Gelandangan – Apa yang aku fahami.

Gelandangan. Satu kumpulan manusia yang sering dilihat tidur di jalanan, tiada tempat tinggal dan berita baiknya, mereka ini sekarang semakin mendapat tempat di hati, mata dan mungkin juga telinga masyarakat Malaysia. Masakan tidak, sekarang ini semakin ramai manusia yang celik jiwanya ingin membantu manusia lain yang kurang bernasib baik. Tambahan pula sekarang ini sudah hampir dengan musim pilihanraya, jadinya wakil-wakil rakyat akan cuba menghampiri dan menyantuni mereka yang mungkin kurang bernasib baik ini, atas beberapa agenda dan tujuan (ikhlas atau tidak, itu urusan Tuhan).
Pernah terlibat beberapa kali dengan aktiviti menyantuni gelandangan, pernyataan pertama yang menghentak jiwa aku ialah perkataan daripada seorang wakil NGO Unggas (kalau aku tidak silap) semasa program menyantuni gelandangan yang diberi nama Make Them Smile. Program ini dijalankan sekitar tahun 2013 atau 2014 oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM). Aku hanya mengikuti sesi taklimat sebelum program berlangsung sebelum aku menghilangkan diri semasa mereka mula pergi menyantuni gelandangan di sekitar Georgetown, di bandar Pulau Pinang. Pernyataan wakil NGO Unggas itu berbunyi seperti berikut :
“Isu gelandangan ini, tidak ada solusi.”
Aku terkedu. Buntuku membatu. Mengapa tidak ada solusi? Adakah dalam banyak-banyak NGO yang ada pada hari ini, tidak ada satu cara yang mampu difikirkan oleh mereka untuk menyelesaikan isu ini? Persoalan yang membentak di jiwa aku ini sememangnya normal untuk mahasiswa yang baru ingin berjinak-jinak ingin membantu orang lain yang dipandang kurang bernasib baik. Makanya pencarian aku tentang solusi kepada masalah gelandangan ini bermula dan belum berakhir sehingga hari ini. Aku cuba melibatkan diri dengan beberapa lagi program menyantuni gelandangan yang kadang-kala dianjurkan sendiri oleh beberapa individu dan kemudiannya diteruskan lagi oleh beberapa persatuan pelajar yang berkongsi misi dan visi yang sama iaitu ingin mencuba untuk membantu.
Malangnya, solusi kepada masalah ini masih belum aku temui. Tidak cukup dengan itu, aku sudah mula muak dengan satu lagi isu tentang gelandangan ini. Isunya ialah, adakah cukup sekadar kita membantu memberikan makanan, minuman dan sedikit pakaian kepada mereka? Adakah cukup sekadar kita cuba membantu mereka mendapatkan pekerjaan supaya mereka boleh meraih pendapatan dan mengubah nasib hidup mereka? Adakah kita sepatutnya merasa seronok atau berlapang hati dan jiwa kerana kita diizinkan Allah untuk menjadi tangan yang membantu saudara-saudara kita yang berumah di jalanan, atau sepatutnya kita merasa marah dan bengang dengan keadaan mereka yang terpaksa terus-menerus hidup dalam kesusahan?
Jawapannya ialah, sudah tentu usaha sebahagian kita memberi bantuan makanan, minuman dan pakaian kepada mereka adalah tidak cukup. Mengapa? Mengutip pengalaman bersembang bersama salah seorang pengasas NGO D’Ikhlas yang sering menyantuni gelandangan di sekitar Butterworth pada pukul 8.30malam setiap hari Sabtu, aku bertanya beliau tentang nasib saudara-saudara kita di jalanan pada hari selain hari Sabtu, di manakah tempat mereka mendapatkan keperluan (makanan dan sebagainya)?
“Tak tahu.” Jawabnya mudah.
Jelas? Atau perlukan huraian? Sudah tentu jelas! Jelaslah bahawa bantuan kita tidak cukup. Kita boleh terus mengadakan kenduri makan bersama saudara-saudara kita di jalanan, tetapi ianya tidak akan mengubah apa-apa jika sistem pengurusan negara kita masih berada di tahap yang sama. Polisi yang masih menekan rakyat kebanyakan (bawahan), polisi yang memenangnya golongan kaya, cukai yang mencengkam pengguna bawahan untuk mengukir senyuman di wajah kapitalis kaya dan pelbagai jenis penindasan yang berlaku dalam negara kita perlu diubah dan dicegah untuk sekurang-kurangnya kita membantu memberikan bumbung kepada sahabat-sahabat kita ini untuk berteduh.
Memetik tulisan Dr Muhammed Abdul Khaled dalam penulisan beliau iaitu buku Antara Dua Darjat, Agihan Pendapatan di Malaysia, pada halaman 159, beliau menyatakan :
“Kajian terbaru Bank Negara menunjukkan bahawa hanya satu dari sepuluh rakyat Malaysia mampu bertahan lebih daripada enam bulan sekiranya hilang punca pendapatan.”
Pernyataan daripada buku yang dialih bahasa daripada buku bahasa Inggeris bertajuk The Colour of Inequality oleh penulis yang sama ini, bertepatan dengan logik bahawa di bandar-bandar besar (seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang), harga tanah dan rumah melambung tinggi. Disebabkan berpendapatan rendah, terdapat rakyat yang bekerja di negeri-negeri bertuah ini yang telah membelanjakan gaji mereka untuk memenuhi keperluan harian semata-mata, dan mereka terpaksa tidur di jalanan kerana tidak mampu memiliki rumah. Salah satu faktor seseorang menjalani hidup di jalanan ialah kehilangan kerja yang membawa kepada putusnya sumber pendapatan dan ketiadaan simpanan. Makanya dalam hal ini, kita dapat melihat dan menjustifikasi salah satu sebab kenapa saudara-saudara kita merempat di jalanan.
Jadi, jika anda baru sahaja terlibat dengan program menyantuni gelandangan tetapi sudah merasa bagus dan bangga kerana menganggap kita membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik, saya akan katakan anda silap. Sepatutnya kita tidak merasa bangga kerana ianya bukanlah satu bentuk ‘favour’ apabila kita membantu mereka yang merempat di jalanan, akan tetapi kita sebenarnya cuba memulangkan hak kepada mereka yang berhak dan kita sepatutnya geram dalam kekeliruan dan bertanyakan soalan, apakah yang salah dalam negara kita ini sehinggakan boleh terjadi masalah rakyat tidak mampu memiliki rumah dan terpaksa tidur di jalanan? Pemberian sedikit makanan yang bertahan semalaman atau dua tiga hari, tidak mampu menyelesaikan masalah gelandangan ini yang sudah berlaku lama di Malaysia.
Memetik ayat 24 dan 25, surah al-Ma’arij, surah yang ke 70 dalam al-Quran yang maksudnya seperti berikut:
“dan orang-orang yang dalam hartanya disiapkan bagian tertentu (24). Bagi orang (miskin) yang meminta dan yang tidak meminta (25).”
Dalam ayat yang menceritakan berkenaan ciri-ciri orang yang solat (musollin) ini, Ustadh Nouman Ali Khan menjelaskan bahawa ayat ini menceritakan bahawa sebenarnya perlakuan kita membantu orang miskin atau memerlukan itu (dalam ayat ini) bukanlah satu bantuan, akan tetapi ianya lebih kepada pemulangan hak kepada yang berhak kerana di dalam bahagian harta kita, terkandung pemberian Tuhan untuk diberikan kepada orang lain. Perkara ini akan difahami oleh orang yang benar-benar mengerjakan solat, menurut beliau. Berbalik kepada isu gelandangan, satu perasaan dalam diri kita patut dibina untuk merasa syukur kepada Tuhan kerana dapat kita kembalikan hak orang lain daripada apa yang telah Tuhan rezekikan kepada kita instead of mendabik dada kononnya kita telah melakukan kebaikan yang besar kepada saudara kita di jalanan. Corak pemikiran seumpama ini penting untuk dibetulkan terutamanya dalam kalangan aktivis yang cuba membantu saudara kita di jalanan supaya sesuatu yang lebih daripada sekadar memberi makanan dapat kita rangka bersama.
Isu kemalasan juga tidak ketinggalan daripada menjadi buah mulut masyarakat yang mungkin berperspektif salah terhadap orang yang hidup di jalanan tetapi memilih untuk kekal hidup di situ tanpa berusaha membaiki kehidupan mereka ke arah lebih baik (walaupun tekanan ekonomi di Malaysia dan bentuk-bentuk tekanan lain yang wujud perlu juga di ambil kira), tetapi perspektif buruk ini tidak boleh ditebarluaskan kepada kesemua manusia yang terpaksa hidup di jalanan.
