Abang Am dan Abang Ranger.


Malam Sabtu. Seperti biasa, mengisi rutin mingguan menyertai aktiviti anjuran sebuah NGO dengan nama D’Ikhlas menyantuni rakan-rakan yang memilih atau terpaksa hidup di jalanan. Kenduri mingguan kami itu diteruskan saban minggu. Semakin lama mendekati rakan-rakan yang turut hadir untuk makan bersama, semakin erat hubungan sesama kami. Ia tergambar dengan petahnya perkataan yang keluar dari mulut kami ketika berbalas kata, bertanya khabar atau menyapa tentang cuaca atau isu semasa.

Persepsi aku terhadap golongan gelandangan dahulunya ialah mereka ini memerlukan kasihan belas daripada orang yang mempunyai rumah. Bagi aku, mereka ini perlu disantuni kerana mereka kurang bernasib baik. Mungkin disebabkan terlalu cetek pengalaman, terlalu singkat umur atau pengembaraan yang bermanfaat, persepsi itu terus tertanam dalam minda aku. Sehinggalah aku berjumpa dua susuk tubuh.

Abang Am dan Abang Ranger.

Abang Am, seorang lelaki yang mungkin berusia awal 40-an. Aku difahamkan daripada Abang Deep yang merupakan salah seorang penggerak NGO D’Ikhlas bahawa Abang Am ini merantau ke serata tempat. Kadangkala ke Johor, kadangkala dia ke utara. Hatta tempat kerja aku di Sungai Bakap juga Abang Am mempunyai kenalan di sana. Aku masih ingat lagi sapaan kali pertama aku oleh Abang Am, dia berbicara berkenaan kerja dan perantauan, sebelum dia berkongsi sesuatu yang membuatkan aku terdiam dan terpaksa merenung jauh tentang erti kehidupan.

“Dalam melawak dan bergurau, jangan pernah menghina manusia lain. Kita ini semua ada hawa nafsu, ada perasaan dan keinginan.”

Katanya lagi, “Walau apa pun yang kita buat, jangan pernah terlibat dengan jenayah.”
Entah mengapa, nasihat dan pesanan dia menusuk hati aku yang keras. Mungkin Abang Am pernah terlibat dengan jenayah, atau mungkin juga dahulunya dia seorang yang selalu menjaga hati dan perasaan orang lain, sehinggakan perbuatan baik dan buruknya itu terkeluar dalam bentuk kata-kata pesanan.

“Nanti bila-bila mai la mengai (memancing) kat belakang ni. Tanya ja depa Abang Am kat mana, depa nanti habaq la.” Ajak dia bersungguh-sungguh. Entah bila aku dapat memenuhi jemputannya, aku pun tidak tahu.

Dua minggu yang lalu aku terkejut ketika pergi ‘kenduri’ mingguan ini. Aku saksikan kekurangan dalam jumlah orang yang hadir. Rakan-rakan gelandangan yang dahulunya dalam jumlah 60-70 orang bahkan mungkin mencecah 100 orang, kini sekadar tinggal 20-30 orang dalam anggaran aku.
“Mana pi habih semua depa? Tengok surut teruk ja Abang.” Soal aku kepada Abang Deep.
“Kena tangkap la tu. Majlis dengan polis kot buat operasi. Bawa depa pi Kepala Batas, check urine, tengok sangkut dadah ka dak, lepas tu lepas balik la kot.”

Mungkin itu rutin mereka yang datang tiba-tiba. Tetapi aku lega sedikit setelah difahamkan bahawa mereka akan dibebaskan setelah beberapa minggu. Mungkin selepas itu mereka akan kembali ke tempat kenduri kami. Entah mengapa, aku rasakan majlis kenduri mingguan D’Ikhlas ini kurang seri tanpa kehadiran rakan-rakan gelandangan yang lain.

Semalam, jumlah mereka masih kurang. Tetapi kenduri tetap dijalankan seperti biasa. Melihat akan kehadiran rakan-rakan gelandangan untuk mula menjamu selera, kemeriahan kenduri mingguan ini aku rasakan sedang pulih secara perlahan-lahan. Cuma, kenduri malam semalam sedikit berlainan.

“Ada tak sapa-sapa antara hampa ni yang nak bertaubat?” Pertanyaan Abang Deep tidak dibalas sebarang jawapan. Senyap, seolah-olah semua rakan-rakan gelandangan masih berfikir apakah jawapan yang dikehendaki.

“Dak, aku tanya sebab minggu depan kita akan buat majlis perasmian tempat kita kat surau belakang ni nanti. Masa tu, hampa pi kat surau, pilih dan pakai la baju elok-elok sikit. Yang nak mai rasmi nanti ni, mufti. Ingat tau, 18 Mac, minggu depan.”

Masih tidak ada sebarang kenyataan tentang ‘bertaubat’ tadi. Aku hanya menunggu dengan patuh.

“Ada sapa-sapa antara hampa yang nak belajaq menjahit?” Satu soalan lagi timbul daripada Abang Deep. Sekali lagi, semua rakan-rakan gelandangan yang hadir, tidak mengungkap sebarang jawapan.

“Tak dak langsung ka yang minat? Tak dak langsung daripada hampa yang nak berhenti hidup kat sini, nak cuba ubah hidup hampa jadi lebih baik?” Aku dapat mengesan ketegasan dalam suara Abang Deep.

“Tuan, kalau peluang untuk memasak ka, ada dak?” tanya seorang rakan gelandangan yang lain.

“Dak, lani hampa minat kerja apa?” Sekali lagi Abang Deep melontar pentanyaan.

“Kalau ada peluang bertukang ka, boleh la abang.” Jawab seorang lagi rakan gelandangan.

Yang dapat aku fahami di sini, masing-masing mempunyai minat yang tersendiri. Dengan berbekalkan minat itu, mereka merasakan bahawa mungkin mereka dapat mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik.

“Kalau ada antara hampa yang minat nak menjahit, nanti kita hantaq pi training. Modai ada, semua ada. Kita bagi masa untuk hampa cuba cari duit. Boleh dak hampa hidup. Ni peluang ni. Tak kan xdak yang mau?”

Mungkin Abang Deep dan Dr Imran yang selalu turun saban minggu ke kenduri tersebut masih berfikir tentang peluang pekerjaan dari aspek pertukangan dan masak-memasak yang baru sahaja diminta oleh beberapa rakan gelandangan yang hadir. Pada hemat aku, mereka akan cuba mencari peluang pekerjaan tersebut untuk membantu sekadar yang mampu.

No free lunch for you.”

Ini kata-kata Abang Ranger kepada aku dan anak saudara aku yang turut hadir semalam.

“Faham dak maksud ayat tadi?” Dia menyoal aku.

“Hmmm… saya kena pikiaq dulu abang.”

“Kalau kat USA, pihak gereja akan kumpul orang gelandangan ni, depa akan bagi makan. Lepas tu, pihak gereja akan kata kat depa, ‘No free food for you’.”

Aku masih terkebil-kebil berfikir maksud kata-kata Abang Ranger. Dalam erti kata lain, aku masih belum berjumpa makna tepat akan kata-kata yang dia ungkapkan oleh orang yang mendakwa dirinya dahulu merupakan seorang guru motivasi.

“Maksudnya, bukan dia mintak duit suruh kita bayaq lepas dah habis makan, tapi, bila depa ajak mai duduk dengaq sat apa depa nak habaq, macam yang Tuan (Abang Deep) buat ni, gelandangan semua patut patuh la. Mai dengaq, tunjuk kasih sayang. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘No free lunch for you’. Ada bayaran, bukan dengan duit, tapi kena bagi kasih sayang.”

Aku terpaku. 

Mereka bukan golongan yang kosong fikiran. Mereka mempunyai pandangan dan mungkin dalam soal ini, mereka mempunyai pegangan daripada pengalaman lampau. Hanya yang turun bertemu mereka yang mungkin akan dapat butiran permata hikmah yang mereka kongsikan itu.

Ini sebahagian kisah mereka sebagai gelandangan. Mungkin mereka miskin duit ringgit dan harta benda, tetapi mereka tidak miskin nasihat berguna daripada pengalaman kehidupan. Kerana mungkin sahaja hidup di jalanan merupakan tempat berehat pejuang-pejuang kehidupan yang diuji hebat oleh Tuhan. Tinggal lagi aku sahaja yang masih belum mengerti ketukan hati yang dikirim Tuhan kepadaku melalui mereka.

Rakan-rakan gelandangan ini, mereka bukan bodoh dan malas semata-mata.

Mereka mempunyai kelebihan, tinggal lagi mungkin mereka ini merupakan pahlawan kehidupan yang terlalu lama berehat kerana penat. Agak lama masa yang mereka perlukan untuk kembali bangkit dan melawan!

Betapa hidup di jalanan tidak sunyi daripada pesanan dan ketukan daripada Tuhan.

#BilisSinis
#Gelandangan

Comments

Popular Posts