RESENSI BUKU : FALSAFAH SYAITAN, karangan Hamka

RESENSI BUKU : FALSAFAH SYAITAN, HAMKA.

Mungkin juga benar kata orang ramai yang berpusu-pusu membaca tulisan Hamka, iaitu jika sekali terkena penangan karyanya, boleh mabuk dipujuk rayu kata-kata hikmahnya dan terus-menerus mendambakan lebih lagi untuk dibaca. Selembar ke selembar, satu halaman ke satu halaman yang lain, akhirnya mungkin kita akan membeli dan membaca hampir seluruh karyanya.

Judul ‘Falsafah Syaitan’ amat menarik perhatian aku untuk membeli buku ini. Hal ini mungkin kerana, aku ingin ketahui makna disebalik tajuk buku tersebut. Kenapa falsafah diasosiasikan dengan syaitan? Sejurus membeli buku ini dan bertemu dengannya secara berdepan mata, aku sedikit kecewa dengan tulisan halus di atas tajuk.

‘Daripada Karya Penuntun Jiwa’

Aku bingung, kenapa perlu ditukar tajuk karyanya yang asal? Itu persoalan kepada kekecewaan aku yang pertama. Sungguhpun aku merasakan bahawa ‘Falsafah Syaitan’ itu lebih bombastik, lebih menarik jiwa untuk membaca karya ini, bahkan mungkin relevan kerana salah satu artikel dalam karya ini bertajuk dengan dua perkataan demikian, aku lebih memilih tajuk karya asal, kerana selaku penulis buku (Hikayat Syaitan Gagap), andai kata suatu hari nanti karya aku diubah namanya oleh tangan-tangan orang lain, aku akan sangat kecewa.

Membaca karya Hamka tidak pernah membuatkan aku terlupa kepada sebuah keadaan seolah-olah aku sedang berbicara dan mengutip nasihat daripada seorang tua yang penuh hikmah, sambil aku duduk di hadapannya yang sedang memanaskan sebuah sofa empuk. Hal ini masih aku rasakan ketika membaca karya ini.

Tinggal lagi, prakata oleh seorang pendakwah bebas sebelum menjengah isi sebenar buku ini menimbulkan kekecewaan aku yang kedua. Puncanya, bahagian prakata seolah-olah sudah mencungkil isi penting buku ini dengan memberikan penceritaan awal (spoiler) kepada aku. tambahan pula, karya ini nipis dan ringkas. Kisahnya yang signifikan pula dicungkil awal. Nafsu inkuiri aku bagai direntap.

Buku ini memuatkan beberapa kisah yang amat baik untuk dijadikan pengajaran dan diambil tahu oleh seluruh lapisan pembaca. Secara umumnya, pesanan Hamka berputar sekitar isu melawan desakan ke arah kejahatan termasuklah melawan sifat bakhil dalam diri dan mengelakkan menjadi muflis di akhirat.

Antara kisah yang aku rasakan nasihat itu menghempap muka aku secara direct hit ialah pada halaman 30, kata-kata Hamka yang berbunyi,

“Serupa menyangka dia bahawa masjid-masjid atau sekolah-sekolah itu menerima subsidi Allah dari syurga untuk pendirinya.”

Kata-kata ini akan lengkap kefahamannya jika kisah sebelum itu dihadam lumat. Hamka menggunakan ayat itu untuk mengkritik sikap si bakhil yang apabila mendermakan wang yang sedikit, dermanya itu dituliskan daripada ‘Hamba Allah’ dan derma yang kemudian daripada itu, diungkit-ungkit dan dijaja kepada orang ramai.

Pada halaman 46, kritikan Hamka dilihat terjurus kepada pemilikan harta yang membuatkan orang ramai mempercayai kata-kata seseorang sungguhpun orang itu buta, bersopak dan botak. Tiga ciri ini digambarkan berdasarkan sebuah kisah yang Hamka nukilkan berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW. Antara ayatnya yang menarik berbunyi demikian:

“Cuba kalau pada suatu hari si buta itu berkata benar, sebab di belakangnya tak ada harta tempat dia bersandar, tentu perkataan itu dikatakan orang sebagai dusta, dengan tidak ditimbang terlebih dahulu.”

Ketika membaca buku Renungan Spiritual karangan sekumpulan manusia yang menggelar diri mereka Setia al-Haq, aku ketemu pentakrifan syurga yang dikatakan syurga itu sebenarnya kehidupan di bawah sistem khalifah, dan syurga yang diceritakan di dalam al-Quran hanya alegori. Seakan melawan pernyataan daripada buku tersebut, aku terbaca komentar Hamka akan kata-kata Ibnu Taimiyah. Konklusinya, Hamka bersetuju dengan Ibnu Taimiyah bahawa sesiapa yang tidak merasai syurga di dunia ini, maka dia tidak akan merasai syurga di akhirat. Komentar Hamka ternyata menyanggahi Setia al-Haq, dan seakan-akan membantu aku memahami kepincangan buku Renungan Spiritual yang baru aku selesai membacanya baru-baru ini.

“Terimalah pemberian Allah dan tunggulah ketentuanNya. Itulah syurga  dalam hidup!” (Halaman 56)

Satu lagi nukilan kata-kata Hamka dalam buku ini yang pada aku, menjawab persoalan sesetengah pihak yang pro-Habib (sebahagiannya) yang seolah-olah menolak ikhtiar memakai topeng muka dan pencuci tangan dalam menghadapi COVID-19 ini, berbunyi: 

“Burung-burung tidak mahu tawakal hanya dengan bersembunyi, menyerah tetapi tidak berikhtiar, kerana  yang demikian bukan bernama tawakal, tetapi pemalas.” (Halaman 62)

Buku setebal 92 halaman ini boleh dihabiskan dalam masa sehari. Bacaan yang baik untuk mengisi masa lapang dan membina minda kritis.

Kritikanku kepada penulisan Hamka dalam karyanya kali ini kelihatan seperti tidak wujud, tidak seperti bukunya yang kedua aku habis baca iaitu Akhlaqul Karimah, aku mempunyai  beberapa hal untuk dikritik, tetapi mungkin belum sampai masanya.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#ResensiBukuBertulis
#BookSurgeon

Comments

Popular Posts