RESENSI BUKU : DR.M APA HABAQ ORANG MUDA, karangan CHE DET dan MAT RODI

l Review Buku - DR.M: APA HABAQ ORANG MUDA?, oleh CHEDET dan MAT RODI l

Sebuah buku kombinasi antara pandangan peribadi Mat Rodi atau saudara Radzi Tajuddin dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Buku setebal 196 muka surat ini memberikan pandangan berkenaan 11 tema merangkumi Jati Diri Melayu, Sistem Nilai, Agama, Kepemimpinan, Visi dan Pembangunan, Ekonomi, Pendidikan, Media, Antarabangsa, Demokrasi dan Malaysia Tanah Airku. Kata-kata Tun Dr.M dalam pelbagai isu dimuatkan di awal penulisan berkenaan setiap tema dan kemudiannya disusuli dengan tulisan Mat Rodi yang dengan terang dan jelas menyokong tindak tanduk Tun Dr.M. 

Gaya penulisan seperti yang aku nyatakan tersebut membuatkan aku tidak bersetuju dengan buku ini di peringkat awal. Kerana pada pandangan aku, sesuatu buku yang “UMPH!” tentang sesuatu tokoh, mestilah tidak berat sebelah atau tidak ‘bias’ dalam usaha menyingkap kebaikan dan tragedi yang disumbangkan oleh seseorang tokoh. Maka, untuk aku, buku ini hilang “UMPH!” apabila artikel demi artikel terus menerus memuji dan memuja Tun Dr.M dan idea-ideanya. 

Tidaklah aku katakan semua pujian itu menipu, buktinya, aku masih meneruskan pembacaan hingga ke akhir buku ini, cuma yang mungkin ingin aku katakan di sini, untuk penulisan tokoh-tokoh yang seterusnya, janganlah bersetuju sahaja dengan semua tindak-tanduk tokoh tersebut. Perlu adanya titik perselisihan pegangan atau kata-kata yang dipaparkan antara pengarang dan tokoh yang menjadi bahan karangan supaya tidak semua tulisan kita tersadur unsur taasub. 

Antara isu yang menarik yang disentuh dalam buku ini ialah berkenaan integriti, budaya kerja orang Jepun yang wajar dicontohi kerana mereka malu dengan kegagalan mereka dan mereka akan malu jika sesuatu tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan dan isu-isu sosial yang lain. Selain itu, antara adegan-adegan yang menarik dalam buku ini termasuklah tindakan-tindakan berani Tun M dalam menangani beberapa isu contohnya seperti ketika krisis ekonomi 1997 dan 1998, bagaimana Tun M mengambil tindakan yang tidak diambil oleh negara-negara lain untuk menyelamatkan ekonomi negara (seperti yang dinyatakan penulis) melalui tambatan nilai ringgit. 

Antara beberapa perkara yang lebih spesifik yang aku suka (baca : setuju) berkenaan buku ini ialah: 

1. Persembahan pengalaman seorang mantan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama memerintah ini berjaya membuka mata aku tentang cara fikir seorang tokoh yang mendepani zaman (mengikut pandangan penulis buku). Pengalaman ini, jika hilang daripada buku-buku atau coretan, akan membuatkan rakyat Malaysia kerugian besar kerana mungkin pengalaman itu merupakan kejayaan yang perlu diulang atau mungkin juga pengalaman itu merupakan kesalahan yang perlu dihentikan buat bakal pemimpin pada masa akan datang.  

2. Kata-kata atau quote yang tepat mengikut topik yang cuba diketengahkan. Apabila diteliti dengan lebih mendalam, kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Tun Dr.M di banyak majlis atau dalam penulisan blognya dipetik dengan tepat dan tidak keluar konteks. Hal ini memudahkan pembaca memahami corak pemikiran Tun Dr.M ketika menjadi Perdana Menteri. Misalnya dalam membicarakan rasional disebalik pembinaan MSC, Litar F1 Sepang, KLIA dan Putrajaya yang dikatakan satu pembaziran, terdapat kata-kata yang tepat untuk menggambarkan daya penolak yang membuatkan Tun Dr.M mengambil keputusan untuk membina fasiliti-fasiliti tersebut.  

3. Fakta-fakta yang disusun mempunyai tarikh yang bercampur di dalam buku ini membuatkan pembaca dapat menilai semula, adakah terdapat sebarang percanggahan dalam pendirian Tun Dr.M semasa menjadi Perdana Menteri jika dibandingkan dengan kenyataannya yang terbaru pada tahun 2016 (mengikut garis masa penulisan dan penerbitan buku ini). Dengan menilai kronologi daripada kata-kata Tun Dr.M daripada tarikh-tarikh yang berbeza, pembaca dapat membuat kesimpulan yang pada sesuatu ketika, mantan Perdana Menteri ini masih konsisten dengan pendiriannya manakala pada sesuatu ketika yang lain, kata-kata beliau dahulu dan sekarang kelihatan bercanggah. Pada pandangan aku, ketelitian amat diperlukan dalam konteks melihat adakah wujud perubahan pendirian ataupun tidak melalui kata-kata tokoh ini.  

Beberapa perkara yang aku tidak sukai (baca : tidak setuju) berkenaan buku ini: 

1. Isu Memali tidak disentuh LANGSUNG. Padahal, bagi aku, buku ini merupakan peluang yang baik untuk menjelaskan rasional disebalik tragedi yang berlaku di Memali yang melibatkan Ibrahim Libya yang dikaitkan dengan Tun Dr.M. Aku agak terkilan kerana isu ini tidak disentuh langsung. Mungkin aku perlu memperbanyakkan lagi pembacaan tentang tokoh ini untuk memperoleh pandangannya berkenaan isu ini dalam erti kata yang sebenar. Aku menimbulkan isu ini kerana, jika dilihat, isu AUKU disebut dan diperjelaskan, tetapi mengapa tidak isu Memali, isu penangkapan Anwar Ibrahim dan isu-isu lain yang merupakan deretan kejadian besar dalam negara melibatkan Tun Dr.M atau paling tidak, dikaitkan dengan beliau turut diperjelaskan?  

3. Aku kurang gemar dengan tajuk yang ditonjolkan. Penggunaan frasa “Orang Muda” membuatkan buku ini mungkin tidak mendapat liputan menyeluruh oleh rakyat Malaysia daripada latar umur yang pelbagai. Ya, memang diakui, sepatutnya orang muda yang lebih bersemangat ingin membaca tentang pengalaman pemerintahan tokoh ini (bukan sekadar membaca kata-kata Fattah) tetapi harus diingat, mesej yang ditonjolkan melalui kata-kata Tun Dr.M sepatutnya dinilai bukan hanya oleh generasi muda tetapi perlu juga dinilai oleh generasi tua yang pernah hidup di zaman pemerintahan Tun Dr.M atau mungkin sebelum beliau menjadi Perdana Menteri. Dengan adanya penilaian oleh kedua-dua generasi ini, maka mesej yang cuba ditutup atau kesilapan beliau semasa memerintah dahulu dapat dijelaskan supaya anak muda tidak sekadar mengagumi Tun Dr.M tetapi turut berwaspada dengan kesilapan yang mungkin akan beliau ulangi dalam misi politiknya sekarang.  

Penilaian yang mapan amat diperlukan untuk menghadam buku serba ringkas ini. Mungkin sebagai muqaddimah kepada siri pembacaan yang lebih mendalam, buku ini sesuai dibaca dan dihadam. Tidak perlu risau sama ada fikrah politik atau ideologi kita akan berubah jika kita membaca buku-buku yang bertentangan pegangan falsafah dengan kita, kerana dalam perbezaan itu mungkin terselit kebenaran yang dicari sekian lama. 

#BilisSinis
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts