RESENSI BUKU : SEMUA INTROVERT, karangan Farysa Sinsabell

l Review Buku : SEMUA INTROVERT, karangan Farysa Sinsabell, Terbitan Cakcibor Creative. l

Satu lagi buku yang aku terbeli secara tidak sengaja. Disebabkan terlalu bosan dan allergic dengan buku-buku indie yang kebanyakannya hanya satu artikel sahaja yang menghuraikan tajuk buku tersebut sedang yang lainnya bercakap berkenaan isu lain, (aku boleh menamakan buku-buku itu di sini tetapi ingin menjaga aib, heh!), aku ingin beralih kepada buku-buku yang mungkin menceritakan ideologi atau corak pemikiran. Tiba-tiba mata aku terpandang akan sebuah buku yang kulit hadapannya berwarna kuning dengan lukisan imej manusia putih (bukan orang Eropah) yang salah satunya telah keluar dari barisan dan seakan-akan sedang mencuri lihat sesuatu atau seseorang yang lain atau mungkin sahaja sedang bersembunyi.

Selesai menelaah bahagian Prolog buku yang setebal 140 halaman ini, aku sudah termenung jauh. Mana tidaknya, aku disajikan dengan analogi rumput, lalang dan padi. Apakah maksud semua analogi ini? Rumput, sering dipijak. Lalang, mudah mengikut arah angin. Padi, memberikan beras yang menjadi sumber makanan dan pendapatan kepada manusia khasnya di Malaysia. Berbekalkan analogi-analogi ini, aku terus berfikir dan termenung. Ingin saja aku berhenti membaca kerana aku dapati coretan seterusnya hanya berkisar tentang kisah demi kisah. 

Apa kaitannya kisah-kisah itu dengan rumput, lalang dan padi? 

Tajuk-tajuk seterusnya diberi nama seperti berikut: 

1. Jamal Mursudur.   

Mengisahkan perjalanan hidup seorang pendatang asing ke Malaysia. Dia sekarang bekerja di sebuah kedai mamak. Kalau dahulunya dia ganas, bengis dan sering terlibat dalam pergaduhan, sekarang dia baik melanggan pelanggan. Yang penting sekarang ialah bekerja dan menghantar wang ke negara ibunda untuk menyara keluarga tercinta di sana.  

2. Dato’ Jaafar Ibrahim dan Tengku Zarina Sarieman.   

Cerita di bawah tajuk ini mengisahkan tentang seorang lelaki berhidung belang yang telah kematian isteri. Lelaki ini terlibat dengan politik dan perniagaan. Mungkin untuk meneruskan legasi kekayaan, dia memilih untuk terlibat dalam pelaburan emas. Untuk itu, dia menghubungi seorang wanita berumur 40-an dan mengajak wanita itu untuk bertemu di  sebuah kedai mamak. Perbincangan demi perbincangan membawa lelaki berhidung belang ini mengajak wanita 40-an itu ke tempat yang lebih ‘privacy’ atau kurang gangguan untuk ‘berbincang’ dengan lebih lanjut (double meaning alert!).  

3. Dr Kelvin Lim sekeluarga.   

Kisah tentang satu keluarga berbangsa Cina yang sedang bercuti dan berehat. Tetapi waktu rehat mereka dihabiskan dengan alat-alat ciptaan manusia untuk berhubung dengan kenalan virtual dan alam fantasi, bukannya mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui komunikasi insani. Seluruh keluarga ini menumpukan perhatian kepada gadget masing-masing. Swafoto, permainan aplikasi dan media sosial menjadi dadah yang mereka ketagih dengannya. Entah apakah definisi cuti bagi mereka, aku tidak mampu meneka.  

4. Fauzi, Ita dan Roi.   

Cerita dimulakan dengan kisah Ita dan Roi yang merupakan teman tapi mesra, mereka bukan kekasih. Tujuan mereka bertemu, hanya satu. Pelaburan emas. Mereka perlu mencari jalan menjana pendapatan. Berbekalkan pengalaman, Ita cuba memujuk Roi menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan ini. Cliché hidup orang Melayu ini tidak lengkap tanpa kehadiran seorang pelopor pelaburan ini dengan memperagakan harta yang melimpah diselang seli nasihat hidup dan dalil agama berkisar tentang cara menarik rezeki, apa lagi modal yang tinggal kalau bukan solat Dhuha dan sedekah jariah? 

5. Kak Sukma Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah.   

Penceritaan penderitaan seorang penjual nasi lemak tanpa lesen yang gigih menjalankan perniagaan untuk meneruskan kehidupan. Hasil penjualan harian dapat menampung sedikit sebanyak keperluan dia dan anak-anak. Suami? Dikhabarkan suaminya bekerja keras sehingga tidak pulang ke rumah. Dia perlu menjual nasi lemak di situ, berhampiran dengan restoran mamak yang menjadi tumpuan. Nasi lemak ayam goreng berempah yang dijual memikat hati dan selera orang ramai sehinggakan pihak majlis perbandaran juga tidak menghalau Kak Sukma kerana jualannya itu turut menjadi juadah petugas majlis perbandaran.  

6. Aku, Atan.   

Aku ialah Atan. Menceritakan tentang seorang budak lelaki yang lahir di Malaysia daripada rahim seorang wanita pendatang asing. Nama Atan itu diperoleh daripada seorang uncle yang Atan hanya bertemu sekali sahaja. Tidak bersekolah, Atan sering kali berpeleseran meminta sedekah orang ramai. Atan merupakan satu karakter yang terlibat dengan semua karakter atau kisah dalam tajuk-tajuk yang lalu kerana dia hadir meminta sedekah. Dia boleh bercakap bahasa Malaysia bahkan mungkin lebih baik daripada bahasa orang Malaysia sendiri. Ibunya sedang berehat di masjid yang berdingin hawa. Sedang Atan ‘bekerja’, dia terlihat akan seekor kucing yang sedang berehat dan seorang manusia yang menghadap laptop sambil berkali-kali memesan teh tarik di kedai mamak tersebut.  

7. Mad Nor Kucing.   

Seekor kucing yang dihalau daripada gerai masakan Thai. Dia beralih ke kedai mamak ini untuk mencari makanan mengisi perutnya yang kosong. Mendabik dada kononnya dia lebih baik daripada manusia kerana tidak asyik dengan benda yang dicipta sendiri dan tidak taasub mencari wang seharian, Mad Nor mendapat ehsan makanan KFC daripada Atan yang baru sahaja pergi ke tempat lain. Sedang asyik bercerita dan merenung betapa bertuah hidupnya, Mad Nor dilanggar oleh sebuah kereta sehingga keadaannya cedera parah. Lebih memilukan, keadaan Mad Nor yang memilukan itu dimanipulasi oleh isteri Dr Kelvin dalam satu swafoto untuk dimuatkan ke dalam media sosial supaya mendapat banyak like daripada penagihnya. Mad Nor dikatakan menyerang seorang lelaki yang cuba mencabul seorang perempuan sebelum dibelasah teruk oleh lelaki itu sedangkan sebenarnya Mad Nor cedera parah dilanggar kereta. Mad Nor kemudiannya mati tanpa dipedulikan sedangkan kematiannya bernilai kerana dapat melariskan jualan t-shirt atas nama John, nama timangan Mad Nor daripada isteri Dr Kelvin, pemanipulasi batak like yang bermuka manis dan kurus kering itu. Sekurang-kurangnya Mad Nor mati dengan nama baru yang dia sendiri tidak tahu tentangnya. 

Buku ini dirumuskan dengan epilog yang menceritakan berkenaan seorang penulis yang bergelut mencari sebab kenapa dia menulis, adakah kerana wang atau kerana minat. Bergelas-gelas teh tarik yang dipesan daripada pelayan kedai mamak itu bukan kerana insulinnya melimpah ruah, tetapi kerana dia sedang mencari ilham untuk menulis. Si penulis ini menjadi pemerhati keadaan sekeliling yang diserikan dengan karakter-karakter pelanggan kedai mamak itu sambil melihat sisi diri sebenar semua pelanggan tersebut yang menzahirkan sifat manusia berkepentingan yang kejam, tamak dan berTuhankan nafsu. 

Walaupun buku ini aku persetujui daripada aspek isi kandungan dan plot penceritaannya yang mengaitkan setiap bibit kisah di bawah setiap bab dengan tajuk karya iaitu “SEMUA INTROVERT”, aku memilih untuk tidak bersetuju dengan penceritaannya berkenaan babak menggoda Tengku Zarina dan Datuk Ja’far si tua berhidung belang. Seperkara lagi yang tidak aku setujui ialah pada halaman 121, penulis seolah-olah ingin mengatakan iman ‘Orang Agama’ tidak naik turun yang mana pernyataan ini salah kerana iman manusia mesti naik dan turun tidak seperti iman malaikat dan para rasul. 

Apa yang lebih menakjubkan aku selepas membaca buku ini ialah aku baru mendapat idea kemungkinan jawapan untuk analogi rumput, lalang dan padi itu masing-masing merujuk kepada orang Melayu, Orang Cina dan pendatang asing jika dikaitkan bahagian prolog dengan setiap tajuk bab terkemudian termasuk epilog. Antara sebab yang menguatkan sangkaan aku ialah kerana rumput dikatakan pernah bergaduh satu ketika dahulu kerana sebelah kumpulan duduk dan bangun atas penimbang manakala satu lagi mahu ke bulan (halaman 14,15). Lalang pula asyik meminta kuantiti baja dinaikkan oleh kerajaan terhadap mereka sedangkan sebenarnya untuk mereka, baja bukan satu keperluan, akan tetapi ianya hanya satu kehendak yang diperjuangkan secara ekstrim. Baja dalam konteks ini mungkin merujuk kepada wang atau peruntukan daripada kerajaan pada pandangan aku. Padi, daripada satu sudut yang lain, merujuk kepada pendatang asing yang digambarkan tidak mahu bekerja jika tidak diberikan baja yang cukup (halaman 13,14). 

Maka daripada rungkaian analogi yang aku fikirkan betul pada pandangan aku ini, aku mengesyorkan teman-teman sekalian untuk membaca juga buku ini yang isi kandungannya jauh lebih indah daripada kulit luarnya. 

“SEMUA, INTROVERT. Antara Kita, Terselit Dia.”

Selamat membaca!

#BilisSinis
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts