RESENSI BUKU : BOHONG DI DUNIA, karangan Hamka

l Ulasan Buku : Bohong Di Dunia, karangan Hamka l

“Memahami psikologi kanak-kanak adalah antara ilmu utama yang patut dikuasai oleh setiap ibu bapa dan juga pendidik.”

Tidak memahami psikologi kanak-kanak menjadi isu yang ketara dalam institusi kekeluargaan pada hari ini. Alasannya kerana tidak ada masa bagi memenuhi tuntutan bekerja dan yang paling teruk ibubapa/pendidik itu sendiri malas mempelajari bidang ilmu psikologi kanak-kanak sehinggakan mereka kadang-kadang tidak mampu memahami keadaan, kehendak dan apakah yang berlaku dalam diri anak-anak mereka. Bukankah ini suatu kelompongan, ketandusan dan kecanduan yang boleh memberi kesan negatif  dalam pembangunan diri kanak-kanak? Tidaklah penulis ingin mengatakan kepada semua ibubapa/pendidik namun tidak dinafikan ada segelintirnya.

Sukanya penulis ingin berkongsikan satu masalah yang berlaku dalam diri kanak-kanak namun atas faktor ketidakfahaman ibubapa/pendidik dalam memahami ilmu psikologi maka hanya diletakkan kesalahan itu pada kanak-kanak. Masalah itu tidak lain tidak bukan berkaitan ‘bohong’ yang berlaku dalam diri kanak-kanak. Dan masalah ini juga dinukilkan oleh Buya Hamka dalam bukunya Bohong Di Dunia.

Buya Hamka ada menukilkan pendapat daripada Rosseau, ahli falsafah berbangsa Perancis, yang boleh dikatakan sebagai pembuka jalan yang mempengaruhi pembangunan bangsa Perancis, sehingga timbul revolusi, yang terkenal dengan bukunya ‘Emile’. Beliau mengupas amat dalam tentang kemerdekaan jiwa manusia yang menjadi pangkal kepada segala macam kemerdekaan hidup bermasyarakat.

Menurut beliau, seorang kanak-kanak yang berbohong ialah disebabkan takutnya atau sikap tidak percaya kepada orang yang bertanggungjawab ke atas penjagaan dirinya. 

Sekiranya kanak-kanak itu masih mempercayai mahupun menyayangi orang yang menjaga mereka maka tidaklah berniat mereka untuk memperdayakan atau berbohong kepada penjaga mereka kerana bohong itu bukanlah tabiat asli kanak-kanak. Yang menyebabkan mereka terpaksa berbohong ialah kerana tekanan daripada suatu peraturan yang mesti dipatuhinya, yang juga dilihatnya akan mengikat kemerdekaan dan kebebasannya. Selagi peraturan wajib dipatuhi itu dibencinya maka mereka akan tetap berusaha melepaskan diri dari ikatannya dan menyembunyikan kesalahannya dengan cara berbohong.

Mereka akan lebih memandang manfaat untuk dirinya yang ada pada waktu itu saja dan tidak peduli hukuman yang akan ditimpakan kepadanya. Mereka tidak memandang dan belum dapat memandangi maksud yang lebih jauh iaitu menuntut kebenaran. Titik untuk memelihara diri lebih dipandang oleh mereka daripada kebenaran.

Hasil penyelidikan Ferriani juga telah berjaya menyenaraikan 9 faktor kenapa seorang kanak-kanak itu boleh melakukan bohong. Maka, bohong yang terbanyak ialah kerana ‘khayalan’. Maksud yang lebih tepat di sini untuk kita faham adalah sifat bohong yang dilakukan oleh kanak-kanak kerana mereka berkhayal, itu lumrah dalam peringkat umur sebegitu. Malah, kelemahan dan ketakutan akan lebih mendorong kanak-kanak menutup kesalahannya dengan berbohong kerana takut dihukum.

Di saat ini, penulis ingin mengajak semua pembaca agar cuba memahami akan permasalahan kenapa kanak-kanak ini boleh berbohong. Mungkin tidaklah dikatakan teori ini sebagai faktor yang paling dominan namun sebahagian daripadanya boleh berlaku berdasarkan faktor yang telah dinyatakan. Seandainya para ibubapa/pendidik itu mampu memahami serba sedikit mengenai psikologi kanak-kanak maka itu akan lebih memudahkan proses pendidikan anak-anak. Adapun kanak-kanak itu juga tidak akan dituduh semberono atau dihukum semata-mata di saat perkataan bohong keluar dari mulut mereka.

Untuk menghentikan mereka daripada berbohong kadang-kadang susah juga. Paling utama adalah ibubapa/pendidik itu dahulunya jangan berbohong. Barulah kanak-kanak itu tidak berbohong kerana mereka itu akan terpengaruh kepada lingkungan persekitarannya.

Mari kita menjenguk  pandangan Child Development Institute dari Amerika Syarikat :

“Tidak ramai yang berjaya dalam hal keibubapaan dan ini mungkin akan membuatkan anda berasa ingin berputus asa. Memahami anak anda adalah satu cara berkesan untuk kita berjaya sebagai seorang ibu atau bapa.”

Moga sedikit perkongsian ini memberi kita semua manfaat dan kafahaman (walau sedikit) dalam memahami psikologi kanak-kanak.

- Penulis Berkaca Mata (PBM) -

Makanya Bilis Sinis, Musafir Sejarah dan Sepat Kelabu sudah punya teman baru.

#BilisSinis
#BookSurgeon

Comments

Popular Posts