Universiti – Gudang Kosong yang Terbuka atau Sebuah Gudang yang Terkunci?

Universiti – gudang kosong yang terbuka atau sebuah gudang yang terkunci?

Hari Pertama Pandita Fest

Hari pertama aku menghadiri Pandita Fest anjuran sahabat-sahabat aku yang sebahagiannya aku kenal dan ramai daripada mereka yang aku belum kenali, menyedarkan aku tentang banyak perkara. Antaranya, aku lebih menyedari bahawa tanggungjawab sosial atau untuk menjadi aktivis itu tidak tertanggung hanya di benak sebahagian manusia semata-mata. Tidaklah bermaksud mereka yang mendabik dada sebagai aktivis sahaja yang perlu berusaha melibatkan diri dalam mengangkat darjat manusia dengan ilmu pengetahuan, akan tetapi masyarakat itu sendiri setelah diangkat ke tahap tertentu, perlu terus mengangkat kedudukan dan darjat mereka supaya kejahilan itu tidak lagi menjadi tempat mereka menghuni dan menyambung zuriat.

Tetapi yang lebih bermakna daripada itu ialah aku kembali merenung maksud “Universiti” dan hakikat Universiti sekarang. Ya aku sudah beberapa kali terjumpa dan membaca tulisan-tulisan dan artikel yang mengkritik fungsi universiti sekarang yang seakan-akan mati, tetapi hari ini, aku mendengarnya sendiri dan mungkin lebih terpanggil untuk menyedari akan hakikat itu.
Menghadiri Pandita Fest yang diadakan pada 18 dan 19 Mac 2017, hari pertama menyedarkan aku mengenai betapa tersasarnya fungsi universiti hari ini dalam konteks memberdayakan ilmu kepada masyarakat. Betapa dalam alam universiti, apa yang ditekankan ialah kemestian untuk cemerlang dalam peperiksaan, perlu mendapat markah yang tinggi, gred yang terbaik dan perlu mendapat markah kerja kursus yang tinggi demi menjamin tempat untuk mendapatkan pekerjaan di luar nanti sejurus selepas selesai pengajian 3,4 atau 5 tahun di universiti. Sudut yang kebanyakan kita (pelajar universiti) terlepas pandang ialah sudut membawakan kesedaran atau setidak-tidaknya mencetuskan kesedaran yang berakar umbi dalam masyarakat tentang ketidakadilan yang berlaku sekarang dan isu-isu “bottom-up” yang sebenarnya memerlukan rakyat bawahan untuk terlibat sama dalam menyatakan hasrat dan hala tuju negara yang mereka ingin lihat dalam beberapa waktu mendatang tanpa dipengaruhi oleh authoritarian sedia ada.

Apa yang mengecewakan ialah fungsi-fungsi seperti ini dipandang enteng oleh majoriti mahasiswa di universiti. Yang lebih dititikberatkan lagi ialah unsur hedonisme yang sememangnya menjadi candu bakal-bakal graduan ini. Maka pada saat bila mereka ini akan gigih memikirkan tentang rakyat dan umat? Tanggungjawab yang lebih berat adalah dalam menjadi pembawa suara rakyat kepada pihak kerajaan dan penggesa supaya perubahan dilakukan atau paling tidak, mereka ini sepatutnya tidak menjadi pengampu authoritarian yang menzalimi rakyat.

Seperkara lagi, apabila dikaitkan kebangkitan atau revolusi dengan fungsi mahasiswa, aku lihat fungsinya dalam menyemaikan ilmu dan melakar jalan untuk masyarakat bergerak dengan ilmu yang mahasiswa kongsikan atau setidak-tidaknya berbekalkan kesedaran bahawa sistem sekarang ini pincang dan perlu diubah, bolehlah kiranya rakyat marhaen cuba untuk berbuat sesuatu.
Antara intipati Pandita Fest yang aku hadiri pada hari pertamanya itu termasuklah unsur prophetic yang sebenarnya acapkali ditinggalkan oleh kebanyakan kita terutama dari sudut sosialnya. Sebagai contoh, ramai yang terjun ke medan penggunaan dalil wahyu untuk menekankan unsur tauhid, ibadah atau mungkin dalam memperkasakan syariah Islam dan daulah Islamiyah di muka bumi tetapi mereka terlupa akan kisah Nabi Musa yang menolong rakyat bawahan tatkala baginda di usia muda dengan kekayaan yang cukup dan berbekalkan kegagahan fizikal yang Tuhan kurniakan kepada baginda. Unsur ‘menolong rakyat bawahan’ itu yang sering kita lupakan. Berbalik kepada kritikan mahasiswa di universiti, mereka perlu menunggu suatu program dilancarkan atau satu kempen diluluskan oleh pihak pentadbiran universiti sebelum mereka mampu untuk menolong. Lebih menjijikkan, mereka memilih program yang boleh membawa mereka melancong jauh ke negeri lain atau ke negara lain atas alasan semangat ingin mengembara yang mereka punyai, barulah mereka bersedia ingin membantu masyarakat dalam program tiga hari dua malam di samping keselesaan kawasan kampung yang maju.

Lambatnya mahasiswa bertindak untuk memberi pertolongan kepada yang memerlukan ini dapat diterjemahkan melalui perbuatan mereka yang perlu diarahkan terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu tindakan. Padahal, kita sedia maklum bahawa mahasiswa di universiti merupakan bakal cerdik pandai yang sepatutnya mampu membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Maka aku persoalkan, di mana kemampuan itu pergi jika dalam perkara sekecil pengurusan organisasi di universiti atau dalam gerakan memberi makan kepada fakir miskin sekalipun, mereka perlu menunggu program rasmi?

Perlu diketahui, dalam sebilangan perkara, mahasiswa gah melaungkan kebebasan terutamanya ketika hak mereka untuk berhibur atau mengenyangkan perut diganggu. Tetapi mereka seolah-olah tidak bebas untuk membantu rakan mereka yang lapar, tidak mampu membantu masyarakat luar yang tidak mampu membaca, tidak mampu untuk mengkaji masalah gelandangan dan bentuk bantuan yang lebih sesuai diberikan untuk setidak-tidaknya mengurangkan masalah tersebut dan pelbagai lagi ketidakmampuan yang mereka punyai.

Maka dengan segala ketidakmampuan yang aku sebutkan, ditambah lagi dengan pengurusan universiti yang menyusahkan pelajar, fungsi universiti yang digembar-gemburkan sebagai gudang ilmu yang kunci-kuncinya perlu dicari oleh mahasiswa yang terpilih untuk mendapat tempat di universiti, sebenarnya semakin pudar dan hilang.

Dari aspek ilmu, jika pengajian yang ditawarkan itu sekadar pengajian untuk lulus peperiksaan atau hanya untuk melayakkan diri bekerja (menjadi skilled labour), maka universiti akan menjadi gudang kosong yang terbuka. Dari sudut pandang yang lain pula, jika karenah birokrasi dan fungsi mahasiswa untuk memberdayakan ilmu kepada masyarakat itu kian terhakis, boleh aku katakan bahawa universiti tatkala itu menjadi sebuah gudang yang terkunci. Terkunci dengan perangai ‘approval obsession’ para mahasiswa dan perangai ‘pocket-fulfilment demand’ oleh pihak pengurusan universiti.

Mengambil inspirasi daripada buku Wahyu dan Revolusi karangan Prof Dr Ziahul Haque yang menumpukan kepada fungsi nabi dan pembawaan sosialnya, jika dibandingkan dengan fungsi mahasiswa sebagai manusia dan sebagai agen perubahan masyarakat, dapatlah aku katakan bahawa mereka ini umpama Nabi yang mensia-siakan wahyu. Tidaklah bermaksud aku ingin menuduh terdapatnya nabi yang berperilaku seperti itu, tetapi yang aku ingin katakan ialah peranan mahasiswa yang mempunyai ilmu pengetahuan dan mampu bertindak sepatutnya jauh lebih besar daripada sekadar bangga dengan gelaran ‘mahasiswa’ dan gelaran ‘bakal graduan’.
Dalam sejarah kenabian, aku belum temui nabi yang sengaja mengelak daripada menyampaikan dan merintis perubahan. Tetapi dalam era universiti dan mahasiswa, aku bertemu dengan ‘nabi’ yang sengaja mendiamkan diri dari menyampaikan ilmu dan membawa suara orang bawahan ke peringkat yang lebih tinggi.

Mesej kepada semua mahasiswa di luar sana, bangkitlah dari tidur. Jengahlah segenap sudut pendedahan ilmu walaupun ilmu itu tidak akan dijadikan intipati soalan peperiksaan. Sememangnya kerja menolong orang ramai dan wacana ilmu yang tidak mendapat kelulusan pihak pentadbiran universiti tidak dapat mencantikkan resume atau CV untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi yakinlah, kepuasan melakukan perkara kebaikan dan menjalankan suruhan Tuhan melalui keupayaan akal dan tindakan itu sebenarnya lebih bernilai daripada kebanyakan perkara keduniaan yang dikejar melalui kekuatan pendidikan untuk mendapatkan pekerjaan.

Semoga institusi universiti dapat dibaiki. Semoga lebih ramai mahasiswa sedar akan tanggungjawab masing-masing yang sebenarnya lebih besar dan lebih berat daripada apa yang tampak sekarang.
Jika aku hanya diberikan satu doa yang akan serta-merta dimakbulkan oleh Tuhan, aku akan doakan supaya mahasiswa kembali berfungsi tanpa keterikatan dengan mana-mana pihak yang melambatkan pergerakan dan usaha merintis perubahan.

Ameen ya Rabb.

Pak Dy, Wasabi.

Comments

Popular Posts