RESENSI BUKU : ANTI-UNIVERSITI

l Ulasan Buku : Anti-Universiti l 

Buku setebal 242 muka surat ini aku dapati daripada REPUBLIK BUKU setelah selesai usaha mereka membuat kompilasi tulisan-tulisan mengenai Universiti. Pada kulit buku ini terdapat dua imej yang aku kira cuba memberikan maksud yang tersendiri. Imej pertama di bahagian atas menunjukkan gambar Gautama Buddha dan beberapa orang pengikutnya (mengikut kefahaman aku) dan pada bahagian bawah muka depan buku ini, terdapat tulisan “CAPTAIN FANTASTIC” disertai gambar sekumpulan anak muda yang diketuai oleh seorang lelaki bersut merah. Aku cuba merasionalisasikan imej Buddha dan pengikutnya itu sebagai isyarat penerbit buku ingin mengatakan bahawa Buddha menemui kebenaran bukan melalui Universiti. Untuk imej yang kedua, aku difahamkan ianya adalah sebuah filem. Tetapi buat ketika ini, aku tidak mampu mengulas lanjut mengenainya kerana aku belum sempat menonton filem tersebut. 

Pada bahagian belakang buku ini, seperti kebanyakan buku lain, terdapat sinopsis berkenaan buku ini, dan pada akhir sinopsis itu, penerbit melontarkan sebuah persoalan kepada pembaca,

“Secara jujurnya, apa yang terlintas dalam fikiran saudara dan saudari, apabila terbaca tajuk buku Anti Universiti ini?”

Maka, ini jawapan aku. Selaku salah seorang penyumbang artikel dalam buku ini dan juga sebagai seorang pembaca umum. 

Pertama kali aku melihat tajuk buku ini, sudah tentu terlintas di fikiran aku, buku ini bakal mengkritik tajam institusi Universiti itu sendiri yang dilihat semakin hari semakin lesu. Kritikan itu aku sangka akan berkisar kepada isu-isu mahasiswa dan mahasiswi, tidak ketinggalan beberapa hal berkenaan pengurusan dan juga sumbangan mahasiswa kepada masyarakat. Ternyata telahan aku ada betulnya dan ada juga salahnya. 

Beberapa kali aku bertemu dengan ulasan atau kutukan penulis artikel terhadap institusi universiti. Bagaimana pendidikan tinggi sekarang ini menjadi satu bentuk urus niaga yang menguntungkan, akan tetapi selepas daripada memperolehi ‘pendidikan tinggi’ yang diimpikan oleh mahasiswa, mereka berisiko keluar ke dunia luar tanpa memperoleh sebarang pekerjaan. Salah satunya ialah daripada artikel ke 19,

“Relevansi universiti boleh dipersoal kerana mewajibkan mata pelajaran keusahawanan. Hal ini berlandaskan dua fakta penting. Pertama, pintu masuk ke dunia keusahawanan tidak memerlukan sijil. Kedua, universiti ialah pintu masuk ke dunia pekerjaan, yakni, menjadi pekerja. Apabila mahasiswa diajar berniaga, bermakna universiti sendiri meragui fakta yang kedua.” (Halaman 211)

Sejurus selepas membaca ayat ini, dan beberapa ayat lagi daripada artikel lain yang termuat di dalam buku ini, aku teringat akan satu forum yang membincangkan berkenaan BAJET 2018 yang disiarkan di TV1 pada tahun lepas. Antara yang hadir sebagai panel dalam forum itu ialah Dr Mohammed Abdul Khaled yang merupakan seorang penganalisis ekonomi dan juga seorang tokoh daripada salah satu universiti tempatan, dan seorang lagi wakil usahawan. Antara aspek yang menjadi isu semasa forum tersebut ialah ketidakmampuan universiti menyediakan peluang pekerjaan kepada mahasiswa selepas mereka bergraduasi. Dr Mohammed Abdul Khaled menempelak pihak universiti dengan mengatakan lebih kurang begini, 

“Kita janji kepada budak-budak, masuk universiti, keluar universiti, akan dapat kerja. Mereka pinjam duit berpuluh ribu untuk masuk universiti, kemudiannya apabila keluar, mereka menganggur.”

Hujah ini disanggah oleh tokoh universiti tempatan itu dengan mengatakan bahawa tidak ada sebarang hitam dan putih yang tertulis bahawa kerajaan (pada waktu itu) menjanjikan peluang pekerjaan kepada mahasiswa selepas tamat pengajian. Aku melihat perkara ini ialah usaha untuk memutarbelit atau ‘spin’ fakta pahit yang perlu ditelan iaitu kegagalan universiti untuk menjamin kebolehpasaran mahasiswa dalam dunia pekerjaan. Dr Mohammed Abdul Khaled juga tidak ketinggalan menyentuh isu mahasiswa yang membawa Uber untuk mencari rezeki. Kritikannya pedas apabila beliau mempertikaikan kenapa mahasiswa yang mempelajari bidang-bidang tertentu di universiti, tetapi kemudiannya keluar dan meniaga nasi lemak, bawa kereta Uber dan sebagainya, bukannya ditunjukkan rasa simpati oleh pihak kerajaan dan penggubal dasar, akan tetapi kita mengiyakan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa itu salah satu usaha mereka memperoleh pendapatan, dan tiada salah langsung pada mata kita. Hakikatnya, pada fahaman aku, kalau mahasiswa itu sudah pun tahu bahawa kursus yang diambilnya di universiti tidak dapat menjamin pekerjaan, lebih baik sejak dari awal lagi, dia menceburi bidang pembawaan kereta sewa atau terlibat dengan perniagaan. Sampai bilakah universiti harus terus memperdaya mahasiswa?

Satu lagi isu yang perlu diketengahkan daripada buku ini, ialah kritikan salah seorang penulis berkenaan tidak adanya pilihan untuknya memilih subjek yang diminati ketika berada di universiti. Seperti yang kebanyakan daripada kita sedia maklum, untuk sesetengah subjek di universiti (yang bukan subjek teras), pelajar diberikan kebebasan untuk memilih subjek yang mana yang menjadi idaman hati. Tetapi, dakwa penulis artikel ke-14 ini, 

“Saya banyak kali terpaksa melepaskan subjek yang saya minati hanya kerana saya tidak dapat mendaftar masuk ke dalam subjek-subjek tersebut. Manakala tuhan-tuhan universiti lebih suka jika mahasiswa penuhkan sahaja subjek yang masih berbaki tempat hanya untuk meneruskan komponen pengajian. Ya bukankah itu sistem pendidikan negara mengasuh kita – terima apa yang ada? Hasilnya kita ‘belajar’ benda hanya untuk lulus. Hasilnya kita menjadi graduan ‘yang tidak tahu apa yang dipelajarinya’.” (Halaman 158)

Aspek kedua yang menjadi bual bicara buku ini ialah berkenaan sikap mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa (bagi kebanyakan penyumbang artikel dalam buku ini), hanya menjadi penyembah ‘A’, pengampu pensyarah untuk lulus dengan cemerlang, menjadi pengunyah ilmu sebelum menelan secara gelojoh untuk dimuntahkan ketika menjawab peperiksaan dan tidak ketinggalan, menjadi bakal robot untuk mengisi posisi pekerjaan di luar sana yang dalam konteks sekarang, tidak pasti masih boleh diisi atau tidak posisi tersebut. 

Harus aku akui bahawa aku pernah bertemu kumpulan mahasiswa seperti ini. Semasa aku berada di universiti dahulu (sebagai seorang pelajar), aku telah melukis 10 karakter kartun beserta penjelasan tentang karakter tersebut untuk menempelak sikap buruk yang ditunjukkan oleh mahasiswa Universiti Sains Malaysia pada ketika itu. Cuma, untuk mengatakan bahawa semua mahasiswa yang menjejakkan kaki ke universiti semata-mata untuk menyembah ‘A’, aku kira tidak tepat. Hal ini kerana, masih terdapat mahasiswa yang cemerlang akademik dan pada masa yang sama, dapat menumpukan perhatian mereka kepada hal-hal persatuan dan juga dapat turun ke lapangan untuk menyantuni masyarakat. Maka untuk kita membuat dakwaan atau andaian kepada semua mahasiswa hanya kerana kita berjumpa dengan sebahagian kecil sahaja yang bermasalah, pada pandangan aku, adalah tidak adil dan tersasar. 

Mahasiswa yang menjadi pengampu kepada pihak yang merebut kuasa juga dikritik dalam buku ini,

“Jujurnya aku tidak nampak ramai mahasiswa dan mahasiswi yang benar-benar membudayakan ilmu dan mempunyai kebenaran untuk menyatakan kebenaran walau terpaksa dibuang dan digantung. Mereka juga kadang-kadang hanyalah menjadi macai dan penjilat jubo politikus sama ada kerajaan mahupun pembangkang.” (Halaman 125)

Terdapat juga artikel dalam buku ini yang membela mahasiswa yang dikatakan malas dan hanya tahu menghabiskan duit PTPTN dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa, tidaklah semua penyumbang artikel dalam buku ini hanya menuding jari kepada mahasiswa, akan tetapi masih ada yang cuba menilai dari sudut lain supaya tidak berlaku berat sebelah dalam menyukat beban kesalahan yang harus ditanggung oleh pelbagai pihak yang terlibat dengan universiti. Hal ini dapat ditemui pada halaman 158 dan 159. 

Ketiga, isu yang disentuh dalam buku ini ialah berkenaan penglibatan mahasiswa dalam persatuan dan aktiviti secara kolektif. Mahasiswa atau pihak universiti dipertikaikan matlamat dan hala tuju mereka apabila mereka hanya terlibat dalam persatuan pelajar untuk mencantikkan resume yang bakal digunakan untuk memohon pekerjaan. Hal ini disebutkan pada halaman 150 dan 151. Berdasarkan pengalaman aku di universiti, ya, sememangnya aktiviti-aktiviti persatuan akan menyumbang kelebihan (atas kertas) kepada mahasiswa ketika meminta pekerjaan. Tetapi harus diingat, tidak kurang juga bilangan mahasiswa yang terlibat dengan program, mesyuarat persatuan atau apa jua bentuk tindakan kolektif kerana pada pandangan mereka, mereka perlu melakukan sesuatu dan mereka ingin mengamalkan kebebasan bersuara yang sepatutnya tidak disekat di universiti. Terdapat satu insiden ketika sekumpulan pelajar di USM dihalang untuk berhimpun dan berforum untuk membincangkan hala tuju politik kampus dan isu-isu berkaitan, mereka tidak mendapatkan kebenaran untuk berforum di dalam kampus, oleh itu, forum itu terpaksa dijalankan di luar kampus atau lebih tepat, di Ivory Plaza, tempat yang menempatkan deretan restoran. Aku menjadi salah seorang penonton forum tersebut dan aku merasakan hal ini membuktikan masih terdapat mahasiswa yang tidak hanya ingin menganjurkan sesuatu program sekadar ingin mencantikkan sijil dan resume. Tanpa menidakkan hakikat bahawa sesetengah mahasiswa mabuk dalam doktrin parti politik dan kemudiannya mereka ini bergerak dan berwacana berdasarkan pengaruh politik negara (kerajaan, pembangkang atau parti bebas), sekali lagi aku ingin mengajak kita semua untuk tidak mengamalkan konsep pukul rata dalam menilai. 

Pernah suatu ketika dahulu semasa cuba merintis perubahan dalam Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM), aku menyatakan pendapat aku dalam sesi muktamar sanawi mereka. Antara usul (atau cadangan) aku pada ketika itu ialah PMIUSM perlu tampil dengan satu kumpulan media sama ada pembuatan video atau penghasilan penulisan supaya sekurang-kurangnya PMIUSM mempunyai hasil yang dapat digunakan sebagai alat untuk menyebarkan fikrah yang kononnya dianggap paling benar. Ketika aku mengemukakan pandangan aku ini, keseluruhan idea itu ditolak dan ada juga hamba Allah yang mencadangkan usul aku diturunkan menjadi cadangan (yang tidak wajib dilakukan oleh persatuan) padahal pada malam itu, tidak ada sesiapa pun yang mengemukakan usul, dan pihak pimpinan PMIUSM ketika itu meminta aku untuk memberikan usul kerana sehingga hari sebelum muktamar berlangsung, tiada usul yang diberikan oleh ahli persatuan. Tetapi tidak aku sangka bahawa usul yang aku berikan itu (walaupun penuh kelemahan) hanya dijadikan daging untuk diratah dan dihina-hinakan ketika muktamar. 

Hujah aku daripada penceritaan pengalaman aku ini bukanlah untuk menagih simpati. Aku cuba ketengahkan bahawa bagi sebahagian mahasiswa (termasuk kumpulan PMIUSM), alat atau tools tidaklah begitu penting. Yang penting bagi mereka ialah program tahunan, dan adakah program itu dapat memenuhi kriteria ‘dakwah’ yang dibawa oleh parti politik yang mempengaruhi kumpulan mereka tersebut. Bertitik tolah daripada inilah, persatuan seumpama PMIUSM dilihat tidak terkehadapan dalam memacu nakhoda revolusi mahasiswa kerana kurangnya alat untuk menyantuni kumpulan sasaran. Hal ini selari dengan penulisan esei ke-5 dalam buku ini yang menyebutkan bahawa, 

“Sementara yang keduanya, dari pendekatan jangka masa panjang, yang bersifat seperti penulisan, pemberitaan, akhbar, majalah, apakah gerakan mahasiswa mempunyai ‘tool’ ini? Sampai sekarang pun gerakan mahasiswa kita tidak mempunyai akhbar mereka yang tersendiri.” (Halaman 96) 

Aku mengiyakan kata-kata penulis esei kelima ini setelah membuat perbandingan dengan pengalaman peribadi yang aku perolehi. Untuk kalian yang belajar di universiti yang berlainan, mungkin pengalaman kita juga berlainan. 

Jadi, setelah kita mengkritik hebat institusi dan produk universiti, persoalan yang perlu kita jawab bersama-sama, masihkah ada harapan untuk universiti sembuh daripada ‘barah’ ini? Persoalan ini aku jawab dengan justifikasi kenapa aku menulis artikel ke-21 dalam buku ini. 

Aku menulis artikel ini selepas aku pulang daripada satu program iaitu Pandita Fest pada Mac tahun 2017. Ketika itu, aku masih buntu memikirkan fungsi mahasiswa dan universiti yang semakin hari semakin rosak. Untuk lebih menampar dan menerajang hati-hati tisu kawan-kawan aku yang masih menuntut di universiti, aku gunakan analogi berikut,

“…jika dibandingkan dengan fungsi mahasiswa sebagai manusia dan sebagai agen perubahan masyarakat, dapatlah aku katakan bahawa mereka ini umpama Nabi yang mensia-siakan wahyu.” (Halaman 226) 

Aku sengaja menggunakan ayat dan perkataan ini untuk menggambarkan betapa janggal dan aneh kelakuan mahasiswa atau lebih tepat, secara kolektif, kelakuan warga universiti (termasuk pihak pengurusan). Tidak pernah ada Nabi atau Rasul dalam sejarah Islam yang menyembunyikan wahyu yang diterima dan memilih jalan selamat semata-mata dalam menggalas tugas mencetus revolusi. Tetapi, malangnya, dalam kalangan manusia yang menghuni ‘menara gading’, perkara ini berlaku dan tidak cukup dengan itu, jenayah ini diraikan. Mahasiswa dan pihak pengurusan universiti telah secara muafakat bersetuju untuk sama-sama memusnahkan institusi universiti dengan terus menggigit budaya ‘Penyembah A’, ‘Pengumpul Sijil’ dan ‘Pengaut Untung’ dengan gigi garham mereka. Inilah punca kepada masalah yang dihuraikan panjang lebar dalam buku ini. Makanya, untuk mengubati barah ini, kemotrapinya ialah menerima hakikat bahawa universiti di Malaysia sekarang sememangnya bermasalah, dan kemudiannya kita perlu tampil mengubah mentaliti warga universiti supaya mereka lebih menumpukan kepada pembudayaan ilmu yang tidak berteraskan sasaran untuk lulus dan mempunyai CGPA tinggi semata-mata akan tetapi lebih ghairah dengan ilmu yang dapat mencipta dunia yang lebih baik untuk didiami dan jaminan masa depan akhirat yang lebih cerah. 

Jika tiada kesedaran dalam kalangan warga universiti, dan tiada usaha untuk mengubah ‘mindset’ songsang mereka, maka selamanya universiti akan terus diserang ‘barah’ yang telah disebutkan sebelum musnah secara kekal. Aku positif bahawa perubahan hala tuju minda warga universiti ini dapat dilakukan, tetapi aku tidak pasti berapa lama masa yang kita perlukan dan bilakah masalah ini bakal selesai secara keseluruhan. 

Akhir kata, kompilasi buku ini mungkin wajar dijadikan bahan bacaan Menteri Pendidikan yang baru diangkat iaitu Dr Maszlee Malik untuk beliau mengetahui pandangan minoriti tentang masalah institusi pengajian tinggi di Malaysia dan sistem pendidikan kita, amnya. 

Moga penulisan ini memberi manfaat. Pembaca boleh memilih untuk tidak bersetuju dengan sebarang hujah yang dikemukakan dalam penulisan kali ini. 

#BilisSinis
#BookSurgeon

Comments

Popular Posts