RESENSI BUKU BERTULIS : ISRAILIYYAT, HADITH MAWDU’ DAN FITNAH SIRAH DI ALAM MELAYU, karangan Ahmad Zahirudin Mohd Zabidi.

RESENSI BUKU BERTULIS : ISRAILIYYAT, HADITH MAWDU’ DAN FITNAH SIRAH DI ALAM MELAYU, karangan Ahmad Zahirudin Mohd Zabidi.

Membaca buku setebal 223 halaman ini barangkali membuatkan orang yang tidak sebulu dengan golongan ‘wahabi’ atau golongan yang cuba mengikut ajaran salaf panas punggung. Mana tidaknya, tajuknya sahaja sudah menyerang beberapa hal yang membingitkan telinga. Ditambah pula dengan dua kata aluan daripada dua tokoh yang kontroversi dan digolongkan dalam label wahabi di Malaysia iaitu Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Muhammad Rozaimi Ramle. Tetapi usah khawatir, jika kebenaran yang ingin kita cari dan manfaat yang ingin kita timba, insyaallah satu interaksi yang baik akan dapat dijalinkan antara diri pembaca dengan penulis. Sudah semestinya, tulisan buku ini termasuk kata-kata aluan oleh dua orang tokoh yang disebutkan sedikit sebanyak cuba menyumbang kepada gerakan tajdid yang sememangnya penting dan signifikan dalam masyarakat.

Walaupun saya secara peribadi menyokong gerakan tajdid, tetapi saya perlu memberikan peringatan awal bahawa resensi buku kali ini barangkali akan sedikit pedas dari segi kritikan terhadap cara buku ini disusun dan mungkin beberapa hal hujahan yang dilakukan. Selebihnya, saya serahkan kepada bukuwan budiman untuk membaca sendiri buku ini dan menilai.

Premis yang cuba dibentang penulis, saya kira jelas terpampang pada tajuknya dan ketika meneliti bahagian Pasak Minda –Muqaddimah buku ini juga, hal yang sama dapat dilihat dengan jelas. Contohnya, kata-kata penulis di halaman 3 yang berbunyi:

“Sewajarnya menjadi keutamaan para pendakwah, penceramah, ilmuwan bagi menyampaikan kisah-kisah daripada riwayat yang sahih kepada masyarakat awam bukannya bermudah-mudah dengan alasan, “Perkara yang baik, apa salahnya.”!”

Pujian perlu diberikan kepada penulis yang memulakan penjelasan premisnya dengan hal-hal asas dalam agama Islam iaitu Aqidah, Ibadah dan Akhlaq seperti yang tertera pada halaman 10. Ditambah pula pada halaman 15, penulis menelanjangkan keironian dalam pemikiran beragama orang Melayu secara umumnya apabila beliau menyatakan:

“Orang Melayu secara umumnya tiada masalah dalam menerima dan menyatakan keimanan kepada Allah, Malaikat, Nabi-Rasul, Hari Kiamat dan Qada’/Qadar, namun dalam masa yang sama sedar ataupun tidak mereka juga percaya malah mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan asas keimanan mereka yang memungkinkan natijah seberat boleh mencederakan kualiti aqidah mereka malah membatalkannya kerana jatuh ke lembah kesyirikan kepada Allah S.W.T.” 

Dalam membaca muqaddimah buku ini, saya secara peribadi telah terlepas pandang akan kewujudan nota kaki yang bernombor yang diletakkan pada beberapa ayat tertentu sepanjang penulisan buku ini. Deretan nota kaki yang diletakkan ini ada ketikanya ingin memberikan rujukan lanjut kepada pembaca. Namun, niat murni pembaca ini terkadang membuatkan saya agak terganggu kerana perlu menyelak halaman rujukan yang diletakkan di akhir setiap bab untuk melihat adakah terdapat sesuatu yang perlu dibaca berbentuk huraian lanjut ataupun hanya sekadar meletakkan nama buku atau ‘ibid’. Seperkara lagi yang mungkin boleh diperbaiki daripada cara penulisan buku ini ialah untuk rujukan yang berbentuk video atau dokumen berformat ‘PDF’, lebih molek jika penulis atau pihak yang terlibat dengan penerbitan buku ini untuk menyediakan QR code di setiap hujung ayat rujukan itu untuk memudahkan pembaca untuk menjenguk laman sesawang rujukan yang diberikan. Hal ini boleh dipelajari daripada buku 27 Tertib Mazhab Bisnes Jepun terbitan Telaga biru tulisan Dato’ Zulkifli Malek, kerana dalam buku ini, banyak QR code yang disertakan untuk memudahkan pembaca menyemak rujukan yang disertakan di kemudian hari.

Satu hal yang konsisten didedahkan oleh penulis adalah berkenaan kekurangan kajian semula karya-karya silam atau kitab-kitab kuning di rantau Melayu, dari segi kesahihan dalil yang dikemukakan. Seawal halaman 23, isu hadis palsu dalam masyarakat Melayu menjadi topik tulisan penulis yang agak hangat suhu perbincangannya dan ditekankan kepentingannya beberapa kali.

Bermula halaman 46 sebelum diulang lagi pada halaman-halaman mendatang, saya sekali lagi berasa tidak selesa dengan penulisan buku ini apabila penulis berulang kali menyenaraikan isi kandungan buku-buku atau rujukan-rujukan lain dalam buku ini. Pada saya secara peribadi, hal ini membuang halaman buku kerana saya lebih berminat dengan pandangan penulis atau setidak-tidaknya petikan perenggan yang menarik bagi penulis untuk dikongsikan dengan pembaca kerana sefaham saya, buku ini disasarkan kepada orang awam. Jadi, saya rasakan bahawa cara menyenaraikan isi kandungan sesuatu rujukan tidak kiralah ianya dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu, kurang memberi manfaatnya kepada pembaca. Mungkin penulis mempunyai sasaran atau tujuan lain dalam melakukan hal demikian yang tidak saya fahami, saya mohon untuk berbeza.

Ketika menyentuh soal Israiliyyat, penulis menyenaraikan karya demi karya untuk dirujuk, tetapi apa yang lebih menarik ialah penulis menulis bermula pada halaman 128 sebuah penjelasan bahawa tidak semua riwayat Israiliyyat itu tertolak. Hal ini amat baik untuk didedahkan kepada masyarakat awam kerana mungkin selepas orang awam seperti saya sedar akan bahaya riwayat Israiliyyat, semua riwayat Israiliyyat akan saya tolak tanpa menyedari bahawa terdapat perbincangan yang mendalam tentang riwayat Israiliyyat yang boleh diterima.

Saya secara peribadi sedar bahawa penulis buku ini, Ustaz Zahiruddin Zabidi merupakan seorang yang sangat mengagumi Buya Hamka tetapi dalam buku ini tetap penulis menyatakan berkenaan isu takhrij hadith dalam Tafsir al-Azhar karangan Buya Hamka. Isu ini diulas pada halaman 129 dan 130. Penulis membuktikan bahawa kecintaan penulis kepada kebenaran melebihi kecintaan penulis kepada tokoh besar nusantara ini. Mungkin akan terdapat beberapa pentaksub Buya Hamka yang tidak senang dengan kritikan bahkan usaha takhrij yang dijalan kepada karya-karya agung beliau, makanya saya kira hal itu telah dibidas oleh penulis di penghujung halaman 130.

“Cuma di Alam Melayu ia belum benar-benar menjadi budaya ilmiah kerana ada tabu dan sangkaan bahawa proses takhrij dan tahqiq terhadap karya ulama besar Alam Melayu bermaksud tidak sopan dan tidak menghormati mereka dan karya mereka, ini adalah sikap, mentaliti dan sangkaan yang mesti diubah.” 

Pada bahagian-bahagian akhir buku ini, penulis dengan jelas menyatakan bahawa pembelajaran ilmu hadith kurang dititikberatkan oleh masyarakat walaupun pada satu ketika, kita memberi tumpuan yang tinggi kepada pembelajaran ilmu agama. Hal ini terkait dalam isu hadith dan sirah. Kelalaian dalam memberikan tumpuan sepatutnya kepada salah satu cabang ilmu terpenting dalam Islam ini adalah amat teruk sehinggakan kata penulis,

“Lebih ironi, ada riwayat-riwayat yang didakwa sebagai hadith Rasulullah S.A.W tidak pernah dijumpai bukan sahaja dalam kitab-kitab hadith muktabar oleh para imam hadith, namun ia juga tidak dijumpai dalam kitab-kitab yang menghimpunkan Hadith Palsu itu sendiri.” (Halaman 165)

Hal ini justeru menjadi salah satu punca kepada semakin terpesongnya masyarakat dengan ajaran Islam tulen persis yang ditinggalkan oleh junjungan mulia kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W seperti yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.

Jujur saya katakan, mungkin sebahagian ilmu yang ditulis dalam buku ini gagal saya garap dan hayati tetapi setidak-tidaknya mesej yang sangat utama yang dapat saya kutip daripada buku ini ialah:

“Cintanya kita kepada seseorang tokoh, jemaah, aliran pemikiran tidak wajar membawa kita kepada daerah taksub, manakala kekhilafan kita dengan seorang tokoh, jemaah dan aliran pemikiran tidak wajar membawa kita ke daerah menafikan kebaikan-kebaikan yang sudah terbukti mereka kerjakan.” (Halaman 193)

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Zahiruddin Zabidi atas usahanya menghasilkan sebuah buku yang memberi pencerahan penting kepada masyarakat. Saya doakan segala impian penulis termakbul dan mudah-mudahan penulisan buku ini menyumbang perkara positif kepada gerakan tajdid sekaligus memberi manfaat kepada orang awam dan mekar manfaat itu sehingga hari akhirat kelak, Insyaallah.

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.

Comments

Popular Posts