RESENSI BUKU BERTULIS : MUHAMMAD – INSAN PALING SEMPURNA PERNAH DILAHIRKAN, tulisan Dr Kamilin Jamilin.

Meraikan semangat sambutan Maulidur Rasul dalam bulan Rabiulawal ini, saya terpanggil untuk membelek sedikit sebanyak buku yang menceritakan berkenaan seorang Nabi dan tokoh ulung iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Pencarian buku terbaru untuk dibaca dan dikutip informasi berkenaan insan mulia ini, membawa saya kepada sebuah buku yang popular dan pada masa resensi ini ditulis, buku ini telah dicetak dalam Bahasa Inggeris.

Berketebalan 234 halaman, buku ini menyediakan rujukan yang lengkap terhadap setiap satu hujah yang diberikan. Lebih memuaskan hati, setiap hadith yang dimasukkan sebagai hujah, diberikan status kekuatannya, untuk meyakinkan pembaca bahawa kalam nabi yang dipetik, bukanlah rekayasa atau cerita lagenda yang direka, sebaliknya, semua kisah yang dicerita semula ini, sahih atau setidak-tidaknya hasan, dan kukuh untuk dijadikan sandaran.
 
Beberapa kisah yang memberi informasi baru kepada saya yang membaca buku ini, membuatkan terkadang diri dihentam ombak kesedihan, kekaguman dan kerinduan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Kerinduan untuk bertemu dengan insan agung ini bertambah memuncak dengan penyusunan buku ini yang dibahagikan kepada beberapa bab untuk menceritakan secara spesifik, ciri-ciri kehebatan Nabi Muhammad S.A.W.

Buku ini tidaklah membawa pembaca untuk menuhankan Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan buku ini menanam hormat yang mendalam sesuai dengan arahan Allah S.W.T dan ajakan Nabi Muhammad S.A.W. Bermula dengan memberikan nama penuh Nabi Muhammad S.A.W sehinggalah kepada kisah baginda yang tidak pernah berbohong, kualiti baginda sebagai seorang pemimpin, ayah, suami hatta kisah baginda dengan kanak-kanak, pasti membuatkan hati lebih rindu dan sayang dengan sosok tubuh baginda Nabi Muhammad S.A.W yang kita tidak pernah temui ini.

Pada masa yang sama, buku ini tidak lekang mengingatkan bahawa yang mengutuskan insan yang paling sempurna ini, tidak lain dan tidak bukan adalah Allah S.W.T iaitu Tuhan yang Maha Agong, yang mengutus seorang rasul yang tidak tahu membaca dan bukanlah seorang penyair, tetapi membawa risalah yang kualiti bahasanya sangat tinggi dan menawan hati setiap pendengarnya.

“Hendak dikata Muhammad SAW itu seorang penyair tidak mungkin, kerana mereka tahu ayat al-Quran itu sendiri tidak berbau syair dan Muhammad S.A.W itu pula seorang yang buta huruf, apatah lagi untuk mendendangkan syair yang merupakan tahap tertinggi masyarakat Arab ketika itu.” (Halaman 63)

Namun, sebagai pembaca dan pengkritik buku, mungkin terdapat beberapa hal yang boleh diperbaiki lagi dalam penjelasan buku ini, iaitu pada bahagian-bahagian berikut:

1. Terdapat beberapa bahagian nota kaki buku ini yang memuatkan rujukan yang terlalu panjang menjangkau beberapa halaman. Mungkin, untuk memudahkan urusan pembaca, boleh diletakkan rujukan yang panjang itu di bahagian lampiran untuk mengelakkan pembaca tergaul informasi yang bercampur aduk ketika sedang membaca bahagian tertentu dalam buku ini dengan rujukan yang dinyatakan. Tetapi untuk nota kaki yang pendek, buku ini telah memuatkannya dengan baik.

2. Pada halaman 74, saya berharap penulis dapat menambahkan definisi perkataan Miskin dan perkataan Fakir, untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham yang boleh ditunggang oleh pembenci Nabi Muhammad S.A.W untuk menyatakan bahawa Nabi S.A.W membawa ajaran yang bercanggah antara satu sama lain. Hal ini kerana, dinyatakan dalam buku ini bahawa Nabi S.A.W berdoa kepada Allah untuk dihidupkan dalam keadaan yang miskin, tetapi pada masa yang sama Nabi Muhammad S.A.W juga meminta Allah menjauhkan baginda dari kefakiran. Maka kedua-dua perkataan ini perlu didefinisikan dengan tepat, untuk mengelakkan orang awam keliru.

3. Pada halaman 94, ketika penulis membawakan kisah bagaimana Ibnu Mas’ud RA datang mempertikai pembahagian harta rampasan perang yang dilakukan oleh baginda, mungkin dapat dijelaskan atau didatangkan kisah penuh untuk dibaca oleh orang awam seperti saya, supaya dapat saya elakkan dari bersangka buruk dengan para sahabat Nabi S.A.W yang mulia dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Saya akui kekurangan ilmu sirah dan hadith pada diri saya yang membuatkan sangkaan buruk itu boleh timbul, tetapi cadangan ini diberikan untuk memudahkan urusan pembaca dari kalangan orang awam yang lain yang berminat untuk mencintai Nabi Muhammad S.A.W melalui pembacaan sirah baginda walau secetek mana ilmu yang kami punyai.

Jujur, membaca buku ini memberikan beberapa informasi baru kepada saya berkenaan Nabi Muhammad S.A.W, tetapi yang paling menyayat hati saya ialah pada sebuah kisah ketika Zaynab RA cuba menebus suaminya yang ditahan tentera Islam dengan mengutuskan sekalung rantai emas. Rupa-rupanya rantai emas itu ialah kepunyaan Khadijah RA lantas membuatkan Nabi S.A.W menangis kerinduan dan berubah riak wajahnya. Hal ini dapat disemak dalam buku ini pada halaman 180.

Membaca buku berkenaan Nabi Muhammad S.A.W amat membantu membiak cinta kepada baginda dalam diri kita semua sebagai umat baginda. Justeru, buku ringkas ini amat membantu ke arah itu.

Mencintai baginda merupakan satu kewajiban, membezakan baginda dengan Tuhan iaitu Allah S.W.T akan menjadi bukti yang lebih kukuh untuk kita menjadi hamba Allah S.W.T yang diredhai.

Semoga kita semua mencintai Nabi Muhammad S.A.W dan bermaulid setiap saat, tidak hanya menunggu bulan-bulan tertentu atau bermajlis-majlis tertentu sahaja kerana mengamalkan sunnah baginda adalah tanda cinta paling utama. Semoga kita semua dapat berhimpun bersama baginda di syurga kelak, atas dasar cinta kepada Muhammad S.A.W iaitu Insan Yang Paling Sempurna Pernah Dilahirkan!

Ameen.

Talhah Wasabi.
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize

Comments

Post a Comment

Popular Posts