RESENSI BUKU : REVOLUSI SENYAP, karangan Kamaludin Endol

l ULASAN DAN KRITIKAN TERHADAP BUKU REVOLUSI SENYAP. l

Revolusi Senyap ialah sebuah buku yang dikarang oleh Kamaludin Endol. Buku ini berasaskan idea-idea yang disampaikannya dalam novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghaffur (BTWG). Novel ini telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Secara umumnya, buku ini terbahagi kepada 2 bahagian dan dipecahkan kepada 19 bab. Penulis memfokuskan ideanya mengenai sistem politik dan pemerintahan Islam di Malaysia. Dalam pembuka kata, penulis menegaskan bahawa survival politik orang Melayu hanya bergantung kepada kuasa Raja-Raja Melayu. Konsep negara Islam Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghaffur (negara perpaduan, negara keselamatan dan negara kebahagiaan) dicadangkan oleh penulis dan beliau menyeru semua pihak untuk menerima buah fikirannya tanpa sebarang bantahan. 

Dalam bab 1: Senario Politik Malaysia, penulis mengajak pembaca merenungi punca sebenar perpecahan umat Islam yang berlaku dalam kancah politik Malaysia. Antara punca perpecahan umat Islam di Malaysia ialah kefanatikan umat Islam terhadap ideologi parti politik masing-masing sehingga mengundang perasaan benci antara satu lain. Selain itu, penulis menghuraikan period pemerintaham sistem politik dunia menerusi hadis nabi Muhammad SAW iaitu:           
                         
1. Zaman Pemerintahan Rasulullah SAW. 571 Masihi hingga 632 Masihi.

2. Zaman Pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin. 632 Masihi hingga 661 Masihi.

3. Zaman Kerajaan yang Menggigit (Zaman Mulkan Adhudhan- Zaman Kesultanan: 11 Masihi-1957) 

4. Zaman Kerajaan yang Menyeleweng (Zaman Mulkan Jabbariyyan- Selepas Era Penjajahan: 1957 sehingga sekarang)

Penulis menempelak idealogi pemerintahan dalam sistem politik yang mencampurkan sistem Islam dan sistem Yahudi-Zionis.

Dalam bab 2 hingga 6, penulis menerangkan perihal pentadbiran negara Malaysia di bawah Perlembagaan Negara dan mencadangkan idea negara berteraskan BGTW yang terdiri daripada Majlis Keadilan Diraja  dan Majlis Pentadbiran. Penulis memperincikan kebaikan BTWG daripada sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia pada hari ini. Penulis menekankan hujahnya  dengan beberapa idea seperti nama-nama pentadbiran negara ditukarkan kepada nama pembesar Melayu yang klasik seperti Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Syahbandar dan Laksamana. Penulis juga menghuraikan sistem pendidikan negara perlu ditukar kepada pendidikan tanpa berorientasikan peperiksaan, pendidikan percuma di semua institusi pendidikan dan beberapa perubahan yang berskala mega. 

Selain itu, sistem ekonomi juga turut dirombak mengikut acuan Islam. Istilah Bank Negara ditukar kepada Baitulmal. Sistem ekonomi Islam diperkenalkan bagi menggantikan sistem Kapitalisme yang menekan kehidupan rakyat. Sistem politik pula menolak sistem demokrasi dan semua parti politik dihapuskan. Di samping itu, cerpen-cerpen dalam buku ini menerangkan mengenai pemikiran yang mencari kebesaran Tuhan dan kebenaran akidah agama, perbezaan manhaj akidah dalam Islam (Tauhid 3 dan Sifat 20). Gaya bahasa yang berbunga sudah pasti akan menarik minat para pembaca yang mencintai nilai-nilai kesusasteraan Melayu. 

Kritikan terhadap buku Revolusi Senyap.

Tidak dapat disangkal bahawa idea-idea yang diusulkan oleh penulis menerusi buku Revolusi Senyap dilihat seiring dengan pemikiran yang berteraskan Islam. Namun begitu, penulis harus melihat waqi’e (realiti) kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Penulis juga diseru untuk mengingati bahawa bukan umat Melayu sahaja yang menganut agama Islam, tetapi terdapat juga beberapa kaum dan etnik lain yang turut menganut agama Islam. Penulis seolah-olah mengatakan bahawa survival politik Islam terletak di tangan orang Melayu, sedangkan sebenarnya survival politik Melayu terletak di tangan Islam. Penulis dilihat agak taasub dengan kebangkitan Islam dari Timur (menurut sebuah hadis) dengan melakukan reformasi secara besar-besaran dalam sistem politik dan ekonomi di Malaysia. Saidina Umar Abdul Aziz juga pernah menasihati anaknya bahawa sebuah perubahan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Tidak semua idea penulis dapat dilaksanakan dengan mudah sekiranya berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara mahupun kerajaan perpaduan. Hal ini demikian kerana realiti masyarakat di Malaysia masih dalam keadaan yang daif dalam pendidikan, ekonomi mahupun pemikiran ahli politik (pemimpin) itu sendiri. Saya juga menyeru penulis menyatakan bukti dengan kajian bahawa segala teori yang dinukilkan itu terbukti praktikal dan kesannya di Malaysia. Pada hemat saya, perubahan harus dilakukan dari bawah ke atas. Bagaimana mungkin, sebatang pokok teguh berdiri sekiranya akarnya begitu rapuh?  

Bagaimanapun, saya mengucapkan tahniah kepada penulis kerana berfikir demi kebaikan umat dan negara ini. Buku ini membuktikan bahawa sesuatu perubahan boleh terhasil dari atas ke bawah menerusi beberapa idea yang praktikal.

#BilisSinis
#MusafirSejarah
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts