RESENSI BUKU : PAS ZAMAN ANWAR, karangan Ahmad Lutfi Othman

l ULASAN BUKU: PAS Zaman Anwar: Memo buat bakal PM l

Saudara Ahmad Lutfi Othman merupakan seorang wartawan Harakah yang terkenal dalam membongkar isu-isu panas yang melanda kerajaan sejak dari zaman mahasiswa sehingga pada hari ini (penulis bebas). Buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami oleh para pembaca, termasuk golongan muda yang berminat untuk mengetahui perkembangan politik tanah air pada tahun 1980-1993. Buku yang mengandungi 21 bab ini bukan hanya memperkatakan sosok saudara Anwar Ibrahim, tetapi juga mengupas isu-isu yang menggugat ekonomi, sosial dan politik negara pada ketika itu.

Sebagai mukadimah, buku ini tidaklah bertujuan untuk menjatuhkan saudara Anwar Ibrahim dalam pemilihan Timbalan Presiden UMNO dengan menaikkan nama al-marhum Ghaffar Baba pada ketika itu, tetapi sebagai kritikan kepada Menteri Kewangan, yang juga Naib Presiden UMNO pada ketika itu untuk belajar menerima teguran yang kritikal. Buku ini juga merangkumkan beberapa isu panas yang berlegar dalam media massa pada ketika itu. Walaupun Anwar Ibrahim digelar “The Rising Star in UMNO”, gelaran tersebut tidak memaksumkan beliau dalam semua perkara ketika menjadi Menteri Kewangan dan Kementerian-Kementerian yang sebelumnya. Menariknya, penulis juga memasukkan pujiannya terhadap Anwar Ibrahim, sebagai tokoh yang berpengetahuan luas dalam Islam, berkarisma dan berpengalaman hebat sebagai bekas Presiden ABIM.

Antara isu yang menangkap perhatian saya ialah perubahan sikap Anwar Ibrahim setelah memasuki gelanggang politik melalui parti UMNO. Gelaran ‘Pak Syeikh’ dalam ABIM seolah-olah tercabut daripada Anwar Ibrahim yang kelihatan lebih condong ke arah Liberal berbanding Konservatif ketika dalam ABIM. Dalam buku ini, Anwar dikatakan tidak menyekat ketumbuhan pusat-pusat judi, konsert-konsert hiburan dan lebih rapat dengan taikun-taikun judi seperti Vincent Tan. Hal ini jelas bertentangan dengan pendekatannya ketika menerajui ABIM yang tegas dalam usaha menangani kemungkaran-kemungkaran yang menyusupi ke dalam negara kita. 

Seterusnya, buku ini memperincikan tindakan saudara Anwar Ibrahim yang dilaporkan melobi beberapa media kerajaan seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV 3 untuk menaikkan populariti dan imejnya sebagai pemimpin negara. Boleh dikatakan semua akhbar dikuasainya, kecuali Harakah dan lidah rasmi pembangkang yang lain. Penulis juga menegur sikap Anwar Ibrahim supaya berlaku adil kepada wartawan pembangkang dengan tidak berlaku sombong atau berkerut muka ketika ditemu ramah oleh wakil media pembangkang. 

Dalam Bab 8: PAS Zaman Anwar, penulis seolah-olah mengimbau kembali saat Anwar Ibrahim memimpin ABIM sebelum mengeluarkan “ijtihadnya” untuk menyertai UMNO pada tahun 1982, walaupun ramai daripada pendukung gerakan Islam mengharapkan beliau menggantikan  Dato Asri sebagai Yang di-Pertua (Presiden) PAS yang semakin tenat selepas dibuang daripada parti komponen Barisan Nasional. Walaupun ramai daripada sahabat karib beliau di ABIM seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor menyertai PAS (atas gesaan Anwar), namun tidak begitu laluan politik bagi Anwar. Percaturan politik Anwar juga bijak kerana beliau tidak terus memutuskan hubungannya bersama-sama teman dalam ABIM, hatta dengan mereka yang telah menjadi pemimpin PAS dari kem ABIM. Golongan yang mempersoal tindakan Anwar juga tidak mempunyai hujah yang mantap kecuali perubahan sikap Anwar yang dilihat lebih ‘Liberal’ dalam menangani isu-isu semasa berbanding ketika memimpin ABIM dahulu. Walaubagaimanapun, Almarhum Ustaz Fadzil Noor antara pemimpin PAS yang pertama membela Anwar Ibrahim setelah dipecat daripada UMNO dan Menteri Kewangan. Hal ini menunjukkan bahawa politik matang sudah pun berlaku pada era yang lalu, yakni persahabatan yang merentasi perbezaan fahaman politik. 

Antara krisis yang dikupas hebat dalam buku ini ialah kerugian Bank Negara. Sekiranya kita hendak memahami krisis ini, kita wajar memahami beberapa teori ekonomi Kapitalis yang licik. Anwar Ibrahim pernah ditegur dalam Parlimen oleh  wakil pembangkang dari PAS, Semangat 46 dan DAP mengenai isu tersebut kerana beliau lebih menerang teori berbanding menjawab soalan yang dibangkitkan oleh wakil pembangkang di Dewan Rakyat. Krisis ini telah menyebabkan negara kerugian lebih jutaan ringgit, sedangkan wang tersebut boleh mengeluarkan rakyat daripada kelas kemiskinan kepada kelas pertengahan. Keghairahan Dr Mahathir dalam ‘membina’ negara industri nampaknya gagal dalam beberapa aspek, terutamanya apabila perancangan ekonomi tidak dibentuk dengan utuh. Hasilnya, setelah beberapa pemimpin silih berganti (masih mengikut konsep dan idea beliau), mereka masih gagal menolong masyarakat miskin kota dan di kawasan pedalaman serta separa pedalaman. Pemimpin wajar lebih telus daripada berdusta dalam apa-apa hal sekalipun kerana kepincangan ketika mentadbir negara hanya memberi kesan buruk kepada rakyat jelata. 

Dalam bab 17: Anwar Hantui Strategi Gerakan Islam pula, penulis menceritakan keraguan beberapa gerakan Islam kecuali ABIM terhadap dasar yang akan dibawa oleh kerajaan sekiranya Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri. Bagi mereka, ABIM akan dilayani lebih baik kerana mempunyai sejarah yang gemilang bersama Anwar Ibrahim, manakala PAS dan lain-lain belum tentu kerana percaturan politik yang boleh berubah pada bila-bila masa. Pada pandangan mereka, Anwar Ibrahim lebih sukar ditafsir berbanding Dr Mahathir. Tetapi, penulis juga menyatakan harapan positifnya terhadap gerakan Islam jika Anwar Ibrahim menjadi PM agar kesan dakwah dalam kalangan rakyat Malaysia berhasil kerana pengalaman Anwar sebagai bekas Presiden ABIM tidak boleh disangkal oleh sesiapa.

Akhir kata, jika diukur melalui garis masa, Anwar Ibrahim melalui 3 fasa yang membentuk dirinya. ABIM, UMNO dan PKR yang menjadi medium perjuangannya tidak wajar untuk kita kupas hanya pada sisi baik dan buruknya sahaja. Anwar mungkin tidak akan menjadi PM Malaysia, tetapi wajib untuk kita percaya bahawa negara akan ditadbir oleh seseorang yang jauh lebih baik daripada beliau dan pemimpin yang sedia ada pada masa sekarang. Saya menganjurkan kita mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa dahulu supaya kita lebih cerdas memahami isu ekonomi, helah politikus (serta agamawan) dan mengeluarkan masyarakat daripada masalah sosial (gelandangan, jenayah, kejahilan ilmu agama dan lain-lain). Kerosakan negara pada hari ini sering datang daripada masa yang lalu. 

P/S: Sebahagian daripada ulasan buku merupakan pandangan peribadi pengulas buku.

#BilisSinis
#MusafirSejarah
#JomMembaca

Comments

Popular Posts