RESENSI BUKU : MENTALITI JAMBAN, karangan Khairul Abdullah.

l Review Buku : Mentaliti Jamban, oleh Khairul Abdullah, terbitan KOMRAD Buku. l 

Menyengat. Isi padat dan bermanfaat. Penyampaian yang ringkas dan sarat dengan maklumat. 

Ketiga-tiga frasa ini menggambarkan pandangan aku tentang buku yang diberi tajuk Mentaliti Jamban ini. Seperti biasa, aku akan cuba memahami mesej yang terkandung dalam sesebuah buku bermula daripada kulit bukunya sendiri. Melihat kepada kulit buku ini, gambar jamban (mangkuk tandas) digunakan dan betul-betul di bahagian lubang jamban itu, terdapat satu lubang yang menunjukkan gambaran otak. Apabila diselak ke muka surat awal selepas kulit buku, ya, memang terdapat gambar tengkorak daripada pandangan sisi, yang dengan jelas, masih berotak. 

Bagi aku, gambar otak itu melambangkan minda atau pemikiran. Jamban itu melambangkan betapa jijik dan teruknya corak pemikiran masyarakat yang bakal digambarkan kelak. 

Ini bukan kali pertama aku menjumpai buku ini. Aku memilih untuk tidak membeli dan membaca buku ini kerana aku jijik melihat kulit buku ini yang terdapat imej mangkuk tandas dengan sisa najis yang tidak dibasuh. Sumpah, ianya jijik. 

Tetapi selepas ditawarkan kepada aku untuk membacanya oleh seorang sahabat, aku cuba meneliti mesej yang cuba disampaikan. Ternyata, aku bersetuju dengan hampir kesemua hujahan penulis. Beliau menulis berdasarkan pengalaman beliau hidup di negara asing, kemudian dibandingkan budaya mereka dengan budaya tempatan dalam kerangka menegur masyarakat bumi kelahiran beliau iaitu Malaysia yang tercinta ini supaya setidak-tidaknya dapat membaiki sikap. 

Asas kepada mesej-mesej yang sarat dalam buku ini dapat diringkaskan kepada beberapa perkara iaitu:

1. Sikap pentingkan diri sendiri. 
2. Renungan kelemahan rakyat Malaysia yang perlu dibaiki.
3. Refleksi diri untuk menilai mentaliti masing-masing (adakah jamban atau tidak mentaliti itu). 

Penulis menggambarkan bahawa rakyat Malaysia banyak yang bersifat mementingkan diri sendiri. Daripada sikap itu, banyak daripada kita yang tidak mencuci sisa najis sendiri selepas melepaskan hajat di tandas awam, tidak beratur dengan baik di kaunter pembayaran di pusat membeli belah, tidak melayan pelanggan dengan sapaan dan senyuman, membuang sampah merata-rata dan tidak ketinggalan, enggan mengasingkan sampah mengikut jenis-jenisnya melainkan semuanya dihumban ke tong sampah. Masing-masing hanya memikirkan diri sendiri sehingga menzalimi hak orang lain, itulah budaya masyarakat Malaysia hari ini. Lain pula dengan mentaliti masyarakat Jerman, Jepun dan Finland yang selalu dibandingkan oleh penulis dalam kritikannya. 

Maka daripada kritikan santai beliau, penulis cuba sedaya upaya mengetuk pemikiran pembaca supaya sedar akan kesilapan tersebut, kemudian cuba memperbaiki keadaan supaya perkara yang dianggap remeh ini dapat dibetulkan dan budaya buruk (budaya jamban) ini dapat diubah. Dalam usaha penyucian sikap itu, penulis tampil dengan hujahan yang mudah ditimbang tara oleh akal. Tidak ada alasan untuk pembaca mengelak daripada berfikir kerana bahasa yang digunakan oleh penulis tidak terlalu puitis, tidak terlalu bombastic dan tidak pula terlalu rojak. Mesej yang ringkas tetapi bertepatan dengan realiti dan tahap pemikiran kebanyakan rakyat Malaysia membuatkan buku ini, pada pandangan aku, dapat mencetuskan perubahan jika mesej-mesejnya betul-betul direnungkan oleh pembaca budiman sekalian. 

Bertitik tolak daripada itu, refleksi diri (muhasabah kendiri) yang cuba disuntik akan mula memainkan peranan. Jika dahulunya pembaca merupakan seorang perokok yang sering membuang puntung rokok merata-rata, mungkin setidak-tidaknya di masa hadapan, pembaca akan merasa bersalah untuk mengulangi perbuatan jamban sedemikian kerana disentuh isu ini oleh penulis. Daripada rasa bersalah itu, mungkin perlahan-lahan pembaca yang merokok itu dapat mengubah sikap sedikit demi sedikit. Begitu juga kepada pembaca yang mungkin sering tidak mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula, mereka akan mula berfikir cara yang terbaik untuk mengubah sikap mereka itu supaya orang yang mencari rezeki daripada barang-barang kitar semula itu dapat diringankan bebannya barang sedikit. 

Antara teguran yang paling menyengat dalam buku setebal 206 muka surat ini ialah persepsi masyarakat kepada sahabat-sahabat kita yang bekerja dalam sektor pengurusan sampah seperti pemungut sampah, tukang sapu dan sebagainya. Penulis mengatakan bahawa lori sampah itu berbau busuk dan bau itu terkena kepada pemungut sampah budiman yang bertugas itu tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak mengasingkan sisa makanan daripada barang-barang yang boleh dikitar semula. Dicampurkan semua sampah sarap itu, mengakibatkan apabila barang-barang yang boleh dikitar semula dipungut oleh pemungut sampah, bau busuk itu terpalit kepada mereka. Maka, yang dipandang jijik itu bukan bau pemungut sampah yang kita katakan busuk, tetapi sebenarnya mentaliti jamban dan sikap tahi masyarakat pengotor yang tidak sedar diri yang jauh lebih busuk daripada bau sampah yang mengganggu jiwa raga kita. 

Mungkin aku berbeza sedikit dengan penulis apabila beliau seolah-olah membolehkan pekerja di kaunter bayaran di pasaraya untuk bergosip ketika tiada pelanggan yang beratur untuk membayar. Kerana pada aku, sikap suka bergosip itu perlu ditinggalkan tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Mungkin penulis mempunyai alasan yang tersendiri untuk menulis kalam sedemikian yang mungkin tidak aku fahami. Tetapi, hujah-hujah dan teguran penulis kebanyakannya bagi aku, adalah relevan untuk direnungkan oleh pembaca budiman. 

Jika kalian sedang mencari buku yang mudah dihadam mesej yang terkandung di dalamnya, maka buku ini sangat sesuai untuk pembacaan. Bahasa yang digunakan yang mudah difahami disulami halaman muka surat bagi setiap tajuk yang tidak terlalu tebal, membolehkan orang awam seperti kita mudah memahami teguran yang ingin disampaikan. 

Kerana aku percaya perubahan itu perlu dimulakan dengan kefahaman. 

Maka kefahaman itu akan dapat dirintiskan daripada buku yang ringkas tetapi sarat dengan teguran yang amat penting untuk orang kebanyakan. 

Teruskan pembacaan.

Ayuh perangi ‘mentaliti jamban’!

#BilisSinis
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts