RESENSI BUKU BERTULIS : UGAMA ISLAM DAN AKAL, karangan Syed Syeikh al-Hadi.

RESENSI BUKU BERTULIS : UGAMA ISLAM DAN AKAL, karangan Syed Syeikh al-Hadi.

Setelah sekian lama jari berhenti berehat dari menulis sebarang resensi buku, kali ini aku tampil menunai janji menulis serba sedikit tentang sebuah buku bergaya tulisan lama tetapi lenggokannya adalah di atas lantai tulisan rumi. Nama Syed Syeikh al-Hadi pernah aku dengar beberapa kali, paling tidak, nama itu pernah melalui gegendang telinga ketika masih belajar di bangku sekolah menengah. Cuma kali ini lain peluangnya. Aku sedang membaca sebuah karya daripada tokoh tersebut. Ternyata, kekaguman dan deria kritik aku berentap sekali lagi.

Tajuknya yang ringkas sebenarnya sangat cukup untuk menghuraikan maksud buku ini secara penuh. Buku ini jelas sekali bertujuan menunjukkan betapa relevannya akal dengan agama Islam yang aku anuti. Pada masa yang sama, buku ini aku fahami, cuba mendesak akal-akal sihat di luar sana untuk merenung dan mencari tahu apakah tuntutan utama dalam Islam atau tiang Rukun Islam yang lima itu mempunyai hikmah tertentu yang boleh dikutip dan dimanfaatkan oleh orang ramai yang menganutinya dan adakah terdapat hikmahnya bagi mereka yang memilih untuk menolak agama ini?

“….supaya orang-orang yang berpegangan dengannya mengerjakannya, serta menerangkan kepada mereka itu bahawa segala hukum-hukum agama Islam ini tiada sesekali menyalahi akal yang sempurna…” (Halaman iv – Pendahuluan Pengarang)

Jelas, bahawa penulis cuba membentang premis bahawa agama Islam ini, tiangnya tidak bercanggah dengan akal bahkan perlu direnung faedah seruan-seruan dan perintah dari Tuhan iaitu Allah SWT. Penulis memulakan pencak langkahnya dengan menjelaskan bagaimana akal itu perlu mencari Tuhan yang Esa iaitu Allah SWT. Dalam menjelaskan hal ini, penulis menghuraikan dengan seberapa mampu tentang bagaimana akal ini dapat merasionalisasi kewujudan Allah sebagai Tuhan tunggal yang layak disembah. Jujurnya, aku perlu membaca tulisan penulis berkali-kali dek kerana penggunaan bahasanya yang agak berbelit-belit. Terkadang, satu ayat itu tidak kunjung tiba hujungnya dan ayat itu menjangkau setengah atau kurang lebih, satu perenggan. Kesulitan ini mungkin merupakan antara batu penghalang terbesar untuk kebanyakan orang membaca buku ini padahal ketebalannya hanyalah 184 halaman.

Pada halaman 29, sekali lagi aku terpaku dengan kata-kata tulisan penulis yang berikut:

“Setelah kita mengetahui demikian keadaannya seruan dan perkataan sebesar-besar pangkat yang menyeru dan membawa agama Islam ini, maka adakah boleh diterima akal kita lagi akan adanya sebarang orang yang berpangkat yang mengucap dua kalimah syahadah di dalam agama Islam ini yang diharuskan boleh mengambil harta orang atau menyakiti manusia dengan sebab besar atau kebesaran pangkatnya atau menyakiti manusia dengan sebab lebih kaya atau kebesaran kekayaannya atau lebih kuat-kuasanya?!”

Penulis menulis kata-kata di atas ketika menukilkan kata-kata Baginda Nabi S.A.W. dalam Khutbah al-Wada’ yang menyentuh tentang pengambilan harta orang lain. Dalam lain perkataan, penulis dilihat cuba memberi penekanan tentang konsep keadilan dalam Islam yang sangat-sangat dititikberatkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah kebanyakan dalil hadith Nabi S.A.W yang diberikan oleh penulis untuk mengambil pengajaran darinya, diberikan sanad dan sumber. Hal ini merupakan suatu perkara yang amat perlu dipuji dan dikagumi. Sungguhpun begitu, misalnya dalam hal menukilkan kata-kata dari Khutbah al-Wada’ yang aku sebutkan tadi, aku gagal menjumpai sebarang sumber atau sanad. Mungkin pendekatan penulis ketika menyantuni sirah Nabi agak berbeza dan alangkah baiknya jika sumber dan lakaran sanad turut diberikan untuk setidaknya membuang keraguan daripada mana dipetik sirah berkenaan dan adakah sirah tersebut dinilai sahih atau tidak oleh ulama’.

Sebelum ini, aku pernah mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Ustadh Nouman Ali Khan yang banyak aku kutip mutiara tafsir al-Quran daripada video-videonya. Ustadh Nouman berkata kurang lebih seperti berikut,

“The ultimate freedom is actually the slavery to Allah.”

Ertinya, kebebasan yang paling tinggi darjatnya itu terletak pada perhambaan diri kepada Allah. Pada waktu itu, aku sangkakan kata-kata ini adalah kata-kata masuk akal yang baru disebut oleh orang sekarang, tetapi aku ternyata silap. Kata-kata dengan maksud serupa, dihuraikan oleh penulis buku ini iaitu Syed Syeikh al-Hadi ketika menjelaskan iktikad di dalam Islam. Beliau menjelaskan bahawa apabila orang Islam beriktikad bahawa hanya Allah S.W.T sahaja Tuhan yang menguasai segala-galanya, maka ketakutan seseorang itu kepada hal selain Allah akan hilang. Makanya pada waktu ini, orang itu mempunyai kebebasan yang tetap dan kuat!

“…maka tetap dan kuatlah perasaan kebebasan kehidupannya itu dengan tiada sama sekali menaruh takut dan gentar akan sesuatu yang di luar daripada segala sebab-sebab yang telah dijadikan oleh Tuhannya di dalam alam ini.” (Halaman 61)

Ternyata, Syed Syeikh al-Hadi dan Nouman Ali Khan bertutur dengan kata-kata berbeza, pada kerangka masa yang jauh tetapi berkongsi maksud yang sama!

Fasal Ke-6, bermula pada halaman 73 sehingga 132, menunjukkan keseriusan penulis dalam menitikberatkan hikmah solat dan sebenarnya, jika diamati, penulis sedang mencuba membawa pembaca menjengah maksud bacaan dalam solat dalam keterbatasan buku ini yang nipis. Fasal-fasal selepas daripada fasal ke-6 dilihat gah memerah otak pembaca untuk berfikir hikmah kenapa Tuhan mewajibkan puasa, zakat dan ibadah haji yang sebenarnya manfaat ibadah-ibadah yang tersenarai dalam rukun Islam yang lima ini, akhirnya dicurahkan balik kepada manusia secara kolektif. Hal ini sekaligus menjawab persoalan yang timbul dalam minda aku sepanjang aku membaca buku ini iaitu, di mana kaitkannya Ugama Islam itu dengan akal, seperti yang digahkan oleh tajuk buku ini.

Sungguhpun begitu aku mohon untuk berbeza sedikit jika pembaca lain memfokuskan kepada hikmah sesuatu amal ibadah sebelum amal itu dikerjakan. Maksudnya, mungkin sebahagian dari kita apabila berhadapan dengan amal suruhan Tuhan dalam Islam yang tidak dapat kita cungkil apakah hikmahnya, akan lebih memilih untuk menolak mengerjakan amalan tersebut. Perlu diingat, kita beramal dan taat bukannya kerana hikmah. Tetapi, kita menggunakan akal untuk mencari hikmah diwajibkan sesetengah amalan itu untuk kita cuba memahami kebijaksanaan Allah S.W.T yang mewajibkan amal tersebut kerana tidak lain dan tidak bukan, hanya Dia yang Maha Bijaksana dalam menciptakan segala sesuatu!

Buku nipis yang hebat ini sungguhpun mungkin sukar dan memakan masa lama untuk aku habiskan pembacaannya, tetap memberi manfaat dan berjaya menyuap informasi dalam memenuhi kelaparan minda yang aku hadapi. Sangat disyorkan kalian membacanya!

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#ulamakal
#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize

Comments

Popular Posts