RESENSI BUKU : MUDA DAN DERHAKA, karangan Rien SD

l Bedah Buku Bertulis : Muda & Derhaka, karangan Rien SD l 

Ketika menyaksikan satu debat (yang bukanlah debat) di antara Benz Ali dengan Rien SD (penulis buku ini), aku mula menumpukan perhatian kepada pemilihan kata dan luahan idea yang disampaikan oleh Rien SD. Memperkatakan tentang politikal dan non-politikal (yang akhirnya kedua-dua mereka memilih politikal sebagai sandaran), aku terpanggil untuk membaca penulisan Rien SD yang dikhabarkan baru sahaja terbit. Tidak disengajakan, aku terjumpa dengan buku ini di kedai buku MPH sebelum membelinya dan menghabiskan pembacaannya pada hari ini. 

Rupa-rupanya setelah aku teliti semula, karya kami pernah berdiri bersama dalam buku Anti-Universiti terbitan Republik Buku. Esei Rien SD adalah esei yang ke-18, manakala esei yang aku tulis, adalah esei yang ke-21. Aku teliti semula coretan ringkas aku setelah membaca eseinya, yang aku coretkan sebagai komentar ringkas di situ ialah “Sedap, bahasa smooth, ada quote, padu!”. Maka jika aku tidak salah orang, buku yang aku baca dan cuba hadamkan ini juga hasil coretan manusia yang sama. 

Pada kulit bukunya dengan jelas tertulis “MUDA & DERHAKA, KUMPULAN ARTIKEL DAN ESEI”. Tulisan tajuk itu terpahat pada bentuk kepala dan wajah seorang lelaki yang aku kira mungkin manusia yang betul atau boleh jadi, cuma bayangan manusia. Tetapi yang lebih penting, kenapa tulisan tajuk itu di kepala dan wajah manusia itu? Mungkin, penerbit atau penulis ingin meletakkan mesej tersirat bahawa muda dan derhaka itu pada pemikiran kita, tidak tertakhluk kepada usia batang tubuh. Maka, aku iyakan sahaja kulit buku ini beserta tajuk yang aku tidak rasakan perlu dikritik secara berlebihan kerana aku barangkali dapat melihat rasional di sebaliknya. Aku juga tidak menolak kemungkinan bahawa reka bentuk pada kulit buku ini hanya sekadar rekaan, tiada apa-apa mesej tersurat atau tersirat seperti yang aku cuba katakan tadi. Juga pada aku, hal itu baik-baik sahaja.

Meneliti 24 esei dan artikel yang ditulis oleh saudara Ried SD, aku dapat mengecapi makna muda dan derhaka itu terletak di mana. Di mana lagi ingin diletakkan muda dan derhaka itu, kalau tidak di pemikiran dan juga perbuatan kita marhaen yang masih lagi dipijak oleh kuasa dan didiktat oleh koruptor. Terdapat banyak kata-kata yang menarik perhatian aku, dan terpaksa aku tandakan sebagai asbab untuk aku mengingat, supaya boleh kiranya aku gunakan kata-kata itu sebagai inspirasi untuk diri sendiri atau mungkin sebagai hujah untuk digunakan dalam penulisan atau bedah buku yang kami di Book Surgeon cuba usahakan. 

Artikel pertama bertajuk, “Membuku, Menulis & Pencerahan” sangat cocok dengan usaha kami di Book Surgeon yang cuba ingin memupuk minat membaca dan betapa pentingnya pembacaan buku dalam era lambakan informasi ini. Maka tahniah kepada penulis kerana berjaya membuatkan aku ketagihan untuk membaca lebih banyak artikel penulisannya sehingga tamat. Antara kata-kata yang aku gemar dalam penulisan artikel pertama ini ialah,

“Buku itu makanan bagi mereka yang ingin tercerahkan, dan alat bagi mereka yang ingin terbebaskan.” 

Betapa benarnya kata-kata ini dan aku setujui. Tinggal lagi, promosi seronoknya membaca dan mengkritik, menulis dan berbedah buku, berkongsi dan berdiskusi ilmu, berwacana dan tidak sekadar berwa-canang, masih lagi perlahan kesuburannya di Pulau Pinang ini. Penulis juga mengatakan bahawa usaha ini masih lagi di peringkat awal di negeri Sabah di bawah komuniti Free Read yang Rien SD merupakan seorang daripada penggiatnya. Maka, bagi penggemar buku tetapi masih segan silu berdiskusi ilmu atau berbedah buku, kita perlu sedar bahawa kita yang menyukai buku dan gemar membaca inilah yang perlu lebih vokal, analitikal dan kritikal dalam menyuarakan laungan-laungan pembebasan melalui pembacaan. Juga tidak dilupakan, kita perlu menggiatkan lebih banyak program hasutan untuk lebih ramai manusia membaca lebih banyak buku sebelum kita duduk semeja atau selantai, berbual dan bertukar pandangan secara santai.

Menelusuri lebih banyak artikel tulisan Rien SD, aku ketemu tulisan berkenaan stateless people di Sabah. Walaupun isu ini juga tertulis di beberapa terbitan lain seperti Anti-Universiti dan sebagainya, aku kira tulisan berkenaan isu ini sangat penting untuk diperbanyakkan. Aku mengagumi usaha murni rakan-rakan yang menolong dan cuba menguatkan komuniti yang tidak tahu membaca dan menulis apatah lagi mengira, untuk menguatkan mereka dalam usaha menuntut hak asasi mereka dalam tanah yang kaki mereka terpijak di atasnya, tetapi nama mereka tiada dalam senarai warganegara. 

Kebanyakan artikel tulisan Rien SD yang lain di dalam buku ini menyentuh kekuatan yang perlu orang bawahan punyai untuk melawan regim kezaliman dan untuk terus membawa ideologi politikal non-partisan. Tidak ketinggalan, dia juga mengkritik kesalahan agamawan dengan menggunakan istilah-istilah haraki yang aku kira tepat (sekadar pemahaman seorang yang futur seperti aku), tidak ketinggalan mengingatkan semula bahawa authoriti dan pengaruh agama tidak boleh bernikah, tidur sebantal walau sekadar sedetik dua. Kerana kombinasi pincang ini bukannya bakal mencambah benih kejujuran, tetapi kedua-dua ini akan menyebarkan lebih kemusnahan daripada apa yang sudah ada sekarang. Sepertimana yang aku kerap kali diingatkan oleh guruku Ustaz Ismail Din tentang bagaimana ulama’ dahulu tidak gentar menegur penguasa, bagaimana terdapat amaran yang sama berkenaan kombinasi agama dan penguasa, maka pendirian aku makin kukuh dan utuh, agamawan sepatutnya berada di pihak ketiga memihak rakyat bawahan dan keadilan, bukannya memihak pihak penguasa buat memperoleh habuan. 

Adat dalam membaca dan menelaah, sudah pasti ada beberapa perkara yang aku setuju dan tidak aku setujui, maka untuk buku ini, artikel yang aku tidak bersetuju dengan bawaannya ialah pada artikel yang ke-8 bertajuk “Temui Ismailmu, Sembelihlah” pada halaman 35. Aku memilih berbeza dengan penulis jika imej ‘Ismail’ yang cuba digambarkan di sini ialah dengan watak jahat atau sebuah kecintaan yang memusnahkan diri seorang ‘Ibrahim’. Perbezaan ini aku nyatakan kerana, sekadar kefahaman aku yang cetek, Ismail adalah seorang nabi, anak kepada seorang nabi. Nabi Ismail tidaklah menjadi penghalang kepada usaha berterusan Nabi Ibrahim kerana, jika diteliti, Nabi Ismail membantu Nabi Ibrahim membina Kaabah dan daripada jalurnya juga diperkenankan doa Nabi Ibrahim tentang perutusan rasul terakhir Nabi Muhammad S.A.W. Seperkara lagi, ketika ingin disembelih, sepertimana dalam surah As-Saffat, surah yang ke-37, ayat 102, Nabi Ismail dengan rela hati menyuruh ayahnya meneruskan tugasan yang telah Tuhan berikan. Maka aku tidak nampak di manakah kejahatan atau pujuk rayu ‘Ismail’ untuk menderhaka kepada Tuhan. Atau dalam konteks yang cuba ditulis oleh penulis, jika dia maksudkan Ismail itu sebagai hawa nafsu yang perlu dikorbankan, aku juga akan mengatakan bahawa analogi ini tidak tepat dan bathil. Mungkin jika boleh aku sarankan alternatif untuk analogi tersebut, aku akan cadangkan bahawa dilontar dahulu si Iblis yang cuba menghalang ketaatan (penyembelihan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim), atau ‘Temuilah Iblismu, Sembelihlah!’ mungkin akan menjadi tajuk yang lebih baik. Kerana yang perlu dilawan dan ditumpaskan itu ialah keinginan kita dan pujuk rayu ke arah kebathilan, bukan ketaatan seorang anak muda mengiyakan perintah Tuhan melalui bapanya.

Jika diberi kesempatan, mungkin aku akan masukkan pembedahan buku ini dalam siri Bedah Buku Komprehensif yang dijalankan di bawah Book Surgeon. Tinggal lagi mungkin ketika itu, buku ini juga sudah lama terjual dan tersiar atau mungkin telah beberapa kali dibincang dan didiskusikan. 

Sekalung tahniah kepada Rien SD kerana berjaya menulis sebuah buku yang mantap kandungannya ini. Cuma, jika dapat dihapuskan penggunaan kata-kata kesat di dalamnya, alangkah lebih baik.

Tahniah sekali lagi. Moga kita akan terus melawan dengan pembacaan berterusan!

#BookSurgeon
#BedahBukuBertulis
#MudaDanDerhaka

Comments

Popular Posts