RESENSI BUKU : A Street Cat Named Bob, karangan James Bowen

l Review Buku : A STREET CAT NAMED BOB oleh JAMES BOWEN l

Selepas beberapa kali terlibat dalam program menyantuni sahabat-sahabat yang tinggal di gelandangan dan bertemu dengan seorang pensyarah USM yang menulis thesis PhD beliau berkenaan gelandangan, aku terpanggil untuk menggali lebih dalam berkenaan homeless people. Carian aku di laman sesawang menemukan aku dengan karya dari Indonesia dan juga satu lagi karya berkenaan satu kisah gelandangan di London. Disebabkan karya dari Indonesia itu belum dapat aku temukan, maka aku membuat keputusan untuk mencari buku bertajuk A STREET CAT NAMED BOB oleh James Bowen yang dikhabarkan sangat mendapat tempat di hati pembaca dan penggemar kucing. Buku ini merupakan satu penceritaan kisah hidup sebenar tentang James Bowen, seorang yang hidup di gelandangan dan bagaimana hidupnya berubah selepas bertemu dengan seekor kucing yang diberikan nama Bob selepas beberapa lama mereka bersama. Buku setebal 310 muka surat ini menarik perhatian aku, tambahan pula cerita ini telah pun difilemkan dan dikhabarkan sangat terkenal. 

Secara ringkas, pembawaan keseluruhan cerita ini sangat mudah difahami kerana ia hanya memfokuskan kepada kisah hidup James Bowen yang merempat di jalanan selepas beberapa masalah yang dihadapinya termasuklah penceraian ibu dan bapanya dan tidak ketinggalan masalah ketagihan dadah yang menambah parah pada luka sedia ada. Untuk keluar dari kemiskinan hidup, James Bowen menjadi penyanyi jalanan, membawa gitar di sekitar London untuk menghiburkan orang awam disamping mendapat sedikit wang habuan belanja harian. Satu hari, dia bertemu dengan seekor kucing yang cedera mungkin berpunca daripada satu pergaduhan dengan binatang lain. James Bowen mengambil kucing itu untuk dijaga sementara dan dihantar ke pusat rawatan haiwan bagi menyembuhkan kesakitan kucing tersebut. Selepas sembuh, James tidak mahu terus memelihara kucing tersebut justeru mengambil keputusan untuk membiarkannya kembali ke jalanan. Kucing itu seperti tidak mahu meninggalkan James bahkan ia mengambil keputusan untuk terus mengekorinya. Maka wujudlah gandingan James dan Bob sebagai penghibur jalanan dan juga selepas itu sebagai penjual majalah Big Issues di kota London. Pelbagai rintangan yang dilalui mereka bersama sangat menyentuh jiwa dan membuktikan bahawa kekuatan persaudaraan sesama makhluk yang dicipta Tuhan boleh wujud tanpa sebarang sebab yang kukuh, asal sahaja keprihatinan itu wujud dalam diri manusia terutamanya. 

Buku ini tidak hanya menceritakan suka duka antara James dan Bob semata-mata. Salah satu perkara yang ditumpukan ialah bagaimana seorang penagih dadah Heroin menjalani rawatan dalam keadaan dia yang serba miskin dan mempunyai banyak masalah lain. Peralihan daripada mengambil Heroin ke Methadone sebagai salah satu langkah ke arah penyembuhan daripada ketagihan dadah turut digambarkan dalam cerita ini. Ketagihan yang mendesak itu perlu ditangani dengan perlahan-lahan dan berkala disamping memerlukan sokongan orang berdekatan dan sokongan informasi daripada pakar perubatan. Maka boleh aku katakan bahawa buku ini bukan hanya memfokuskan kepada kemiskinan semata-mata, tetapi aspek penyembuhan daripada ketagihan dadah juga diselitkan dan bagi aku, ianya sangat bermakna untuk diteladani pembaca, tidak kira dari perspektif mana kita memilih untuk memandang penceritaan tersebut. 

Sebagai seorang yang dipandang lekeh dan sengkek, James Bowen mempunyai satu ciri-ciri yang boleh dicontohi iaitu suka membaca. Jika pembaca yang budiman perasan, James Bowen menggunakan perkataan “read” beberapa kali untuk menceritakan perihal dia mengingati informasi berkenaan beberapa perkara di laman sesawang atau dalam buku-buku yang pernah dia baca satu ketika dahulu misalnya ketika dia terfikir untuk memberikan suntikan mikrocip kepada Bob dan ketika dia mencari informasi tentang penyakit yang mungkin dihadapi oleh kucing ketika Bob sedang sakit. Pengajaran yang perlu diambil daripada cerita ini, salah satunya termasuklah kepentingan sikap suka membaca dalam kalangan rakyat biasa walaupun rakyat itu tidak merempat di jalanan. Hal ini penting sebagai salah satu senjata untuk hidup dalam realiti sekarang. Jika seorang yang hidup merempat di jalanan boleh mendisiplinkan diri untuk membaca, maka apa lagi alasan kita yang mempunyai rumah selesa untuk mengabaikan budaya mulia ini? 

A cat that saves someone, a homeless guy that reads a lot? What can go wrong about this book? 

Baiklah. Ini sisi negatif buku ini, pada pandangan aku. 

Selepas membaca buku ini, aku sedar akan beberapa hakikat bahawa kadang kala atau selalunya, manusia tidak menghormati manusia lain atas dasar kemanusiaan. Terkadang kehadiran seekor binatang itu lebih dihargai oleh orang ramai kerana kecomelan dan kecerdikan yang kononnya ditunjukkan oleh kucing itu telah menambat hati mereka. Bagaimana pula dengan soal kemanusiaan? Kenapa tidak kita lebih menghargai seorang manusia, semata-mata disebabkan dia manusia, tidak kira sama ada manusia itu miskin, penagih dadah atau sebagainya? James Bowen dalam cerita ini berhadapan dengan pelbagai pujian bahkan ada yang ingin mengambil gambar bersamanya selepas kehadiran Bob. Pada hari-hari yang Bob tidak mengikuti James mencari nafkah di jalanan, orang ramai dalam cerita itu bertanya khabar Bob lebih daripada James. Maka adakah kita lebih mementingkan seekor kucing daripada seorang manusia? Satu persoalan yang mungkin perlu difikirkan dan dijawab sendiri oleh pembaca budiman. 

Entah kenapa, aku merasakan kisah persaudaraan dua makhluk bernama James Bowen dan Bob ini dieksploitasi untuk menjana keuntungan semata-mata. Buku, filem dan entah apa lagi yang dihasilkan sememangnya menarik perhatian orang ramai kerana cerita ini lain daripada yang lain. Tanpa memikirkan hal keadaan manusia lain yang mungkin nasib mereka tidak sebaik James kerana tidak bertemu dengan Bob yang lain di tempat yang berbeza, buku-buku dan filem yang diterbitkan terus dicetak dan ditayangkan sambil janaan pendapatan itu diperoleh dan dikira saban hari. Mungkin hasil pendapatan itu diagihkan kepada sahabat-sahabat yang merempat di jalanan di tempat lain sekitar London. Mungkin. Aku berprasangka begitu (setidak-tidaknya). 

Selain itu, buku ini membuktikan bahawa sifat hasad itu bukan kepunyaan mutlak orang Melayu. Sifat itu dikongsi dan diagihkan termasuk kepada orang Eropah. Ketika James Bowen dan Bob bertungkus lumus ingin menjual majalah Big Issues untuk menjana pendapatan, mereka dituduh dan difitnah serta dikonfrontasi oleh beberapa orang. Salah satu sebabnya adalah kerana mereka berdua berjaya menjual majalah itu di tempat yang agak susah majalah itu dapat dijual. Semuanya kerana ramai orang yang lalu lalang di situ akan berhenti untuk menyapa Bob sebelum dicadangkan supaya membeli majalah Big Issues oleh James. Berpunca daripada itu, maka sifat dengki membuak-buak kerana orang Eropah juga terkadang tidak senang melihat orang lain berjaya barangkali. Sisi buruk orang Eropah juga terpancar dalam penceritaan kisah persahabatan dua makhluk ini. Amazing!

Bagi saudara-mara atau sahabat-sahabat aku yang mungkin hidup dalam kesusahan, yang merempat di gelandangan atau menghadapi apa jua cabaran dan dugaan, aku ingin memberikan sepotong pesanan. Jangan mengharapkan seekor kucing bernama Bob untuk hadir mengubah nasib anda. Nasib kita sebagai manusia perlu diubah sendiri dengan segala kebolehan yang ada. Kita mungkin melihat Bob sebagai seekor kucing yang dihantar Tuhan untuk mengubah nasib seorang manusia tetapi mungkin saja kita telah dihadiri dengan pelbagai hantaran keajaiban tetapi telah kita tolak mentah-mentah satu persatu tanpa berfikir panjang. Mungkin Bob yang hadir dalam hidup kita itu bukannya seekor kucing, mungkin Bob itu menjelma dalam bentuk sebuah buku, sebuah catatan, seukir senyuman daripada seorang budak yang kita sapa di jalanan atau mungkin saja ia menjelma sebagai satu jerkahan daripada seorang penguasa korup yang tidak habis-habis membelanjakan duit rakyat untuk kepentingan peribadinya semata-mata. Apa pun kiranya jelmaan Bob dalam hidup kita, aku berharap kita tabah dalam memahami asbab jelmaan itu dan berusaha sedaya mungkin untuk mengubah nasib kita supaya kehidupan kita akan lebih baik di sini dan juga di ‘sana’.

Bob mungkin sekadar metafora kurniaan Tuhan, Bahawa selagi masih bernyawa, berputus asa sekali-kali jangan!

#BilisSinis 
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts