RESENSI BUKU BERTULIS: ISLAM dan SOSIALISME tulisan Prof. Dr. Syed Hussein Alatas

RESENSI BUKU BERTULIS: ISLAM dan SOSIALISME tulisan Prof. Dr. Syed Hussein Alatas

Buku sekitar 100 halaman, yang diterbitkan oleh Gerakbudaya Enterprise, Selangor, Malaysia, ini telah dilancarkan pada tahun 2020. 

Secara asasnya, buku ini menjawab sejumlah persoalan serta membantah beberapa fahaman antara yang melampau dan yang mengabaikan. 

Penulis cuma membawa sudut pandang lain yang dilihat daripada aspek berbeza bila ditatap di posisi berlainan. 
.
.
BAB 1:

Dalam buku ini, sekitar 60 halaman pertama adalah pendahuluan. 

Kerana wujud pertembungan antara pelampau dalam sosialisme dek terikut barat dan anti-sosialisme akibat kononnya amat Islamik, penulis menyatukan konflik ini, dengan katanya:

"Antara Islam dan Sosialisme tidak ada pertentangan. Yang ada ialah pertentangan antara Islam dan beberapa jenis Sosialisme." (Hlm 4)

Katanya lagi: "...perbezaan fahaman mengenai soal ketuhanan dan peranan agama dengan golongan Sosialisme yang berpendirian demikian, tidaklah bererti bahawa seluruh Sosialisme itu salah..." (Hlm 9), 
.
.
Kemudian beliau bawa 10 tujuan sosilisme yang selari dengan Islam, di sini dikongsikan sebahagian yang dirasa penting:

-"Sosialisme bertujuan untuk menghapuskan ketidakadilan yang timbul dari sistem kapitalis yang sifatnya sebaliknya dari Sosialisme." (Hlm 6-8)

-"Sosialisme berpendapat bahawa tiap-tiap anggota masyarakat yang sihat dan cukup umur harus bekerja. Dalam masyarakat tidak patut ada golongan yang tidak bekerja yang dibiayai oleh Negara ataupun anggota masyarakat lainnya." (Ibid)

-"Satu lagi ciri Sosialisme, iaitu bertindak atas dasar kemanusiaan dengan tiada memandang keturunan, pangkat, jantina atau agama." (Hlm 16)
.
.
Semua ciri ini adalah hal yang dibawa oleh baginda Nabi dan disuruh dalam syarikat Islam. 

Umpamanya Rasulullah SAW meyamaratakan hukuman dengan mengandaikan anak beliau sendiri didapati salah, maka akan dihukum dengan hukuman yang sama seperti marhean lain. Nabi melarang orang meminta-minta dan memuji orang berkerja. 

Selanjutnya, Syed Hussein Alatas menukil sejarah para khalifah terdahulu, umpamanya:

"Saidina Ali melarang Malik al-Ashtar memberi kuasa atas tanah atau sumber air yang menjadi kepentingan umum pada orang perseorangan, terutama kawan-kawannya dan keluarganya. Jika mereka diberikan kuasa ini, mereka akan menindas orang-orang lain bagi mendapatkan keuntungan." (Hlm 16-17)

"Kemiskinan rakyat adalah sebab suatu negeri itu rosak dan runtuh, dan sebab terbesar kemiskinan rakyat ialah keinginan golongan pemerintah dan pegawai-pegawainya mengumpulkan harta dan milik dengan jalan mana sahaja, yang patut ataupun yang jahat. 

Mereka itu takut hilang jabatan, kedudukan dan keadaan memerintah dan bertindak mengeduk sebanyak-banyaknya dalam sesingkat masa di tangan mereka." (Ibid)

Syed Hussein Alatas cuba membawa pembaca menelusuri suatu kaedah melarang sistem kroni dan melarang secara jelas kerakusan para pemerintah yang jarinya tiada kuku tapi ada besi. 
.
.
Secara ringkas, sepatutnya slogan bahawa Islam membasmi kemiskinan bukan hanya laungan, sebaliknya mewujudkan plan tindakan. 

Andai golongan Sosialis melakukan hal tersebut, berertinya mereka membawa roh Islam walau gerakan mereka atas jenama tersendiri.

Sosialisme itu sendiri ada dalam Islam cuma tidak disebut dengan nama sedemikian. Umpamanya ilmu pengajian tajweed, ilmu nahu, ilmu musthola hadith, semua ini tidak dinamakan secara khusus, namun kewujudannya ada secara langsung dalam kesyumulan nash ajaran Islam. Kata Syed Hussein Alatas lagi:
.
.
"Rakyat Islam yang miskin menderita, berjalan tidak berkasut pada musim sejuk, sesetengahnya kelaparan, berjuta-juta diserang penyakit yang tidak diubati kerana tidak mampu, tidur tiada beratap... Di manakah kesedaran Islam seseorang yang menasihatkan orang yang kebuluran supaya jangan tamak? Nasihat ini berdosa!" (Hlm 47).

Syed Hussein Alatas mencela sikap orang yang menyeru agar masyarakat kebuluran agar berjimat tanpa disuruh si kaya membahagikan harta atau mencari solusi membasmi kemiskinan. Dalam hal ini, suka untuk saya petik tajdid minda dilakukan oleh Dr. Maza, dengan katanya (dengan sedikit adaptasi):
.
.
“Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?

Disuruh mak cik dan pak cik agar berjimat, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.
.
.
Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?

Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’." 

(Bicara Buat Pemimpin Dan Rakyat. Hlm 1-8)
.
.
Syed Hussein Alatas menyimpulkan bab pendahuluan dengan suatu simpulan, dengan katanya:

"Di kalangan masyarakat Islam ada tiga golongan:

Pertama yang membabi buta kepada barat. Mereka jahil tentang Islam dan juga tentang alam fikiran barat. 

Yang kedua yang anti-tamadun barat dan cetek pengetahuan tentang fikiran barat.

Yang ketiga, mereka yang bersungguh-sungguh mencuba memahami barat dengan tujuan mengambil yang baik, menolak yang buruk dalam semua budaya pemikiran, dengan tiada menggunakan cara mencela-cela barat. Harapan bagi umat Islam ialah berjayanya aliran terakhir ini, bukan pertama dan kedua." (Hlm 59)
.
.
BAB 2:

Pada bahagian ini, tidak jauh bezanya dari mukadimah, cuma dilebihkan contoh dari sirah, misalnya larangan ekploitasi perniagaan dan seumpamanya.

Syed Hussein Alatas juga banyak membawa beberapa nama besar dalam dunia cendekiawan Islam, kemudian mengkritik mereka, kerana mereka anti-Sosialisme. Nama-nama dan hujah para tokoh dikenali dunia itu boleh dilihat dalam buku ini. 

Hal yang terkandung dalam bab ini dirumuskan melalui satu nukilannya, iaitu:

"Seorang pendidik Islam tidak usah memperdalam-dalam dan memperbesar-besarkan antagonisme (pertentangan) antara barat dan timur itu. 

Islam hanya mengenal antagonisme antara hak dan batil. Semua yang hak ia akan terima, biarpun datangnya dari barat. Semua yang batil akan ia singkirkan, walaupun datanya dari timur." (Hlm 83-84)
.
.
BAB 3:

Pada bahagian akhir ini, Syed Hussein Alatas lebih kepada penceritaan kenapa dan latar bagaimana terhasilnya buku beliau ini. 

Ia bermula bila karya Tun Mahathir bejudul "Menghadapi Cabaran", sampai ke tangan Syed Hussein Alatas dan beliau melakukan kritikan padanya. 

Menurut Syed Hussein Alatas, bahawa Tun M melihat wujudnya penentangan antara Islam dan Sosialisme.

Ini bukan buku pertama membidas. Seperti tulisan Tun M "Revolusi Mental" dan "The Malay Dilemma", dijawab oleh Syed Hussein Alatas dengan tajuk "Siapa Yang Salah". 
.
.
Tun M ada menyamakan rakyat menentang kerajaan kerana polemik tercetus seperti ketidakadilan dan sebagainya. Mereka ini disebakulkan sebagai komunis oleh Tun M, menurut Syed Hussein Alatas. Jawab Syed Hussein Alatas:

"Serangan Komunis adalah haram dan subversif dan bersenjata. Penentangan orang-orang Melayu, menurut undang-undang, dan tidak menggunakan kekerasan senjata dan juga tidak berupa subversif." (Hlm 100) 

Kemudian diiringi beberapa kenyataan membantah mereka yang menentang masyarakat yang melawan korupsi kerajaan dengan kata Syed Hussein Alatas:

"Satu-satunya jalan untuk melenyapkan pengaruh komunis ialah dengan membentuk kerajaan yang adil jujur dan berfikiran jauh, supaya sokongan rakyat pada kerajaan akan bangkit sebagai ombak besar dalam perjuangan menentang komunis." (Hlm 105)
.
.
Paparan dalam bab akhir ini, amat baik dalam membangkitkan semangat juang rakyat dan mengharap kerajaan melakukan anjakan paradigma agar rakyat tak perlu mencari payung lain dikala awan menurunkan hujan ketika langkit terik berkemarau. 

Andai saya menjadi Tun M, maka saya seharusnya berbangga kerana ada orang yang begitu sudi membaca dan menjawab semula tulisan kita, kerana ia suatu penghargaan buat kita atas kewujudan pembaca setia. Dan teguran itu pula boleh diadaptasi sebagai suatu kritikan membina atau dibidas semula bagi merobohkan runtuhan. 

Sebagai penutup tulisan ini, saya amat tertarik dan tersentuh dengan kata-kata penutup oleh Syed Hussein Alatas, katanya: 

"Aku bermimpi main seruling
hadapan bunga di tepi kolam,
biarkan nasib aku terguling,
asalkan bangsa tidak tenggelam." (Hlm 112)
.
.
Wallahua'lam

Lokman Hakim Ibn Abdul Alim
9 Safar 1442

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize

Comments

Popular Posts