RESENSI BUKU : LASTIK

l Review Buku : “Lastik!”, disunting oleh H. Muhammad dan Haris Zuan. l
 
Menerima pelawaan rakan sekerja yang baru sahaja membeli buku ini sehari dua yang lepas, aku mula membelek buku berketebalan 254 muka surat ini hari demi hari. Seperti yang aku jangka, buku ini yang merupakan terbitan Gerak Budaya Enterprise, merupakan sebuah buku yang menggabungkan beberapa esei daripada pelbagai tajuk dan tema. Kulit buku ini sendiri telah memberikan gambaran bahawa isu-isu ataupun mungkin celoteh dalam buku ini bakal menggamit beberapa aspek kitaran kehidupan rakyat yang secara langsung atau tidak langsung, melibatkan corak hidup aku juga sedikit sebanyak. 

Seperti kebanyakan buku-buku lain, aku mempunyai pandangan aku yang tersendiri yang mendorong aku untuk bersetuju dan juga tidak bersetuju dengan beberapa hal yang diketengahkan dalam buku ini. Cuma bagi aku, buku ini merupakan sebuah lagi himpunan esei yang wajar dipanggil sebagai buku kerana deretan rujukan yang diberikan di bahagian akhir buku ini membuktikan bahawa omong kosong tidak menjadi pilihan sebagai rujukan. 

Keseluruhan 31 esei dalam buku ini membuatkan aku memberi reaksi yang pelbagai. Bermula dengan esei “Ada apa dengan menganjing?” yang menarik minat aku untuk meneruskan pembacaan kerana mungkin dapat aku kutip sebutir dua mutiara hikmah daripada esei ini, kemudian aku hanyut dan terus menghabiskan baki 30 esei lagi sebelum mengambil keputusan untuk memberi ulasan. Dalam soal menganjing atau peril atau sindir, aku mengambil pendirian yang berbeza kerana mungkin aku menerima (setakat sekarang) akan usaha satira politik yang menyindir ahli politik korup yang wujud di muka bumi ini, tetapi aku tetap tidak bersetuju dengan satira politik yang mengaibkan hatta pemimpin yang dibenci oleh kebanyakan rakyat dari aspek keperibadiannya. 

Aku terus berbicara dengan buku ini dalam soal Vida yang dikatakan diangkat menjadi ikon atau diterima umum hanya kerana duitnya banyak, aku tidak dapat untuk tidak bersetuju tentang pandangan tersebut walaupun aku tidak selalu menonton rancangan yang ditonjolkan Vida di dalamnya. Esei ketiga yang menyentuh perihal membaca, secara tidak langsung menawan jiwa ingin tahu yang aku punyai untuk terus mencari tujuan aku membaca selama ini dan ternyata aku bertemu perkara yang aku cari itu. 

“Dalam membaca, kita mencari dan mengukuhkan kepercayaan kita terhadap nilai-nilai yang mengikat semua manusia dan masyarakat, yakni kemerdekaan, keadilan sosial, kesamarataan dan solidaritas.” (halaman 24) 

Esei yang keempat yang menyentuh elemen kebudayaan sebagai pencetus perubahan, mengajar aku bahawa elemen ini perlu digunakan dan digerakkan dalam kumpulan dan bukan secara bersendirian. Antara perkara lain yang menarik perhatian aku ialah esei ini ketika aku baca, dapat dirasakan bahawa jiwanya sedang menjerit kepada jiwaku. 

Artikel “Menulis dan Kritikan” memberikan aku sudut pandang yang berlainan bahawa menulis dan mengkritik itu perlukan beberapa elemen pelengkap. Penulis, masa, bahasa dan kritikan merupakan elemen-elemen yang aku maksudkan. Mungkin kalau dapat aku tambah, aku memilih untuk mencadangkan bahawa dalam sesuatu makalah atau penulisan, hendaklah disertakan idea atau alternative kepada cadangan atau sistem sedia ada. 

Penulisan berkenaan idea counterculture yang menghuraikan serba sedikit berkenaan budaya Indie yang dikatakan oleh penulis sebagai bukan idealisme atau simbol melawan (rebel), akan tetapi ianya lebih bermotifkan perniagaan sepertimana yang dikatakan oleh pihak Dubook, sedikit sebanyak membuatkan aku tertanya-tanya apakah tujuan sebenar penulisan Indie atau alternatif ini? Jika ianya hanya berkisar tentang untung rugi dan bukanlah untuk menyampaikan idea, fungsi membukukan makalah itu akan lari daripada tujuan asal. Aku berpandangan bahawa ianya tidak adil jika kita ingin menghukum semua penerbitan Indie itu hanya ingin mencari keuntungan semata-mata, kerana mungkin daripada sudut penerbitannya memang begitu (kerana memerlukan wang untuk pusing modal) tetapi daripada pihak penulis, ada beberapa penulis yang berkaliber dan sebenarnya ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat yang memilih untuk membaca penerbitan Indie. 

Makalah yang ke 7, yang membicarakan berkenaan budaya punk yang cuba mengetengahkan peranan muzik dalam menyampaikan mesej, membuatkan aku mempersoal kembali, adakah golongan yang beriman dengan pembawaan mesej melalui muzik ini sebenarnya faham akan ideologi di sebalik irama muzik dan lirik lagu itu sendiri? Kerana jika yang dicari cuma keseronokan, maka tujuan asal penyampaian idea melalui muzik itu akan terbantut. Aku lebih mementingkan kefahaman sebelum tindakan. Dalam apa jua keadaan sekalipun, berdasarkan apa jua landasan cara atau manhaj. 

Satu kelemahan yang dapat aku keluarkan di sini sebelum menjengah ke artikel 8, tahap gaya bahasa yang digunakan dalam artikel 7 agak merudum berbanding dengan 6 artikel sebelumnya. Perbezaan yang ketara ini membuatkan aku merasa agak tersentak dan membuatkan aku bersangka-sangka bahawa artikel seterusnya bakal merudum lagi tahap gaya bahasanya. Tetapi, sangkaan aku meleset. 

Dalam memperkatakan berkenaan budaya dangdut sebagai norma masyarakat yang tertindas atau mungkin tertekan dengan kerja seharian, aku kurang setuju dengan beberapa perkara. Pertama, pada halaman 53, ada dinyatakan berkenaan budaya dangdut ini yang diakui terdapat elemen tidak senonoh di dalamnya, namun dihalalkan oleh penulis dek kerana tujuan dangdut ini baik. Prinsip ini aku sanggah dengan ayat, “the end doesn’t justify the mean.”. Dalam memperkatakan tentang kebaikan, bukan sahaja tujuannya mesti baik, cara tindakan itu juga mesti baik. Itu prinsip. Pada halaman 60, penulis seolah-olah cuba sekali lagi menghalalkan unsur negatif dalam dangdut dan poco-poco (baca : hiburan melampau) dengan tujuan sebagai unsur komunikasi dan ekspresi. Aku setuju dengan dua kata kunci yang digunakan ini tetapi dengan syarat, unsur tidak melampau dipraktikkan dalam soal ini kerana bagi aku, hiburan melampau ketika kezaliman terus meruncing, merupakan candu (opiate of the masses) kepada masyarakat. 

