RESENSI BUKU : ISLAM SEMAKIN TERASING, karangan Ibnu Taimiyyah

BEDAH BUKU - Islam Semakin Terasing, karangan Ibn Taimiyyah.

Ia adalah risalah kecil yang diterjemahkan oleh Mubarak bin Mahfudh dengan 121 halaman serta ditahqiq pada nota kakinya. Buku ini cetakan pertama pada 1426 H dan diterbitkan oleh Pustaka Imam Nawawi di Surabaya. 

Walaupun ia berketebalan 121 halaman, namun 58 halaman awal buku ini hanya bercerita tentang biografi penulisnya. Rujukan lanjut berkenaan biografi penulis boleh didapatkan daripada pembacaan buku-buku biografinya yang lain.

Buku ini bukanlah sebuah karya khas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Sebaliknya ia merupakan satu fasal dalam Majmu' al-Fatawa mengenai sebuah hadith yang dikeluarkan bab tersebut dan dicetak sebagai sebuah buku berasingan. Ia berkisar mengenai hadith:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
"Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing."

Kitab yang dibedah ini mengingatkan pada beberapa kitab dalam rak, sebagai 'ice breaking', huraian menarik hadith telah dilakukan dalam mukadimah al-I'thisham:

"Sesungguhnya kata 'asing' atau 'aneh' akan muncul bersama dengan hilangnya atau sedikitnya pengikut yang benar-benar dalam jalur keislaman, yang terjadi tatkala suatu kebaikan menjadi kemungkaran dan kemungkaran menjadi kebaikan. Perkara sunnah dianggap bid'ah dan bid'ah menjadi sunnah. Mereka yang mengerjakan sunnah mendapat cercaan dan diperlakukan secara buruk."

Namun dalam mengamalkan sunnah tentu ada halangannya, maka teguhkan pendirian sebagaimana kata Ibn Taimiyyah dalam halaman 72:

"Seorang mukmin ketika beramal semata-mata kerana Allah, jika dia disakiti akan mengharapkan pahalanya di sisi Allah dan jika berkorban baik tenaga atau harta maka ia berkorban kerana Allah semata dan mengharap pahala di sisi Allah."

Boleh dirumuskan bahawa Ibn Taimiyyah membawa dua makna (غَرِيبًا)/ "pelik/asing", pertama Islam tulen yang ditelan zaman dan akan kembali bersinar kemudian malap sebelum bersinar kembali. Ini juga berdasarkan hadith:

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
"Setiap seratus tahun Allah mengutus kepada umat ini seseorang yang akan memperbaharui agama ini (dari penyimpangan)."

"Umar bin Abdul Aziz ketika beliau menjadi khalifah, banyak permasalahan Islam telah menjadi asing kepada ramai orang, sehingga ada yang tidak mengetahui keharaman arak. Dengan perantaraan Umar bin Abdul Aziz Allah mengembalikan Islam sebenar yang asing sebelum itu." (Hlm 81)

Tafsiran kedua pula, bahawa Islam akan semakin terasing dan semakin sedikit jumlah mereka hingga kiamat. Ini juga berdasarkan hadith:

  لَا تَزَالُ عِصَابَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى أَمْرِ اللَّهِ قَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى تَأْتِيَهُمْ السَّاعَةُ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ
"Akan senantiasa ada dari umatku satu kelompok yang berperang di atas perkara Allah, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka, dan orang-orang yang menyelisihi mereka tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun hingga datang hari kiamat sedangkan mereka masih dalam keadaan seperti itu."

Setelah menghuraikan makna hadith, Ibn Taimiyyah juga bawa solusi sebagai kewajipan seorang muslim bila Islam Semakin Terasing. 

Jika zaman jahiliyyah orang sembah batu, minta hajat pada benda mati, berbogel dan semua itu telah berjaya ditamadunkan oleh Nabi. Maka kini sebagaimana kata-kata Sayyid Qutb dalam kitabnya Inilah Islam:

"...hari ini (manusia -penulis-) sedang menyembah tuhan baru yang digambarkan sebagai matlamat hidup iaitu tuhan wang,  keseronokkan, kemasyuran dan sebagainya..."

Maka Ibn Taimiyyah bawakan formula menyelesaikan masalah dengan gabungan: para ulama, abid, prajurit dan hartawan. Empat golongan ini diperlukan bagi memudahkan panji Islam dijulang.

Selain itu, mengekalkan amalan agama sebagaimana generasi terdahulu juga dititikberatkan. Ini selaras dengan kata-kata Imam Malik:

لن يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها 
"Tidak boleh baiki umat akhir zaman, melainkan dengan apa yang telah membaiki umat awal."

Kata Syed Qutb "Zaman tersebut telah berjaya melahirkan beberapa orang 'role model' ke dalam kehidupan manusia. Mereka memiliki sifat-sifat mulia yang tiada tandingan dan tiada setara dengan mereka." (Inilah Islam. Hlm 76).

Oleh itu, bid'ah-bid'ah yang dilakukan tidak akan berjaya membaiki umat yang terpesong. Kerana baginda Nabi mengislahkan dengan Islam tulen, maka ikuti manhaj itu untuk pulihkan umat ini kembali.

Formula kedua pula, al-Quran perlu dimaksimumkan penggunaannya bukan sekadar lagu atau di-irama-kan sahaja. Pada halaman 103, dinukilkan sebuah hadith:

يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ وَنَحْنُ نَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَنُقْرِئُهُ أَبْنَاءَنَا وَيُقْرِئُهُ أَبْنَاؤُنَا أَبْنَاءَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ زِيَادُ إِنْ كُنْتُ لَأَرَاكَ مِنْ أَفْقَهِ رَجُلٍ بِالْمَدِينَةِ أَوَلَيْسَ هَذِهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ لَا يَعْمَلُونَ بِشَيْءٍ مِمَّا فِيهِمَا
Ziyad bin Labid bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana ilmu bisa hilang? Sedangkan kami masih membaca Al Qur'an dan kami juga membacakannya (mengajarkannya) kepada anak-anak kami, dan anak-anak kami juga akan membacakannya kepada keturunannya sampai hari kiamat datang." Beliau bersabda: "Kebangetan kamu ini wahai Ziyad, padahal aku melihatmu adalah orang yang paling memahami agama di Madinah ini! Bukankah orang-orang Yahudi dan Nashrani juga membaca Taurat dan Injil, namun mereka tidak mengamalkan sedikitpun apa yang terkandung di dalamnya."

"Maka jelaslah (dari hadith ini) bahawa sekadar menghafal al-Quran, tidak mengharuskan terpeliharanya ilmu agama ini. Apalagi al-Quran dibaca oleh munafik, orang awam yang tidak mengerti....bahkan orang murtad juga baca al-Quran..." (Hlm105-107)

Penulis menambah antara punca kegelinciran apabila menuhankan gereja/pendeta, masjid dan ustaz, firman Allah: 

(ٱتَّخَذُوۤا۟ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَـٰنَهُمۡ أَرۡبَابࣰا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِیحَ ٱبۡنَ مَرۡیَمَ وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوۤا۟ إِلَـٰهࣰا وَ ٰ⁠حِدࣰاۖ لَّاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَـٰنَهُۥ عَمَّا یُشۡرِكُونَ)
Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.
[Surat At-Tawbah 31]

"Mereka ini sebenarnya tidak menyembah pendeta dan rahib, cuma mereka menerima bahawa pendeta dan rahib memiliki hak sama dengan Allah untuk menentukan undang-undang yang akan mereka guna pakai." (Syed Qutb. Hlm 41).

Untuk berubah secara syumul (keseluruhan) bermula diri, keluarga, masyarakat, dan semuanya sebagai muslim, Fathi Yakan ada buku menarik berjudul "Apa Erti Saya Menganut Islam?". Dalam buku ini manusia boleh membaiki diri secara purata mengikut acuan agama.

Jika melihat fenomena hari ini, hiburan melampau menguasai kehidupan. Beberapa aplikasi begitu ketara mengambil masa pemuda/pemudi hari ini. Keadaan ini dikatakan Tariq Ramadan:

"Hiburan sememangnya merupakan sebuah dimensi kehidupan yang penting, tetapi ia sepatutnya membentuk 'sebuah jeda' antara dua perkara yang lebih penting, iaitu fungsi utamanya adalah memberi kerehatan kepada fikiran...(kemudian) mengembalikan manusia pada hal lebih penting iaitu tanggungjawab mereka berkaitan kehidupan, masyarakat, kerja, keadilan dan kematian." (Refomasi Radikal.Hlm227)

Maka hiburan melampau, ibadah tanpa pedoman dan hiburan dalam ibadah akan merosakkan Islam hingga Islam sebenar kelihatan ganjil/aneh/asing. Sebagai muslim wajib kita membaiki diri seraya berdakwah kepada muslim dan kafir.

(كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَـٰبِ لَكَانَ خَیۡرࣰا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ)
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
[Surat Aal-E-Imran 110]

Sesungguhnya dunia rugi tanpa muslim bukan sebaliknya. Kerana itu buku Abul Hasan Ali al-Nadwi (ما خسر العالم بانحطاط المسلمين) "Kerugian Dunia Tanpa Orang Islam", menceritakan bagaimana peranan muslim terhadap dunia dan bagaimana muslim memandu dunia yang tanpanya (tanpa muslim) dunia akan terbabas dalam kebebasan.

Berdakwahlah, bukan semata ingin umat berubah tapi juga supaya tanggungjawab Islam agar berdakwah (dengan ilmu dan hikmah) tertunai. Walau kita kelihatan ganjil/janggal. 

Ibn Taimiyyah meniupkan kata "tidaklah Islam menjadi asing bererti orang berpegang padanya dalam kondisi buruk. Bahkan justru sebaliknya, dialah (yang berpegang pada Islam) orang berbahagia sebagai mana sabdaan Nabi:

فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
berbahagialah orang yang asing itu." (Hlm 68)

Wallahu'alam.

Lokman Hakim Ibn Abdul Alim
Salah Seorang Book Surgeon

5 Syawal 1441

#BookSurgeon
#ResensiBukuBertulis

Comments

Popular Posts