Dalam satu kompilasi buku yang menghimpunkan kisah-kisah gelandangan hasil coretan Carmen Soo dan Michelle Yoon bertajuk They Took My Shoes and other stories, inspired by the filming of Orang Itu, terdapat satu wawancara bersama seorang saudara kita di gelandangan dengan nama Pak Naam yang memberi komen tentang orang-orang di gelandangan yang masih muda dan mampu bekerja tetapi masih meminta duit di jalanan. Pada halaman 52, Pak Naam direkodkan sebagai berkata bahawa dia cuba menasihati mereka yang terlibat dengan perbuatan seperti ini tetapi nasihatnya dipandang sepi bahkan dia pula dimarahi. Bertepatan dengan kata-kata daripada seorang aktivis membantu gelandangan daripada NGO Kindness, sebenarnya terdapat beberapa kategori orang yang hidup di jalanan, setidak-tidaknya kita boleh membezakan antara orang yang malas berusaha dan terus ingin hidup di jalanan mengharapkan bantuan orang lain, dengan orang yang gigih berusaha mengubah nasib hidup akan tetapi sering gagal dan terpaksa kekal di jalanan. Terpaksa aku nyatakan hal ini di sini kerana aku pedih telinga dan pedih hati apabila selalu sangat sahabat-sahabat kita di gelandangan dikaitkan dengan isu kemalasan (yang tidak salah sepenuhnya) sehinggakan habis semua orang yang hidup di jalanan itu dilabel mempunyai masalah sikap. Padahal, bukan semua mereka begitu.
Kalau ditanya kepada aku, apa yang mungkin dilakukan dan diharapkan ketika ini untuk membantu mengubah nasib saudara kita di gelandangan, aku akan cadangkan supaya usaha memberi makanan, minuman dan pakaian diteruskan tetapi usaha yang lain juga boleh digarap dengan lebih kerap. Contohnya seperti yang dilakukan oleh NGO Islamic Charity Society di Pulau Pinang ataupun beberapa NGO lain di negeri lain yang cuba mencari pekerjaan kepada mereka di gelandangan supaya mereka memperoleh sumber pendapatan. Tetapi lebih jauh daripada itu, aku mengharapkan cadangan penambahbaikan polisi kerajaan seperti yang digariskan oleh Dr Muhammed Abdul Khaled dalam buku Antara Dua Darjat, dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia yang sedia ada. Sekurang-kurangnya tolonglah ubah sistem percukaian Malaysia yang regresif kepada cukai yang progresif dan kemudiannya tolonglah sediakan polisi supaya lebih mudah rakyat bawahan mengumpul aset (bukan memudahkan aset dikumpul dalam kalangan menteri-menteri dan bangsawan sahaja). Dengan mengembalikan agihan kekayaan kepada tahap yang adil dan sama-rata, masalah kemiskinan dan masalah bertambahnya orang yang merempat di jalanan akan dapat diselesaikan secara perlahan-lahan.
Saudara-saudara kita di jalanan juga manusia. Jika mereka adalah mangsa kezaliman dan kerakusan mana-mana pihak, mereka perlukan pembelaan. Mereka juga manusia yang berjiwa murni yang kadang-kala mereka menolong makhluk (binatang) lain semasa mereka hidup di jalanan disebalik hanya memikirkan tentang diri sendiri semata-sama. Hal ini pernah dinukilkan dalam buku Kriminal, Catatan Seorang Wartawan Jenayah, THE UNTOLD STORY karangan Syahril A. Kadir, pada halaman 132 hingga 134 yang menceritakan tentang hal keadaan Mak Cik Sally merempat di gelandangan tetapi masih lagi memberi makan kepada kucing, anjing dan bahkan tikus yang berada di sekitar kawasan tersebut. Tidaklah wajar jiwa-jiwa manusia mulia seperti ini dilupakan dan tidak diberi pembelaan hanya kerana mereka hidup tidak berbumbung dan tidur tidak bertilam empuk seperti kita. Hakikatnya hidup ini perlu diteruskan, dan kepada semua aktivis yang ingin membantu saudara-saudara kita di gelandangan, teruskan membantu dan jangan dilupakan desakan demi desakan kepada penguasa yang ada supaya mereka membantu orang ramai yang tidak bernasib baik terutamanya golongan gelandangan ini tidak kira musim pilihanraya atau tidak. Kepada sang pemberi khutbah, banyakkanlah menyentuh isu kemiskinan dan juga isu gelandangan supaya lebih ramai orang berjubah berserban juga peka kepada isu ini. Kerana membantu sesama manusia itu kerja buat yang dilakukan para nabi, bahkan merekalah yang menjadi pelopor menentang kezaliman dan penindasan.
Tulisan ini sekadar pandangan hasil pembacaan cetek aku di beberapa coretan dan nukilan. Mohon dipanjangkan kritikan dan pandangan kalian ke rzdy208@gmail.com.
Sekian.  

Comments

Popular Posts