Artikel ke 9 ini antara artikel yang paling menarik dalam buku ini kerana dia mengisahkan tentang usaha pencarian Tuhan oleh seorang insan. Satu pengembaraan mencari Tuhan yang berliku, bagi aku, tetapi pencarian ini kontang kerana diakhiri dengan kosongnya tindakan, dan tidak menjumpai Tuhan yang mutlak dalam pencarian. Hal ini mungkin berlaku disebabkan pencari itu hanya berkompaskan alam dalam pencariannya. Sedangkan, untuk Tuhan berbicara dengan makhluknya, diutuskan rasul dan kitab. Maka, yang diperlukan sekarang, untuk penulis ialah mendalami kitab agama yang ada di atas muka bumi ini, dalam mencari pengertian Tuhan yang sebenar. Alam sekeliling kita ini memang boleh digunakan sebagai instrumen untuk mencari Tuhan, tetapi perlu diingat, alam dan kitab Tuhan boleh diibaratkan seperti dua permukaan duit syiling. Sepatutnya, kalau satu permukaan ada di situ, satu lagi mesti turut serta. Itu syaratnya. Alam yang fana ini akan menolak kita ke arah kalam Tuhan, sementara dalam mengenal Tuhan melalui kalamnya, kita akan berinteraksi dengan alam. Itu pandangan yang lebih utuh, bagi aku. 

Artikel ke 10 membicarakan berkenaan minat orang ramai terhadap bola sepak dan bagaimana pengamal kapitalis menggunakan unsur ini dalam usaha mengaut keuntungan. Makalah ini sangat perlu dibaca oleh rakan-rakan kerana artikel ini menjelaskan bagaimana populasi yang tinggi membuatkan ketagihan untuk bersukan yang diselarikan dengan faktor ruang yang kurang dek kerana pembinaan kilang yang banyak untuk tujuan industry membuatkan elemen tiket diperkenalkan yang sememangnya digunakan untuk tujuan menjana keuntungan atau mengiyakan capitalism. Perkaitan ini sangat menarik untuk direnungkan. Perkara ini mempunya kaitan dengan artikel 12 yang juga memperkatakan berkenaan ruang, bola sepak dan unsur ‘memaksimalkan' dalam strategi bola sepak. 

Unsur sindiran terhadap mahasiswa dapat dilihat dalam artikel 11 yang membawakan analogi daripada sebuah filem berkenaan seorang OKU yang boleh menghafal dengan sangat mudah tetapi tidak dapat mengurus diri sendiri (hatta mengenakan butang baju sendiri pun, tidak mampu). Namun, kenyataan yang aku setuju daripada artikel ini ialah syarat intelegensia yang sepatutnya menghubungkan antara disiplin ilmu (halaman 79). Unsur ini menjentik pemikiran supaya pembaca yang mungkin pakar dalam satu bidang atau beberapa, untuk cuba sedaya upaya mengaitkan satu disiplin ilmu dengan disiplin ilmu yang lain yang akhirnya manfaat itu dikembalikan kepada manusia sejagat. Ini permata yang perlu dikutip pembaca. 

Bergerak ke artikel 13 yang memperkatakan masyarakat dan negara dystopia yang merujuk kepada negara yang penuh bencana, kezaliman dan penindasan, aku memilih untuk tidak mengulas panjang. Artikel 14 turut menempelak diri aku yang mungkin kadang kala mengharapkan orang lain untuk berfikir bagi pihak diri aku sendiri sedangkan keupayaan yang sama itu diberikan Tuhan kepada setiap manusia. 

14 artikel yang diulaskan di atas merujuk kepada bahagian Budaya yang terdapat dalam buku ini. 

Seterusnya, dalam bahagian Ekonomi dan Politik, dimuatkan 11 artikel yang rata-rata menyentuh isu mahasiswa lapar, fungsi kerajaan, perjuangan feminisme, kesan buruk kapitalisme yang sepatutnya diperbaiki dengan fungsi negara itu sendiri, kenyataan ‘bijak’ daripada Najib Razak berkenaan beban hidup yang disebabkan oleh taraf pendidikan yang rendah dalam masyarakat dan tidak ketinggalan, isu TPPA yang sebenarnya merupakan usaha Amerika Syarikat untuk melawan pengaruh ekonomi China. 

Beberapa perkara yang menggamit perhatian aku termasuklah: 

1. Pada halaman 119, dinukilkan kata-kata daripada Syed Hussein al- attas berkenaan 4 peranan intelektual dalam menyusun sesebuah permasalahan (Pengajuan masalah, Pentakrifan masalah, Analisis masalah dan cadangan Penyelesaian masalah) aku kagum dengan ungkapan daripada seorang tokoh ini sebelum aku memandang hina kepada diri aku sendiri yang tidak dapat memikirkan 4 unsur ini dengan kapasiti diri aku sendiri padahal keempat-empat perkara ini adalah common sense yang sesiapa juga boleh memikirkannya dengan syarat, penelitian yang jitu diperlukan. Terdapat satu pernyataan di halaman 120 yang aku tidak bersetuju dengannya kerana seolah-olah penulis cuba mengiyakan budaya curi tulang dalam kalangan masyarakat kita kerana dia sendiri juga tidak fokus kepada kerja sepanjang waktu kerjanya.  

2. Dalam memperkatakan soal nasionalime dalam artikel 4, kata-kata Malcolm X menyentap pemikiran aku kerana dia percaya bahawa pertembungan golongan yang menindas dengan golongan yang ditindas akan terus berlaku, akan tetapi dia tidak percaya bahawa pertembungan ini akan terjadi disebabkan perbezaan warna kulit. Surah hujurat (49), ayat ke 13, terlintas di fikiranku ketika aku cuba menghadam perkara ini. Aku setuju dengan pernyataan Malcolm X dalam isu ini. Hal ini juga boleh dikaitkan dengan artikel 6 dalam bahagian yang sama pada halaman 152 yang mengatakan bahawa “Perkauman belum lagi semalam buat sesetengah daripada kita.” Aku bersetuju dengan pernyataan ini.  

3. Gesaan untuk melakukan tsunami Malaysia untuk melawan politik kotor sepertimana yang terangkum di halaman 156, pada pandangan aku, merupakan satu perkara murni yang mengambil masa yang lama tetapi tidak mustahil dilakukan. Tetapi jangan ditiru kaedah yang diamalkan oleh Soekarno dahulu yang mencipta perpaduan Indonesia dengan slogan atau jargon melawan negara luar seperti “Go to Hell America” dan “Ganyang Malaysia” seperti yang dijelaskan pada halaman 153 dan 154.  

4. Aku tertanya-tanya, adakah di sana terdapat satu istilah “controlled capitalism” atau “kapitalisme terkawal” yang memang ingin mendapatkan keuntungan dalam sesuatu usaha atau perniagaan tetapi tidak menzalimi orang lain termasuk para pekerja atau rakyat bawahan. Pertanyaan ini aku fikirkan ketika membaca artikel 7, 8 dan 9.  

5. Artikel ke 10 menyentuh isu Rentier Capitalism yang menjelaskan sistem kapitalisme dari sudut pandang keterlibatan orang tengah dalam perniagaan. Kalau dahulunya, aku sukar untuk mencari rasional disebalik pernyataan ayahku yang sering mengaitkan apa sahaja isu yang berlaku dengan wang ringgit, sekarang, aku sudah lebih memahami isu ini. Money is king, indeed. 

Di bahagian Gender dan Sastera, dipersembahkan 6 artikel yang juga menyentuh beberapa isu seperti feminisme Melayu, satira politik, unsur sastera Melayu yang makin lesu sebelum menjengah ke imbauan sastera Tenggang 1 dan Tenggang 2 yang masing-masing menuntut tumpuan pembaca dalam membuat analisa. 

Dalam artikel ke 2, aku kurang bersetuju dengan pernyataan bahawa ‘Keadilan sendiri bersifat relatif dan amat bergantung kepada tatanan sosial.” (halaman 201). Aku berpandangan bahawa juzuk-juzuk keadilan yang berdasarkan prinsip, secara hakikinya tidak akan berubah. Contohnya, hak seorang pemimpin memberi wang rakyat kepada rakyat, itu sudah tertulis sebagai keadilan dalam pemerintahan dengan memberikan hak kepada yang berhak. Namun, jika contoh ini perlu dilontar dalam dimensi relativiti, keadaannya akan berubah. Tatanan sosial yang bagaimana yang dimaksudkan di sini oleh penulis? Aku khuatir tatanan sosial itu sendiri akan merosakkan keadilan dalam konteks pernyataan ini. Pernyataan lain yang aku setuju termasuklah mesej yang terangkum dalam satira politik, perlu diselaraskan dengan pemahaman kumpulan sasaran kerana dikhuatiri mesej daripada satira itu gagal mengetuk ruang pemikiran penerima. Aku dapat membuat konklusi bahawa ‘Satira ialah alat, bukan matlamat’, selepas selesai membaca artikel ini. 

Artikel ke 15 yang membawa isu ideologi gender yang dikatakan tidak dapat dipisahkan daripada elemen adat, Islam dan moden memaksa aku untuk bersetuju walaupun sebenarnya aku tidak percaya dengan perjuangan yang mendokong satu gender dan menidakkan satu gender yang lain kerana andaikata perkara demikian berlaku, maka mesej yang diperjuangkan itu tidak adil. Keadilan tidak dapat tertegak dalam perjuangan yang melampaui batas dan menidakkan hak golongan yang lain. Itu prinsip yang aku pegang. 

Sebelum menjenguk bahagian rujukan, dua artikel akhir yang menarik perhatian aku ialah artikel Tenggang 1 dan Tenggang 2. Dua artikel yang saling berkaitan ini cuba membawa dua perkara yang berbeza berkenaan subjek yang sama. Pertama, penulis ingin supaya penerima hasil sastera iaitu masyarakat, cuba memahami sastera yang dihasilkan daripada konteks penukil itu sendiri. Misalnya, dalam cerita Tenggang, mungkin yang disumpah menjadi batu itu ialah lambang kepada penjajah yang datang ke negara orang, diterima dan dilayan dengan baik tetapi derhaka kepada negara ibunda kita dengan berlagak seperti tuan dan tidak mengenang jasa. Mungkin atas dasar ini, watak Tenggang disumpah menjadi batu sebagai satu penghinaan. 

Kedua, dalam menyahut salam historisisme baru, iaitu dalam usaha menjenamakan semula watak Tenggang, penulis kontemporari perlu berhati-hati dan tidak membunuh idea asal pembawaan cerita Tenggang dengan menidakkan terus konteks asal cerita ini pada masa lalu. Penulis artikel ini berpendapat bahawa Tenggang Moden seolah-olah membunuh idealisme Tenggang tradisional apabila watak Tenggang itu disalurkan ekspresinya kepada ‘aku’ iaitu diri pengarang puisi itu sendiri. Memang mesej yang dibawa itu mesej yang positif iaitu mesej jangan takut kepada perubahan ke arah kebaikan, tetapi penulis artikel memilih supaya elemen asli dongeng Tenggang itu dikekalkan dan difahami daripada persembahan cerita asal. 

Mengakhiri komentar aku berkenaan buku ‘Lastik’ ini, kritikan akhir aku adalah berkaitan dengan laras bahasa yang digunakan dalam penulisan buku ini secara keseluruhan. Laras bahasa moden yang mungkin terlalu bombastic akan menyusahkan masyarakat umum untuk memahami mesej penting yang cuba disampaikan dalam buku ini. Jika hal ini berlaku, maka, perubahan daripada masyarakat marhaen itu sukar dijitukan kerana tiadanya kefahaman yang betul dek kerana laras bahasa yang tidak mudah untuk difahami oleh orang kebanyakan. Perlu diingat, yang ingin kita kerahkan untuk menjana perubahan itu, kebanyakannya berkelompok daripada orang bawahan, maka perlu laras bahasa itu dipermudahkan sedikit untuk meraikan mereka. 

Akhir kata, ‘Lastik!’ pada pandangan aku, merupakan satu buku yang baik untuk menjadi juadah minda dalam kerangka merintis dan membina pergerakan ke arah perubahan. 

#BilisSinis 
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts