RESENSI BUKU : PEMBURU, karangan Hilal Asyraf

l Resensi PEMBURU l

Novel berketebalan 415 halaman ini berjaya aku baca sehingga tamat pada 21/10/2019. Meneliti setiap lontaran idea penulis membawa aku ke beberapa dimensi idea, pegangan dan juga gambaran keadaan ideal yang cuba dilakar oleh penulis. Dalam resensi kali ini, aku tidak akan menyentuh elemen persamaan antara karya Hilal Asyraf ini dengan filem Barat kerana aku telah menyentuh perihal tersebut dalam tulisan resensi novel HERO. Sepanjang membaca novel PEMBURU ini, aku dapat lihat beberapa hal cuba diketengahkan oleh penulis. Salah satu daripadanya ialah pembinaan sebuah kondisi ideal negara Islam yang dipelopori oleh Malaysia. Dapat kita lihat Kotaraya Angsana masih lagi menjadi lokasi utama merangkumi lokasi pusat pentadbiran Malaysia. Posisi Perdana Menteri Malaysia sudah diambil alih oleh seorang yang layak dan benar-benar berjiwa rakyat. Seperkara lagi yang melakar keadaan ideal impian penulis atau setiap Muslim yang prihatin terhadap negara Malaysia ialah penceritaan kekuatan Malaysia dari segi ekonomi, dari segi pengaruh Malaysia yang perlahan-lahan menjadi kuasa besar sehingga mampu mengetepikan Amerika Syarikat dan yang paling utama ialah keterlibatan Malaysia dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel walaupun solusi yang dicadangkan di dalam buku ini boleh dibahas panjang dan mungkin aku lebih memilih pandangan yang sedikit berbeza dengan penulis.

Meninjau kulit buku ini yang menunjukkan imej seorang manusia memakai jaket berpenutup kepala disertai imej beberapa butir peluru yang berterbangan, secara jelas, tema buku ini yang melibatkan aksi, tembak-menembak dan perlawanan berstrategi terpapar jelas dalam minda aku, tinggal lagi terdapat beberapa elemen yang mengejutkan dan mendebarkan, tidak kurang elemen yang membuatkan aku tidak puas hati kerana jalan cerita itu mungkin bertentangan dengan selera plot cerita yang aku sasarkan sedari awal pembacaan.

Secara keseluruhan, PEMBURU melakar naratif mengenai Mustafa atau Muse bersama Bakri yang sepanjang penceritaan novel ini, cuba menumpaskan Kesatuan Pemburu. Dalam jerit-perit ‘perjuangan’ mereka berdua, mereka bertembung dengan beberapa pemburu handalan daripada kesatuan tersebut menyebabkan laluan ke arah menumbangkan kesatuan besar ini menjadi semakin rumit dan sempit. Tetapi, bantuan demi bantuan menjengah wajah kedua anak-beranak ini apabila mereka dibantu oleh Afam yang merupakan watak utama dalam novel HERO. Sehingga ke akhir cerita, dapat kita lihat bukan sahaja kematian ditulis kepada kumpulan protagonis tetapi kumpulan antagonis cerita ini turut disapa dengan kematian membuatkan cerita ini, pada pandangan aku, seimbang. Pemilihan tajuk yang mewakili sifat kumpulan baik dan jahat dalam cerita ini turut membantu pembawaan cerita pada permulaan dan pengakhiran cerita kerana secara tidak langsung pembaca dapat menyelitkan imej pemburu kepada kedua-dua pihak yang bertelagah. Mana tidaknya, kedua-dua pihak terdiri daripada pemburu yang hebat dengan ketangkasan ketika bertarung dan kemahiran menggunakan senjata yang sangat unik dan boleh dikatakan tiada tandingan daripada orang kebanyakan.

Dalam resensi buku kali ini, aku ingin menggunakan semula tajuk buku ini iaitu PEMBURU sebagai akronim untuk aku membedah sedikit sebanyak kandungan buku ini yang aku rasakan menarik dan sesuai dikongsi bersama rakan-rakan bukuwan yang budiman. Semoga dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat menjentik inkuiri dan mewujudkan pemikiran kritis dalam minda pembaca dan penulis resensi.

P – Perancangan.

Sebagaimana dapat dilihat dalam buku ini, pemburu, baik daripada pihak yang baik atau jahat, akan merancang sebaik mungkin sebelum melakukan sesuatu pembunuhan. Hal ini kerana, pemburu perlu menyelesaikan misi mereka dan mereka perlu mengurangkan risiko diganggu dengan gangguan yang kecil atau besar yang dapat memberi ancaman dan membawa kepada kegagalan misi. Dapat dilihat dalam beberapa ketika, Muse dan Bakri merancang dengan teliti mahu menembak dari arah mana, bilakah masa yang paling sesuai, dan apakah ancaman yang bakal tiba dari segi siapakah yang bakal dihantar seterusnya oleh Kesatuan Pemburu setelah jaguh pemburu mereka ditumpaskan satu persatu oleh Muse dan Bakri. 

“Manusia yang dipanggil ‘Ayah’ itu, sering dilihat melakukan kira-kira, bermain dengan formula, dan sibuk membuat perancangan. Seakan itu ialah hobinya.” (Halaman 19)

Cuma, apabila pemburu terlalu rigid atau jumud dengan perancangan mereka semata-mata, peluang untuk dikejutkan dengan ancaman adhoc atau kejutan dari pihak lawan adalah sangat tinggi. Pada halaman 240, ditulis bahawa Muse terkejut dan sangat tidak menyangka bahawa Adzhim yang merupanya gurunya akan dihantar sebagai pemburu seterusnya setelah beberapa orang pemburu telah tumpas di tangan Muse dan Bakri. Malah, disebutkan secara jelas pada halaman 247 seperti berikut,

“Ya dan mereka telah menghantar seorang yang amat dahsyat. Yang kita langsung tidak bersedia untuk berhadapan dengannya hari ini.”

Pada hemat peribadi, sudut positif unsur perancangan ini diketengahkan kepada pembaca ialah ianya akan membuatkan pembaca sedar akan kepentingan merangka perancangan untuk mencapai sesuatu misi dan melengkapkan sesuatu objektif kepada visi yang besar. Tetapi, pada masa yang sama, aku disedarkan akan kecacatan perancangan kita sebagai manusia yang tidak dapat tidak, akan bertemu kegagalan yang terkadang hadir dari sudut yang tidak pernah kita sangka. Berbekalkan kepada pengalaman, manusia diajak merancang semampu boleh, akan tetapi, perancangan yang Maha Esa akan sentiasa mendahului dan akan menang dalam setiap pertempuran yang berlaku. Keburukan apabila kita sebagai manusia, hanya bergantung harap kepada perancangan diri kita yang terbatas semata-mata ialah ianya akan membuatkan kita merasa marah atau kecewa yang amat sangat jika sesuatu yang berlaku itu diluar kawalan kita. Sepatutnya kita mengambil pengajaran daripada unsur ini untuk sentiasa mempunyai ‘Plan B’ atau rancangan alternatif jika sesuatu perkara itu tidak berlaku seperti yang kita rancang. Kerana pada akhirnya, kita perlu sedar, kita hanya mampu merancang dan Allah yang akan mengizinkan rancangan itu berjaya atau gagal.

E – Extraordinary Human dan Expression of Facts.

Kedua-dua kata kunci ini, pada hemat aku secara peribadi, menambah perisa dan kesedapan kepada pembaca novel pemburu. Hal ini kerana, setiap pemburu yang diceritakan dalam buku ini akan menjalani satu pembedahan untuk mengubah struktur dan kemampuan tubuh badan mereka supaya mereka dapat menjadi manusia yang luar biasa bagi menyelesaikan misi mereka yang bukan biasa-biasa. Bakri juga menjalani pembedahan yang sama seperti yang diceritakan pada halaman 75 dan 76. Pembedahan ini akan menambah kemampuan Bakri dan pada masa yang sama, latihan fizikal yang dijalaninya saban waktu akan ditambah kesukarannya. Dengan berbekalkan tubuh yang telah dibedah dan ditambah kemampuan dan latihan fizikal serta mental yang utuh, Bakri dapat menjadi seorang pemburu yang tidak boleh diremehkan. Hal ini secara tidak langsung memberi gambaran kepada aku tentang kepentingan persediaan luar dan dalam yang rapi. Aku tertarik dengan konsep yang diketengahkan ini, berkenaan latihan luar dan dalam yang amat penting untuk mencapai matlamat atau misi mereka yang besar. Tetapi, pada masa yang sama, logika aku menyanggah kewujudan manusia semisal Bakri dan golongan pemburu yang lain. Aku tidak dapat bayangkan dengan jelas kewujudan manusia setangkas itu dan pada pemikiran aku, ianya sepantas membayangkan manusia seperti Roronoa Zorro dari anime One Piece wujud di muka bumi ini dan semakin hari dia menjadi semakin tangkas dan kuat.

Berkenaan konsep yang kedua di bawah kata kunci ‘Expression of Facts’ atau Penzahiran Fakta, suka untuk aku kemukakan bahawa antara kekuatan penulisan novel Pemburu ini ialah penjelasan tentang bagaimana tembakan jarak jauh dilepaskan dan penjelasan ini dikaitkan dengan Kesan Coriolis yang sejujurnya, terpaksa aku cari dalam laman carian Google sebelum aku fahami apakah maksud terma tersebut. Sejujurnya, lebih banyak novel yang menghidangkan fakta seperti ini perlu dihasilkan supaya pada masa peminat atau pembaca novel menghabiskan masa berimaginasi dengan novel karangan penulis kegemaran, pengetahuan mereka tetap terisi. Pernah aku diberitahu oleh seorang teman bahawa novel tulisan Ramlee Awang Murshid merupakan novel ‘berisi’ maklumat dan ianya bagus untuk dibaca. Maka sekarang, dapat aku menambah satu lagi judul novel iaitu Pemburu.

M – Mandul dan Mentaliti ‘Cult’ (Kepuakan).

Sebagai kesinambungan daripada hal yang telah aku tuliskan dalam menghuraikan perkataan di bawah huruf ‘E’, selepas menghadapi pembedahan yang ‘istimewa’ yang dilalui oleh setiap pemburu, maka setiap pemburu akan menjadi mandul. Hal ini bukan diambil dari sebarangan tempat dan tidak juga aku tulis sesuka hati. Akan tetapi, hal ini disebutkan antaranya pada halaman 125, ketika Bakri mempertikaikan kenapa Muse menyembunyikan hakikat bahawa Bakri mandul disebabkan pembedahan yang dijalankan kepadanya. Pertikaian yang berlaku itu berasas. Cuma, pada pandangan aku, sepatutnya dijelaskan di dalam buku ini, proses yang tertentu yang menjustifikasikan kemandulan itu. Misalannya, mungkin boleh dikaitkan fungsi testicles atau mana-mana organ yang terlibat dalam sistem reproduktif yang akan menyebabkan tubuh menjadi lemah, sekaligus melemahkan serba sedikit fungsi dan ketangkasan seorang pemburu, justeru, perlu dinyahfungsikan organ tersebut untuk menjadi lebih tangkas. Sebenarnya aku tercari-cari penjelasan saintifik atau sekurang-kurangnya penjelasan rekaan yang kedengaran seperti saintifik untuk setidak-tidaknya meleraikan benang yang kusut dalam menjelaskan kenapa Pemburu termandul dengan proses pembedahan tersebut atau dimandulkan dengan proses pembedahan yang berlaku. Perlu diingatkan bahawa di dalam novel ini diekspresikan ketidakpuasan hati Bakri atas tindakan Muse menyembunyikan hal ini daripadanya dan ketidakpuasan hati Bakri dari aspek haknya ke atas tubuh badannya. Jika dilanjutkan lagi perbincangan ini, kita akan memperkatakan pula pencerobohan hak yang dilakukan atas nama perjuangan. Tetapi, menuju ke akhir cerita ini, solusi kepada kemandulan Bakri itu seakan-akan mempunyai sinar apabila hal ini hampir ditemui oleh Mr Umayer.

Kata kunci kedua di bawah huruf M aku tumpukan kepada Mentaliti Cult/Kepuakan. Secara jujur, aku tidak nampak akan hal lain yang lebih utama melainkan mentality kepuakan ini yang cuba dizahirkan melalui Kesatuan Pemburu. Hal ini kerana, berdasarkan sedikit informasi yang aku ketahui berkenaan Cult, mereka mempunyai satu identiti yang sama, misi yang sama, sesiapa yang menentang mereka mungkin sampai satu tahap akan dibunuh, mereka taasub dengan kumpulan mereka masing-masing dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi diberikan kepada puak atau cult mereka. Seperkara lagi, jika seseorang yang merupakan ahli mana-mana cult, akhirnya meninggalkan cult itu, dia tidak akan mahu lagi menyertai cult itu semula dek kerana kekesalan atau kesedarannya akan salahnya hala tuju Cult tersebut. Ciri-ciri yang aku zahirkan berkenaan cult ini, sedikit sebanyak aku pelajari daripada khutbah Ustadh Nouman Ali Khan berkenaan ‘Cult vs Community’. Maka, jika dilihat pada watak Muse yang sudah memberontak melawan Kesatuan Pemburu, dia tidak akan sekali-kali menyertai semula kesatuan tersebut kerana rahsia kejahatan mereka sudah terbongkar dan Muse sudah mendapat petunjuk ke arah kebenaran bahawa Kesatuan Pemburu cuba membikin onar dan memporak-perandakan Malaysia dalam usaha mereka menjayakan misi besar mereka. Dari segi unsur ukhuwah antara ahli kesatuan atau puak ini, diceritakan di dalam buku ini bahawa ahli Kesatuan Pemburu tidak boleh bergaduh sesama sendiri. Hal ini, seperti yang dinyatakan pada halaman 44,

“Bahkan pergaduhan mulut pun, berita itu akan sampai kepada Kesatuan, dan tindakan akan diambil. Ini semua bagi mengelakkan tiadanya perpecahan, dan memastikan sebarang masalah tidak dibawa keluar.”

Ayat ini mungkin mempunyai sedikit kesilapan pada pemilihan gabungan perkataan ‘mengelakkan tiadanya perpecahan’ yang jika pada kefahaman aku, membawa maksud yang bertentangan dengan apa yang dihajati penulis. Tetapi, pada dasarnya kita tidak boleh menafikan bahawa tema Cult dominan dalam cerita ini dan ukhuwah antara mereka sangat penting untuk dikekalkan dan dieratkan demi menjaga rahsia kumpulan mereka.

B – Buta.

Dapat dilihat tiga jenis kebutaan yang digambarkan dalam cerita Pemburu iaitu:

1) Penjelmaan seorang watak yang buta matanya iaitu Adzhim. Walaupun karakter ini buta matanya tetapi kehebatan ketika dia bertarung tidak dapat diperkecilkan. Dapat aku fahami bahawa mesej yang cuba dibawakan di sini ialah karakter ini tidak cacat penglihatan atau kurang upaya, tetapi sebenarnya karakter ini kuat derianya yang lain dan mempunyai keupayaan yang lain yang sangat hebat. Mungkin barang sedikit motivasi dapat diberikan kepada mereka yang merasakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kekuatan hanya kerana tidak mempunyai tubuh yang ideal. Mesej untuk mereka yang terasa rendah diri tidak kena tempat ini ialah, sepatutnya keyakinan diri itu wujud dan sesuatu yang hebat itu perlu dilakukan dengan sesempurna mungkin tidak kira apa jenis kelemahan yang kita rasakan kita ada atau sedang tanggung pada mana-mana ketika atau saat dalam kehidupan.

2) Terdapat pihak yang buta dengan konspirasi yang berlaku contohnya seperti seluruh rakyat Malaysia yang gagal melihat kewujudan Kesatuan Pemburu yang sebenarnya berada di sebalik kejadian pembunuhan orang yang cuba mendedahkan rahsia Kesatuan Pemburu contohnya seperti pembunuhan Nazir. Termasuk juga yang buta tentang konspirasi ini ialah Detektif Wong dan rakan-rakannya yang tidak dapat melihat kelicikan Kesatuan Pemburu ini walaupun sebenarnya kejadian itu berlaku dekat dengan mereka. Kebutaan jenis ini aku fikirkan sebagai kebutaan yang dirancang oleh pihak yang berkepentingan yang lain dan jika dibiarkan berterusan, apa sahaja yang berlaku tidak akan dapat dilihat dengan jelas siapa dalang di sebaliknya dan bagaimanakah caranya mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh yang merancang konspirasi. 

3) Kebutaan juga wujud di dalam kumpulan Kesatuan Pemburu kerana mereka berjuang untuk menggagalkan kebenaran dan mengangkat kebatilan sekaligus mereka ini buta dengan perkara sebenar yang perlu diperjuangkan malah mereka memilih untuk menentang perkara itu. Ironinya, mereka ini cuba membutakan orang lain daripada melihat kehebatan mereka membuat helah dan tipu daya akan tetapi mereka tidak sedar mereka sebenarnya makin hanyut daripada kebenaran yang hakiki. Kumpulan yang buta ini, cuba memburu beberapa individu yang kemudiannya celik perlahan-lahan dan cuba memanfaatkan cahaya kebenaran yang direzekikan kepada mereka untuk melihat pantulan kebenaran.

Justeru, amat menarik untuk ditumpukan perhatian kepada unsur kebutaan yang cuba digarap oleh penulis. Tentu sahaja kita perlu celik menilai dan mengkaji, tetapi pada masa yang sama, kita boleh mengambil pengajaran di sini bahawa cahaya yang mungkin malap yang kita punyai itu, jika dijaga dengan baik, mungkin satu hari nanti akan bersinar dan mampu menghilangkan kegelapan seperti watak Muse, Bakri dan Afam yang akhirnya dapat menumbangkan Kesatuan Pemburu.

U – Usrah. 

Sepertimana yang aku sudah sebutkan dalam resensi buku Hero, unsur usrah atau keislaman cuba diselitkan dalam novel Hero dan juga Pemburu. Hal ini dapat dilihat jelas pada halaman 409 yang menceritakan bahawa akhirnya Bakri menyertai kumpulan usrah bersama Afam dan rakan-rakan mereka yang lain. Kerana pada satu ketika, Bakri yang sudah hafal 30 juzuk al-Quran, hanya melihat al-Quran sebagai teks dan objek untuk dijadikan hujah untuk berdebat. Tidak ada penghargaan terhadap al-Quran yang mempunyai pelbagai kelebihan, salah satunya termasuklah menjemput ketenangan dalam jiwa pembacanya yang rutin membacanya dan menghargainya dengan lebih dekat sebagai petunjuk dari Tuhan. Termaktub kombinasi janggal hafiz al-Quran yang kontang ini pada halaman 354. Justeru, mungkin kita perlu mengambil pengajaran daripada unsur yang diketengahkan ini dan kemudiannya mengambil teguran ini secara positif supaya kita boleh cuba menyelaraskan kefahaman tentang kepelbagaian fungsi al-Quran di dalam usrah atau kumpulan perbincangan yang kecil yang ghairah berbincang idea-idea besar dalam al-Quran supaya terzahirnya kehebatan al-Quran dalam jiwa ahli-ahli usrah, bukannya bertambah taasub kepada penganjur atau jemaah di sebalik usrah yang dianjurkan.

R – Racun, Rasional dan Realistik. 

Racun sangat sinonim dengan watak Deimonas yang merupakan seorang pemanah dari Kesatuan Pemburu yang terkenal dengan panahan beracun sepertimana yang dinukilkan pada halaman 70. Tetapi, jika dilihat dengan teliti, racun ini yang bahaya untuk tubuh dan hampir membunuh Bakri tidaklah sebahaya mana jika dibandingkan dengan serangan pemikiran kepada pelajar-pelajar universiti atau seumpamanya. Oleh itu, suka untuk aku katakan di sini bahawa penonjolan sebuah situasi perbincangan di universiti oleh Bakri dan rakan-rakan sangat mengujakan aku sebagai pembaca. Perbincangan seperti yang dinyatakan pada halaman 218-223 buku ini menunjukkan bahawa pemikiran anak muda yang sedang berbincang dalam kumpulan kecil itu gagal diracun oleh anasir luar. Tetapi, pada pendapat aku, mungkin pada masa hadapan, penulis dapat meletakkan adegan atau situasi perbincangan ini dengan huraian yang lebih terperinci termasuklah perbincangan yang memfokuskan kepada pertarungan ideologi yang dipegang erat oleh penulis dengan ideologi yang bertentangan dengan penulis. Misalannya, mungkin boleh dikritik neoliberalism menggunakan fikrah haraki dan bagaimanakah hujah dari pihak yang berselisih dengan neoliberalism berinterasi dengan masalah atau peluang positif dan negatif yang diwujudkan oleh neoliberalism. Ini sekadar contoh yang mungkin jika dapat dimanfaatkan, akan menjadikan penulisan Hilal Asyraf ini lebih diminati.

U – Unsolved. 

Pada pandangan aku, sungguhpun pertempuran fizikal antara Muse dan Bakri menentang Kesatuan Pemburu sudah berakhir, namun pertempuran ideologi belum selesai atau masih ‘unsolved’. Hal ini kerana, jika dilihat pada pegangan Kesatuan Pemburu atau lebih gemar aku katakan sebagai ‘Falsafah Pemburu’ yang ortodoks, ada disebutkan:

“Manusia adalah makhluk yang bodoh yang perlu ditunjuk ajar, sedang Kesatuan pemburu dan ahli-ahlinya ialah manusia terpilih, mereka yang tercerah, bertanggungjawab untuk membawa manusia ke arah yang lebih baik, mengikut definisi mereka.” (Halaman 350).

Maka falsafah sempit ini, bertembung dengan falsafah Sufi Jundi yang terbit dari mulut Bakri ketika berdiskusi seperti yang ternyata pada halaman 222,

“Kita perlu punya sikap sufi jundi, sufi di hati, jundi pada gerak kerja.”

Jelaslah bahawa pertempuran masih berterusan walaupun Kesatuan Pemburu mungkin telah dibongkar rahsianya dan ditumpaskan ketuanya. Tetapi perlu diingat, golongan atau kumpulan berfalsafah sempit seperti Kesatuan Pemburu masih ramai berlegar di muka bumi dan mungkin perlu kepada lebih ramai Sufi Jundi untuk menumpaskan mereka dan membawa maruah agama ke tempat yang sepatutnya.

Satu lagi perkara yang masih ‘unsolved’ untuk aku secara peribadi ialah, aku masih tidak boleh menerima solusi yang dibawa oleh penulis tentang pemberian sedikit tanah Palestine kepada Israel tetapi pada masa yang sama, Palestine tidak lagi diserang oleh Israel dengan solusi itu dipelopori oleh Malaysia. Aku tidak menolak pembebasan Masjidil Aqsa itu akan berlaku suatu hari nanti, tetapi aku masih tidak dapat menerima hakikat bahawa suatu hari nanti Israel akan bersetuju dengan solusi yang dicadangkan iaitu dengan pemberian sedikit tanah Palestine kepada mereka, kerana aku masih berpegang utuh dengan pendirian bahawa selamanya Yahudi dan Nasrani tidak akan reda dan aman dengan umat Islam sepertimana yang termaktub dalam surah al-Baqarah, surah ke-2, ayat 120. Uniknya, ayat ini juga dipetik oleh penulis tetapi pada masa yang sama, penulis tampil dengan solusi seakan-akan Israel bakal berdiplomasi dan aman dengan orang Islam. Aku masih tidak dapat menerima kebarangkalian hal ini akan berlaku. Wallahualam.

Tahniah diucapkan kepada saudara Hilal Asyraf yang berjaya menghasilkan novel sebagus ini. Segala kritikan dan kefahaman aku tentang penulisan beliau mungkin hanya pandangan yang terhasil daripada falsafah yang aku pegang dan kefahaman agama yang tidak tinggi mana yang cuba aku amalkan sehingga sekarang. Nantikan ulasan karya Hilal Asyraf dalam saga Hero ini dalam resensi seterusnya, insyaallah!

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

Comments

Popular Posts