RESENSI BUKU : Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia, Prof Ahmat Adam

l Ulasan buku ‘Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia’.l

Profesor Emeritus Dr Ahmat Adam merupakan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah. Figura ini mula menggempar dunia akademik dalam negara apabila beliau kritikal terhadap karya Sejarah Melayu / Sulalatus Salatin yang menyentuh mengenai kewujudan adiwira bangsa Melayu di Nusantara : Hang Tuah. Namun begitu, beliau tetap mendatangkan hujah yang dikuatkan dengan fakta empirikal sehingga menidakkan beberapa kecelaruan oleh sarjana sastera dan sejarah terhadap naskhah Sejarah Melayu.

Buku ini mempunyai 8 bab termasuk bahagian kesimpulan. Sejujurnya, terdapat beberapa kerangka ilmu sejarah yang dikemukakan oleh Prof Ahmat Adam yang kurang difahami oleh pembaca kerana ianya menuntut kefahaman disiplin ilmu Sejarah yang tinggi. Sebagai pengenalan, Prof Ahmat Adam memulakan bab dalam buku ini dengan tajuk : Apa itu Sejarah?. Tajuk ini sangat penting kerana untuk memahami sejarah, kita perlu meneliti maknanya secara holistik. Antara tokoh yang mempopularkan falsafah sejarah yang disebut oleh Prof Ahmat Adam ialah Ibn Khaldun, Georg Wilhelm Friedrich Hegel dan Giovanni Battista Vico.
 
Kita harus sedari bahawa tiada siapa di dunia ini yang mengetahui siapakah identiti sebenar penulis Sejarah Melayu. Bahkan, nama Tun Sri Lanang juga turut disebut sebagai pembawa sahaja dan bukannya sebagai penulis. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu tidak akan menulis namanya sebagai penulis terhadap sesuatu cerita. Hal ini turut didukung dengan cerita rakyat di mana ia dianggap sebagai hak milik bersama yang diperturunkan dari generasi ke generasi melalui kaedah lisan. Berbalik kepada Sejarah Melayu, ia mula disalin oleh beberapa Orientalis Barat seperti Stamford Raffles. Terdapat tidak kurang 33 buah versi yang dihasilkan tetapi yang sering disebutkan ialah Raffles MS No. 18 dan yang diperkenalkan oleh Prof Ahmat Adam ialah teks Krusentren dari Rusia. Teks Krusentren ini penting kerana ia belum dibicarakan ramai ahli sejarah tempatan yang selama ini menumpukan perhatian kepada teks dari Raffles. Di sini, Prof Ahmat Adam menyinggung kelemahan penyelidikan di negara kita yang hanya menumpukan kajian dari Barat dan tidak mempersoalkan kesilapan yang dilakukan oleh para Orientalis Barat.

Hal yang menjadi polemik di negara kita sejak mutakhir ini ialah apabila beliau mulai mempersoalkan kewujudan seorang Laksamana Melayu dalam Bab 6 : Betulkah Hang Tuah [ sic ] Wujud?. Sebagai seorang pelajar sastera yang tidak menolak kesahihan fakta sejarah, hal ini mendorong pembaca untuk meneliti setiap hujah yang cuba dikemukakan oleh Prof. Ahmat Adam secara profesional dan tidak emosional. Hal yang perlu kita sedar ialah bahasa Melayu yang dipertuturkan pada hari ini banyak dipengaruhi oleh Jawa Kuno, Jawa Tengahan dan Sunda. Hal ini ditambah lagi dengan sebutan Jawi Lama yang mengelirukan ramai presensi Sejarah Melayu. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa istilah dalam Sejarah Melayu telah disebutkan secara salah seperti “Sang Sapurba”. Padahal istilah yang tepat menurut Prof. Ahmat Adam ialah “Sang Supraba”. Begitu juga dengan perkataan “Tuha”. Sedangkan, makna tuah masih tidak muncul mengikut zaman Hikayat Hang Tuha. Mengikut ejaan Jawi Lama, yang lebih tepat ialah Tuha atau Toh yang bermaksud tua atau taruhan. Sejarah Melayu (SM) dan Hikayat Hang Tuah (HHT) juga dilihat mencedok beberapa adegan yang terkandung dalam epik Hindu seperti Ramayana dan Mahabrata. Yang menjelaskan lagi keadaan ini ialah, nama pembesar Melayu tidak boleh disebut oleh orang awam kerana ia merupakan pantang larang Melayu pada ketika itu. Hal ini menunjukkan beberapa nama yang disebut dalam HHT dan SM merupakan nama gelaran sahaja.

Adegan Hang Tuah bertikam keris dengan Hang Jebat/Kasturi, meminang Puteri Gunung Ledang dan menewaskan Taming Sari di Pulau Jawa menunjukkan SM merupakan karya sastera sejarah dan bukannya bersifat sejarah secara keseluruhan. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa babak dalam penceritaan ini yang mengangkat mitos sebagai bahan untuk mengagung pembesar Melayu. Hang Tuah tidak lari daripada sebuah rekaan watak fiksyen yang digunakan untuk membangkitkan semangat orang Melayu untuk patuh dan taat kepada Raja dan sebagai simbol hero kepada umat Melayu. Namun begitu, jawatan Laksamana yang diceritakan dalam SM merupakan jawatan yang tidak direka kerana terdapat bukti dalam surat-menyurat kerajaan Melaka kepada kerajaan China pada ketika itu yang turut tidak menyatakan nama laksamana tersebut kerana ia merupakan pantang-larang orang Melayu pada ketika itu. Bagaimanapun, watak Hang Tuah sudah sebati dalam darah daging dan pemikiran umat Melayu di Nusantara ini kerana cerita ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Sayangnya, tiada satu pun bukti kukuh untuk mengatakan bahawa Hang Tuah wujud melainkan sebuah karya sastera yang menyebut nama Hang Tuah ini. Hal ini turut mematikan polemik segelintir kecil bangsa Cina di Malaysia yang menyatakan Hang Tuah adalah berbangsa Cina padahal ia hanyalah sebuah watak fiksyen yang diinspirasi daripada keadaan sekeliling yang wujud di Melaka pada ketika itu.

Kesimpulannya, kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan hujah Prof Ahmat Adam tetapi menerusi fakta yang sahih dan bukannya dakwaan sebagai bukti sejarah. Untuk memahami pemikiran Prof. Ahmat Adam, kita harus membaca dan memahami buku nukilan beliau untuk menggarap idea yang cuba beliau sampaikan. Selain itu, kelemahan ahli akademik di Malaysia dalam menafsir ejaan Jawi Lama menyukarkan teks SM dibaca dengan teliti. Dalam menegakkan kebenaran dalam sejarah, kita haruslah membezakan antara mitos dengan sejarah dan antara karya sastera sejarah dengan sejarah. Kita masih Melayu walaupun Hang Tuah dan saudaranya tidak wujud kerana setiap yang wujud mesti berpaksikan kepada fakta dan kebenaran.

-MusafirSejarah-

#BilisSinis
#BookSurgeon
#UlasBuku

Comments

Popular Posts