RESENSI BUKU : MENANGANI PERUBAHAN, karangan Anwar Ibrahim

l PEMBEDAHAN BUKU BERTULIS : MENANGANI PERUBAHAN OLEH ANWAR IBRAHIM l

Anwar Ibrahim, satu nama yang sangat bergelora dalam dunia politik Malaysia. Rata-rata dalam kalangan generasi muda hanya mengenali nama ini sebagai gergasi politik di Malaysia. Tetapi, Anwar Ibrahim juga seorang tokoh ilmu yang serba berpengetahuan. Ketika buku ini diterbitkan pada tahun 1989, Anwar Ibrahim sedang menempa nama pada zaman kemasyhurannya dalam UMNO sebagai Naib Presiden dan menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Kewibawaannya sebagai Menteri Pendidikan terserlah dalam usahanya mengangkat martabat ilmu, mewujudkan institusi pendidikan yang lebih efisien dan membina negara yang bermasyarakat intelektual kelas tinggi.

Buku ini merupakan rangkuman ucapan dan kertas kerja beliau sepanjang 10 tahun sebelum buku ini diterbitkan. Berketebalan sebanyak 150 muka surat dan 12 Bab, buku ini banyak menghuraikan idealisme yang cuba digarap oleh Anwar dalam pelbagai bidang, terutamanya yang melibatkan politik, ekonomi dan sosial. Mauduk utama penghasilan buku ini ialah supaya masyarakat di Malaysia dapat menangani perubahan yang dihadapi dalam pelbagai bidang secara bersama dan berupaya mengekalkan kesejahteraan kaum tanpa sebarang perbezaan yang ketara. Pengulas cuba untuk membuat kesimpulan menurut keterbatasan kefahaman pengulas dan ada beberapa bab yang tidak dapat dikupas oleh pengulas.

Bab 1: Menangani Perubahan: Perencanaan untuk Ummah.

Anwar membicarakan pertembungan aliran tradisional (Kaum Tua) dan mordenis (Kaum Muda) yang berlaku beberapa dekad yang lalu (yang masih berlaku sehingga hari ini). Menurutnya, kedua-dua kelompok ini sebenarnya saling mengimbangi iklim politik dan persoalan Islam dalam masyarakat kita. Agama Islam tidak akan tertegak di Malaysia dengan permusuhan antara ulama dan kewujudan pentaksub ulama-ulama tersebut, sebaliknya agama Islam akan maju dengan budaya ilmu yang menghormati perbezaan pendapat serta mengekalkan hubungan silaturahim. Beliau turut menyentuh soal fahaman yang dibawa oleh dunia Barat seperti Kapitalisme, Sosialisme dan Marxisme yang menjadi tumpuan masyarakat pada ketika itu. Pada pandangannya, Marxisme tercetus hebat pandangannya dalam pertentangan kelas dan revolusi manakala Kapitalisme lebih kepada persaingan pemodal untuk mencetus perubahan. Kedua-duanya tidak menguntungkan untuk didukung sepenuhnya. Sebagai menutup katanya, Anwar menyatakan kebimbangannya terhadap krisis yang dilalui umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia  seperti kemiskinan, kemunduran dan perpecahan sehingga membawa fitnah terhadap Islam sendiri. Anwar memetik surah Ar-Ra’d ayat ke-11 yang mana Allah menyeru manusia untuk melakukan perubahan demi kebaikan hidup.

Bab 2: Menangani Perubahan Kepimpinan Politik. 

Bab ini dimulai dengan menyatakan kepincangan yang berlaku dalam dunia politik di Malaysia sehingga menyebabkan nasib rakyat kian terabai. Anwar mengemukakan pandangan Malek Ben Nabi, seorang filasuf Tunisia, yang menyelar tindakan salah guna kuasa oleh pemimpin tempatan yang dahulunya berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Menurutnya, kemerdekaan itu menjanjikan hak yang adil buat rakyat dan pemimpin tidak boleh menggunakan kedudukannya untuk mencabuli hak rakyat. Dunia pada ketika itu terbahagi kepada dua blok besar iaitu pihak yang mendukung ideologi Komunisme dan Demokrasi. Anwar menjelaskan bahawa dalam Komunisme juga terdapat unsur demokrasi seperti yang terkandung dalam slogan mereka seperti ‘Republik Rakyat’ dan ‘Demokrasi Rakyat’ tetapi rakyat dikuasai secara autokrasi oleh pihak atasan manakala sistem demokrasi lebih dekat kepada sistem yang pernah diamalkan oleh pimpinan Islam iaitu syura kerana ia bersifat demokrasi penyertaan di mana rakyat dibenarkan membuat pilihan untuk memilih pemimpin dan menyatakan suara mereka dengan lebih terbuka. Pengulas beranggapan bahawa Islam tidak berpihak kepada mana-mana sistem yang ada pada dunia hari ini kerana atas nama sistem-sistem ini, terdapat pemimpin yang cuba mewujudkan kembali suasana ‘Demokrasi Terpimpin’ di mana suara rakyat dinafikan secara tersembunyi seperti mana yang boleh kita lihat dalam pasca PRU Ke-14 di negara kita walaupun dikhabarkan kepada kita masih wujud ruang untuk bersuara dan menyatakan hak.

Bab 5: Reformasi Pendidikan.

Pemikiran Anwar sebagai seorang Menteri Pendidikan terpancar jelas menerusi bab ini. Ideanya untuk melakukan pendemokrasian pendidikan seharusnya dipandang serius oleh ahli akademik dan pastinya juga Menteri Pendidikan kini, Dr Mazslee Malik. Anwar menjelaskan bahawa Malaysia hanya akan berupaya berdaya saing hebat dengan negara luar sekiranya pendidikan di negara ini dirasai sama rata oleh semua kaum dan petak demografi. Hal ini merujuk kepada perbezaan antara pendidikan yang dinikmati oleh pelajar di Semenanjung dengan pendidikan yang ‘dihadapi’ oleh pelajar di Sabah dan Sarawak. Kawasan pedalaman tidak seharusnya dibiarkan terus sepi tanpa perancangan rapi untuk menjadikan mereka manusia yang terdidik sama seperti pelajar di bandar. Pengulas berfikir bahawa hal ini masih lagi tidak menjadi kenyataan kerana masih terdapat sekolah yang daif di Sabah dan Sarawak, manakala di Semenanjung juga hanya ditumpukan di kawasan bandar untuk dimajukan infrastruktur seperti akses Internet dan kelas yang lengkap peralatan perabotnya. Perkara ini tidak seharusnya menjadi mainan politik oleh sebahagian pemimpin dan rakyat harus lebih cakna akan isu pendidikan agar Malaysia tidak hanya dilihat gah melalui bangunan mega tetapi hakikatnya IQ rakyatnya masih rendah.

Bab 6: Budaya Ilmu.

Ilmu menurut ilmuwan Islam, Fakhruddin al-Razi (m. 1209) ialah “Ilmu yang memberi kesan kepada diri dan kemanusiaan). Hal ini dapat memberi petunjuk kepada kita bahawa tujuan untuk mendapatkan ilmu bukan hanya untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan pekerjaan yang berpangkat tinggi semata-mata. Anwar menjelaskan budaya ilmu mesti menjadikan kita seorang manusiawi dan tinggi peribadi. Beliau turut menekankan budaya membaca harus disuburkan secara baik supaya masyarakat Malaysia mampu berfikir kritis dan tidak menjadi masyarakat yang ekadimensi iaitu hanya pengetahuan dalam satu bidang sahaja.

Bab 7: Dinamik Bahasa dalam Negara Membangun.

Perkara 152 meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara. Hal ini sejajar dengan kedudukannya yang tinggi dan harus dihormati oleh semua kaum. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang berevolusi dalam bentuk tulisan seperti dari Jawi ke Rumi. Kemasukan pedagang Arab yang membawa risalah Islam turut mempengaruhi tulisan Jawi sehingga tercipta 5  bentuk perkataan Arab yang dibunyikan dalam bahasa Melayu iaitu hurud ca, ga, pa, nya dan nga. Perkataan tersebut dihasilkan oleh lokal genius Melayu yang merupakan ahli bahasa yang handal. Hal ini menunjukkan bahawa proses pembakuan bahasa Melayu sudahpun berlaku pada era kegemilangan Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Anwar Ibrahim juga serius dalam proses pembakuan bahasa Melayu supaya bahasa Melayu di Malaysia mempunyai identiti yang tersendiri serta menyeragamkan gaya sebutannya oleh seluruh penutur bahasa Melayu di negara rantau ini.

Bab 8: Sastera dan Kecelikan Budaya.

Anwar sekali lagi menyuarakan kebimbangannya terhadap tahap dan kualiti pembacaan rakyat Malaysia. Beliau menyimpulkan bahawa sastera mampu membuatkan rakyat Malaysia kembali terpanggil untuk membaca karya-karya yang dihasilkan oleh para sasterawan. Anwar juga menyinggung sinis beberapa tokoh Melayu yang memperkecil karya sasterawan dengan mengatakan bahawa karya novel dan puisi yang dihasilkan oleh Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Zurinah Hassan dan Muhammad Haji Salleh mempunyai nilai yang tersendiri. Sastera juga seharusnya membangunkan jiwa bangsa kerana sastera mampu menjadikan pembaca seorang yang lebih peka akan isu masyarakat. Anwar juga menyeru agar beban menghasilkan karya sastera tidak hanya diletakkan di atas bahu para sasterawan sahaja dan berharap agar ramai penulis muda dapat dilahirkan melalui pertandingan menulis seperti yang dianjurkan Utusan Malaysia. Hal ini menurut beliau, mampu mempelbagaikan genre yang wujud dalam arena penulisan dan tidak hanya tertumpu kepada satu aliran sahaja.

Konklusinya, Anwar seorang pemimpin politikus yang berintelektual tinggi walaupun terdapat kekurangannya dalam beberapa hal. Pengulas berharap agar Anwar masih dapat mengotakan segala perkara baik yang ditulisnya untuk rakyat dan negara sekiranya beliau diberi kesempatan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

#BookSurgeon
#Analyze
#Scrutinize
#Criticize

Comments

Popular Posts