RESENSI BUKU : HERO, karangan Hilal Asyraf

l Ulasan Buku Bertulis – H.E.R.O. l

Kali pertama dihadiahkan senaskah buku HERO oleh kakakku sempena hari lahir. Kerana agak kurang merenung dan membaca naskah buku fiksyen, digagahkan diri membaca sehingga penamat. Kemudian, pada tahun 2019, diizinkan Tuhan berhubung secara terus dengan penulis HERO iaitu saudara Hilal Asyraf, sebelum dihadiahkan siri lengkap saga HERO. Selesai membaca, pandangan yang cuba dilakar di sini berbolak-balik sekitar beberapa isu yang sebenarnya sudah lama tertanam dalam diri.

Cerita yang berkisar latar belakang futuristik yang tertumpu kepada sebuah kotaraya iaitu Kotaraya Angsana ini membawa sebuah cerita tentang seorang adiwira yang menyembunyikan identitinya. Dibantu oleh dua orang pak cik atau pembantu arwah ayahnya, Amir Faheem bin Amir Muiz atau Afam, menyarung sut HERO saban waktu untuk membantu menjaga keamanan Kotaraya Angsana. Menjadi anak kepada seorang jutawan Islam itu bukanlah satu nikmat yang tidak berkunjung sudah, tetapi dirasakan sebagai azab kepada Afam walaupun setelah pemergian ayahnya. Manakan tidak, Afam terpaksa menikah dengan seorang perempuan solehah iaitu Afeefah Husna sebagai tuntutan daripada wasiat allahyarham ayahnya jika dia mahu mewarisi kekayaan jutawan Islam itu. Mengharungi cabaran hidup di bawah bayangan seorang isteri solehah, Afam didesak lebih kuat untuk bertarung dengan konco Ryuken di Malaysia yang diwakilkan penulis dengan beberapa watak iaitu Syaitan Bertopeng, Akuma dan Homurodama. Jatuh bangun Afam sebagai HERO dirakamkan dengan sanjungan oleh sebahagian orang yang diselamatkan olehnya dan tidak kurang juga ancaman dan cubaan menangkap HERO yang dikatakan menjadi pembawa bencana kepada Kotaraya Angsana. Akhir cerita, setelah pertempuran hebat berlaku, Akuma berjaya ditangkap dan sut HERO kini dikongsi dengan pihak penjaga keselamatan Malaysia.
Sinopsis compang-camping di atas akan terisi jika kalian, pembaca ulasan ini, membaca dan mengalami sendiri ranjau perjuangan HERO dalam melawan kejahatan di Kotaraya Angsana. Tetapi, berbekalkan sinopsis semata-mata adalah tidak mencukupi jika perbincangan kita tidak disasarkan pula kepada tema perbincangan utama kisah HERO.

TEMA 1 – ORANG KAYA.

Pada kali pertama aku membaca karya ini dan pada kali yang kedua pembacaan HERO yang diberi suntikan baru, sisi pandang aku tidak dapat diubah dalam tema ini. Kisah HERO ini mengetengahkan kisah sekumpulan orang kaya dan seorang anak orang kaya yang kehilangan ibu dan ayah yang kemudiannya menggunakan kekayaan yang dimiliki untuk menolong manusia di sekeliling. Sekilas pembacaan di awal penceritaan, aku tidak dapat tidak, akan mengaitkan Afam dengan Bruce Wayne atau Tony Stark. Pandangan aku ini makin mendasar sepanjang pembacaan aku dengan kata-kata Afam yang lebih suka bekerja sendirian pada halaman 219. Maka, terus terbenam dalam naluri pembacaan aku bahawa sebenarnya HERO ialah gabungan Iron Man dan Batman. Tidaklah aku menuduh Hilal Asyraf menciplak karya asing, tetapi, imej gabungan itu terlalu jelas dalam akal fikiran aku sehingga kini. Mungkin terdapat perbezaan pada watak HERO yang menggunakan mantel di bahu sebagai senjata dan kadangkala sebagai perisai seperti yang disebut pada halaman 55, tetapi aku tertanya-tanya, jika benar dakwaan gabungan ini memang disengajakan, apakah dasarnya? Kenapa tidak penulis memilih karakter contohnya seperti Kluang Man kemudian ditambah baik karakter tersebut dengan unsur yang belum disebut oleh mana-mana karya adiwira? Atau, kenapa tidak penulis mencipta adiwira yang baru dalam kerangka melindungi sesuatu yang baru atau berlatarbelakang penceritaan yang belum pernah disentuh sesiapa? Aku hormat jika penulis ingin mengetengahkan situasi positif (atau mungkin utopia) yang akan wujud jika Tony Stark dan Bruce Wayne di Malaysia ini semuanya beriman, betapa banyak kebajikan yang bakal wujud, tetapi yang aku lebih pentingkan di sini ialah naratif atau penceritaan yang asli dan bebas daripada unsur yang dapat dikaitkan dengan idea luar. Sebelum peminat-peminat Hilal Asyraf marah kepada aku yang menulis ulasan ini, aku memohon maaf kerana aku tidak sempat membaca semua karya-karya Hilal Asyraf tetapi, aku lebih berharap sentuhan idea segar itu dimuatkan dalam karya, mungkin hal ini akan lebih mengangkat penulisan tuan punya karya.

Elemen baru (halaman 57)? Tidak dapat tidak, membuatkan aku mengaitkannya dengan Iron Man. Bahkan pada watak penjahat, iaitu Akuma, aku seolah-olah terbayangkan karakter Joker. Kotaraya Angsana itu adakah bandar Gotham Islamik?

Seperkara lagi yang aku fikir molek untuk disentuh ialah tentang tema ‘Orang Kaya’ ini, adakah pengajaran yang terhasil dari naratif kisah HERO ini bakal memberi natijah yang baik kepada pembaca jika majoriti pembaca wujud dari kalangan marhaen? Aku sama sekali tidak menidakkan kepentingan kekayaan dalam mencetus perubahan, tetapi, budaya kaya bersulam tarbiyah ini aku lihat tidak lain dan tidak bukan, tidak berpijak di bumi yang nyata. Baik, aku menerima kenyataan bahawa 6 daripada 10 para sahabat yang dijamin syurga itu, terdiri daripada jutawan. Para sahabat Nabi S.A.W juga ada yang kaya-raya dan kekayaan mereka itu dihulurkan untuk membantu perjuangan nabi. Jika idea inilah yang cuba digarap oleh penulis tentang RING atau 10 jutawan Islam yang membina Kotaraya Angsana, ya, aku bersetuju dan mesej itu sampai. Tinggal lagi aku akan katakan bahawa mungkin agak keterlaluan jika watak penting dalam sesebuah cerita semuanya orang berada!

Amir Muiz atau Dato’ Amir Muiz digambarkan sebagai seorang yang mengorbankan diri untuk ummah sehingga anak sendiri terabai pada halaman ke 118. Bagi aku, ini bukanlah satu contoh yang baik kerana sekecil-kecil rumah bermula dari sebiji bata dan bata kepada kotaraya yang gilang-gemilang ialah anak-anak yang lahir dalam keluarga kita. Sesibuk manakah Amir Muiz jika ingin dibandingkan dengan susuk tubuh Nabi Muhammad S.A.W? Atau mungkin juga penulis cuba untuk menyatakan kesalahan si orang kaya yang kononnya hidup untuk ummah tetapi mengabaikan anak sendiri. Itu sangkaan yang boleh dijadikan alternatif jika pertikaian aku yang di atas ini tidak mahu diterima.

TEMA 2 – CINTA IDEAL ISLAMIS.

Afeefah Husna mengangkat kredibiliti seorang muslimah yang mengikuti tarbiah dan pada masa yang sama, mempunyai hobi yang berkait Artificial Intelligence (AI) yang akhirnya AI itu membantu HERO untuk memenangi pertarungan dengan Akuma. Afeefah Husna digambarkan sebagai seorang yang dahulunya tidak solehah, tetapi atas dakwah dan islah oleh ibu saudara Afam, dia berjaya berubah. Gambaran positif ini, bagi aku, disulam dengan tanggapan negatif tentang betapa golongan wanita-wanita kaya ini seolah-olah perasan bagus dengan keislaman masing-masing. Dengan penuh kesedaran bahawa cerita ini hanya fiksyen, aku tertanya-tanya, mahukah Husna setia mendampingi Afam jika Afam ialah anak seorang penarik beca (marhaen miskin)? Ya, aku faham bahawa wanita Islam yang berharta ini sangat-sangat penting untuk turut sama mempunyai kebijakan, tetapi, entah mengapa, aku merasakan situasi yang cuba dilakar daripada watak-watak muslimah kaya suci mulus kudus ini hanya boleh wujud di dalam cerita, bukan alam nyata.

Untuk seseorang yang memang mempunyai masalah dengan cinta islamik, aku mempunyai harapan bahawa pembawaan cinta dalam naratif penulis hebat seperti Hilal Asyraf berbeza dengan naratif Fatimah Syarha atau ustaz-ustazah Baitul Muslim fantasi di luar sana. Kerana, bagi aku, pandangan Hilal Asyraf mempunyai nilai tersendiri dan tidak meminjam igauan cinta ustaz-ustazah “Cinta Islamis” ala Cinderella. Pada pandangan peribadi, jika Husna tidak dijaga oleh orang kaya dan tidak menikah dengan orang kaya, tetapi dibawa wataknya sebagai manusia berdikari, dengan kepandaian mencipta dan mengurus algoritma AI, kemudian disalurkan cinta antara Husna dan Afam pada ketika sama-sama cuba menumpaskan Akuma atau pada ketika Afam meminta bantuan Husna, mungkin cerita ini akan jauh lebih menarik. Harap tidak disalah-anggap bahawa aku sedang menjaja idea Feminisme, tidak! Mungkin ini cadanganku untuk membawa naratif pemerkasaan wanita yang lebih jitu fungsinya dalam dunia serba canggih melawan kejahatan.

TEMA 3 – FUTURISTIK.

Unsur masa depan, keterhadapan dalam membanteras jenayah, dilihat sebagai suatu unsur yang sangat penting dalam novel HERO. Dapat dilihat, penulis memasukkan beberapa elemen yang canggih seperti AI, Hologram, Sut Hero, Elemen Baru dan Menara Keimanan. Tinggal lagi, pada pandangan aku, unsur-unsur seperti ini belum cukup futuristik kerana unsur-unsur ini sudah wujud dalam filem adiwira zaman sekarang. Mohon berbeza pandangan tetapi pada aku, unsur yang dipaparkan selain fungsi mantel dari bahu sut HERO, adalah unsur cliché.

Pada pandangan aku, futuristik dalam watak adiwira itu boleh dicipta contohnya dari watak adiwira yang ber-transformasi setelah nicotine-gum yang dikunyah Afam telah diubahsuai dengan teknologi nano pico yang dapat mengalirkan elemen sut keras itu dalam darah si pengunyah nicotine-gum berkenaan. Nicotine-gum dalam bahasa mudah ialah gula-gula getah yang dikunyah untuk menghilangkan ketagihan merokok. Contoh seperti ini yang aku harapkan daripada novel yang cuba menggarapkan idea futuristik. Mungkin saja idea ini pernah dikemukakan oleh orang lain atau mungkin juga tidak, tetapi setidak-tidaknya kita berhenti menggunakan semata-mata sut ala Iron-Man untuk bertransformasi menjadi adiwira ketika menyelamatkan kekasih/isteri. 

TEMA 4 – POLITIK.

Seperti yang tergambar pada halaman 119, unsur politik juga disentuh dalam penulisan kisah HERO ini. Ahli-ahli INSANI yang ingin bergiat dalam politik, akan melucutkan keahlian sebagai anggota INSANI untuk mewujudkan sebuah badan politik yang benar-benar marhaen-centric dan menawarkan alternatif yang gagah. Maka, pujian perlu diberikan kepada penulis kerana berjaya menyelit unsur futuristik dalam berpolitik. Alternatif yang boleh diharap, khususnya dalam hal pentadbiran atau bidang siyasah (politik) adalah sesuatu yang sangat kita dahagakan hari ini. Bagaimana mungkin sebuah Malaysia Baharu ingin diwujudkan jika naratif politiknya dipenuhi U-turn, spin dan putar-memutar tuduhan dan taubat? Maka, aku sangat memuji penulis dalam mengetengahkan apa yang harus ditawarkan oleh parti politik di Malaysia dalam memenangi hati rakyat sebelum memerintah negara dengan ketakwaan, apa lagi kalau bukan penerapan unsur tarbiah dalam kalangan ahli politik yang tidak berkepentingan. 

Jika dipandang dari kisah Perdana Menteri Malaysia yang berkomplot dengan watak antagonis, mesej yang dapat aku fahami ialah kebobrokan politik dan pemerintahan, tidak dapat diselesaikan dengan sut HERO serba canggih, sebaliknya jalan penyelesaiannya ialah dengan keimanan kepada Allah. 

Walaupun cerita Perdana Menteri dalam kisah HERO ini menunjukkan betapa kotornya sistem pemerintahan Malaysia pada ketika itu, tetapi hal itu aku fikirkan relevan untuk dikekalkan kerana korupsi kita saat ini masih belum sifar.
Satu lagi kelainan cerita HERO, digambarkan watak antagonis tegar atau antagonis yang sudah bertaubat itu datangnya dari Jepun. Suatu kelainan diketengahkan oleh penulis jika mengaitkan watak negatif dengan negara matahari terbit kerana jujurnya, sekarang ini, dengan kepimpinan “Malaysia Baharu”, dasar pandang ke timur masih lagi dikekalkan. Aku menyokong penuh tindakan Hilal Asyraf menukilkan cerita tentang kejahatan yang juga boleh sahaja datang dari Jepun dan pada masa yang sama, negara Malaysia diwakili oleh Amir Muiz dan rakan-rakannya dapat menunjukkan suri teladan yang lebih Jepun daripada Jepun! Manakan tidak, anak muda bernama Amir Muiz dan rakan-rakannya berjaya membawa perubahan ke arah kebaikan di Kotaraya Angsana sementara watak jahat iaitu Akuma yang cuba merosakkan Kotaraya Angsana, datangnya dari Jepun.

TEMA 5 – KEMAJUAN.

Kemajuan ialah antara tema utama yang ditonjolkan dalam kisah HERO. Hyper Exosuit Reinforcement Operator yang merupakan nama penuh HERO menunjukkan unsur kemajuan dalam mencipta sut adiwira. Juga, pada masa yang sama, Amir Muiz dan rakan-rakannya menunjukkan kemajuan dalam ekonomi sebelum kemajuan itu dimanifestasikan dalam penciptaan sut dan teknologi canggih yang lain. Kesemua unsur kemajuan ini dapat dilihat dengan jelas, dan pada pandangan aku, digarap dengan baik oleh penulis sehingga sampai maksudnya kepada pembaca.

Tetapi, pada halaman 287, digambarkan bahawa ketika sebuah konsert sedang berlangsung, konsert itu digambarkan sangat Islamik bahkan digambarkan ‘bagai diserap ke syurga’ pada halaman 286, diselitkan adegan seorang perempuan mempersembahkan nyanyian. Ditulis oleh penulis,

“Seorang penyanyi wanita sedang mengalunkan lagu.”

Aku tidak mahu menjadikan ulasan buku ini sebagai tempat perbalahan fiqh. Juga aku sudah sedia maklum bahawa saudara penulis merupakan seorang yang jauh lebih faqih daripada aku dan beliau belajar ilmu agama lebih mendalam dibandingkan dengan aku yang sedang mengkritik karya beliau. Tetapi, pada pandangan aku, selitan babak seorang penyanyi wanita ini tidak menggambarkan kemajuan. Negara ataupun Kotaraya Angsana tidak akan dipandang serong jika tidak mempunyai lelaki yang menonton persembahan nyanyian wanita. Bahkan tidak mundur sebuah negara tanpa adanya penyanyi wanita. Pada pandangan aku (sekali lagi ini bukan perbahasan hukum yang aku bukan ahli tentangnya), unsur nyanyian wanita ini menggambarkan kemunduran yang masih belum terangkat dari Kotaraya Angsana. Wanita masih lagi terpakai sebagai alat di depan khalayak untuk berhibur. Lebih menyedihkan jika wanita yang membuat persembahan itu tidak dianggap aib tetapi dianggap seperti revolusi yang terhasil dari kemajuan dalam kotaraya Islamik.

TEMA 6 – PEMBAWAAN CERITA.

Aku nukilkan ‘pembawaan cerita’ sebagai sebuah tema dalam ulasan ini kerana pada pandangan aku, saudara penulis dengan jayanya dapat menyelit emosi yang menjadi tunjang dalam penceritaan karya fiksyen terutamanya unsur misteri dan seram. Pada bab 3, terdapat babak pertempuran antara HERO dengan penjahat yang berjaya membuatkan bulu roma aku tegak berdiri ketika aku membaca karya ini pada waktu tengah malam.

Kisah HERO bukanlah kisah yang statik dan kusam. Kisah ini dibina dengan baik berselang seli babak jenaka, babak sedih dan kadangkala pertempuran yang meragut nyawa. Antara keindahan yang akan disantap oleh pembaca buku ini ialah dari aspek pembawaan cerita yang tidak mendatar, bahkan bercambah biak dari permulaan, ke tengah cerita sebelum diruntuhkan moral seorang HERO, sebelum digilap semula dengan bijak menuju pertempuran terakhir.

TEMA 7 – UTOPIA JEMAAH MUSLIMIN.

“…mereka hanya salah satu rantai daripada rantai perjuangan yang panjang.”

Ungkapan pada halaman 53 ini ditambah dengan pembawaan RING yang merujuk kepada bulatan usrah Amir Muiz dan rakan-rakan jutawan Islamnya pada halaman 168, menunjukkan bahawa unsur asas mana-mana gerakan Jemaah Islam tidak kira Ikhwanul Muslimin atau Jemaah Islam di Malaysia ini (kebanyakannya) iaitu usrah atau perbincangan kecil dalam kumpulan untuk membina dan menyelaras pemikiran wajar menjadi perbincangan dalam ulasan buku kali ini.

Konsep usrah ini pula kemudiannya ditambah dengan unsur menjaga kerahsiaan (rahsia dan berhati-hati atau sirr hazar) tentang RING dalam cerita ini. Pada pandangan aku yang kerdil, kewujudan unsur-unsur Jemaah Islam dalam kisah seperti ini menunjukkan harapan murni oleh saudara penulis untuk melahirkan Jemaah Ideal yang bertunjangkan usrah dan mampu melahirkan jutawan-jutawan Islam yang membawa fikrah Islam menelusuri kemajuan di sebuah kotaraya Islam. Walaupun pada dasarnya aku menghormati harapan murni ini bahkan mungkin gerakan ke arah kewujudan Jemaah Ideal ini sedang berjalan dan makin hampir ke matlamatnya, aku tetap dengan pendirianku pada ketika ini bahawa konsep ini masih jauh sebelum dapat dicapai dan direalisasikan. Memandang realiti jemaah-jemaah yang wujud di Malaysia yang masing-masing terkejar-kejar menqaderkan modal insan ke dalam jemaah masing-masing sebelum bertarung siapa yang lebih benar dan siapa yang salah, aku lebih yakin, perjalanan masih amat jauh. Utopia Jemaah Muslimin ini masih lagi utopia yang rancak berpencak di dalam cerita tetapi kaku di alam nyata.

TEMA 8 – GAYA BAHASA.

Pujian patut diberikan kepada saudara Hilal Asyraf atas penunjukkan kosa kata yang luas yang menambahkan rasa sedap ketika membaca karyanya. Contohnya pada penggunaan perkataan jeda pada halaman 30 dan pada penggunaan kata dinihari pada halaman 70. Sudah tentu, untuk pembaca yang kurang kosa katanya seperti aku, terpaksa perkataan ini semua dicari maknanya dalam laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum pembacaan diteruskan. Pada masa yang sama, perbezaan kasta bahasa diraikan oleh penulis apabila tidaklah pada semua ayat digunakan ayat-ayat yang langka. Tetapi ayat unik yang perlu dicari maknanya oleh pembaca sepertiku hanya wujud sekali dalam beberapa helaian kisah HERO. Hal ini memberi keselesaan kepada pembaca dan menambahkan ruang keselesaan kepada pembaca muda atau tua untuk membaca karya daripada saudara Hilal Asyraf. Suka untuk aku katakan di sini bahawa jika ditanya siapakah peminat gaya bahasa tuan penulis buku HERO, aku akan katakan bahawa aku merupakan  salah seorang daripadanya!

KESIMPULAN.

HERO merupakan sebuah karya yang baik untuk dibaca dan diikuti rentak dan tari ceritanya. Tinggal lagi apa yang aku cuba tunjukkan di sini ialah bagaimana akal perlu berjalan menganalisis cerita, sementara jiwa dan kebolehan banding-beza perlu digerakkan seiring sejalan untuk menjadi lebih kritis dalam menilai sesebuah naratif yang cuba disajikan. Ya, sememangnya cerita ini hanya fiksyen, tetapi aku melihat ruangan fiksyen ini juga sesuai untuk melatih minda menjadi lebih kritis. Sepuluh jari dihulur atas dua faktor, pertama, atas kelewatan menyiapkan ulasan buku bertulis ini dan yang kedua, maaf andai kata terdapat kata-kata yang menyinggung hati dan perasaan penulis karya dan peminat cerita ini sepanjang aku menjalankan tugas mengkritik karya ini sesuai dengan peranan kami di Book Surgeon bertunjangkan moto Analyze, Scrutinize, Criticize. Semoga kritikan karya ini memberi manfaat kepada diri yang mengkritik dan pembaca kritikan yang tekun membaca ulasan ini sehingga tamat. Suka untuk aku tegaskan, karya Hilal Asyraf mempunyai keunikan yang tersendiri dan keterbukaan saudara Hilal Asyraf membaca ulasan buku ini dari seorang yang kerdil sepertiku amat dihargai.

Semoga kita semua lebih kritis dalam pembacaan. Semoga kita semua lebih giat berpencak dalam dunia buku dan tulisan!

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#UlasanBukuBertulis

Comments

Popular Posts