RESENSI BUKU : PANGGILAN BERSATU, karangan Hamka

l ULASAN BUKU: PANGGILAN BERSATU l

Profesor Dr Hamka merupakan sosok ulama yang tidak perlu diperdendang lagi namanya lantaran ketokohan beliau sangat masyhur di Alam Melayu/Nusantara. Buya Hamka bukan hanya tokoh agamawan, politikus, sasterawan tetapi juga pemersatu ummat dan bangsa. Intisari tajuk ini berkait rapat mengenai membangunkan ummat dan memajukan bangsa. Buku ini menekankan perpaduan setelah berlaku perpecahan berskala besar dalam gerakan Islam di Indonesia seperti Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama (NU).

Dalam Bab 2: Persatuan Ummat & Menjayakan Ummat merakamkan pandangan Hamka yang secara terang  menyinggung kemunduran ummat Islam yang acapkali menumpukan tumpuan mereka terhadap masalah khilafiah sehingga berpuak-puak dek kerana masalah furu’ dalam bab Fiqh. Sedangkan pada saat itu, Soviet Union telah pun melancarkan roket Sputnik 1 ke angkasa lepas sehingga berjaya menggelilingi bulan. Kemunduran ummat Islam dalam bidang sains turut dikritik oleh Hamka kerana terdapat ulama pada ketika itu yang berpandangan bahawa sebarang bentuk pengkajian ilmu terhadap angkasa lepas adalah haram dan salah di sisi Islam. Di sini kita dapat melihat bahawa Hamka cuba merungkai permasalahan dalam kemunduran ummat dalam ilmu Fardhu Kifayah supaya ummat Islam dapat maju dalam dunia sains agar tidak tertinggal gerabak kereta api di belakang bangsa lain dalam kemajuan ilmu sains. Keterbukaan Hamka menunjukkan beliau berani membuka lembaran ilmu baharu yang tidak berlaku ketika zaman Rasulullah SAW kerana beliau mengerti bahawa Baginda menginginkan ummat Islam terus berilmu dan tidak jahil dalam ilmu agama termasuk duniawi.

Berkenaan masalah ijtihad, Hamka menulis bahawa pintu ijtihad itu masih terbuka luas dan tidak terus tertutup selepas zaman Imam 4 Mazhab (Fiqah). Namun begitu, Hamka dilihat bijak kerana menegur kedua-dua aliran yang bertembung dalam masyarakat. Antaranya, Hamka menasihati pengikut yang berfahaman Salafi agar tidak terburu-buru mengeluarkan hukum jikalau dia tiada kefahaman Islam yang jelas dan hanya mengikut kata-kata gurunya yang satu sahaja. Begitu juga dengan kelompok tradisionalis yang taqlid buta dengan ilmu daripada kitab-kitab yang dipelajari bersama guru mereka. Hal yang menyebabkan ummat Islam berpecah ini sangat ditentang oleh Buya Hamka kerana antara sunnah Rasulullah SAW yang sering dilupakan ialah persaudaraan. Hal ini masih dapat diingati jelas melalui peristiwa penghijrahan kaum Mujahirin dari Makkah ke Madinah yang didiami oleh kaum Ansar.

Kegeniusan Hamka dapat dilihat terang apabila beliau mengambil kesempatan revolusi Indonesia untuk meniupkan semangat dakwah dalam jiwa orang Islam di sana. Hal ini demikian kerana ummat Islam di Indonesia diserang penyakit sekularisme yang dahsyat. Hal ini dapat dilihat kerana mereka beragama Islam, nama juga Islam tetapi hidup mereka tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan orang-orang kafir. Hamka tidak keras mengeluarkan hukum bahawa mereka telah jatuh murtad tetapi mengajak ummat supaya kembali kepada Islam dengan seruan moderat. Kesederhanaan Hamka juga terdapat ketegasan yang utuh apabila beliau mengeluarkan fatwa yang mengharamkan ucapan Hari Natal kepada masyarakat beragama Kristian (sekalipun pada hari ini pandangan itu mungkin berubah). Buya Hamka mengangkat ketokohan Kiyai Haji Hasyim Asy’ari dari NU (walaupun Hamka sendiri dari organisasi Muhammadiyah). Katanya, seruan untuk membuka luas pintu dialog oleh Kiyai tersebut wajar dihormati dan didengari oleh warga Muhammadiyah dan NU agar ummat Islam tidak berpecah hanya kerana berbeza fahaman fiqah. 

Buya Hamka turut mengangkat tokoh besar seperti Salahuddin al-Ayubbi yang berjaya menawan Palestin. Salah satu faktornya ialah bersatu dalam hal yang besar. Berbalik kepada kemajuan ilmu sains, Hamka mengingatkan kita mengenai kezaliman Gereja Katolik yang memenjara ilmuwan seperti Galileo Galilei hanya kerana fakta beliau yang menyanggah ayat-ayat keterangan Injil mengenai putaran bumi ketika peristiwa Nabi Yusha’ dan matahari terhenti waktu terbenam. Menurut Galileo Galilei, Injil tidak bersalah. Yang bersalah ialah pencatat Injil yang tidak mengetahui bahawa bumi yang menggelilingi dan bukan sebaliknya. Tujuan Hamka menulis hal ini kerana ada ulama dari Tanah Melayu (Malaysia) yang menyatakan hukum ke bulan ialah perkara yang melanggar syariat sedangkan hal itu kini sangat berguna untuk ummat jika digunakan untuk kebaikan seperti satelit. 

Hamka juga memperingatkan kita bahawa walaupun Gereja Katolik pernah menjadi sang diktator dalam mazhab Kristian, tetapi mereka kekal dominan dalam dunia Kristian sehingga kini berbanding Ortodok dan Protesten. Hal ini demikian kerana mereka mempelajari kesilapan mereka yang menyekat kemajuan sains seperti yang pernah mereka lakukan terhadap Galileo Galilei dan pakar ilmuwan yang lain. Menurut Hamka, ulama harus meniupkan kemajuan ilmu sains dan agama kerana ulama mempunyai pengaruh yang kuat dalam ummat dan kalam ulama selalunya disanjung-sanjung kerana keilmuwan mereka.
Yassiru Walaa Tu’Assiru, mudahkan jangan dipersukar. Islam menuntut ummat bersatu untuk terus maju di dunia dan akhirat. Wajarlah kita untuk menekuni bait-bait nasihat Hamka supaya kita menjadi ummat yang mengingati pesanan mereka yang terdahulu. 

Pada penghujung ulasan ini, eloklah kita menghayati sajak Hamka yang menjadi pembuka buku ini.

Aku lihat gelombang Barat,
Telah datang gulung-bergulung,
Sedang penjaga pantai di Timur terlena tidur
Kalau Nabi Nuh tiada datang
Dengan bahteranya menolong,
Ucapkanlah “Salam Maut”
Kepada Islam dan ummat Timur….

#MusafirSejarah
#UlasBuku

Comments

Popular Posts