RESENSI BUKU : KENAPA BABI TIDAK HALAL?, karangan Dr Samhani Ismail

l Resensi Buku : ‘KENAPA BABI TIDAK HALAL’, karangan Samhani Ismail l

Mendapat mesej daripada penulis untuk menulis resensi buku merupakan sebuah penghormatan kepada kami di Book Surgeon. Manakan tidak, nama kecil kumpulan kami menjadi tumpuan penulis yang hebat penulisannya dan telah pun menghasilkan buku untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Selepas Hilal Asyraf, kali ini Book Surgeon dirapati oleh seorang penulis buku genre sains iaitu Samhani Ismail. Permintaannya mudah, inginkan kami menulis resensi buku beliau atau mungkin membuat ulasan dalam video pendek seperti yang sering kami lakukan. Menurut beliau lagi, penulis memerlukan buah fikiran dan mungkin kritikan serta pandangan penambahbaikan daripada pembaca jujur untuk mereka mengetahui apakah kondisi sebenar buku mereka pada pandangan pembaca. Mungkin ulasan ini hanya salah satu daripada banyak ulasan yang boleh ditulis, tetapi diharap cukup untuk memberi perspektif baru kepada penulis yang dahulunya merupakan calon PhD Neurosains Kognitif, Universiti Sains Malaysia.

Menjadi kebiasaan kita sebagai pembaca, terkadang kita hanyut dalam prakata buku tersebut yang diberikan oleh tokoh-tokoh besar. Atau mungkin juga, kita hanyut dengan sinopsis yang tercatat di belakang sesebuah buku. Pada aku secara peribadi, sungguhpun yang menulis kata pengantar buku ini ialah Dato’ Dr Danial Zainal Abidin, aku masih perlu dan berkehendak untuk menghabiskan pembacaan buku ini sebelum mengatakan buku ini bagus ataupun tidak. Jelas?

TAJUK.

Mempunyai ketebalan 246 halaman termasuk glosari, pada aku, buku ini tidaklah begitu nipis atau terlalu tebal. Tinggal lagi, kandungannya mungkin sedikit rumit apabila diteliti tajuk buku ini dengan lebih dekat. “Kenapa Babi Tidak Halal” secara jelas menunjukkan bahawa penulis cuba merungkai hikmah di sebalik pengharaman babi oleh Allah SWT, Tuhan yang sepatutnya diimani oleh keseluruhan umat manusia. Pada pandangan aku, tajuk ini bertepatan dengan kandungan buku ini secara keseluruhan kerana sememangnya fokus buku ini ialah pada merungkai hikmah kenapa Tuhan mengharamkan babi ini kepada orang Islam atau orang yang sudah menyerah diri kepada-Nya. Dapat dilihat pelbagai sudut penghuraian dan cubaan untuk merungkai hikmah ini dilakukan oleh penulis antaranya dari sudut akhlak, intelektual, seksual, fizikal dan tidak ketinggalan dari sudut ekonomi. Cuma, untuk aku secara peribadi, aku lebih memilih untuk terus mengikut sahaja pengharaman babi itu tanpa perlu disoal kenapa ianya diharamkan dan atas dasar kebaikan apa Tuhan mengharamkan binatang yang bahagian badannya ini dapat dihasilkan pelbagai jenis produk. Kerana untuk aku, jika disoal hikmah pengharamannya, mungkin baik dari aspek kajian (umpamanya penghasilan buku ini) tetapi, andai kata hikmah itu tidak bertepatan dengan maksud sebenar Tuhan mengharamkannya, bagaimana? Adakah kita akan berhenti beriman? Sedangkan punca kita beriman bukan dengan hikmah, kita beriman, hanya disebabkan ianya arahan Tuhan, titik. Aku juga tidak merasa perlu untuk menjelaskan hikmah ini satu persatu ketika rakan bukan muslim bertanya kenapa babi tidak dibenarkan dimakan atau dimanfaatkan oleh orang Islam, kerana jawapannya bakal menjadi tidak tepat, jika pada dasarnya Tuhan tidak menjelaskan hikmah yang sebenar tentang pengharaman itu. Walaupun begitu, buku ini tetap aku habiskan pembacaannya dan sebahagian hikmah yang disebutkan logik pada akal aku yang singkat ini, akal orang awam.

ISTILAH SAINS.

Sebagaimana yang jelas terpampang pada tajuk buku, penulisan ini tidak dapat lari dari istilah sains dan perubatan atau dalam bahasa lain, disebut sebagai ‘jargon’. Umumnya, orang awam akan susah menghadam jargon apabila diulang guna dalam buku secara konsisten. Cuma, Alhamdulillah, dalam buku ini terselit bahagian glosari yang memuatkan beberapa perkataan jargon untuk dirujuk maksudnya secara ringkas oleh pembaca yang mungkin sahaja tidak faham akan maksud perkataan tersebut. Tetapi, tidak semua jargon yang digunakan dalam buku ini disenaraikan di bahagian glosari. Contohnya, pada halaman 207, pada perkataan anafilaksis dan epitop, kedua-dua perkataan ini digunakan untuk menjelaskan perihal reaksi alergik yang disebabkan oleh babi, tetapi perkataan ini tidak dijelaskan maksudnya dalam ruang glosari. Hal ini justeru akan menyusahkan pembaca umum. Cuma, bagi pembaca yang inkuirinya tinggi, perkataan ini akan dicari maksudnya dalam laman sesawang.

Aku timbulkan isu ini bagi mengelakkan sebahagian pembaca yang mungkin akan berhenti dari membaca dan mengutip manfaat daripada buku-buku yang ditulis oleh sebahagian penulis-penulis, yang secara umumnya hanya disebabkan penghalang dari aspek perkataan yang susah difahami. Perlu diingatkan bahawa aku sememangnya maklum dengan hal keadaan penjelasan saintifik yang memerlukan kepada istilah atau jargon yang sebenarnya meringkaskan penjelasan kebanyakan fenomena yang terjadi dalam pengkajian saintifik, tetapi tetap aku berpendapat bahawa glosari buku ini perlu dikemaskini dengan perkataan-perkataan lain yang mungkin penulis atau penerbit terlepas pandang untuk disertakan sekali.

Pujian perlu diberikan kepada penulis dan penerbit yang tidak lupa meletakkan beberapa rajah dan persamaan kimia (chemical equation) dalam menceritakan sebahagian proses kimia dan jangkitan penyakit tertentu dalam buku ini. Rajah dan persamaan kimia berkenaan, pada pandangan aku, sangat membantu membina kefahaman sungguhpun ianya sedikit rumit.

BAHASA.

Buku ini mempunyai lebih dari 3 kesalahan ejaan, terutamanya menuju pengakhiran buku. Kebiasaannya aku tidak akan mengkritik kesalahan ejaan atau ‘typo’ tetapi, dalam buku ini, terdapat satu kesalahan ejaan yang pada aku, mengubah maksud dan boleh menimbulkan salah faham. 

Pada halaman 141, dituliskan:

“… adakah serangan itu ditakfirkan sebagai rogol memandangkan…”

Mungkin pada ayat ini, penulis sebenarnya ingin menggunakan perkataan ‘ditakrifkan’ atau ‘ditafsirkan’, tetapi perkataan yang salah dipilih secara tidak sengaja. Masalahnya, kesalahan ejaan ini membawa maksud yang sangat berlainan dengan perkataan asal yang ingin digunakan. Mungkin untuk sebahagian pembaca, kesalahan ini tidak signifikan, tetapi, pada pandangan aku, kesalahan ejaan sehingga mengubah maksud perkataan, sepatutnya tidak berlaku dan sedapat mungkin dielakkan bagi mengelakkan salah faham.

Menyentuh isu bahasa yang digunakan dalam buku ini yang berbelit-belit dan dilihat seakan-akan menyusahkan usaha untuk memahami sehingga terkadang perlu diulang baca ayatnya berkali-kali untuk mendapatkan maksud yang cuba disampaikan penulis, aku akan katakan ianya biasa atau normal untuk ayat-ayat dalam buku bertemakan sains untuk berbelit-belit seperti itu. Solusi kepada isu ini pada pandangan aku, ialah dengan menterjemahkan buku ini kepada Bahasa Inggeris atau mengkaji dan menterjemahkan semula perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang berbelit-belit itu kepada perkataan yang mudah difahami, cumanya hal ini memerlukan kepakaran penterjemahan yang tinggi kerana istilah sains walaupun dipandang sebagai satu atau dua perkataan, tetapi perungkaian maksudnya mungkin akan menjangkau helaian muka surat.

RUJUKAN.

Secara umum, rujukan yang disertakan sebagai nota kaki tidak merangkumi semua rujukan yang digunakan. Contohnya pada halaman 13, penulis hanya mengatakan ‘Pendapat lain juga menyebut,’ tanpa memberikan sumber daripada mana pendapat itu dinukilkan. Pada pendapat aku, sungguhpun sesuatu perkara yang dirujuk itu kecil atau mungkin pendapat yang dinukilkan itu tidak popular, sepatutnya penulis turut menyatakan sumber pendapat itu diambil, dari mana dan oleh siapa seperti yang penulis sertakan pada halaman 56. Dapat dilihat, pada halaman 56 ini (dan halaman-halaman lain juga) penulis menukilkan pendapat dan pada masa yang sama disertakan rujukan di nota kaki. Jika penulis dapat konsisten menyatakan rujukan seperti ini setiap kali menukilkan pendapat dari mana-mana sumber dan tokoh, hujah buku ini akan menjadi lebih teguh.

Seperkara lagi tentang rujukan, penulis turut memasukkan pautan laman sesawang rujukan dari Wikipedia. Sepertimana yang pernah aku sebutkan ketika mengkritik buku-buku yang lain, aku kurang gemar jika mana-mana penulis menjadikan Wikipedia sebagai sumber rujukan. Pengecualian diberikan jika penulis kenal dengan individu yang memuatnaik artikel tersebut atau menulis hal yang ingin dibahaskan itu di Wikipedia. Lain halnya jika petikan dari Wikipedia itu ditulis oleh seorang tokoh contohnya seperti Prof Zhari yang merupakan seorang penyarah School of Pharmaceutical Sciences, Universiti Sains Malaysia, sudah tentu penulisan tersebut susah diragui kesahihannya!

Kenapa perlu gunakan Wikipedia sebagai rujukan? Itu persoalan utama dari akal aku, sebagai pembaca. Jika hal ini dapat dijawab oleh penulis dan tepat justifikasinya, tidak mengapa.

KEKUATAN BUKU INI.

Buku ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kekuatan ini yang membuatkan aku meneruskan pembacaan sehingga tamat dan pada pendapat aku, aspek-aspek ini memberikan manfaat yang besar kepada pembaca.

1. Tajuk buku yang tidak menipu dengan kandungan keseluruhan. Dapat dilihat, perbincangan dan huraian fakta dan pendapat yang dinukilkan sememangnya berkenaan BABI dan hal berkaitan BABI. Justeru, dapat dilihat penulis menulis buku ini secara berfokus dan penulis mampu menceritakan tentang babi secara terperinci. Hal ini dapat dilihat di bahagian awal buku ini pada halaman 1-12 ketika penulis cuba membawa pembaca mengenali babi. Hal ini sangat baik untuk dicontohi oleh penulis lain dan dikekalkan oleh penulis buku ini dalam buku-buku beliau pada masa hadapan kerana penulisan berfokus akan membuatkan pembaca tersedar bahawa masih banyak perkara yang tidak kami ketahui sebagai pembaca dan perasaan itu akan menambahkan keseronokan sehingga tamat pembacaan. Apa yang berlaku pada sebahagian karya yang dihasilkan oleh sebahagian penulis ialah, kandungan buku tidak bertepatan dengan tajuk buku secara keseluruhan. Bahkan ketika menulis huraian, sebahagian penulis gagal membawa huraian dan penceritaan yang menjelaskan sesuatu yang samar. Tidak untuk Samhani Ismail dalam buku ini, beliau berjaya menjelaskan dengan baik tentang babi. Justeru, buku ini sangat baik untuk dibaca oleh masyarakat tidak mengira bangsa dan agama kerana buku ini bukan sahaja memuatkan fakta atau pendapat tentang babi dari aspek keagamaan, tetapi nukilan fakta dan pendapat saintifik turut dimuatkan!

2. Buku ini menjadi medium ulangkaji sains kepada aku secara peribadi. Sebagai seorang pelajar jurusan sains, dahulunya aku pernah terdedah dengan aspek pembelajaran sains contohnya berkenaan otak dan saraf atau biologi dan kimia secara umum, dari bangku sekolah sehingga ke menara gading. Maka, membaca buku ini membuatkan aku berjumpa semula dengan istilah-istilah sains contohnya seperti monoamine oxidase, synapse, bahagian-bahagian otak, chemical equation dan sebagainya. Apa yang lebih menarik, ketika aku membaca istilah sains dalam Bahasa Melayu, minda aku secara tidak sengaja menafsirkan perkataan-perkataan tersebut kepada Bahasa Inggeris sekaligus menjentik memori yang pernah terukir dalam ingatan. Justeru, pembacaan buku ini, untuk aku secara peribadi, merupakan satu senaman intelektual yang sangat baik!

3. Naratif dan pembuktian yang memuaskan. Pada halaman 142 sebagai contoh, ketika penulis mengulas berkenaan babi dan arak yang pengambilan kedua-duanya akan menyebabkan penyakit stenosis hati, naratif dan pembuktiannya lengkap dan cukup meyakinkan. Dalam bahagian lain, contohnya bahagian Hikmah Fizikal bermula pada halaman 150, diceritakan berkenaan jenis mikrob yang terdapat pada babi dan naratif ini kemudiannya dilengkapkan dengan penjelasan penyakit apa yang akan dibawa selanjutnya jika dimakan oleh manusia.

“Kebanyakan orang menganggap dengan memasak daging babi dengan sempurna, mereka tidak akan dijangkiti parasit babi ini. Tanggapan itu sebenarnya salah. Ini kerana walaupun kemungkinan cacing itu sudah mati, tetapi sista atau telurnya yang dalam keadaan dorman, tidak mati dan masuk ke dalam tubuh dan menyerang mangsa.” (Halaman 155)

Justeru, sebagai pembaca, informasi baru dapat kita kutip dan informasi itu tidak hanya membeku tetapi pada masa yang sama, menjadi punca keluasan minda dalam percubaan aku memahami keburukan 2 perkara yang diharamkan Tuhan. Alangkah baiknya jika semua buku yang ditulis dimuatkan naratif yang membina minda dan menjawab inkuiri seperti ini!

4. Xenotransplan daripada organ babi. Bermula pada halaman 183, tajuk perbahasan menjadi lebih menarik apabila penulis membawa sebuah naratif yang tidaklah terlalu baru, tetapi menarik kepada diriku iaitu berkenaan pemindahan organ daripada haiwan atau xenotransplan. Bagaimana bermanfaatnya xenotransplan ini yang boleh membantu pesakit yang kerosakan organ-organ tertentu dan bagaimana dalam lipatan sejarah, berlakunya xenotransplan ini sama ada dalam sejarah Islam atau dalam sejarah silam yang lain, sungguh menarik untuk dibaca dan difahami. Kemudiannya perbincangan berlarutan pula kepada perbincangan dari aspek hukum-hakam atau fiqh sama ada organ babi boleh digunakan oleh manusia lain dan sebagainya. Pada pendapat aku, perbincangan ilmiah sungguhpun kontroversial seperti ini, perlu dimuatkan pada kadar yang patut dalam majoriti buku yang ditulis oleh penulis tempatan. Hal ini kerana, berbekalkan perbincangan seumpama ini, minda dan jiwa pembaca Malaysia tidak akan takut berbincang dengan perkara yang baru dan tidak akan jumud menerima sesuatu yang kita tidak tahu. Informasi baru berkenaan kenapa organ babi bahaya untuk dipindahkan kepada manusia kurang lebih terangkum dalam perenggan berikut:

“Xenotransplan daripada babi dikhuatiri mendatangkan patogen baru kepada manusia, terutamanya retrovirus. Retrovirus memberi impak besar kepada manusia kerana jangkitannya sukar dikesan.” (Halaman 185)

Maka aku kira jelas di sini bahawa aspek xenotransplan ini menarik untuk dibaca dan diteliti bersama sebagai pembaca dan mungkin lebih molek dibawa dalam diskusi buku antara beberapa orang bukuwan atau pencinta ilmu.

KRITIKAN UTAMA.

1. Pada halaman 55, penulis menukilkan kata-kata seorang tokoh penulis dan pengkaji dari Perancis berbunyi, “You are what you eat.” Kemudian, konklusi daripada kata-kata itu berada di perenggan bawah sedikit dan berbunyi seperti berikut:

“Jikalau kita percaya memakan ubat berupaya menyembuhkan penyakit dan memakan sayur-sayuran boleh mencantikkan kulit, mengapa kita tidak percaya memakan babi boleh mewariskan tabiat haiwan itu sedangkan semuanya turut melalui proses yang sama. Malah fizikal, emosi, intelektual, spiritual dan seksual adalah saling berkait melalui proses yang kompleks dan nyata.”

Masalah di sini ialah penulis membawa contoh yang tidak setaraf. Babi yang dikaji di sini, telah jelas perangai-perangai buruk haiwan itu sedangkan ubat, sangat umum dan jika aku katakan ubat itu tidak dapat bergerak dan statik, adakah dengan memakan ubat membuatkan kita terpaku keras dan duduk kaku tidak dapat bergaul dengan orang lain? Jika penghujahan begitu dilakukan, tentu sahaja semua rakyat Malaysia yang pernah memakan ubat akan menjadi kaku dan statik kerana ubat tidak dapat bergerak dan statik/kaku tidak beraktiviti secara fizikalnya. Jika perbincangan ini masih relevan, adakah dengan memakan daging ayam atau daging lembu setiap hari akan membuatkan kita menjadi seperti ayam yang berkokok setiap hari dan berak merata-rata atau lembu yang hanya menurut perintah, tidak mampu berfikir dan kuat meragut rumput?

Aku tidak mempunyai masalah dengan pengharaman babi. Kerana aku terima pengharaman tersebut atas dasar ianya arahan Tuhan. Yang aku persoalkan sekarang ialah tafsiran kepada kata-kata ‘You are what you eat’. Adakah benar kita mewarisi segala tingkah laku bahan/haiwan/sayur/buah yang kita makan? Cara hujah yang simplistik seperti ini pada pendapat aku, tidak dapat meyakinkan sesiapa tentang keburukan babi untuk dijadikan makanan kepada manusia.

2. Monoamine oxidase. 

Merujuk halaman 67, pada bahagian ‘Kecelaruan Neurokimia’, penulis menyatakan sebuah hujah yang antara lain menyebut seperti berikut,

“Otak babi kaya dengan enzim monoamine oxidase (MAO). MAO terkumpul pada organ-organ tertentu terutamanya hati dan otak babi, tiroid seladang, hati seladang, dan tikus yang menjadikan haiwan-haiwan ini bersikap agresif. Memakan makanan yang kaya MAO mengganggu jumlah optimum serta kestabilan MAO dan neurotransmitter dalam tubuh manusia. Ini kerana MAO mempunyai tarikan kuat bagi menguraikan neurotransmitter.”

Jujur, aku tidak mempunyai masalah dengan penjelasan penulis berkenaan bagaimana MAO dapat mengganggu kestabilan emosi dan otak melalui penghasilan hidrogen peroksida dan ammonia. Penjelasan berkenaan tahap kestabilan emosi melalui pengaruh MAO terhadap kandungan serotonin atau dopamin juga, pada pandangan aku, tidak ada masalah. Tetapi, persoalan timbul pada asas penghujahan iaitu, adakah MAO dalam babi dapat dimakan dan diserap terus ke dalam badan manusia, kerana penulis tidak menjelaskan bahawa MAO daripada babi tahan haba dan masih boleh aktif dalam persekitaran asid dalam perut manusia. Hal ini kerana, kita mengetahui, apabila sesuatu bahan dimakan, perut menjadi destinasi awal dan perut mempunyai asid. Pernyataan itu pada aku, tergantung kerana penulis tidak menjelaskan di sini tentang adakah apabila dimakan bahagian tubuh atau organ babi, MAO-nya masih kekal dan dapat diserap terus ke tubuh manusia, membuatkan tahap kandungan MAO dalam tubuh manusia itu terganggu?

Jika mahu disangka penulis terlupa menyebutkan hal yang sedemikian, dapat kita lihat, penjelasan ini dirangkumkan pada halaman 84, ketika penulis menjelaskan tentang babi yang mengandungi enzim GABA-T yang tinggi, penulis menyatakan seperti berikut:

“Enzim GABA-T yang dipencilkan daripada babi ini tahan terhadap haba dan tindakan asid.”

Makanya jelas pada akal aku, bahawa enzim GABA-T yang terkandung dalam haiwan ini, jika dimakan, akan kekal dan dapat diserap ke dalam badan manusia tanpa dinyahaktifkan struktur dan fungsinya. Tetapi dalam hal MAO, tidak terdapat pernyataan yang demikian setakat pembacaan aku dan pengulangan yang aku lakukan. Jika tidak ada penjelasan demikian, bagaimana MAO ini diserap masuk ke dalam badan pemakan babi? Bagaimana mekanismanya? Seperkara lagi yang menambah keraguan aku adalah pada halaman 78,

“Antara yang ketara adalah enzim monoamin oksidase (MAO) yang tinggi pada babi. MAO dikaitkan dengan tingkah laku agresif babi sendiri. Bahan ini mungkin tersebar ke tubuh pemakannya dan mempengaruhi perilaku.”

Perkataan ‘mungkin’ di situ tidak memberi penjelasan, sebaliknya menambah keraguan kepada aku. Makanya, aku mahukan penjelasan yang lebih, adakah benar MAO ini dapat diserap secara langsung daripada pemakanan babi?

3. Bermula pada halaman 86, penulis mula menceritakan isu “Babi Mendorong Kanibalisme” secara lebih mendalam.

“Babi menyebabkan manusia cenderung bagi menjadi kanibal ataupun dengan kata lain, manusia pemakan manusia. Ini kerana, sifat babi memakan kawan mereka sendiri pada masa-masa rehat, tertekan dan bosan. Kelakuan abnormal ini dipercayai berjangkit kepada manusia yang memakannya dan keturunan mereka generasi ke generasi melalui pewarisan kod genetik.” (Halaman 86)

Selepas perenggan pembukaan ini, hal yang diceritakan secara panjang lebar ialah berkenaan sejarah kanibalisme dan kemudian pada halaman 95 dinyatakan,

“Bagi mereka, memakan daging manusia tidak ada bezanya dengan memakan babi. Apa yang selebihnya adalah daging manusia lebih istimewa. …” (Halaman 95 ke 96).

Di penghujung artikel, halaman 97, penulis menyatakan,

“Walaupun saintis masih belum menjumpai apakah kod genetik yang mengarah tindak balas kanibalisme pada manusia, sudah ada bukti-bukti yang melorongkan masalah ini kepada babi. Babi yang bersikap kanibal dipercayai mewariskan perilaku ini kepada manusia.” 

Tiada bukti yang diceritakan, tiada pernyataan penjelasan dan penghuraian perkaitan antara memakan babi dan memakan manusia yang mencukupi untuk meyakinkan aku. Jadi, susah untuk aku percaya perkaitan ini wujud. Walaupun aku tidak menggalakkan pemakanan babi kepada rakan dan taulan, tetapi, aku tidak boleh menggunakan hujah ini (makan babi menjadi punca kanibalisme) untuk menyatakan bahawa inilah hikmah diharamkan makan babi oleh Tuhan. Satu pandangan yang positif di sini ialah mungkin penulis cuba menjentik inkuiri pembaca dan penulis serta pengkaji lain untuk menjalankan kajian bagi membuktikan perkaitan makan babi dengan kanibalisme. Tetapi, jika itu bukan niat penulis daripada awal, adakah ianya hanya andaian (assumption) atau adakah ialah pertuduhan tidak berasas? 

4. Pada halaman 207 hingga 208, penulis berhujah berkenaan “Babi Memberi Kesan Kepada Sistem Imun Manusia”. Sepanjang artikel tersebut, jelas dinyatakan bahawa terdapat kes berlakunya tindak balas alergik, anafilaksis atau hipersensitiviti terhadap pemakan daging babi ataupun mereka yang terlibat dengan babi contohnya seperti seorang pekerja industri yang memakai sarung yang dibuat daripada usus babi yang akhirnya mengalami bengkak di muka dan urtikaria pada tangannya. Maka jika dipulangkan hujah kepada persoalan adakah ini hikmah kenapa babi diharamkan oleh Allah SWT, aku tidak dapat menerima pernyataan tersebut. Sebabnya mudah. Dalam dunia ini, terdapat banyak tindak balas alergik yang berlaku pada ramai manusia. Tetapi, hal tersebut tidak diharamkan oleh Allah SWT. Contohnya, ada manusia yang alergik kepada kacang, udang atau kacang hijau dan sebagainya. Bahkan, ada yang mendakwa alergik kepada nasi atau strawberry. Tetapi makanan ini semuanya halal untuk manusia. Tinggal lagi, ianya mungkin haram untuk manusia yang jika dia memakan makanan tersebut, dia akan mengalami tindak balas alergik yang teruk sehingga membawa maut. Tetapi hal itu hanya haram untuk dirinya sahaja, bukan haram untuk sekalian umat manusia. Maka, dapat aku katakan di sini bahawa penghujahan bahawa babi diharamkan oleh Allah kerana babi akan mengakibatkan masalah kesihatan yang telah disebutkan di atas, tidak kuat. Tetapi jangan disalahertikan bahawa aku menggalakkan manusia memakan babi, tidak. Tinggal lagi, hujahnya belum cukup mapan untuk aku. itu sahaja.

PENUTUP.

Tahniah diucapkan kepada saudari Samhani Ismail yang berjaya menulis sebuah buku yang pada hemat aku, amat baik untuk menyemai budaya cintakan pengetahuan dan budaya berfikiran kritis. Mudah-mudahan lebih banyak buku yang seumpama ini dihasilkan dan dibawa ke medan diskusi untuk sama-sama manfaatnya direnung dan dikongsi. Mohon maaf atas keterlanjuran kata dan mungkin kritikan tidak berasas daripada aku sebagai salah seorang warga Book Surgeon. Terima kasih kerana menjemput Book Surgeon mengulas buku yang baik ini.

Moga ada manfaat untuk kita semua.

Wallahua’lam.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#ResensiBukuBertulis
#KenapaBabiTidakHalal

Comments

Popular Posts