RESENSI BUKU : SAMURAI MELAYU, karangan Hilal Asyraf

l RESENSI BUKU BERTULIS : SAMURAI MELAYU, karangan Hilal Asyraf l

Aku difahamkan kulit buku ini sudah berubah, tetapi kandungan dan jalan ceritanya tetap sama, makanya digagahkan diri untuk membaca buku setebal 409 halaman ini sehingga tamat. Pembinaan jalan cerita yang lebih konkrit kerana kehadiran banyak watak-watak yang sudahpun aku kenali melalui 3 novel sebelumnya dalam Saga HERO membuatkan aku lebih asyik dibuai perkataan-perkataan yang disusun oleh penulis. Tambahan pula, terdapat penjelasan demi penjelasan tentang hal-hal yang samar dalam 3 novel sebelum ini, umpamanya pada halaman 189-192, diulang-tayang sedikit berkenaan dengan plot-plot penting seperti penjelasan tentang cubaan Ryuken untuk merampas Elemen baru, tidak ketinggalan juga diterangkan semula kenapa Maximus cuba merampas elemen-elemen untuk mengawal Hero (walaupun pengaktifan komponen-komponen tersebut berlaku pada waktu yang salah) yang penjelasan itu aku kira baik untuk memugar-kembali ingatan pembaca yang mungkin telah lupa sedikit sebanyak jalan cerita novel-novel sebelum ini iaitu Hero, Pemburu dan Surihati Encik Pembunuh. Aku memulakan pembacaan aku tanpa sebarang prejudis atau rasa skeptik dengan tajuk walaupun sebenarnya aku menjangkakan jalan cerita ini mungkin akan sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan ‘Samurai X’ atau ‘Rurouni Kenshin’. Tetapi sebaik sahaja aku menjengah halaman 364, aku tertawa sendirian pada babak Mus’ab diberikan ‘sakabato’ oleh gurunya.

Dalam resensi buku kali ini, perkataan ‘SAMURAI’ akan dijadikan sebuah akronim yang aku jadikan sebuah pentas yang cukup luas untuk dihuraikan barang sedikit hal yang menarik atau bahan kritik yang terlintas di fikiran aku ketika membaca novel ini.

S – Senjata, Seni mempertahankan diri.

Belum sempat aku membaca bahagian prolog buku ini, aku telah dihidangkan dengan satu halaman beserta beberapa gambar senjata yang sinonim dengan anime Jepun yang pernah aku tonton berkenaan ninja atau samurai. Senjata yang diletakkan gambarnya termasuklah kunai, katana, kusagirama dan wakizashi sangat membantu aku menghayati babak pertarungan yang berlangsung dalam plot Samurai Melayu. Mana tidaknya, kebanyakan pertarungan melibatkan watak dari Jepun, mempunyai nama Jepun dan mereka masing-masing menggunakan senjata yang telah disenaraikan sebelum ini. Jika penulis tidak memasukkan satu halaman ini sebelum cerita bermula, dikhuatiri pembaca akan mempunyai masalah untuk berimaginasi senjata apa yang digunakan oleh karakter demi karakter yang muncul bertarung dengan Mus’ab, menyeksa Mr Umayer dan bertarung dengan Bakri dan Faisal.

Buku ini juga menitikberatkan unsur seni mempertahankan diri daripada Jepun, terutamanya dalam karakter Samurai Melayu yang kemudiannya bertempur dengan ramai orang dalam usahanya menyelamatkan diri, keluarga dan negara Malaysia. Dalam konteks ini, penulis menunjukkan penelitian atau mungkin sisi minat yang lain yang terdapat dalam diri penulis apabila penulis menyatakan pada halaman 339 kenyataan berikut,

“Atas kepala, bahu kanan, bahu kiri, lengan kanan, lengan kiri, pinggang kanan, pinggang kiri, bahagian kemaluan dan pertengahan dada. Itu ialah sembilan arah libasan pedang. Walau apa pun gaya pertarungan pedang seseorang, sembilan arah libasan tersebut adalah asasnya.”

Aku tercengang dan tergamam membaca kenyataan ini yang menunjukkan bahawa penulis membuat kajian atau memang sudah lama meminati seni bermain pedang yang kemudiannya diterjemahkan dalam sebuah buku yang tema utamanya ialah samurai. Jadi, untuk mana-mana pembaca novel yang meminati unsur seni mempertahankan diri, novel ini mungkin boleh dikatakan antara novel yang boleh dibaca untuk menghayati gaya pertarungan yang sedikit sebanyak menghormati asas bermain pedang dan pada masa yang sama, memasukkan nama-nama senjata yang betul sekaligus menyedapkan lagi jalan cerita.

A – Argumen.

Dalam novel ini, selain pertarungan fizikal, pertarungan antara ideologi atau kefahaman berlaku dengan dahsyat. Antara pertembungan yang paling signifikan bagi aku secara peribadi ialah pada tiga bahagian iaitu halaman 112, 156 dan 162. Argumen-argumen yang disenaraikan ini berkaitan dengan kefahaman agama dan mungkin juga pertembungan pendirian hidup antara karakter yang berentap dan ‘jemaah’ yang diwakili oleh karakter tersebut.

Pada halaman 112, jelas dinyatakan argumen berkenaan sifat individualistik yang sebenarnya tercalit pada karakter jahat dalam cerita ini.

“Engkau telah ditipu. Minda engkau telah dibasuh. Orang-orang politik hanya mementingkan diri mereka sendiri.”

Pada halaman yang sama, Mus’ab membalas argumen dengan mengaitkan Ryuken dengan sikap mementingkan diri kerana Ryuken merancang menguasai segala-galanya dengan cara mereka-mereka yang menyertai Ryuken diberikan kuasa, diajar seni bela diri sebelum mereka itu semuanya dipergunakan. Ironinya, pada halaman 113, Goro menempelak Mus’ab yang kembali membunuh kerana keluarganya terancam jika dia tidak mahu menyahut seruan pengaktifan untuk kembali menjadi algojo dan menurut perintah Ryuken. Kata Goro,

“Maka engkau akan menjadi algojo semula untuk kepentingan diri sendiri? Hah, hipokrit!”

Tikam lidah yang berlaku sebelum bertikam diri dan jiwa dalam babak ini amat memberi kesan kepada aku sebagai seorang pembaca. Hal ini kerana aku pernah membaca buku yang sarat dengan perbincangan demi perbincangan akan tetapi sebenarnya perbincangan itu lebih enak dilunaskan dengan pertikaman di alam fiksyen seperti yang dilakukan oleh penulis buku ini. Perang senjata yang sebenarnya datang dari perang falsafah, sesuatu yang sedap menjadi juadah minda!

Halaman 156 melengkapkan lagi jawapan kepada golongan atheist apabila Tengku Amiri mengatakan iman tidak memerlukan bukti. Argumen ini pada pandangan aku adalah rentetan kepada argumen yang pernah aku ulas dalam buku Surihati Encik Pembunuh. Kesinambungan seperti ini yang aku cari dalam buku yang aku ulas dan kritik. Hal ini kerana, konsisten atau istiqamah dalam menyatakan ideologi yang dipegang oleh penulis bakal mencantikkan gabungan kelima-lima siri novel dalam Saga HERO ini.

Pada halaman 162, argumen yang lebih kompleks dibincangkan. Ketika membaca halaman ini dan menghayatinya, aku tidak dapat melupakan pesanan daripada video Ustaz Nouman Ali Khan yang mengatakan kurang lebih seperti berikut, “Being a slave to Allah is the ultimate freedom”. Hal ini diperjelaskan dengan dialog antara Tengku Amiri dengan Tomoe yang berbunyi seperti berikut,

“Lihat, Ryuken sendiri percaya kepada peraturan. Kepada disiplin. Kerana tanpanya, kita tidak lebih daripada binatang. Di mana salahnya Islam mendidik manusia untuk hidup di bawah peraturan yang memimpin mereka ke arah kebaikan?”

Dialog ini yang seharusnya disebarkan kepada golongan yang mendakwa kebebasan perlu diberikan secara total dalam semua aspek kehidupan. Hal ini kerana, pada dasarnya jika diamati, golongan yang mendakwa ingin bebas tanpa dikongkong agama itu, sebenarnya mereka secara tidak sedar menjadi hamba kepada ideologi yang dipegang oleh kawan-kawan dalam bulatan mereka semata-mata. Terkadang menjadi hamba fesyen, hamba kepada muzik dan barangkali hamba kepada jenis ideologi yang dipegang teguh menggantikan agama. Ternyata dialog ini pada hemat aku sebagai pembaca, mempunyai elemen pembebasan yang amat berat dilengkapi dengan deretan dialog sebelum ungkapan ini.

M – Misteri dan Manipulasi Orang Miskin.

Dalam Samurai Melayu, beberapa elemen misteri diketengahkan antaranya seperti pada halaman 143 yang mendedahkan berkenaan Koro atau ‘Orang Tua’ yang merupakan pimpinan tertinggi Ryuken. Pun begitu, misteri itu belum didedahkan sepenuhnya kerana pertempuran pelengkap akan berlaku dalam novel terakhir Saga ini iaitu novel Membunuh Muhammad.

Halaman 100 tidak kurang membawa elemen intelektual atau lebih tepat perungkaian masalah atau simpulan, apabila diperlihatkan bahawa Bakri sedang mencari perkaitan antara Ryuken dengan Kesatuan Pemburu. Babak yang ala-ala penyiasatan ini amat mengiurkan aku secara peribadi kerana babak ini secara tidak langsung membawa pembaca sama-sama cuba merungkai misteri yang cuba diselesaikan itu.

Halaman 387 turut membawa elemen misteri apabila watak Akuma yang dahulunya terbunuh dalam pertempuran dengan Hero diangkat semula. Digambarkan seolah-olah Koro sendiri terkejut dan keliru dengan hologram Akuma yang hadir kerana mereka sudah mengesahkan bahawa Akuma telah pun meninggal dunia. Sungguh, hal ini menambah rencah misteri dalam novel ini.

Satu lagi perkataan yang diwakilkan dengan huruf M ialah Manipulasi. Manipulasi golongan miskin merupakan tema yang jelas ditunjukkan dalam novel ini seperti yang tertera pada halaman 117.

“Membela anak-anak yatim seperti kita, Ryujin. Jangan engkau lupa! Anak-anak yang ditinggalkan di jalanan, anak-anak yang terbiar. Masyarakat hanya akan membiarkan kita mati, tanpa pendidikan, tanpa makanan, tanpa pembelaan. Tetapi Ryuken memberikan kita kuasa, harta! Ryujin, tanpa Ryuken, engkau telah lama mati di Okinawa!”

Ternyata Ryuken memanipulasi golongan miskin untuk dijadikan orang suruhan mereka untuk menguasai dunia. Hal ini pada pandangan aku, mungkin cuba digambarkan oleh penulis sebagai situasi yang bakal berlaku di Malaysia atau masih samar-samar berlaku, tetapi dalam mana-mana situasi, hal ini bakal membawa kesan buruk kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun dalam konteks kita pada tahun 2020, pada hari ini. Sama ada Neoliberalism atau Kapitalis yang cuba dihunus tembus oleh katana penulis, bagi aku, katana itu tepat pada sasarannya!

U – Unsung Leaders.

Pemimpin yang tidak didendang. Halaman 214 dan 218 masing-masing menggambarkan peranan Perdana Menteri Malaysia yang sangat berjiwa rakyat. Jujur, ketika membaca halaman 218, pada dialog yang terpancut dari mulut Perdana Menteri, aku hampir sebak.

“Bagaimana dengan rakyat dan agen yang terkorban semalam?” (halaman 218)

Pertanyaan seorang pemimpin yang sebenarnya sangat peka dan cakna dengan orang bawahan dan rakyat yang perlu dijaganya ini sangat kita rindui sebagai rakyat Malaysia. Ternyata utopia yang cuba dilukis oleh penulis adalah utopia yang kita nantikan bersama. Tidaklah aku bermaksud untuk menidakkan secara keseluruhan usaha-usaha kerajaan masa kini yang cuba menyelesaikan masalah rakyat, tetapi yang dilihat menjadi fokus pada masa sekarang ialah soal pengambil-alihan kuasa dan juga soal memuaskan hati tauke-tauke besar yang menjadi penolak buah catur kerajaan kita. Halaman 214 dan 215 juga tidak ketinggalan menunjukkan perbezaan Saga HERO dengan bandaraya Gotham yang dihuni oleh Batman atau Bruce Wayne, di mana dalam saga HERO, perubahan etika dan moral ditekankan kepada pemimpin dan rakyat secara menyeluruh, bukan semata-mata mengharapkan HERO atau mana-mana adiwira semata-mata untuk mengubah keadaan 180 darjah.

R – Rabb.

Membaca novel Samurai Melayu ini tidak mungkin meluputkan ingatan aku daripada perkataan Rabb. Rabb yang boleh dihuraikan dengan paling kurang 6 maksud ini mempunyai makna yang paling sinonim sebagai Tuhan atau Tuan, malah masyarakat Arab mungkin menggunakan perkataan ini untuk membahasakan diri tuan kepada sesebuah rumah. Mengikuti perkataan Rabb ini ialah perkataan murabbi, tarbiah dan mutarabbi.

Murabbi setakat kefahaman aku, membawa maksud pembimbing, akan cuba membimbing mutarabbi tetapi hakikatnya yang menerima tarbiah atau asuhan dan pengajaran itu bukanlah hanya mutarabbi, akan tetapi murabbi juga sedang ditarbiah oleh Murabbi Agung iaitu Allah SWT sendiri.

Menariknya, Samurai Melayu dengan nama Mus’ab ini cuba kembali kepada Tuhan dengan meninggalkan jenayah lama yang telah sebati dengan dirinya. Hal ini dapat dilihat dalam novel ini secara keseluruhan. Pada masa yang sama, jika diimbau masa silamnya, Mus’ab dibimbing dan diajar tentang ilmu mempertahankan diri oleh Kawakami, akan tetapi Kawakami bukanlah seorang murabbi yang membimbing ke arah mendekati Rabb. 

Unsur tarbiah semakin jelas apabila Mus’ab kemudiannya terlibat dengan organisasi INSANI yang secara tidak langsung membuatkan pohon ketaatan dalam dirinya semakin bercambah dan mekar subur. Sepertimana pada halaman 156, walaupun Mus’ab terjebak semula dengan dosanya yang silam, keahliannya dalam INSANI tidaklah terbatal dan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa dosa atau zaman silam tidaklah membawa maksud seseorang itu harus berhenti mengikuti tarbiah dan berhenti untuk cuba berubah kepada kebaikan. Situasi yang sama menunjukkan bahawa INSANI bukanlah sebuah jemaah para malaikat yang ahlinya suci daripada sebarang dosa. Bahkan, perbincangan dalam novel ini menunjukkan bahawa sesungguhnya dosa dan zaman silam kita juga sebahagian daripada tarbiah daripada Tuhan.

Seperkara lagi yang relevan untuk ditimbulkan ialah situasi mutarabbi (anak murid atau orang yang mengikuti tarbiah) Kawakami yang mempunyai rasa cemburu apabila Mus’ab dipuji dan dilebihkan olehnya hanya dengan senyuman dan raut wajah yang menunjukkan kepuasan hati. Iri hati rakan seperjuangan jika hanya dijadikan penambah perisa untuk masing-masing berusaha lebih untuk berjaya, tidak mengapa. Tetapi sehingga satu tahap bertaruh sama ada rakan kita akan berjaya atau tidak atau akan mati atau tidak dalam sesuatu misi, adalah satu contoh buruk yang berlaku dalam kalangan anak didik Kawakami.

A – Alternatif.

Halaman 215 menunjukkan kalam penulis yang bakal menjadi penyelesai masalah kepada masalah hedonisme. Dinyatakan pada halaman tersebut bahawa industri hiburan yang melalaikan telah bankrap dan mengalami kerugian yang besar bukan atas pengharaman oleh kerajaan akan tetapi kerana kerajaan berjaya memberikan alternatif yang lebih baik. Aku tertanya-tanya pada perenggan ini, kenapa tidak disenaraikan alternatif-alternatif yang lebih baik yang dikatakan itu? Hal ini kerana, pada hemat aku sebagai pembaca, alternatif itu jika dapat dinyatakan satu atau dua, mungkin akan lebih menjelaskan lagi bahawa terdapatnya sesuatu yang lebih menarik daripada hedonisme yang terhidang, bukan sekadar di alam fiksi tetapi juga di alam realiti. Ini sekadar harapan atau cadangan aku. Mungkin juga yang dimaksudkan sebagai alternatif itu telah dinyatakan dalam novel-novel sebelumnya yang gagal aku lihat sebagai alternatif, mungkin.

Terdapat juga alternatif yang dinyatakan secara jelas sama ada dalam bentuk invention (penciptaan) atau dalam bentuk education (pendidikan). Pada halaman 236 dan 237, tertulis bahawa untuk ke Sabah dan Sarawak, kerajaan Malaysia sudah membina terowong bawah laut sekaligus mendekatkan dua negeri itu pada jarak dan hati rakyat semenanjung Malaysia. Ternyata ini satu hal yang futuristik dan alternatif yang hebat untuk diaplikasikan. Manakala dalam bidang pendidikan pula, pada halaman 89, penulis menukilkan:

“Mengambil Finland sebagai kayu ukur utama, sistem pendidikan terus berubah, tidak lagi berorientasikan peperiksaan.”

Sungguhpun pernyataan ini dalam realiti semasa semakin hampir untuk direalisasikan, hal ini masih menunjukkan bahawa unsur pendidikan adalah salah satu elemen yang boleh diubah dalam kerangka Malaysia hari ini, menerusi suara sebuah novel yang penuh dengan aksi yang mendebarkan.

I – Istilah Bahasa Jepun.

Sebagai seorang penonton anime One Piece dan beberapa siri anime yang lain, aku sangat teruja dengan penggunaan beberapa istilah bahasa Jepun dalam novel ini. Hitokiri, geisha, sepokku, shoji dan tatami merupakan antara deretan istilah yang digunakan tidak termasuk nama senjata yang telah aku sentuh pada awal resensi ini. Cuma, sedikit harapan aku tidak tertunai apabila tidak ada langsung dialog yang penuh dalam bahasa Jepun. Tidaklah menjadi dosa kepada penulis apabila tidak menyertakan sebaris dua dialog dalam bahasa Jepun di sini kerana permintaan ini hanya menjadi hajat kecil aku yang mungkin barangkali amat teruja dengan bahasa Jepun. Hal ini kerana jika kita pernah menonton drama Jepun atau anime yang mengetengahkan watak samurai, kita mesti sudah sedia maklum bahawa ungkapan kata-kata mereka sangat bertenaga dan untuk membayangkan sesi dialog itu di dalam minda semasa aku membaca buku ini, alangkah teramat indah. 

Sebagai cadangan akhir, jika dapat diselit glosari istilah bahasa Jepun di akhir halaman novel, ianya akan membantu pembaca untuk kekal di lembaran novel tanpa perlu mengakses alam maya (Google) untuk mencari maksud perkataan Jepun yang digunakan. 

Maka resensi buku yang menari dalam akronim SAMURAI berakhir di sini. Terima kasih.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#ResensiBukuBertulis

Comments

Popular Posts