RESENSI BUKU : LANGIT PETANG, karangan A. Samad Said

Langit Petang : Sebuah Filosofi Kehidupan.

Langit Petang  sebuah karya yang ditiupkan rohnya kembali oleh penerbit alternatif  Lejen Press pada 2016 dimana terbitan awalnya  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka  pada tahun 1980. Hasil nukilan  sasterawan Negara  ke 4 , Dato’ A. Samad Said  atau  lebih mesra  dengan panggilan Pak Samad. Novel setebal 178 muka surat membawa pembaca kepada konsep cerminan kehidupan manusia dalam menentukan arah tuju perjalanan mereka sehingga ke akhirnya. Menerusi pencarian di laman sesawang karya ini pernah difilemkan pada tahun 1982 arahan Shahrom  Mohd Dom dengan mengetengahkan beberapa pelakon lagenda tanah air seperti  Dharma Harun, Allayarhamah  Datin Azean Irdawati dan Mahmud June. Aku selesai menonton filem tersebut dan secara jujur kurang mengemari dengan adaptasi yang dilakukan kerana melihat kepada dialog dalam lakonan  tidak sekukuh dan sebati sepertimana yang diungkapkan  dan dibayangkan sewaktu membaca karya. Pada pengamatan, secara keseluruhan kekuatan Langit Petang terletak pada falsafah hidup yang dipegang oleh setiap watak yang terzahir dengan dialog- dialog pandangan setiap kali mereka berbual. Maka jika kekuatan dialog dan falsafah hidup tidak dipadankan dengan baik, hasilnya kelihatan agak suram dalam proses adaptasi.

Kulit buku merupakan salah satu elemen yang mencuri minat aku membeli novel ini suatu  ketika dengan memperlihatkan satu sosok gadis berpakaian kemeja putih dan skirt labuh paras betis sedang merenung langit di sebuah kawasan sawah padi. Menurut pengamatan “Judge book by it cover “, aku membayangkan novel ini akan membawa satu naratif yang tenang (minor konflik) dan lebih kepada unsur renungan dan nasihat kepada pembaca sejajar dengan fungsi sesebuah karya sastera. Setelah selesai membaca, aku melihat penghasilan kulit buku lebih kepada simbolik dalam mencerminkan fitrah manusia yang sentiasa memikirkan hala tuju hidup dan  sinonimnya manusia akan memilih untuk berada di sebuah kawasan yang indah dan tenang bagi menjalani proses tersebut. Pada mulanya aku  mempersoalkan juga di bahagian mana dalam helaian bab yang membawa kepada kulit buku ini kerana setelah selesai membaca aku tidak menjumpai latar tempat seperti sawah padi dan gambaran sosok gadis seperti yang dipaparkan, namun setelah menonton filem baru lah menyedari gambaran latar tempat ini diambil dalam babak filem tersebut dengan sosok gadis tersebut merupakan watak Maimunah yang dilakonkan oleh  Shasha.

Novel ini membawa pembaca kepada latar masyarakat sekitar tahun 80 an dengan mengetengahkan tiga watak utama dalam naratif karya yakni Hafiz seorang wartwan sambilan yang memutuskan untuk menamatkan kariernya bagi mengembara mencari ketenangan ke Pantai Timur setelah disahkan menghidap leukemia. Seterusnya Pak Ariff, seorang bekas pejuang tanah air yang pernah mengetuai gerakan menentang Malayan Union suatu ketika namun memilih untuk hidup bersendirian dan mengerjakan aktiviti bercucuk tanam di halaman rumahnya setelah sisa perjuangannya tidak mendapat penghargaaan. Kadang kala dirinyaa turut menyampaikan kuliah  falsafah hidup kepada beberapa tetangga rapat di surau kecil berdekatan. Watak ketiga yang diangkat oleh Pak Samad adalah Zakiah, seorang wanita pendendam yang memilih kehidupan sebagai perempuan simpanan bagi melunaskan dendamnya terhadap lelaki yang pernah meniggalkan dirinya suatu ketika tatkala dirinya mengalami kegururan hasil dari perhubungan mereka. Selain turut dikelilingi dengan situasi kegagalan rumahtangga adik wanitanya membuakkan lagi kebencian dirinya terhadap lelaki. Watak-watak ini telah dihubungkan  oleh Pak Samad dalam satu naratif yang akan membawa pembaca untuk menilai setiap pendirian dan pandangan mereka sebagai satu cerminan di dalam kehidupan realiti.

Melalui resensi terhadap karya ini, aku ingin berkongsi beberapa elemen dapatan diperoleh yang aku kira Pak Samad ketengahkan sebagai sebuah bentuk nasihat dan juga kritikan kepada masyarakat hari ini. Pertamanya berkaitan dengan konsep “argument” dan konsep meraikan perbezaan pandangan. Seperti yang aku sebutkan di perenggan awal dimana kekuatan Langit Petang terletaknya pada dialog-dialog membabitkan pertukaran idea di kalangan watak- watak utamanya tatkala mereka berbual dan berbincang mengenai sesuatu perkara terutamanya membabitkan soal kehidupan . Namun apa yang menariknya, walaupun setiap dari mereka bercanggah dari sudut pandangan dan pendirian, konsep saling menghormati pandangan terus dipraktikkan malah kalau dilihat dengan perbezaan pandangan menjadi asbab keutuhan hubungan sesama mereka. Pada halaman 19 ada memperlihatkan situasi kecurigaan  Hafiz terhadap Zakiah yang selalu memilih untuk menikmati hidangan bersamanya di sebuah gerai sederhana sedangkan Hafiz tahu Zakiah lebih mampu untuk ke tempat yang lebih mahal dan mewah. 

'Zakiah ;“Kita tidak harus lupakan tempat asal ; kita perlu sentiasa sedia bersusah bila tiba saatnya. 

Hafiz : “ Susah yang pura- pura?”

Zakiah : “ Ya, biarpun susah yang sia-sia, kita mesti latih diri.”

Memang itu satu keanehan, tapi dia masih dapat menerimanya juga , kerana dia sendiri pun aneh,fikirnya. Barangkali kerana falsafahnya yang terkadang-kadang begitu jugalah Hafiz dapat  terus bergaul dengannya.'

Selain itu pada halaman 38 dan 39 juga ada diselitkan satu kenyataan dari Pak Ariff yang lebih mengagumi sikap Hafiz yang suka menjadi pendebat dan pembuka fikiran  daripada Jamal (salah seorang rakan mereka)  yang hanya mengagumi dan menerima secara melulu apabila sesuatu pandangan dan idea dibincangkan oleh mereka.

Dan berpandang-pandang demikian lama, dia teringat betapa baiknya jika ramai manusia seperti Hafiz yang tidak rela hidup berlalu tanpa diperiksa dan diperbetulkan, walaupun dia masih belum sedia atau dapat menerima alasan Hafiz mengalihkan matlamat hidupnya itu. Ariff tidak suka manusia hanya seperti Jamal, yang walaupun rajin tetapi masih tidak bergerak untuk menilai dan menukar atau merubah hidupnya. Bagi Jamal, memadai sekadar menjadi kerani kecil, mendalami agama melalui buku-buku karangan Hamka dan belajar silat tiga empat bulan, kemudian terus menjadi penyoal di surau daripada menjadi pendebat, pemberi atau pembuka fikiran.

Aku melihat kenyataan dua perenggan yang dlampirkan di atas merupakan  satu anjakan Pak Samad supaya berfikiran kritis dalam mencerna sesuatu maklumat  itu dijadikan satu budaya di kalangan masyarakat serta perdebatan sebagai satu medium percambahan idea dan bukan bertujuan untuk mengangkat emosi atau merenggangkan sesuatu hubungan yang terbina.

Seterusnya aku ingin mengutarakan pandangan berkaitan pembawakan watak wanita dalam Langit Petang. Penonjolan watak wanita sebagai satu alat perbincangan , kritikan dan penceritaan di lihat menjadi satu rencah ‘favourite” bagi penulis- penulis sastera tanah air dalam penulisan mereka misalnya boleh dilihat dalam penulisan Ranjau Sepanjang Jalan oleh Prof Shahnon Ahmad dan juga Perempuan Politikus Melayu oleh Dr Faizal Musa (Faisal Tehrani). Pak Samad juga bukan lah asing dari merepresentasi watak wanita sebagai subjek sebelum ini dengan salah satu karya agungya Salina yang sehingga kini masih menjadi bahan kajian para cendekiawan dalam mahupun luar negara. Namun kali ini jika ditelurusi novel Langit Petang, watak wanita yakni Zakiah tidak dijadikan subjek utama karya, namun secara peribadi aku melihat watak Zakiah lebih ditiupkan aura “women power” oleh Pak Samad berbanding Salina yang dihasilkannnya sebelum ini. Jika kalian pernah membaca Salina, watak Salina diperlihatkan berada dalam situasi kesusahan selepas perang di mana dirinya kelihatan akur memilih untuk menjadi perempuan simpanan demi meneruskan survival kehidupan dan juga membela  suaminya yang berpewatakan seperti biawak hidup. Namun dalam Langit Petang Zakiah kelihatan berdiri di kakinya sendiri tanpa mempedulikan sesiapa dalam membuat keputusan dan mengatur gerak hidupnya . Dia memilih untuk menjadi perempuan simpanan demi melunaskan dendam peribadi setelah dikecewakan lelaki dan melihat sendiri bagaimana kegagalan rumah tangga di sekelililing yang melibatkan adik-adik perempuannya. Selain itu, kalau dilihat menerusi beberapa perbualannya dengan Hafiz juga menyaksikan Hafiz sendiri tidak bisa menyangkal dan akur dengan kata-kata yang dikeluarkan dari mulut Zakiah sewaktu mereka berbual. Situasi ini boleh dilihat di beberapa halaman  seperti halaman 19, halaman 92 dan halaman 146. Secara keseluruhannya, aspek ini tidaklah menyatakan bahawa Pak Samad mengubah pendiriannya  menjadi seorang “feminist writer” , namun aku melihat perubahan ini dilakukan sekadar membawa satu pembaharuan untuk melihatkan perbezaan dalam karya- karya yang telah dihasilkan sebelum ini.

Akhir sekali, aku ingin menyentuh pada helaian 113 dalam bab 15 yang ada menceritakan situasi banjir besar berlaku di perkampungan Kuala Terengganu tatkala Hafiz juga turut menjadi salah seorang mangsa yang teperangkap di sana. Apa yang menariknya dalam bab ini , di saat kekecohan yang berlaku membabitkan mangsa- mangsa yang sedang menantikan bantuan daripada pihak penyelamat terdapat satu dialog yang diucapkan oleh salah seorang wakil ketua keluarga berbunyi “ Kalau dah ajal ,di mana pun akan mati juga”. Pada mulanya aku agak sinis juga menghayati dialog ini kerana seakan mirip dengan situasi isu yang berlaku di Malaysia hari ini tatkala negara sedang dilanda wabak COVID-19, ada sesetengah pihak yang mengucapkan  dialog yang hampir sama seperti di atas. Dan  bertambah sinis di helaian selanjutnya ada sambungan dialog yang diungkapkan oleh pihak penyelamat tatkala mereka sedang menurunkan mangsa banjir ke dalam bot yang berbunyi “Degil sangat. Dah disuruh pindah lagi tak mahu. Dah nampak maut menganga, barulah tergigil-gigil harapkan bot datang”. Hal ini secara jelas Pak Samad cuba menyelitkan konsep satira dalam kritikan beliau terhadap sebahagian golongan yang hanya menyerahkan nasib kepada ketentuan Tuhan tanpa membuat sebarang tindakan mencegah dan memelihara diri mereka sebelum terjadinya sesuatu.

Secara kesimpulan , aku akui novel Langit Petang tidak semegah beberapa karya Pak Samad yang lain dan terlihat agak bosan dan perlahan sedikit plot penceritaannya, namun elemen falsafah dan cerminan hidup yang dijunjung sepanjang penceritaan berjaya menimbulkan ghairah kepada pembaca untuk terus menyelak helaian demi helaian bagi menghayati pengakhiran kisah ini . Aku akhiri resensi dengan salah satu quote yang terkandung dalam novel ini.

“Tanpa kenangan bererti seseorang tidak lagi mempunyai sejarah, tanpanya seseorang terpaksa bermula semula. Dan lebih buruk lagi, tanpa kenangan tidak mustahil manusia terhenti berfikir. Tanpa berfikir manusia tidak akan sedar kehadirannya, kewujudannya”

Nazlie Amri
Salah seorang Book Surgeon

#BookSurgeon
#ResensiBukuBertulis

Comments

Post a Comment

Popular Posts