RESENSI BUKU : BUKAN PASAR MALAM, karangan Pramoedya Ananta Toer

l Pembedahan Buku Bertulis : Bukan Pasar Malam, karangan Pramoedya Ananta Toer l

Salah satu karya Pramoedya Ananta Toer terbitan Lentera Dipantara ini berkisah dan bersurah sekitar perjalanan hidup seorang lelaki yang baru sahaja dua minggu bebas dari penjara. Kebebasan yang dia kecapi tidak begitu lama kerana diuji dengan jajahan perasaan sedih yang bertalu-talu yang menghentam jiwanya. Bermula dengan satu kiriman surat yang ‘pedas’ kepada bapanya, kemudian diikuti dengan tulis balas dari ayahnya, lelaki ini dirundung pilu. Manakan tidak, ayahnya dikhabarkan sakit selepas 6 bulan membalas surat ‘pedas’ kirimannya itu. Walaupun bukanlah surat ‘pedas’ itu yang menjadi punca gering ayahandanya yang tercinta, tetapi kiriman surat selepas 6 bulan itu membuat dirinya kaget kerana yang mengirimnya bukanlah ayah, akan tetapi bapa saudaranya atau disebut paman dalam kisah ini. 

Tanpa berlengah, langkah diatur untuk segera pulang ke Blora, tanah tumpah darahnya, meninggalkan Jakarta, tempat dia mencari rezeki bersama isterinya. Perjalanan suami isteri itu menaiki beberapa kenderaan, diikuti pula ketibaan mereka di rumah ‘Aku’ di Blora serta pertemuan dengan adiknya yang juga sakit menambah darah pada lukanya yang sudah menanah. Perbincangan demi perbincangan yang dilalui oleh ‘Aku’ dengan pamannya, tukang potong kambing, adiknya dan yang paling penting, ayahnya yang tercinta, meninggalkan beberapa potongan nasihat yang kelihatan ditujukan bukan pada orang lain melainkan diri ‘Aku’ yang bertutur. Cerita ini diakhiri dengan babak kematian ayahnya sebelum beberapa perbualan berlaku lagi demi menjelaskan tajuk yang tertera di kulit buku iaitu, “Bukan Pasar Malam”. 

Tajuk ini dipilih untuk menggambarkan kekesalan yang dirasakan oleh salah seorang rakan al-marhum ayah ‘Aku’ akan kematian sahabat seperjudiannya itu. Ngobrolan demi ngobrolan yang mereka cipta seusai kematian seorang guru nasionalis itu akhirnya tiba pada kemuncak penyesalan apabila rakan Tionghoa ayahnya itu berkata,

“..mengapa kemudian kita harus bercerai-berai dalam maut. Seorang. Seorang. Seorang. Dan seorang lagi lahir. Seorang lagi. Seorang lagi. Mengapa orang ini tak ramai-ramai lahir dan ramai-ramai mati? Aku ingin dunia ini seperti Pasarmalam.” (halaman 95) 

Maka aku kira tajuk buku ini menyanggah harapan rakan Tionghoa ayah ‘Aku’. Betapa hakikatnya manusia itu datangnya berasingan dan pulangnya juga tidak bersama-sama taulan. 

Meneruskan perjalanan pembacaan karya Indonesia bukanlah sesuatu yang mudah untuk aku, kerana aku terpaksa mencari makna perkataan-perkataan Indonesia melalui carian di Google. Contohnya, jika dalam bahasa pertuturan di Malaysia ini, misai disebut misai tetapi dalam bahasa Indonesia yang digunakan dalam karya ini, misai disebut kumis. Maka, keperluan untuk mencari makna itu perlu untuk aku memahami jalan cerita yang cuba disingkap. Itu belum lagi dibicarakan maksud perkataan liburan, melabrak, surat onslah dan sebagainya. Sudah tentu khidmat pencarian makna perkataan-perkataan ini diperlukan untuk orang yang lidah dan otaknya tidak fasih berbahasa Indonesia. 

Melalui pengamatan aku yang cetek, aku mengesan tema ‘Guru berkualiti’ dan ‘Nasionalis Sejati’ cuba digarap dalam buku ini melalui watak seorang dukun dan juga watak ayah ‘Aku’.

Tergambar melalui pena penulis bahawa dukun yang ditemui oleh paman dan ‘Aku’ ini ialah seorang guru yang cuba menginspirasikan anak-anak muridnya untuk turut menjadi guru. Semangatnya itu terlihat lebih jelas apabila kita melihat kata-kata yang dilontarkannya kepada murid-muridnya selepas bertanya kepada mereka, siapa yang berminat untuk menjadi guru. 

“Dan berkata aku pada mereka. Kalau di antara limapuluh orang cuma tiga orang yang ingin jadi guru, siapakah yang akan mengajar anak-anakmu nanti?” (halaman 54)

Kesungguhan penulis untuk memantapkan mesej yang dibawa oleh seorang guru kepada anak bangsa diperkasakan lagi dengan ungkapan daripada dukun yang sama iaitu, 

“Kalau engkau tidak yakin betul, lepaskan cita-citamu untuk jadi guru itu, kataku. Seorang guru adalah kurban-kurban untuk selama-lamanya. Dan kewajibannya terlampau berat – membuka sumber kebajikan yang tersembunyi  dalam tubuh anak-anak bangsa.” (halaman 55) 

Jika perhatian kita mahu diubah ke arah idea nasionalisme dalam kisah ini, penampakannya teramat jelas ketika ayah kepada ‘Aku’ mengungkapkan kata-kata, 

“Aku tak mau jadi ulama….., Aku mau jadi nasionalis,…. Karena itu aku jadi guru. Membukakan pintu hati anak-anak untuk pergi ke taman patriotisme.” (halaman 88)

Enak dan sedap menghabiskan karya yang bermutu ini tidak berhenti di situ. Pembawaan unsur mistik melalui penggunaan dupa juga terselit dalam kisah sedih ini. Tidak ketinggalan, soal penindasan pegawai atasan kepada pekerja bawahan dan juga politik berkepentingan, turut disentuh. 

Aku memilih untuk berbeza dengan nukilan penulis di halaman 48 melalui omongan ayah ‘Aku’ yang kurang lebih mengatakan bahawa satu hari nanti ‘Aku’ akan menyedari bahawa sia-sia sahaja Tuhan menciptakan manusia di dunia ini. Kerana pada pandangan aku, meskipun kekecewaan yang cuba digambarkan oleh penulis, tidak wajar ayat sebegini digunakan. Seolah-olah ingin mengatakan segalanya sia-sia apabila seorang manusia itu diuji dalam kehidupan. Padahal, mungkin sahaja ujian itu adalah satu kiriman dari Tuhan untuk menguatkan hakikat bahawa kita ini manusia yang diberi kelebihan oleh Tuhan menerusi akal, maka apa yang ingin dikesalkan jika kita diuji dengan sesuatu yang merobek kerangka akal kita? Kekesalan apa lagi yang akan timbul jika kita menerima bahawa kata dasar musibah itu membawa kembali kepada makna satu panahan anak panah yang tepat mengenai sasaran? Kita sebagai hamba Tuhan, sudah dijanjikan ujian olehnya dan usaha kita untuk mengatasi ujian itu, akan dikira dengan teliti oleh Tuhan, dengan itu, penciptaan manusia beserta ujian kepada manusia itu tidak sia-sia. 

Mungkin sahaja analogi yang ditulis itu hanya sekadar analogi. Tinggal lagi, aku yang gagal memahami.

Maka ketahuilah wahai sahabat-sahabat penggemar buku sekalian, di dalam dunia ini, penulis dan pengarang Indonesia itu bukannya hanya Buya Hamka doang, kita punya banyak lagi pengarang selainnya!

#BookSurgeon
#Analyze
#Scrutinize
#Criticize

Comments

Popular Posts