga saudara Hafizul Faiz serta Jejak Tarbiah dapat mengeluarkan buku-buku yang baik pada masa yang akan datang.

Musafir Sejarah

#BilisSinis

Comments

Popular Posts