RESENSI BUKU : SURIHATI ENCIK PEMBUNUH, karangan Hilal Asyraf

l RESENSI BUKU – SURIHATI ENCIK PEMBUNUH, karangan Hilal Asyraf l

Buku ketiga dalam saga HERO karangan penulis ini dirasakan seperti buku yang agak ringkas tulisannya, mungkin disebabkan gaya huruf atau susunan baris antara perenggan kelihatan seperti agak jarang dari satu baris ke baris berikutnya. Tetapi tetap, kisah disebalik tajuk yang cliché yang cuba menarik perhatian orang muda ala-ala drama pukul 7 malam di Tv3 ini meninggalkan sedikit sebanyak kesan kepada akal fikiran aku, tinggal lagi kesan tersebut aku terjemahkan sebagai kritik untuk buku ini, sama ada ianya positif atau negatif. Firasat aku berkenaan betapa ringkasnya penulisan Hilal Asyraf dalam novel ini berbanding dua novel sebelumnya terjawab dengan ayat penulis sendiri yang berbunyi,

“Mungkin ini antara novel saya yang teringkas yang pernah saya karang.” (Halaman 425)

Dalam kritikan kali ini, mungkin unsur emosi, perasaan akan menjadi salah satu perencah utama, di samping kritikan kepada beberapa aspek lain yang berkisar seputar isu agama dan Tuhan.

CLICHÉ.

Perlu aku katakan persamaan antara novel HERO, Pemburu dan novel Surihati Encik Pembunuh ini terletak pada perkongsian unsur yang sama dalam dua kata kunci iaitu Cinta dan Orang Kaya. Dapat dilihat, cinta menjadi elemen utama untuk membantu Faisal berubah daripada menjadi seorang pembunuh kepada menjadi seorang hamba Allah yang pulang kepadanya. Nanti dulu, bukan cinta kepada Allah yang aku fokuskan di sini, tetapi, cinta kepada seorang perempuan yang sinonim dengan aktiviti dakwah atau, perempuan itu terlibat dengan INSANI. Hal ini jelas pada halaman 34, dalam dialog Faisal kepada Amirah,

“Sudikah awak menjadi teman hidup saya Amirah? Membimbing saya keluar dari kegelapan ini?”

Peristiwa yang berlaku melibatkan Faisal dan Amirah ini mempunyai persamaan dengan kisah Afam dan Husna serta peristiwa yang berlaku kepada Muse dan emak kepada Bakri. Persamaan tema ini justeru membuatkan aku agak terganggu dengan perjalanan novel ketiga ini sebagai kesinambungan daripada dua novel sebelumnya kerana aku kurang gemar dengan tema cinta dalam mana-mana penulisan. Satu lagi aspek iaitu kata kunci yang kedua, “Orang Kaya” menjadi fokus dalam novel ketiga dalam Saga HERO ini apabila dilihat bahawa perjalanan watak utama dalam cerita ini tidak dapat lari jauh dari kumpulan manusia-manusia kaya harta dunia tetapi giat dalam usaha menjadikan dunia ini lebih baik, atau setidak-tidaknya, menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dari sebelumnya. Jujurnya, keadaan ini menerbitkan ketidakselesaan dalam diri aku kerana aku masih berpegang pada prinsip bahawa sebarang bentuk penulisan yang bertujuan membangun jiwa, perlu meraikan orang-orang miskin atau B40 jika ingin diberikan contoh spesifik. Kerana, sesebuah penulisan jika kena dengan cara dan gaya penulisannya, akan dapat mengangkat jiwa pembaca dan yang lebih perlu diinspirasikan dan dibentuk jiwa mereka menjadi sehebat Afam, Bakri atau Faisal atau mungkin juga sehebat ayah AFAM, ialah jiwa-jiwa yang dihimpit dengan kemiskinan.

Maka, besar harapan aku bahawa dalam siri penulisan Hilal Asyraf yang akan datang, watak utama boleh dikaitkan dengan kemiskinan harta atau datang dari keluarga susah tapi tetap dapat merubah dunia menjadi lebih baik, supaya orang miskin di luar sana dapat memahami bahawa walaupun tidak berharta banyak seperti orang lain, walau hanya berbekalkan kemanusiaan dalam diri disulam cinta kepada agama Allah, seseorang itu mampu menjadi hebat dan mencipta lebih banyak kehebatan!

AKSI PERTEMPURAN.

Jujur aku katakan, dari novel HERO, PEMBURU dan SURIHATI ENCIK PEMBUNUH ini, ketiga-tiga novel ini berjaya dengan cemerlang memberikan gambaran aksi pertempuran antara karakter baik dan jahat. Perlu diakui, penulis menunjukkan daya imaginasi yang amat tinggi sehinggakan butiran-butiran kecil dapat diceritakan dengan baik. Cuma, mungkin pada masa akan datang (atau sudah diusahakan oleh penulis), dapat disertakan satu dua imej untuk membantu pembaca membina istana imaginasi tanpa sedikit pun cacat cela dan supaya dapat diselarikan imaginasi pembaca dengan imaginasi yang cuba dilakar oleh penulis. Dikhuatiri yang ingin diceritakan ialah imej lain, tetapi yang dibayangkan oleh pembaca ternyata imej yang jauh berbeza.

MASALAH KEMISKINAN.

“Beliau banyak menyentuh perihal kolaborasi antara syarikat Amir&Co dengan INSANI, dalam sektor-sektor kebajikan, dan membantu INSANI untuk merealisasikan harapan kerajaan Malaysia dalam projek menghapuskan golongan miskin tegar di negara ini dalam lima tahun mendatang.” (Halaman 244-245)

Merujuk kepada petikan dari halaman 244-245 di atas, sekadar kefahaman aku, masalah kemiskinan masih lagi menebal dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun telah digambarkan bahawa teknologi demi teknologi dan kejayaan demi kejayaan dari aspek politk dan sebagainya telah dicapai oleh negara Malaysia. Sejujurnya, andai kata kita letakkan situasi ini di luar aspek fiksyen penulisan ini, keadaan yang agak membimbangkan ketika sebahagian orang kaya (walaupun Islamik) terus hidup dengan kemewahan seperti Afam, tetapi pada masa yang sama, kemiskinan masih berlaku. Ya, tidak dinafikan bahawa masalah kemiskinan ini dibincangkan oleh golongan kaya tersebut tetapi perbincangan oleh orang yang hidup di luar kerangka kemiskinan atau tidak pernah merasakan kepayahan orang miskin itu, bakal menatijahkan solusi yang tidak bertepatan dengan realiti yang akan melahirkan polisi dari pihak kerajaan yang dilihat menghukum orang miskin. Aku juga tidak menafikan bahawa antara kandungan yang baik pada halaman 245 termasuklah usaha memperkasakan fungsi zakat,

“Kita mahu zakat yang diberikan, menjadi joran.” (Halaman 245)

Soal menjadi ikan atau joran, itu sudah dibahaskan oleh penulis dan aku bersetuju dengan pernyataan tersebut. Tetapi soal kemiskinan ini paling rapat kaitannya pada pendapat aku dengan masalah ke-tidak-sama-rata-an pembahagian kekayaan di Malaysia atau dalam istilah Inggeris dipanggil Inequality. Jika masalah Inequality masih wujud dalam suasana Malaysia sudah dihormati dan terlibat sebagai pendamai antara dua negara yang berkonflik, maka imej Malaysia bakal terpalit dengan kekejian dan kejijikan pandangan orang lain kepada Malaysia yang mungkin akan dilihat cuba menyusukan kera di hutan sedangkan anak sendiri di rumah dibiarkan mati kelaparan. Sungguhpun isu ini ditimbulkan sambil menghormati tema buku ini yang masih berlegar dalam taman permainan fiksyen, tetapi aku kira penting isu realiti zaman sekarang terutamanya isu Inequality atau isu ekonomi menjadi isu yang disentuh secara serius. Justeru, logik cerita ini dapat ditambahbaik kualitinya jika Malaysia digambarkan sudah sangat-sangat menghampiri kadar miskin sifar, dan pada masa yang sama, dengan jayanya membantu negara luar yang dilanda konflik. Itu belum lagi disentuh isu masalah peluang pendidikan yang sebenarnya terkait rapat dengan masalah kemiskinan. Adakah pada ketika itu, Malaysia sudah dapat memberikan pendidikan percuma kepada semua rakyatnya? Atau adakah pada masa itu, rakyat miskin masih tidak mampu menyekolahkan anak-anak mereka? Itu persoalan yang masih berlegar dalam minda aku selaku pembaca buku ini.

PENJENAYAH BANGSA INDIA.

Buat pertama kali dalam penulisan Hilal Asyraf, aku diberikan kejutan dengan kehadiran penjenayah berbangsa India. Walaupun pada akhirnya, penjenayah ini mati di tangan ‘Izrail’ tetapi kelainan ini sedikit sebanyak membuka mata pembaca untuk perbincangan yang lebih luas. Adakah penjenayah berbilang bangsa di Kotaraya Anggerik sudah bermuafakat nasional dalam menjayakan misi jenayah mereka?

“Vadarajan?” Dia menyebut (Halaman 16)

Nilai tambah dapat diberikan kepada kepelbagaian karakter dalam novel Hilal Asyraf andai kata pada masa hadapan, terdapat watak berbangsa India yang memeluk Islam, seraya menjadi salah seorang tunggak utama dalam INSANI. Pluralisme bangsa dalam karya seumpama ini mungkin boleh dimanfaatkan kemudian hari dalam usaha menggunakan buku sebagai agen perpaduan rakyat Malaysia. Barangkali idea ini dapat diambil maklum dan diketengahkan oleh penulis dalam karyanya yang akan datang, atau mungkin sahaja idea ini sudah ada dalam minda penulis tanpa aku ketahui bahawa ianya sudah pun dizahirkan dalam penulisannya.

MISTERI SEPARA MASAK?

Sejak dari awal cerita, digambarkan bahawa Maximus, watak ketua penjahat yang juga orang yang sama mengupah Faisal untuk melaksanakan misi pembunuhan, mempunyai misi tertentu yang agak misteri dan ianya akhirnya terjawab pada halaman 389,

“Alat ini, merupakan teknologi terbaru yang bakal menjadi rebutan dunia! Alat yang mampu mengawal Hero!”

Pada pandangan aku, jika komponen yang dihimpunkan itu semata-mata untuk mencipta sebuah alat untuk mengawal sut Hero, ianya tidaklah sebijak atau semisteri mana. Adalah lebih bijak atau lebih misteri jika satu tujuan yang lain diletakkan dalam jalan cerita ini misalnya komponen yang dihimpunkan itu dapat membentuk alat jana kuasa setaraf atau lebih hebat dari Elemen Baru, atau mungkin juga selepas komponen-komponen itu dicantumkan, semua sut Hero seluruh Malaysia tidak dapat berfungsi serta-merta dan komponen itu dapat menggagalkan Elemen Baru yang menjadi punca kuasa Hero dan sedang dalam perancangan untuk dikembangkan lagi penggunaannya untuk seluruh negara. Bagi aku, tujuan yang lebih besar ini diperlukan untuk mengangkat martabat penjenayah yang semestinya perlu lebih keterhadapan dalam berfikir dan bervisi daripada hanya sekadar ingin mengawal Hero yang telah pun dicipta. Atau mungkin watak Maximus ini mempunyai kebodohan dan kedangkalan akal tertentu yang cuba ditunjukkan oleh penulis, bukan seperti watak penjahat yang lain daripada dua novel yang awal dalam siri ini yang memaparkan kekuatan masing-masing secara individu ataupun secara berkumpulan. Bukanlah aku ingin terlalu menyanjung watak penjahat, tetapi, bagi aku, pertembungan antara watak baik dan jahat amat memerlukan keserataan. Jika dalam pertembungan itu, secara mental, fizikal dan emosinya kedua-dua watak yang bertembung itu setaraf dan mempunyai kekuatan yang sama tahap, barulah akan bertemu buku dengan ruas. Tetapi jika watak baiknya hebat bukan kepalang tetapi penjahatnya berfikiran dangkal, perlawanan mereka bakal menjadi berat sebelah dan tidak memberi kepuasan kepada diri aku secara peribadi.

PERDAMAIAN PALESTIN DAN ISRAEL.

Novel ketiga dalam Saga Hero ini menunjukkan bahawa kurangnya fokus diberikan kepada isu Palestin-Israel jika dibandingkan dengan dua novel sebelumnya. Maka persoalan timbul, adakah penulis sengaja mendiamkan konflik ini atau sebenarnya novel Surihati Encik Pembunuh ini ingin dijadikan novel pertengahan dalam fasa peralihan cerita menuju klimaks dalam novel yang kelima? Persoalan ini pada aku, relevan kerana konflik Palestin-Israel ini adalah sesuatu yang besar dan sungguhpun jika disangkal kritikan aku ini dengan jawapan bahawa Palestin dan Israel tidak perlu difokuskan kerana mereka telah hidup aman tenteram, maka itu adalah terlalu mustahil. Mungkin dapat disulam beberapa konflik yang berlaku setelah perjanjian damai itu dimeterai. Kelihatannya seperti novel ketiga dalam siri ini lebih memberi fokus kepada cerita cinta dan peribadi Faisal, dengan sedikit fokus kepada INSANI tanpa memberi fokus yang besar kepada perdamaian Palestin dan Israel.

PERSOALAN TENTANG TUHAN.

Mengetahui penulis sebagai seorang pelajar Usuluddin, maka tidak hairanlah jika persoalan berkenaan Tuhan dicoretkan dalam novel ini. Bagaimana kita dapat melihat Luke dan Faisal bertalu-talu melempar soalan berkenaan Tuhan dalam nada tidak berpuas hati kerana bagi mereka, Tuhan tidak ada semasa mereka dihempap derita. Persoalan yang konsisten ini bermain di minda Luke ketika Faisal membuat keputusan untuk berhenti menjadi seorang pembunuh dan ingin mengubah jalan hidupnya buat selama-lamanya. Luke yang berperanan seperti seorang atheist, terus berusaha mendoktrin fikiran anaknya itu dengan kefahaman bahawa hidup selepas mati itu tidak wujud kerana tiadanya bukti empirikal, sekaligus menafikan kewujudan Tuhan.

“Selepas kita mati, kita jadi debu. Akhirat yang dicanang-canangkan, tiada bukti. Mana bukti empirikal bahawa akhirat itu wujud? Bahawa nanti kita semua akan dibangkitkan semula?” (Halaman 147)

Persoalan tentang Tuhan adalah antara kelainan yang dinyatakan dalam novel ini sekaligus melemparkan pelbagai persoalan kepada pencari Tuhan yang mungkin masih berlegar di luar sana dan mungkin salah seorang daripada pembaca novel Hilal Asyraf atau juga salah seorang follower Book Surgeon. Perlu diingatkan bahawa penulis tidaklah mempromosikan atheism atau fahaman agnostik tetapi persoalan yang dilemparkan itu dimanfaatkan dalam usaha mengekspresikan ketidakpuasan hati tentang takdir buruk yang menimpa seseorang. Hal ini penting untuk difahami kerana jalan hidup Faisal yang disulam pembunuhan ibu bapanya membuatkan dirinya merasa tidak puas hati dengan takdir tersebut sekaligus apabila dilengkapkan lagi perasaan itu dengan kehadiran Luke yang terus-menerus menafikan kewujudan Tuhan, maka terhasillah diri Faisal yang kering hati sebagai pembunuh dan tidak lunak dengan erti hidup bertuhan.

Perkara yang lebih menarik ialah persoalan berkenaan Tuhan ini dijawab atau cuba dijawab di akhir novel ini oleh Bakri ketika mereka menempuh pertempuran terakhir dengan Maximus sekitar halaman 368 dan ke atas. Pada mulanya aku juga kehairanan memikirkan kenapa penulis meletakkan sesi soal jawab ini pada ketika mereka sedang menuju akhir pertempuran, tetapi apabila mengenangkan bahawa persoalan di awal cerita tentang Tuhan itu masih belum dijawab, maka adalah relevan bahagian jawapan kepada persoalan ini diletakkan di akhir babak.

PANTANG SEORANG PEMBUNUH.

Sungguhpun Faisal merupakan seorang pembunuh handalan yang banyak nyawa tumpas di tangannya, tetapi dia mempunyai beberapa pantang larang dalam membunuh yang perlu dipatuhi oleh dirinya sendiri dan hal ini diiktiraf oleh organisasi yang ingin menggunakan perkhidmatannya. Menariknya, pantang larang encik pembunuh ini mempunyai persamaan dengan adab berperang dalam Islam.

“Tidak boleh membunuh kanak-kanak, perempuan dan orang tua, selagi mana mereka tidak terlibat dengan dunia gelap, begitu juga dengan orang yang tiada kena mengena dengan dunia gelap ini.” (Halaman 10)

Dapat aku fahami di sini, peranan fitrah dalam diri seorang pembunuh. Walaupun Faisal merupakan seorang pembunuh yang tangannya berlumuran darah yang cukup banyak, tetapi tetap dia menggariskan pantang larang yang melibatkan golongan yang lemah dan golongan yang tidak mempunyai perkaitan dengan pertempuran. Dari manakah adab dan pantang larang ini dikutip jika bukan dari agama yang bertepatan dengan fitrah? Hal ini wajar diketengahkan untuk memberi harapan kepada golongan yang kononnya mempunyai sangat banyak dosa sehingga berputus asa dengan rahmat Allah yang Maha Pengampun sebelum masing-masing menyalahkan Tuhan atas takdir buruk yang menimpa diri sendiri yang terkadang hikmahnya masih belum dapat difahami oleh akal dangkal milik manusia. Jika tidak diketengahkan, barangkali kita akan lupa unsur fitrah yang sudah berada dalam diri kita untuk sekian lama.

RENTAPAN EMOSI.

Hubungan rapat antara Faisal dengan Luke amat melunakkan jiwa aku sebagai seorang pembaca novel ini. Bahkan aku lebih terpesona dengan hubungan baik mereka berdua berbanding hubungan cinta antara Faisal dengan Amirah yang aku lihat terlalu cliché dan boleh dijangkakan, tidak kira betapa islamiknya hubungan itu cuba dilakar. Hal ini kerana hubungan baik antara dua watak ini melangkau lebih dari sekadar hubungan anak dengan ayah. Mereka berdua merupakan sahabat baik, rakan latihan bertempur, peneman ketika merisik, peneman ketika majlis akad nikah namun akhirnya mereka berdua bertempur sehingga salah seorang watak ini mati di tangan seorang yang lain. Ketika pertama kali bertandang ke rumah ibu bapa Amirah, kelucuan babak antara Luke dengan Faisal dapat membuatkan aku tersenyum sendirian kerana imaginasi aku terbayangkan bahawa mereka berdua sedang cemas di rumah bakal mertua Faisal dan sudah tentu kecemasan itu mencuit hati. Tetapi emosi aku direntap ketika aku mendapati watak bertopeng yang bertempur dengan Faisal sebenarnya ialah Luke. Andai kata Faisal mengetahui bahawa orang itu ialah sahabat dan ayahnya, tentu sahaja dia tidak akan bertempur habis-habisan. Tahniah kepada penulis kerana dapat merentap emosi pembaca melalui dua watak ini!

“Baru aku tahu, apa rasanya berhadapan dengan ‘Izrail’ secara serius. Heh. Selama ini engkau bertarung dengan aku main-main ya.” (Halaman 343)

KRITIKAN KEPADA ISLAMIS.

Novel ini secara beraninya membawakan watak seorang pengganas yang membawa imej Islam. Pada masa yang sama, penulis secara berani menyatakan perubahan yang berlaku di masjid seperti yang terangkum pada halaman 58. Namun hal yang lebih menarik perhatian aku sebagai pembaca dan penggemar kritikan kepada Islamis ialah pernyataan penulis pada halaman 242 dan 379.

“Faisal sering melihat islamis sebagai golongan yang banyak bercakap berkenaan akhirat, tetapi mengabaikan realiti dunia. Dan apabila mereka memegang kuasa, mereka cepat lupa akan apa yang mereka bicarakan. Islamis suka menasihati orang lain, tetapi sangat kurang mengingatkan diri mereka sendiri. Islamis suka bercakaran sesama sendiri, merasakan diri mereka eksklusif, memandang rendah orang yang tidak bersama mereka, berbalah terhadap perkara yang remeh, dan akhirnya bila mereka sendiri diberikan kuasa, mereka berebut sesama sendiri.” (Halaman 242)

“Jika era sebelum ini pergerakan politik golongan Islamis hanya melaung perlaksanaan hukum hudud atau hukum syariah yang lebih tinggi dengan alasan itulah dia memperkasakan Islam di bumi Malaysia, golongan Islamis era ini seperti INSANI telah memberikan fokus lebih besar terhadap kebajikan rakyat, mendekatkan jurang antara si kaya dan miskin, memperkasa zakat dan sistem wakaf, menutup seberapa banyak pintu-pintu jenayah.” (Halaman 379)

Kritikan dan harapan kepada Islamis ini merupakan satu kritikan yang relevan kerana seharusnya semua Islamis tidak kira yang lahir dari jemaah berjenama apa sekalipun sudah mula sedar bahawa masing-masing perlu berubah dan membawa agenda yang lebih segar ke arah menyuburkan kedamaian di muka bumi ini secara menyeluruh. Tanpa pembetulan cara fikir islamis, maka yang akhirnya bakal dipalit imej buruk ialah agama Islam itu sendiri, bukan setakat penganutnya semata-mata. Tinggal lagi harapan yang cuba diberikan kepada Islamis INSANI yang dipimpin oleh Dato Afam, memberikan beberapa ruang untuk dikaitkan dengan Islam Feudal atau Islam Borjoius, jika yang memimpin organisasi itu rata-rata masih golongan pemimpin, pemerintah atau bangsawan yang kaya dan berstatus elit. Semoga Islamis yang membaca karya Hilal Asyraf ini dapat sedikit sebanyak mengambil iktibar dan cuba mencipta ruang untuk memperbetulkan diri sendiri dan organisasi demi masa depan Islam yang lebih gemilang, insyaallah.

KESESUAIAN SAGA HERO KEPADA KANAK-KANAK.

Aku dapati penulis dalam novel HERO dan novel SURIHATI ENCIK PEMBUNUH ini memasukkan babak pergaulan mesra antara suami dan isteri di beberapa tempat dalam novel. Pada masa yang sama, tidak kurang gambar yang penulis muat naik di media sosial untuk menunjukkan beberapa orang kanak-kanak meminati karya beliau dan khusyuk membacanya. Aku mohon berbeza dengan penulis dalam perkara ini dan aku katakan di sini bahawa mungkin babak berpelukan antara suami dan isteri tidak kira ianya antara Afam dengan Afeefah Husna atau ianya antara Faisal dengan Amirah perlu dihapuskan daripada karya-karya ini. Aku tidak menyamakan karya beliau dengan novel lain yang lebih teruk menceritakan tentang hubungan intim suami isteri sehingga ke ranjang, tetapi mungkin perlu dikurangkan elemen kemesraan antara suami dan isteri ini pada babak peluk, merangkul dan sebagainya untuk mengurangkan peluang kanak-kanak berimaginasi di luar jangkaan dan di luar batasan. Adalah dikhuatiri babak kemesraan ini yang menjadi fokus golongan kanak-kanak dibandingkan dengan banyak lagi elemen positif yang cuba diketengahkan oleh penulis contohnya seperti babak aksi, perbincangan tentang Tuhan dan nilai kekeluargaan. Aku tidak berniat untuk memburukkan novel ini sepenuhnya dan menolak mentah-mentah kebaikan yang cuba digarap, tetapi babak seperti di halaman 223, jika dapat dihapuskan dari novel bersiri dalam Saga Hero ini, pada pendapat aku, adalah lebih baik. Mungkin sahaja babak berkasih sayang itu dapat diterjemahkan dalam bentuk lain selain daripada adegan fizikal. Mungkin yang lebih perlu dijelaskan ialah cara suami itu berkata-kata baik kepada isterinya, bukan sahaja menafkahi dari segi harta tetapi memandang tinggi darjat isteri dengan layanan baik yang menjangkaui kemesraan fizikal semata-mata.

Tahniah diucapkan kepada saudara Hilal Asyraf yang berjaya menulis sebuah naratif tentang seorang pembunuh ini yang bersulam kisah cinta dan perbincangan tentang Tuhan. Rahmat dan kasih sayang dari Tuhan yang cuba ditonjolkan dalam kisah pembunuh kurang lebih 1000 nyawa ini jelas kelihatan dan diharap dapat memberi harapan yang besar kepada manusia yang sedang giat mencari Tuhan dan keampunan-Nya.

Nantikan ulasan novel ke-4 dari saga Hero ini di lain masa. Sekian, terima kasih!

Talhah Wasabi,
SALAH SEORANG BOOK SURGEON.

#BookSurgeon
#ResensiBukuBertulis
#SagaHero

Comments

Popular Posts