RESENSI BUKU : APA YANG AKU YAKINI, karangan Tariq Ramadan

l PEMBEDAHAN BUKU BERTULIS : APA YANG AKU YAKINI, karangan TARIQ RAMADAN l

Menyebut nama Tariq Ramadan sahaja sudah cukup mencipta beberapa persepsi. Kelantangannya satu hal, tetapi kes yang dikenakan ke atasnya (sama ada benar dia bersalah atau tidak), itu satu hal yang lain untuk dibincangkan. Dalam meneliti karya ini, aku terpaksa berperang dengan diri aku sendiri terhadap pengaruh kes yang berkaitan penulis karya ini. Jika dia terbukti bersalah dan wajar dihukum, terserah kepada hakim yang menjalankan hukuman, jika benar dia terlibat dengan dosa seperti yang dikhabarkan, moga Allah ampuni beliau.

Kerana untuk aku, karyanya yang satu daripada yang banyak ini membuka mata tentang beberapa isu. Penggunaan istilah ‘Pluralism’ dalam penulisan ini tidak mengisi jiwa dengan rasa takut tanpa punca dan siasatan, akan tetapi istilah itu cuba untuk mewarnakan kepelbagaian yang perlu kita belajar hidup dengannya. Jika pluralism yang dicanang oleh penulis ialah pluralism yang mensucikan semua agama, mengatakan bahawa semua agama adalah sama, semua agama menuju Tuhan yang satu tetapi dengan kaedah yang berbeza, aku berselisih dengan pandangan penulis. Tetapi, jika yang cuba diceritakan di sini ialah pluralism dalam konteks cuba hidup dalam kepelbagaian akidah dan pegangan hidup, cuba untuk menghormati manusia dan pada masa yang sama, boleh berbeza pandangan dalam beberapa hal berdasarkan prinsip yang sememangnya digariskan oleh Tuhan yang mencipta kita semua secara jelas, maka, buku ini berjaya mengajar aku sesuatu. 

Kata pengantar buku ini oleh Direktur Islamic Renaissance Front menyentuh sedikit sebanyak tentang istilah ‘rausyanfikr’. Apabila digabung istilah ini dengan keyakinan yang cuba dizahirkan oleh Tariq Ramadan dan juga usahanya untuk menjadi orang tengah kepada masyarakat, dalam usaha menyebarkan ilmu daripada ulama kepada orang awam, maka, pada aku istilah ini tepat. 

'Untuk memahami penalaran ini, pembaca atau pendengar harus mengikutinya dari awal hingga akhir : jika tidak mereka mungkin salah faham kesimpulannya dan menganggapnya sebagai percanggahan atau bahawa ia melibatkan “cakap bercabang.”'

Kata-kata daripada halaman kedua buku ini menjelaskan keadaan bahawa penulis mengajak semampu mungkin pembaca untuk membaca buku ini sehingga selesai sebelum membuat sebarang konklusi. Maka, aku iyakan perlawaan penulis dan menghabiskan buku ini sehingga ke penamatnya. 

Beberapa halangan juga dikenakan kepada penulis yang mendakwa dirinya kontroversial. Beliau dilarang untuk memasuki beberapa negara kerana kritikan yang dilontarkannya kepada negara-negara itu seperti yang ditulis pada halaman 13. 

Sebelum daripada itu, pada halaman 12, penulis menyatakan bahawa beliau merupakan seorang mediator yang selalu dicurigai dalam konteks cuba mewujudkan pengimbangan antara Islam dan Barat kerana, ‘Aku sentiasa “agak terlalu Barat” bagi sebahagian Muslim dan “agak terlalu Islam” bagi sebahagian orang Barat’. Perlu diingat asal usul penulis melibatkan dua unsur ini secara jelas. Beliau seorang Muslim yang mempunyai perkaitan dengan Hasan al-Banna dan beliau berasal dan membesar di Barat. Maka pertuduhan demi pertuduhan dan juga pandangan serong terhadapnya adalah tidak asing lagi. 

Menelusuri pemikiran penulis dalam buku ini, pada pandangan aku, sebuah salah tanggap yang besar mungkin akan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu dalam cuba melakar pemahaman yang menindas orang lain dalam konteks negara yang berbeza. Misalnya, di negara Barat, penulis menggesa Muslim supaya belajar mengasimilasikan diri dengan budaya Barat atau cuba untuk menjelaskan pegangan mereka untuk menghindarkan kesalahfahaman. Maka dalam usaha itu, kita perlu faham bahawa yang menjadi imigran di negara Eropah itu ialah Muslim (dalam konteks yang diceritakan oleh penulis). Tetapi, keadaannya agak berbeza dengan keadaan di Malaysia umpamanya. Di Malaysia, Melayu Muslim bukan pendatang, bahkan adalah tuan rumah yang diiktiraf sebelum dijajah dan ditekan sehingga miskin, kemudiannya menerima kedatangan pendatang yang dibawa oleh British sebelum memberi kerakyatan menuju kemerdekaan. Jadi, jika mahu digunakan hujah dari Tariq Ramadan supaya isu pendatang, imigran ini semua dihentikan perbahasannya tanpa menghargai konteks penjelasan Tariq Ramadan dan penyesuaian hujah itu dengan realiti Malaysia, maka pada hemat aku, natijahnya akan jauh menyimpang.
 
Pelbagai isu disentuh oleh penulis merangkumi isu integrasi Muslim sebagai masyarakat yang juga peduli isu, isu media, isu wanita dan tidak ketinggalan, penulis sempat menyentuh isu keterbukaan dan kejumudan yang berlaku dalam sebahagian manusia yang tergambar dalam ungkapannya,

‘Sangkar mental bukan suatu khayalan; ia sebenarnya wujud dalam realiti yang jelas: menjadi “terbuka” di dalam sangkar mental atau intelektual seseorang tidak membuka pintunya tetapi hanya membenarkan seseorang untuk menaruh ilusi bahawa tiada sangkar dan tiada pintu. Penjara yang paling merbahaya adalah dengan palang-palang yang tidak terlihat.’ (halaman 110) 

Justeru, aku menyeru teman dan lawan untuk membaca buku ini dan terjun sendiri dalam arus buaian pemikiran penulis sebelum mengambil keputusan untuk bersetuju atau tidak dengan ideologi yang dibawa. Teori yang digariskan oleh penulis contohnya seperti teori ‘7 Cs’ adalah teori yang menarik untuk dihadam faham sebelum kita menghentam atau terdiam. 

‘Apa Yang Aku Yakini’ mungkin hanyalah buku permulaan untuk aku lebih memahami idea penulis, buku seterusnya iaitu ‘Reformasi Radikal : Etika Islami dan Pembebasan’ akan menjadi bahan bacaanku yang berikutnya dalam usaha untuk mencabar minda dan menjadi pembaca yang lebih matang insyaallah. 

#BookSurgeon
#PembedahanBukuBertulis
#ApaYangAkuYakini

Comments

Popular Posts