RESENSI BUKU : WAHYU DAN REVOLUSI, karangan Prof Ziaul Haque

l REVIEW BUKU : WAHYU DAN REVOLUSI karangan Prof Dr Ziaul Haque l 

Buku setebal 301 halaman ini memakan masa yang agak lama untuk aku habiskan dan hadam. Percaya atau tidak, aku sempat menghabiskan pembacaan sebuah kompilasi cerpen sebelum aku menamatkan pembacaan aku terhadap buku ini. Seperti buku-buku lain, buku ini juga tidak terlepas daripada jangkaan aku melalui ulasan-ulasan ringkas dan juga saranan-saranan penerbitnya sendiri iaitu Republik Buku yang aku baca di media sosial sebelum aku membacanya kulit ke kulit. Jangkaan aku pada awalnya ialah buku ini bakal mendedahkan sisi pandang bagaimana wahyu yang diturunkan kepada Nabi-nabi terdahulu itu dapat menghidupkan kembali jiwa manusia di suatu tempat hatta di seluruh dunia sekalipun, dan bagaimanakah mesej wahyu itu dibawa oleh nabi-nabi yang betul-betul bersungguh (all out) untuk menyampaikan risalah Tuhan supaya manusia menyembah hanya kepada-Nya dan bukan kepada sembahan-sembahan lain. 

Malangnya, jangkaan aku sedikit meleset. 

Terbahagi kepada 3 bahagian dengan beberapa bab di bawahnya, buku ini dimulakan dengan bahagian pertama yang menghuraikan perihal misi nabi-revolusioner dan kemudiannya penulis membawa pembaca budiman kepada pembongkaran apakah maksud kebenaran sebelum dibawa ke bahagian selanjutnya. Di bahagian kedua, kisah-kisah nabi terdahulu (tidak semua) dipilih dan dihuraikan dalam konteks pembawaan mesej keserataan sosial, cinta kasih dan kebenaran kepada masyarakat. Maka aku bertemu ayat-ayat yang menghuraikan misi para nabi yang sebenarnya bukan sahaja membawa mesej tauhid, akan tetapi membawa mesej keadilan sosial dan sebagainya. Beralih ke bahagian tiga, sedikit ulasan daripada penulis berkenaan fungsi nabi-revolusioner yang berpandukan wahyu dibandingkan dengan revolusioner moden yang acapkali melibatkan pembawaan ilmiah (ilmu yang tidak berdasarkan wahyu kata penulis) dalam mencipta perubahan dan melawan kezaliman dalam realiti hari ini. Perbandingan itu secara tidak langsung merumuskan bahawa untuk zaman kini, wahyu masih diturunkan kepada manusia dalam bentuk ilmu pengetahuan sepertimana yang disebutkan dalam buku ini, pada halaman 299:

“Allah masih mewahyukan kebenaran – tetapi melalui ilmu pengetahuan dan bukan melalui agama.”

Maka tugas kita sebagai pembaca adalah mengeluarkan pandangan atau bahagian penulisan yang mana yang kita setuju dan tidak ketinggalan, kita perlu mengeluarkan bahagian atau pandangan buku ini yang memerlukan perbincangan lanjut, untuk dikongsikan rasional disebaliknya dengan pembaca yang lain. 

Aspek yang aku setuju dengan buku ini : 

1. Buku ini membuka minda dan mata jiwa pembaca di luar sana berkenaan hakikat perjuangan nabi-nabi terdahulu yang sebenarnya membawa suara kebenaran dan kesetaraan sosial dalam masyarakat termasuk melawan kerosakan dan kezaliman yang dibawa oleh pemimpin korup dan zalim yang ada pada masa kini. Dalam erti kata lain, kesyumulan perjuangan nabi dalam membawa mesej kiriman wahyu Tuhan (Islam) itu perlu dinatijahkan kepada masyarakat dan mesej keadilan sosial dan melawan penindasan juga penting untuk diperjuangkan. Mungkin untuk sebahagian daripada kita, Islam hanya datang dalam erti kata menyuruh orang memeluk Islam semata-mata tetapi sebenarnya hakikat wahyu adalah lebih daripada itu tanpa mengabaikan satu mesej daripada mesej-mesej yang lain. Penulisan buku ini yang kerap memberi imej tumpu kepada kesetaraan sosial dan perjuangan membebaskan manusia daripada belenggu perhambaan kepada manusia dalam desakan feudal yang memerintah sangat menarik dan mungkin akan dapat mencipta perubahan jika diamati dan dihayati. Pendek kata, aspek kesyumulan Islam itu dapat digarap dengan lebih dalam jika mesej pembawaan keadilan sosial ditumpukan oleh pejuang-pejuang berideologikan agama Islam pada masa kini dengan realiti hari ini. 

2. Pemerkasaan unsur jihad dan penglibatan aspek hijrah sebagai strategi perjuangan juga diberikan tumpuan. Dalam erti kata lain, jika sesuatu perjuangan itu diasaskan daripada sudut pandang panduan wahyu, sepatutnya jihad (bersungguh-sungguh) termasuk perang dan hijrah perlu dirangkumkan dalam strategi. Mungkin jika mahu digambarkan dengan lebih mudah, kita boleh membayangkan satu imej sekumpulan manusia yang sedang berperang, berhenti seketika untuk mengumpul tenaga dengan bersembunyi di satu kawasan lain sebelum datang semula dan bertempur dengan lebih hebat bagi memastikan kemenangan memihak kepada mereka. Maka, aspek ini aku setujui memandangkan unsur strategi itu yang menjadi cadangan utama. Apabila difikirkan semula, jika sesuatu perjuangan untuk membela kebenaran itu tidak disusun dengan strategi yang mapan, maka besar kemungkinan perjuangan itu akan menemui kegagalan dan jalan buntu. 

3. Aku sangat suka dengan buku yang menghuraikan perkara atau isu-isu yang bertepatan dengan tajuk yang diberikan di kulit luar buku tersebut. Buku ini bukan sekadar himpunan artikel akan tetapi ianya adalah huraian ringkas akan fungsi wahyu dan revolusi. Hal ini memuaskan hati aku, Alhamdulillah. 

Aspek yang boleh dibincangkan lagi : 

1. Penumpuan yang diberikan kepada kesetaraan sosial yang perlu diperjuangkan dalam buku ini melangkaui mesej sebenar penurunan wahyu iaitu membawa manusia kembali menyembah Tuhan yang Esa iaitu Allah S.W.T. Pada pandangan aku, wahyu diturunkan kepada para nabi membawa mesej yang serupa iaitu untuk mengajak manusia kembali menyembah Tuhan yang Esa. Kemudian, dengan asbab penerimaan hubungan perhambaan kita (manusia) kepada Tuhan (Allah), maka disyariatkan kita dengan beberapa arahan untuk diikuti sebagai manifestasi ketaatan kepada Tuan kita yang tidak berbelah bahagi. Dalam manifestasi yang dinamakan syariat itu, terdapatnya tumpuan kepada beberapa hal yang merangkumi perjuangan kesetaraan sosial dan perjuangan membebaskan rakyat yang tertindas serta menghapuskan perhambaan kepada sesama manusia dengan digantikan unsur perhambaan itu hanya kepada Allah. Hal ini sangat logik kerana apabila semua manusia hanya menghambakan diri kepada Tuhan yang Esa (Allah), secara tidak langsung, tidak wujud kelas dalam kehidupan, kasta atau apa jua klasifikasi yang diada-adakan untuk menindas manusia lain. Mungkin dari sisi pandang yang lain, penulis cuba menyatakan bahawa memperjuangkan kesetaraan sosial itu ialah wajib sepertimana wajibnya mentaati syariat Allah yang lain untuk membuatkan pengamalan Islam pada hari ini benar-benar syumul. Hal ini dinyatakan di halaman 233 buku ini. Jika penulis menulis dengan maksud ingin menumpukan aspek perjuangan mengangkat kesetaraan sosial lebih daripada aspek tauhid dan kepatuhan kepada Allah dalam elemen syariat yang lain, aku memilih untuk tidak bersetuju. 

2. Satu persoalan yang bermain di fikiran aku selama aku menghadam buku ini ialah, adakah idea yang digarap oleh penulis adalah berdasarkan pemahamannya terhadap ajaran al-Quran, atau adakah penulis menggunakan ayat al-Quran sebagai hujah untuk menguatkan pandangan peribadinya? Jika keadaan pertama yang dipilih penulis, maka aku bersetuju kerana aspek yang cuba dibawa melalui penulisan buku ini lebih cenderong kepada memartabatkan keadilan sosial yang kian pudar pada hari ini (atau ketika penulisan ini dihasilkan) padahal aspek keadilan sosial juga adalah salah satu perkara yang ditumpukan dalam Islam. Tetapi, jika penulis menggunakan ayat al-Quran sebagai hujah untuk menguatkan idea yang cuba dibawanya, aku memilih untuk tidak bersetuju. Hal ini kerana, antara adab kita dengan al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah ialah kita mengambil ajarannya untuk kita praktikkan dan bukan kita menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mengatakan kaedah pemikiran kita adalah betul. Idea sepatutnya datang daripada al-Quran, berdasarkan ajaran yang ditekankan dan melalui prinsip-prinsip yang Tuhan ajarkan dalam al-Quran. Malangnya untuk kebanyakan kita, dalil hanya dijadikan hiasan untuk mencantikkan pegangan daripada pemikiran kita yang entah betul atau salah itu. Aku mohon berbeza dalam hal ini. 

3. Pada halaman 92, penulis ada menyatakan bahawa pertembungan antara Allah dan syaitan juga bersifat alegoris atau kiasan. Jika diteliti semula, mungkin pembaca akan salah faham terhadap pernyataan ini dengan menganggap bahawa pertembungan itu adalah satu perkara yang simbolik dan tidak benar (real). Akan tetapi, aku memilih untuk berpegang bahawa pertembungan tersebut tidaklah bersifat alegoris semata-mata, tetapi ianya pertembungan yang sungguh-sungguh berlaku. Syaitan memang memusuhi anak Adam dan dia melanggar perintah Allah. Jika penulis memilih pendapat yang mengatakan bahawa hal demikian hanya sekadar satu alegoris, aku memohon untuk berbeza dalam hal ini. Andai kata kefahaman aku berkenaan perkataan ‘alegoris’ dalam konteks ini tidak tepat, mohon teguran daripada para pembaca. 

Manakala pada halaman 111, istilah ‘classless society’ digunakan. Istilah ini mungkin mengejutkan sesetengah pembaca kerana kita sudah terlalu terbiasa hidup dalam masyarakat yang berlainan kelas dan taraf hidup sehinggakan kita seolah-olah sudah percaya bahawa classless society tidak wujud sama sekali. Disebabkan itu, sukar untuk sebahagian kita untuk menerima bahawa sebenarnya semua manusia sama di sisi Tuhan yang menurunkan wahyu dan sebenarnya, kelas sosial itu tidak wujud dan tidak perlu wujud. 

4. Membaca buku ini juga makin menggoyangkan keyakinan aku kepada persoalan layakkah sesuatu bangsa itu mendapat hak keistimewaan di mana-mana negara. Mungkin perbincangan tentang isu ini perlu diperhalusi dan lebih banyak pembacaan perlu dilakukan. Perkara yang ingin aku bangkitkan dalam poin ke 4 ini ialah pada halaman 88, penulis ada menyatakan bahawa korupsi, diskriminasi dan beberapa jenis kejahatan yang lain juga berpunca daripada hak istimewa yang diberikan kepada kelas sosial tertentu. Berbeza dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang menggunakan istilah ‘diskriminasi positif’ dalam menjustifikasikan kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu di Malaysia, penulis seakan-akan mengatakan bahawa sepatutnya hak istimewa kepada mana-mana bangsa atau kelas sosial (bangsawan, pemerintah atau rakyat) tidak wujud untuk mengangkat keadilan sosial yang sebenar mengikut ajaran wahyu.

5. Antara permasalahan buku ini yang mengelirukan aku ialah penggunaan ayat al-Quran sebagai hujah tanpa memberikan huraian lanjut atau rujukan kitab tafsir yang digunakan untuk menjelaskan hujah-hujah yang diberikan atau dikeluarkan berdasarkan dalil tersebut. Hal ini kerana, penjelasan yang lebih lanjut daripada ayat al-Quran yang digunakan dalam buku ini akan menjadi sangat terhad dalam maksudnya jika hanya terjemahan literal digunakan tanpa disertakan penghayatan mendalam terhadap struktur bahasa Arab yang digunakan dalam al-Quran. Dengan berbekalkan semata-mata terjemahan, kekeliruan dan salah faham dalam menafsirkan akan membuatkan khazanah yang tersimpan dalam al-Quran gagal dijumpai semaksimum mungkin dan dalam aspek buku ini, konteks penggunaan ayat al-Quran tersebut mungkin akan tersasar daripada maksudnya yang asal. Seperkara lagi untuk diketahui pembaca ialah keperluan untuk menyemak semula kisah Nabi Yusuf yang dinyatakan dalam buku ini yang aku khuatiri bercanggah daripada kisah sebenar yang digariskan dalam al-Quran. Kisah Nabi musa juga memerlukan pemerhatian dan semakan semula yang serupa.

6. Sepanjang meneliti kisah Nabi Isa yang dinyatakan dalam buku ini, penulis beberapa kali menyatakan bahawa Isa disalib (antaranya di halaman 199 dan 200). Aku mohon berbeza dalam hal ini kerana dalam al-Quran sendiri telah menyatakan bahawa Nabi Isa tidak disalib seperti yang tertera dalam surah An-Nisa’ (surah ke 4), ayat 157-158. Dalam hal ini aku mohon untuk berbeza dengan penulis jika penulis ingin mengatakan bahawa Nabi Isa disalib sama ada secara analogi atau realiti. 

7. Pada halaman 238 dan 239, penulis menyatakan beberapa hujah pertikaian berkenaan fungsi solat yang hanya menjadi amalan ritual luaran dan tidak ditumpukan nilai dan mesej utama amalan tersebut yang salah satu daripadanya akan menatijahkan masyarakat yang mementingkan keadilan sosial dan anti-diskriminasi dan korupsi. Aku bersetuju dengan penulis berkenaan hal keadaan orang yang solat sepatutnya tidak berkompromi dengan kejahatan dan korupsi sepertimana yang disebutkan dalam surah Al-Maarij (surah ke 70) ayat 23-34. Tafsiran daripada ayat-ayat daripada surah ke-70 dalam al-Quran ini menunjukkan bahawa masalah etika akan selesai dengan penghayatan nilai-nilai solat yang sebenar. Orang yang solat juga tidak kekok dan takut untuk memberi kesaksian dan berdiri bersama kebenaran. Mohon tidak disalahfahamkan kenyataan penulis ini kepada kefahaman bahawa solat itu tidak perlu dilakukan secara luaran mengikut cara yang diajar oleh Nabi S.A.W akan tetapi tuntutan menunaikan solat secara luaran dan aplikasi nilai solat dalam kehidupan seharian itu sama-sama penting dan tidak boleh dipandang enteng. Itulah menunaikan solat dalam erti kata sebenar. Pada halaman 245, penulis juga memberi komentar kepada tuntutan zakat yang hari ini menjadi ritual luaran semata-mata dan tidak dihayati maksudnya dalam erti kata yang sebenar dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dan sebagainya. Hal ini mempunyai persamaan dengan hujahnya berkenaan amalan solat yang pada hari ini sekadar menjadi ritual luaran yang kontang penghayatan. 

8. Pada halaman 272, penulis menggariskan perbezaan pertempuran yang berlaku pada zaman Nabi-nabi terdahulu dibandingkan dengan zaman sekarang. Pada zaman dahulu, perbezaan ketara antara kejahatan dan kebaikan sangat jelas kelihatan. Nabi dan para pengikutnya berdasarkan pembawaan wahyu kiriman Tuhan, membawa mesej dan perjuangan menegakkan kebenaran, sedangkan raja-raja zalim, kaum penindas dan pelopor korupsi yang lain duduk di satu ektrem yang lain yang merujuk kepada pengamal kejahatan dan diskriminasi. Hari ini, kita dapat melihat bahawa pejuang kebaikan berdasarkan wahyu terkadang itu bercampur dengan unsur korupsi dan diskriminasi begitu juga dengan kumpulan penjahat yang menggunakan agama untuk mengiyakan kejahatan yang mereka lakukan. Usaha untuk mengenalpasti pembawa kebaikan dan pembawa kejahatan pada zaman ini adalah sukar kerana ‘asap’nya kian menebal. Mungkin atas faktor ini, penulis mencadangkan supaya ‘ilmu’ digunakan menggantikan penggunaan wahyu untuk melawan kebatilan. 

9. Penggunaan ilmu yang dimaksudkan oleh penulis dalam mengenalpasti kebaikan dan kejahatan itu merangkumi aspek penggunaan pemerhatian, kajian, pembacaan dan penelitian dalam mengesan unsur penindasan yang dilakukan oleh koruptor yang wujud dengan pelbagai wajah yang mengelirukan. Bahkan, pada halaman 240, istilah Islam Qurani dan Islam Feudal digunapakai menunjukkan bahawa salah guna terma Islam itu sendiri sudah wujud. Dalam isu ini aku tidak mempunyai sebarang masalah dengan penulis dalam hal penggunaan penelitian (ilmu) dalam mengenal kebenaran dan kebatilan disamping hanya berdasarkan wahyu semata-mata, akan tetapi aku berpegang bahawa daripada wahyu, prinsip-prinsip dan ilmu untuk mengenal kebaikan dan kejahatan itu sudah diajar kepada manusia. Tinggal lagi kita perlu mempelajari kaedah penggunaan instrumen-instrumen tersebut untuk memudahkan kita melakar garis beza antara dua kumpulan ini. Maka, aku ingin tegaskan bahawa bukanlah wahyu sudah tidak relevan untuk melawan kejahatan dan menegakkan kebenaran dan agama (Islam) tidaklah satu agama yang gagal untuk membebaskan, akan tetapi penghayatan kita terhadap wahyu (al-Quran) yang perlu ditambah dan diperhalusi dan pengamalan kita dalam beragama perlu lebih syumul (menyeluruh) dalam usaha untuk kita mengembalikan keadilan dalam masyarakat dan menewaskan koruptor dan penguasa zalim pada hari ini. 

Konklusi. 

Buku Wahyu dan Revolusi ini memberikan imej tumpu terhadap aspek sosial yang digariskan daripada wahyu kurniaan Tuhan kepada insan. Mungkin, penyampaian dan penterjemahan buku ini perlu kepada penambahbaikan supaya mesej utama yang disampaikan oleh Quran iaitu penyembahan hanya kepada Tuhan yang Esa (Allah) atau unsur tauhid itu ditekankan sekaligus menekankan kesamarataan sosial yang dapat dinikmati hasil daripada kepatuhan kepada syariat Tuhan dan penerimaan bahawa semua manusia ialah hamba kepada Allah. Seperkara lagi, tidaklah wahyu itu sudah tidak relevan dan perlu digantikan dengan ‘wahyu’ baru iaitu ilmu untuk kita melawan penindasan, tetapi sebenarnya wahyu yang sudah diturunkan itu perlu ditelusuri dengan lebih mendalam menggunakan akal dan kecerdikan yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada kita untuk kita kembali membawa keseimbangan dalam kehidupan baik dari aspek penyembahan kepada Tuhan yang Esa, kesamarataan sosial, politik, ekonomi mahupun kekeluargaan. Dalam hal ini pengembalian ruh solat dan zakat perlu dilakukan dalam usaha kolektif agar ianya tidak terus menjadi ritual kontang. 

Allah telah mewahyukan kebenaran. Tinggal lagi, manusia perlu menggunakan ilmu dan kecerdikan untuk memahaminya dan bertindak dengannya dalam erti kata yang sebenar. 

Mohon masa pembaca untuk menghadam ulasan buku ini dan mohon kritikan jika terdapat salah dan silap di mana-mana. 

Tahniah Republik Buku atas usaha penterjemahan buku yang hebat ini! Tahniah juga kepada semua pembaca! 

Wallahua’lam. 

#BilisSinis
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts