RESENSI BUKU : TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR, karangan Hamka.

l REVIEW BUKU: Sebuah Polemik Agama - Teguran Suci& Jujur terhadap Mufti Johor l

Tatkala Malaya sudah mencapai tarikh lahir kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957, negara kita masih lagi tidak merdeka dalam isu perbalahan antara Kaum Muda dan Kaum Tua dalam isu-isu Fiqh dan hukum-hukum Islam yang lain. Hal ini bertambah rumit apabila Sahibus Samahah dari Johor, Allahyarham Tuan Sayyid Alwi bin Tahir al-Hadad mengeluarkan kenyataannya dalam majalah ‘Semenanjung’ pada tanggal 14 Julai 1958 terhadap gerakan Kaum Muda dengan tuduhan dusta dan berbaur fitnah dahsyat. Namun begitu, kenyataan beliau lebih ditujukan khas bagi gerakan pembaharuan di Indonesia. Bagaimanapun, Prof. Dr. Hamka telah menyiapkan buku ini untuk menyanggah beberapa tuduhan Mufti Johor yang telah mengelirukan ramai penduduk umat Islam di Nusantara, bahkan di Mesir pada ketika itu.

Buku ini dipersiapkan melalui 4 Bab yang ditumpukan khusus bagi menjawab setiap pertuduhan Mufti Johor terhadap gerakan Kaum Muda, ataupun umum dikenali sebagai Wahabi pada zaman tersebut (sehingga kini penglabelan ini masih digunakan secara meluas oleh sesetengah pihak di Malaysia). Dalam mukadimah buku ini, Buya Hamka tidak pula terus menyerang peribadi Mufti Johor mahupun Kaum Tua, tetapi memulakan pendiriannya bahawa “ Di dalam Islam, tidak ada Kaum Tua atau Kaum Muda”. Hal ini menunjukkan bahawa Buya Hamka sangat cermat dalam menangani perbalahan antara ulama tradisional dan ulama reformis demi menjaga ukhwah sesama umat Islam. Adakah Buya Hamka seorang yang tidak berpendirian? Tidak sama sekali. Beliau nyata lebih meraikan pendapat yang diijtihad oleh 4 Imam Besar Ulama Sunnah, berbanding cenderung dalam menyelesaikan permasalahan furuq dan batil. Buya Hamka tegas menolak fahaman yang tiada asalnya dalam Islam dengan mencantas cabang-cabang yang tumbuh dengan liar dalam penyebaran Islam melalui musyawarah bersama ulama-ulama di Nusantara. Hal ini dapat dilihat dengan penglibatan dakwah Hamka dalam gerakan Islam Muhammadiyah dan hubungan baiknya dengan kumpulan Islam Nahdatul Ulama (NU) di Indonesia.

Dalam bab pertama, Hamka menyatakan perbezaan antara kaum Muda Turki dan Kaum Muda Indonesia. Hamka menerangkan dengan nada yang ilmiah bahawa gerakan pembaharuan kaum Muda di Turki bersifat gerakan politik, manakala gerakan pembaharuan kaum Muda di Indonesia lebih kepada pembaharuan agama, yakni permurniaan akidah dan amal ibadah daripada sebarang tokok-tambah. Beliau menambah, biarpun tidak bersetuju dalam banyak hal dengan tindakan drastik Mustafa Kamal Ataturk yang membuang banyak nilai keislaman, namun bagi Hamka, Islam tidak pernah akan mati di Turki walaupun diancam pemodenan politik sekular Mustafa Kamal Ataturk. Tegasnya, pembaharuan Islam ini bukanlah dimulakan di Indonesia, tetapi ianya dimulakan oleh ulama-ulama tersohor seperti Syeikh Jalaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida yang menerajui gerakan Islam di Timur Tengah. Bahkan, di Malaya sendiri, terdapat ramai ulama yang cenderung kepada gerakan tajdid seperti Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Dalam bab kedua, Hamka memaparkan statistic sebenar jumlah umat Islam di Indonesia apabila timbul tuduhan daripada Mufti Johor bahawa gerakan kaum Muda telah menyebabkan 10 juta orang memeluk Kristian dan 30 juta penduduk Indonesia menyertai fahaman Komunis hasil daripada perbalahan kaum Muda dan kaum Tua di Indonesia. Hamka tidak berdusta dalam hal ini kerana beliau memiliki data yang lengkap daripada badan pemerintah Indonesia berbanding pihak Mufti Johor yang mungkin tidak jelas akan isu ini. Dalam bab ketiga, Hamka membersihkan gerakan kaum Muda daripada fitnah mengambil fatwa gerakan Qadiani. Hamka memberikan contoh bahawa persamaan sesuatu hukum tidak menjadikan mereka terdiri dalam kelompok yang sama. Sesungguhnya, hujah Hamka ini jauh lebih kukuh berbanding tuduhan tanpa bukti daripada Mufti Johor.

Sebelum mengakhiri kata-katanya dalam buku ini, Hamka mengajak kaum Muda dan kaum Tua agar berhenti berbalah dalam pelbagai isu furuq dan menumpukan usaha dakwah kerana umat Islam di Indonesia dan Malaya masih ketandusan ilmu hukum Islam dan kerap menjadi mangsa kekeliruan setiap kali berlaku pertembungan hukum daripada kedua-dua aliran reformis dan tradisional.

Buku ini menyimpulkan bahawa ilmu agama tidak dikuasai mutlak orang seorang Mufti kerana tidak sesiapa yang maksum di dunia ini. Malah, masyarakat diajak agar tidak bertaqlid sahaja dan bersedia dengan konsep ijtihad. Ulama tidak hanya berperanan mencari hukum, menasihati pemimpin tetapi wajib mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kejahilan, sama ada dalam bidang fardhu ‘Ain ataupun fardhu Kifayah. Akhir sekali, Hamka membuktikan kita layak untuk menegur seorang mufti berdasarkan kelayakan yang ada pada diri kita dengan jalan yang penuh berdiplomasi dan hikmah.

#BilisSinis
#MusafirSejarah

Comments

Popular Posts