RESENSI BUKU BERTULIS : AKSI MASSA, tulisan TAN MALAKA.

Membelek buku yang ditulis oleh penulis MADILOG ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada diri tentang gagasan yang cuba dibawa oleh penulis.

Isunya mudah. Pada ketika buku ini ditulis dan ideanya cuba dipromosikan, Indonesia masih dicengkam dengan zalim dan rakus oleh Belanda. Makanya, penulis memberikan pandangannya berkenaan cara terbaik untuk menjatuhkan kuasa jahat Belanda yang menzalimi rakyat terutamanya kaum buruh di Indonesia.

Tindakan yang dicadangkan tidaklah berbaur anarkisme, tidak juga berbentuk diplomasi basi yang sering berlaku. Tindakan yang relevan pada mata penulis pada tahun 1926 ialah boikot dan demonstrasi beramai-ramai yang berpaksikan fikrah revolusioner.

Gambaran keadaan tindakan perlawanan penjajah yang sudah berlaku di India, Perancis dan beberapa negara lain turut disentuh oleh penulis. Bahkan, penulis dengan tidak teragak-agak mengatakan bahawa bentuk revolusi atau tindakan yang berlaku di negara lain itu tidak sesuai dilakukan di Indonesia atas beberapa sebab.

Walaupun penulis merupakan seorang yang terkehadapan dalam menyatakan ideanya yang bernas, namun mungkin terdapat beberapa sisi pandangan penulis yang boleh dikritik balas antaranya adalah berkenaan agama - Islam, secara spesifik. Kedengaran melalui tulisan penulis, agama Islam ini seakan-akan terlalu kolot di matanya.

"Umumnya bangsa kita secara lahiriah tampak modern sesuai dengan zaman kapitalis tetapi cara berpikirnya masih kuno, masih tinggal di zaman dahulu, seperti masih menganut Mahabhrata, Islam, dan berbagai macam takhayul dan kepercayaan kepada hantu, jin, kesaktian gaib, batu keramat dan lain-lain. Mereka masih terus seperti anak-anak berpikiran fantastis." (Halaman 95)

Sudah tentu, dalam isu ini, penulis silap menilai Islam. Barangkali gambaran Islam termasuk kepercayaan dalam Islam itu sampai kepada penulis dari sudut pandang yang pasif dan tidak progresif dan revolusioner. Tetapi, asal kita tahu sahaja Islam itu bertunjangkan tauhid kemudiannya membawa kepada syariat yang membanteras kezaliman dan menegakkan keadilan sosial dalam masyarakat, andaikata Islam yang diamal itu persis sebagaimana yang diajar oleh Baginda Nabi Muhammad SAW, sesuai dengan perintah Allah SWT.

Agak mencuit hati apabila dalam buku yang sama, penulis memberikan beberapa cadangan adab dalam berorganisasi yang kurang lebih, boleh dikutip pembelajarannya melalui penglibatan dalam jemaah Islam dan mungkin melalui pembelajaran adab dalam Islam itu sendiri merangkum jangan memaki-hamun dalam menyatakan pendapat dan selain itu, berlapang dada dalam melaksanakan keputusan syura yang sudah tamat dibahas.

Beberapa saranan penulis berkenaan perlunya golongan buruh marhaen yang ditekan, untuk melawan kapitalis zalim yang terus-menerus menjajah dan menzalimi kaum buruh dengan gaji yang terlalu rendah tetapi pada masa yang sama, menyuruh mereka bekerja lebih masa, sangat saya setujui secara peribadi.

Beberapa kritikan penulis yang ditujukan kepada beberapa partai atau kesatuan untuk melawan penzalim di Indonesia contohnya seperti Sarekat Islam pimpinan Tjokroaminoto turut terselit serba ringkas.

Bacaan yang disertakan dengan beberapa istilah bahasa asing (barangkali Bahasa Belanda) di beberapa tempat, memaksa diri untuk kerap kali merujuk enjin carian Google untuk mencari makna perkataan tertentu dalam buku ini. Juga perlu dicari makna, istilah Indonesia yang digunakan yang sebenarnya baru untuk orang yang tidak berbahasa ibundakan bahasa Indonesia, seperti saya.

Bacaan yang seringkas 148 halaman ini, sedikit sebanyak memberikan manfaat tentang cara melawan penindasan melalui revolusi terancang tanpa keganasan. Tetapi, soal cara yang sama itu boleh diaplikasikan di Malaysia, dalam melawan musuh marhaen sekarang, perlu diperhalusi.

Mungkin kita sedang membaca tentang sejarah dari penulis (manusia) yang sama, tetapi musuh kita berbeza, makanya pendekatan melawan itu juga sudah tentu tidak sama.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize

Comments

Popular Posts