RESENSI BUKU : JELASKAN WADAH, PERBAHARUI TEKAD, karangan Anwar Ibrahim

lReview Buku : Jelaskan Wadah, Perbaharui Tekad, tulisan Anwar Ibrahim.l

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membukukan ucapan dasar Presiden ABIM ke-2, saudara Anwar Ibrahim dalam Muktamar ABIM pada tahun 1975. Ucapan beliau dibacakan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor (Pemangku Presiden pada ketika itu) dek kerana saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan di bawah Akta ISA kerana mengetuai Demonstrasi Baling 1974. 

Ucapan dasar saudara Anwar Ibrahim diwarnai dengan kupasan-kupasan isu yang hangat pada ketika itu dan menerangkan kepentingan gerakan Islam seperti ABIM dalam membangunkan semangat rohaniah umat Islam di Malaysia yang sudah lama pudar kerana jauh daripada pendedahan terhadap Islam. (Pengertian soal solat, aurat, tadbir urus kerajaan dan hokum-hakam Islam)

Dalam buku ini, terdapat 10 bab kecil yang menunjukkan pemikiran tajam saudara Anwar Ibrahim sebagai  peneraju gerakan Islam. Setiap persoalan dalam tajuk kecil dikupas secara kritikal oleh saudara Anwar Ibrahim. Antaranya ialah “Jelaskan Wadah Perbaharui Tekad: Pesanan Buat Generasi Muda Islam”, “Mengingat Muktamar Lalu”, “Ancaman Penjajahan yang Berterusan”, “Golongan Inteligentsia Warisan Penjajah”, “Kemaraan Komunis”, “Suasana Kepincangan”, “ The Rising Tide of Islam”, “Pembersihan dan Keanggotaan Amali”, “Perspektif Baru” dan “Satu Wadah Perjuangan”.

Kesemua bab kecil ini merupakan teras utama yang ingin disampaikan oleh saudara Anwar Ibrahim kepada pimpinan dan ahli ABIM supaya dapat disampaikan kepada masyarakat yang masih pada takuk kejahilan terhadap pengertian Islam yang asli, baik yang kaya mahupun miskin.   

Secara umumnya, dalam bab 1 hingga 4, ahli-ahli ABIM digesa supaya memahami isu-isu semasa untuk mencari solusi terhadap isu-isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Saudara Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa era pasca kemerdekaan perlu dipandang serius oleh semua anggota ABIM agar diri dan rakyat tidak terikut ‘warisan’ penjajah Inggeris yang menyimpang daripada ajaran Islam. Sifat-sifat Kebaratan yang melampau akan menjadi Islam sebagai sesuatu ‘ikutan’ nenek-moyang atau momokan ulama-ulama ‘jumud’ pada pandangan masyarakat, sedangkan Islam itu bukan hanya sebuah agama tetapi lebih kepada cara hidup yang syumul. Sungguhpun Malaysia sudah menggapai kemerdekaan, masyarakat masih dijajah oleh imperialis dengan fakta-fakta songsang dalam pensejarahan tanah air dan juga Islam. Dalam erti kata yang mudah, minda umat Islam pada ketika itu terutamanya, masih dijajah dengan kisah-kisah silam British. 

Dalam bab “Kemaraan Komunis”, saudara Anwar Ibrahim secara jelas menolak fahaman tersebut walaupun terdapat beberapa persamaannya dengan pembawakan idealogi Islam (keadilan, menolong golongan minoriti yang daif dan sebagainya). Saudara Anwar Ibrahim menyingkap kupasan  Muhammad Iqbal dalam bukunya “Reconstruction of Religious Thought in Islam) bagi menerangkan perbezaan antara Komunis dan Islam. Jelas sekali, pendirian ABIM pada ketika itu mengangkat Islam sebagai solusi dan bukannya menganut fahaman Komunis. Selain itu, saudara Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Islam menolak monopoli dalam system Kapitalis.   

Ketika menyentuh bab The Rising Tide of Islam, saudara Anwar Ibrahim menyebut pemuka-pemuka Islam pada ketika itu seperti Pak Natsir ( Parti Masyumi, Perdana Menteri Indonesia), Imam Hasan al-Banna ( Ikhwanul Muslimin, Mesir) dan Muhammad Iqbal (Filasuf India). Beliau menegaskan bahawa negara kita juga memerlukan tokoh-tokoh Islam yang besar supaya rakyat mudah mengikuti perkara-perkara benar yang diungkapkan oleh pemimpin Islam berkenaan.

Akhir sekali, Pembersihan dan Keanggotaan Amali memaparkan kesungguhan saudara Anwar Ibrahim supaya ahli-ah;I ABIM benar-benar memahami konsep Islam yang syumul dan tidak bersikap tidak konsisten. Antaranya menghadiri usrah dan tamrin dengan harapan ilmu terhadap Islam tidak akan mudah luntur. 

P/S: Anwar Ibrahim muncul dalam lipatan sejarah sebagai pemangkin kebangkitan pemuda-pemudi dalam gerakan Islam. Keputusan beliau untuk terjun ke dunia politik menerusi tiket UMNO dikatakan sebagai satu tindakan ‘opportunistic’ atau mempraktik teori-teori mengenai pembawakan Islam beliau dalam pentadbiran kerajaan. Ada pihak yang mengatakan bahawa Projek Islamisasi beliau telah gagal dan tidak berhasil, namun begitu ada yang berkata sebaliknya. Pada hakikatnya, masyarakat Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada idea-idea beliau kerana perubahan zaman. Memang benar, ramai anak muda yang ingin menjadi seperti Anwar Ibrahim, tetapi tak ramai yang ingin ‘challenge’ idea beliau kepada sesuatu yang lebih positif dalam waqi’e masyarakat kini. Figura besar bermula dari figura kecil.

-Musafir Sejarah-

#BilisSinis 
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts