RESENSI BUKU : SIDDHARTHA, karangan Hermann Hesse

l Review Buku : Siddhartha, karangan Hermann Hesse, terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia l 

Buku setebal 165 halaman ini terasakan lama untuk aku habiskan. Bermula dengan penceritaan dan perkaitan ideologi buku ini yang bertentangan dengan agamaku (Islam), aku menjadi tidak selesa dan kekok untuk memahami mesej yang cuba disampaikan sedari awal halaman buku ini aku selak. Tetapi setelah sekian lama cuba menghadam, mungkin dapat aku coretkan beberapa hal yang aku bersetuju dan tidak bersetuju dengan intipati cerita ini. 

Sebelum itu, molek kiranya jika kita dapat meneliti terlebih dahulu ringkasan kisah yang tersemat dalam buku ini.
Ringkasan : 

1. Siddhartha seorang yang cerdik dan bersemangat untuk mencari tujuan hidupnya atau mencari Atma iaitu unsur ketuhanan dalam diri manusia (mengikut kepercayaan agamanya). 
2. Dalam pencarian bersama rakannya iaitu Govinda, mereka menjadi samana yang mengembara. Mereka kemudiannya bertemu Gautama Buddha yang digelar Yang Sempurna kerana dikatakan Gautama Buddha telah menemui Atma. 
3. Siddhartha memilih untuk tidak mengikuti Buddha seperti Govinda yang menjadi anak muridnya. Akan tetapi, sebelum pergi, Siddhartha berdialog dan berterus-terang kepada Buddha berkenaan kenapa dia tidak mahu mengikuti Buddha. 
4. Siddhartha kemudiannya ‘belajar bercinta’ dengan Kamala. Dalam sesi kehidupannya ini, dia melakukan banyak perkara yang menunjukkan rasa cintanya kepada dunia yang dahulunya dibenci ketika menjadi samana. 
5. Dia berjudi, berseronok dengan perempuan, menjadi kaya sebelum kemudiannya tersedar semula dan ingin kembali mencari Atma.
6. Siddhartha bertemu Vasudeva yang merupakan seorang penambang sampan. Dia belajar cara belajar dengan sungai dan mendengar suara sungai. 
7. Dia bertemu kembali dengan Kamala yang telah pun melahirkan anaknya yang juga bernama Siddhartha. Kamala mati dipatuk ular dan kemudiannya anak lelaki Siddhartha dijaga oleh Siddhartha yang tua. 
8. Anak lelakinya memberontak dan tidak mahu tinggal dengannya. Dia melarikan diri dari bapanya. Setelah beberapa kali mencari anaknya, Siddhartha mengalah dan mengganggap ini sebahagian daripada pembalasan kerana dahulunya dia juga pergi meninggalkan bapanya untuk menjadi samana. 
9. Vasudeva mati selepas mencapai kesempurnaan. Siddhartha kembali bertemu Govinda dan kemudiannya cerita berakhir dengan kedua-duanya mencapai kesempurnaan tetapi dalam keadaan tidak memahami secara idea disebaliknya. 

Perkara yang aku setuju : 

1. Aku menghormati konsep pencarian kebenaran yang cuba ditunjukkan oleh plot buku ini. Siddhartha dan Govinda sanggup meninggalkan kehidupan mereka sebagai Brahmin untuk menyertai samana bagi mencari cara dan jalan bagaimana ingin bersatu dengan Atma dan mencapai kesempurnaan. Unsur pengorbanan bagi mencapai tujuan tertentu amat patut untuk diikuti kerana ianya terlalu jelas dalam buku ini. 

2. Penghargaan Siddhartha terhadap seluruh unsur kehidupan sebelum dia hanyut dalam dunia antara yang aku setuju. Kerapkali manusia menidakkan unsur kehidupan di sekeliling mereka hanya kerana berpendapat bahawa dunia ini hanyalah satu perkara yang fana dan tidak bermanfaat. Akan tetapi, mana mungkin kita menuai jika tidak kita menanam sesuatu terlebih dahulu? Maka tempat untuk menanam itu adalah di dunia, dan tempat untuk menuai itu adalah di akhirat sana. 

3. Semasa Siddhartha dan Govinda mencari kesempurnaan, mereka tidak berhenti-henti menyoal sesuatu yang mereka tidak faham sehingga bertemu dengan jawapan ataupun sehingga mereka puas hati. Semangat ini yang perlu diterap dalam diri pembaca terutama ketika berurusan dengan orang yang lebih dipandang mulia berbanding diri mereka. Siddhartha yang masih muda tidak berasa malu untuk bertemu dengan Buddha untuk meluahkan pendapatnya padahal umum memandang bahawa Buddha itu adalah Yang Sempurna sedangkan Siddhartha masih awal dalam mengorak langkahnya. 

Perkara yang aku tidak setuju: 

1. Bagi aku, sesebuah buku itu perlu mempunyai hala tuju. Tetapi ketika membaca buku ini, disebabkan hala tuju yang ditunjukkan terlalu luas, aku seakan-akan sesat dalam pencarian. Watak-watak dalam cerita ini terlalu ghairah ingin mencapai kesempurnaan, ingin mencari Atma, ingin mencapai nirwana dan meninggalkan samsara tetapi takrifan kesempurnaan itu pada pendapat aku, tidak mereka fahami dengan jelas. Seakan-akan mereka sedang mengembara tetapi tanpa kompas yang berfungsi, maka mereka terus sesat dan terus sesat. 

2. Watak Siddhartha yang pada mulanya menolak dunia secara mutlak tetapi kemudiannya menjadi gila terhadap dunia secara rakus sebelum mempertuhankan segala-galanya termasuk batu dan sungai serta menidakkan masa dan pemisah antara yang baik dengan yang buruk, amat aku tidak setujui. Kerana bagi aku, dunia tidak boleh ditolak secara mutlak, akan tetapi perlu dimanfaatkan untuk keberlangsungan hidup. Jangan pula digilai dunia itu sehingga ke satu tahap mempertuhankannya sedang diri cuba mencipta alasan. Persis situasi Siddhartha yang mengatakan dia sedang “belajar bercinta” dengan Kamala padahal jika orang biasa yang melakukan hal ranjang sedemikian, sudah tentu perkataan dosa, maksiat, leka dengan dunia ataupun melakukan seks bebas digunakan. Ketidakadilan atau ‘double standard’ dalam karakter suci Siddhartha amat menjengkelkan aku selaku pembaca. Kemudian, setelah dia kembali bertaubat, Siddhartha menjadi seorang lagi ekstrimis yang memuja semua benda sebagai Tuhan dan menidakkan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan, antara masa lalu dan masa hadapan. Mungkin juga watak ini cuba menggambarkan sisi ekstrimis yang bakal dilalui oleh semua orang dalam mencari personaliti dan ideologi yang boleh dipegang dan diamalkan dalam kehidupan. 

3. Sebagai seorang pembaca, aku benci apabila watak ranjang dimasukkan sebagai adegan dalam sesuatu plot. Babak seks yang diceritakan dengan perkataan adalah suatu yang tidak patut dirangkumkan dalam mana-mana buku yang ingin mencipta perubahan dalam diri manusia. Samalah isunya dengan buku ini yang wataknya itu digambarkan sebagai pencari kebenaran, tetapi apa keperluan untuk diceritakan sebutir-sebutir adegan seks dan ‘pembelajaran cinta’ yang mereka alami sebagai salah satu lembaran buku? Dalam isu ini, buku-buku lain juga seperti Novel JALAN KIRI MENUJU SYURGA oleh Benz Ali juga mempunyai adegan seks yang diceritakan dan pendirian aku tetap sama, adegan itu tidak patut dirangkumkan sebagai sebahagian daripada buku. 

Aku rasa cukup sekadar itu dahulu pandangan aku berkenaan buku ini. Perkara positif yang dapat dikutip itu harapnya dapat memberikan inspirasi kepada semua pembaca. Pandangan negatif aku terhadap buku ini, aku harap tidak menjadi hujah untuk seluruh pembaca menjadi prejudis terhadap karya lama yang dihasilkan ini. Mungkin pembaca yang lain memahami cerita ini dengan jalan yang lain atau dengan penghayatan yang belum aku dapat cerna dengan akal aku yang cetek. 

Moga penulisan ini bermanfaat.

Teruskan membaca, teruskan menulis review, teruskan mengkritik. 

“Pembaca-pembaca ibarat pencari harta. Tiada mereka berhenti sebelum berjumpa.”

#BilisSinis
#ReviewBuku
#TeruskanMembaca

Comments

  1. Jual tak buku Siddhartha ni? Tgh cari buku ni dalam BM, tapi takde stock dah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts