Membalas Hujah Benz Ali dalam Persoalan Hadith Lalat.

Membalas Hujah Benz Ali dalam Persoalan Hadith Lalat. 

(http://murbareviu.blogspot.com/?m=1)

Bahagian Pertama, oleh: Lokman Hakim.

Ramai ingkar sunnah namun tidak mengaku begitu. Penuduhan bukan semata dengan pengakuan tapi juga kerana kelakuan.

Nak menolak hadis tidak menjadi masalah namun berdisplinlah dalam penolakan. Bukan kerana tidak logik semata-mata.

Al-Bukhari membuang hadis tidak serupa dan jauh bezanya dengan mereka yang menolak hadis. Persoalan ini telah dijawab dalam nukilan dari al-'Iraqi dalam Tadrib al-Rawi dan ramai lagi. Secara sinopsisnya, yang ditolak al-Bukhari adalah hadis tidak sahih, termasuk palsu dan sebagainya. Terkadang satu hadis dhaif muncul dengan beberapa sanad berbeza juga termasuk menolak satu hadis tetapi kerana berbilang sanad, kelihatan menolak beberapa hadis.

Ilmu sebegini sukar didapatkan hanya dari bacaan buku sisipan dan Google semata. Diharapkan selepas ini, hadis ditolak mengikut disiplinnya.

Jangan dikatakan tidak salah bermain bola sepak menggunakan tangan kerana mengikut cara bermain ragbi.

Jika nak ikutkan al-Bukhari, mengapa menolak hadis lalat yang dinyatakan sendiri riwayat al-Bukhari?

Sebelum Kassim Ahmad dan sebelum Islam di Nusantara sudah wujud mereka yang menolak hadis, kewujudan yang lama atau ramainya mereka bukan penentu kebenaran perilaku.

Jika ditanya kepada musuh Islam mengenai Islam dan kenyataan mereka dijadikan hujah, adakah tindakan ini wajar? Ini hanyalah misalan untuk menjawab bahawa pemikiran Jamal/Gamal al-Banna adik Hassan al-Banna, semata tidak memadai dijadikan sandaran.

Kalau boleh ambil Jamal al-Banna sebagai hujah menolak, maka mengapa tidak ambil Hassan al- Banna juga sebagai idola dalam menerima? Atau hanya 'cherry picking' seperti kebiasaan anti hadis yang tak mengaku?

Jika ada wanita enggan berhijab kerana fatwa Jamal al-Banna, adakah ianya perlu diterima? Manusia liberal yang kontroversial, hujah mereka tidak konkrit bahkan nama mereka tidak kukuh untuk mendukung hujah longlai tersebut.

Aliran salafi tidak dididik mempertahan hadis walau tidak logik, namun diajar metod berinteraksi dengan hadis. Cara menentukan hadis diterima atau tidak bukan hanya logik dan sains semata, kerana sains boleh berubah dengan kajian baru.

(https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1490262184506055&id=801451246720489)

Jadi pertahankan hadis lalat bukan aliran atau anutan tapi kerana ia benar tanpa keraguan.

Berkaitan hadis celup lalat, ia satu polemik sejak dahulu lagi dan hanya wira basi sahaja yang akan cuba mengangkat isu ini kembali. Pertama, apakah ada paksaan untuk tetap minum? Tentu tidak.

Benda kita geli tidak semestinya haram. Oleh itu Nabi ajar, bahawa walau beliau tidak selesa makan biawak Dhab, namun tidak beliau haramkan dan tidak pula sahabat lain paksa untuk cuba. Tapi diberi pilihan.

Jika kenyataan bahawa al-Bukhari menolak hadis diulang-ulang, perlu diketahui bahawa al-Bukhari tidak menolak hadis ini.

Bahkan Ibn al-Qayyim menyatakan "hadits ini merupakan dalil yang sangat jelas sekali, bahwa apabila seekor lalat mati dalam air atau benda cair sejenis, tidaklah menyebabkan air itu menjadi najis. Itu adalah pendapat mayoritas ulama.Tidak ada seorang pun ulama salaf yang menolak hal itu." (Zaad al-Maad)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]

Matan hadis sendiri tidak ada unsur paksaan sebaliknya hanyalah anjuran. Dan jelas tidak disuruh makan lalat tapi sebaliknya buang setelah dicelup. Disuruh celup semua yakni bukan hanya sayap sebelah sahaja tapi keseluruhan termasuk kaki dan badan.

Namun jatuhnya perlu tidak merubah sifat air tersebut.

“Air tidak najis sebab jatuhnya bangkai yang tidak ada darah yang keluar ketika dibedah tubuhnya... kecuali sampai mengubah terhadap air yang dijatuhi hewan tersebut, meskipun perubahannya hanya sedikit, maka ketika air berubah, statusnya menjadi najis.” (Syekh Zainuddin al-Maliabar, Fath al-Mu’in)

Kemudian "para ahli mikrobiologi berusaha untuk membuktikan secara ilmiah kandungan yang ada pada sayap lalat. Salah satunya yaitu Dr. Reham Muhammed Atta. Beliau adalah lulusan dari Fakultas Kedokteran, Universitas Kairo. Dr. Reham membuktikan dengan mengambil ekstrak sayap kanan lalat dan sayap kiri lalat, kemudian diinkubasi dan dilihat di bawah mikroskop. Kesimpulan dari penelitian beliau bahwa pada sayap kanan lalat tidak ditemukan mikroorganisme patogen baik dari bakteri maupun fungi. Sedangkan pada sayap kiri lalat ditemukan bakteri dan fungi yang berkembang." (https://islami.co/bagaimana-memahami-hadis-anjuran-mencelupkan-lalat-ke- makanan-atau-minuman/)

Ditambah dari website yang sama digunakan Benz Ali, terdapat juga kenyataan sains dinukil bersama iaitu "sebuah penelitian yang dilakukan di Universitas Colorado, Amerika menunjukkan bahwa lalat bukan hanya berperan sebagai pembawa dan penyebab penyakit tapi juga membawa manfaat."

Adapun mengenai percubaan minum air dimasuki lalat, ia telah dilakukan oleh saudara Adam sebanyak 46 kali, seperti diterangkan kepada Benz Ali pada minit ke 1:06:20 di pautan berikut: 

https://youtu.be/H0vbDd3hF5E.

Bahagian Kedua, oleh: Talhah Wasabi.

Dari pemerhatian dan pembacaan saya tentang artikel yang ditulis oleh Benz Ali berkisar tentang hadith lalat, dua hal perlu difahami terlebih dahulu sebelum sebarang konklusi dibuat.

1. Sains bukanlah neraca penentu kebenaran mutlak bagi semua hal. Hal ini perlu difahami terlebih dahulu kerana terdapat di antara kita yang cenderung untuk menilai kebenaran dan kebatilan itu hanya berdasarkan pembuktian sains. Sepanjang pengalaman saya menjadi seorang Ahli Farmasi dari sektor kerajaan ke sektor swasta, terdapat pertukaran pendirian dalam dapatan kajian sains yang sekaligus membuktikan bahawa dapatan kajian sains semata-mata tidak boleh dijadikan hujah mutlak menentukan sesuatu perkara itu benar atau salah dalam hal perubatan, apatah lagi apabila menyentuh hal yang disebut oleh Hadith Nabi Muhammad S.A.W atau mungkin apa sahaja hal berkaitan agama Islam.

Contohnya dalam hal kesan sampingan pengambilan ubat kolesterol dalam kategori Statin. Merujuk kepada MIMS dan secara umumnya diketahui oleh kebanyakan Ahli Farmasi, Statin misalannya Simvastatin akan menyebabkan masalah Rhabdomyolysis atau kesakitan otot sebagai kesan sampingan pengambilannya.

Akan tetapi hal ini akhirnya menjadi pertikaian dan dikaji semula seperti yang dilaporkan oleh Medscape dalam artikel yang dikeluarkan pada 25 Februari 2021, di mana satu Randomized Trial oleh SAMSOM pada 15 November 2020 melaporkan bahawa kesan sampingan itu boleh jadi tidak lebih dari sekadar kesan nocebo. Dalam erti kata lain, kesan itu berpunca dari tanggapan negatif orang yang memakannya sedangkan sebenarnya tidaklah ubat itu memberi kesan sebegitu rupa.

Rujukan: 

https://www.medscape.com/viewarticle/946470?src=mbl_msp_android&ref=share&fbclid=IwAR3Kf_a-bcLUlJDaR4f2txI0GuckH19cjyWbbiE2nnPbuPpks1wdEnq-DJA

Maka berpandukan contoh di atas, jelaslah untuk kita yang mempunyai akal waras bahawa kajian sains semata-mata tidak boleh dijadikan tonggak tunggal dalam menentukan kebenaran kerana dapatan kajian sains boleh jadi akan berubah dan tidak menggambarkan hal yang sebenar.

2. Dalam Praktis Perubatan Berdasarkan Bukti atau Evidence-Based Medicine practice, terdapat satu piramid tahap pembuktian (Hierarchy of Evidence) yang perlu dihormati. Tahap pembuktian yang paling rendah termasuklah laporan kes (case report) dan pandangan pakar (expert opinion). Manakala tahap pembuktian yang paling tinggi dan berkualiti ialah kertas kajian berstatus Systematic Review, Meta-Analysis atau Randomized Control Trial (RCT). 

Maka, dalam perbahasan apa sahaja hal yang berkaitan praktis perubatan, piramid ini perlu dirujuk supaya kita tahu kekuatan pembuktian yang diberikan oleh mana-mana pihak yang mendakwa sesuatu dan pada masa yang sama, supaya kita boleh mengelak dari membuat satu keputusan yang salah dalam praktis perubatan.
 
Berdasarkan dua prinsip di atas, berikut merupakan ulasan saya dari aspek sains tentang hal yang menjadi pertikaian dua individu yang saya sebutkan dalam penulisan ini.

1. Benz Ali membawakan pandangan daripada beberapa orang tokoh dan pada masa yang sama, beliau juga memasukkan komentar dari beberapa nama janggal untuk menguatkan hujah beliau. Pandangan dari Dr Nasir Hashim yang dinukilkan sebenarnya mensahihkan hadith tersebut bahawa sebelah sayap mempunyai racun dan sebelah sayap mempunyai penawar. Tinggal lagi, adakah mencelup lalat ke dalam air benar-benar terbukti dapat meneutralkan racun yang terdapat di dalam air dari sudut sains, hal ini yang menjadi persoalan dan kajian lanjut perlu dilakukan. Pandangan dari tokoh yang dipetik Benz Ali ini tidaklah dapat membuktikan bahawa praktis mencelup lalat ke dalam air itu terbukti membawa mudarat kepada peminumnya. 

2. Benz Ali juga membawakan hujah dari Dr Nurhuda Manshoor yang pada saya, juga tidak membuktikan bahawa hadith itu salah dan perlu ditolak. Dr Nurhuda Manshoor juga tidak menyatakan sumber artikel sains yang mana yang dirujuk sebelum mengeluarkan kenyataan. Tetapi menarik untuk diperhatikan komentar akhir dari Dr Nurhuda bahawa disiplin ini sudah biasa diamalkan untuk mengabsahkan dakwaan teks al-Quran sudah mendahului sains. Respon saya, ya, mungkin sebahagian kita terlalu simplistik apabila memberikan hujahan sains untuk membuktikan kebenaran al-Quran atau mana-mana teks agama. Tetapi, sama ada kajian sains membuktikan kebenaran sesuatu ajaran dalam Islam yang bersambung terus dengan Nabi Muhammad S.A.W dan al-Quran atau tidak, tidaklah menjadikan ajaran itu salah atau bertambah benar. Hal ini kerana, sebagai muslim, pegangan kita ialah apa sahaja yang bersambung terus dengan Nabi Muhammad S.A.W dan ianya diwahyukan dari Allah S.W.T, ianya benar. Kita tidak perlukan sains untuk beriman dengan kebenaran agama Allah ini, iaitu Islam. Janganlah kita terlalu simplistik meletakkan kebenaran ajaran agama Islam ini hanya berdasarkan pembuktian sains semata-mata, walhal kita sedar bahawa kajian sains itu boleh berubah pada bila-bila masa (Science is falsifiable). 

3. Berbalik kepada prinsip yang saya gariskan sebelum ini, jika Benz Ali ingin menjadikan pandangan dua orang tokoh ini dan beberapa komentar nama janggal sebagai hujahan menolak hadith lalat Riwayat al-Bukhari ini, ianya tidak kuat kerana mereka juga tidak mendatangkan sebarang kajian yang membuktikan bahawa celupan keseluruhan badan lalat ke dalam air akan mencemarkan air tersebut sekaligus membawa mudarat kepada peminumnya. Dalam hal ini, kajian berskala besar perlu dilakukan JIKA mencelup keseluruhan lalat ke dalam air ingin dijadikan sebahagian dari praktis/saranan perubatan umum. Contohnya, kita perlu menghimpunkan mungkin tiga hingga lima ribu orang untuk 
meminum air celupan keseluruhan badan lalat, dan perlu diperiksa adakah semua peminum air celupan lalat itu dijangkiti penyakit atau tidak. Ini hanya satu contoh. Jika benar kajian ini ingin dijalankan, proses kajian ini perlu dibincangkan dari awal sama ada kajian yang ingin dijalankan adalah kajian jenis Randomize Control Trial (RCT) atau seumpamanya.

Komentar untuk Ustaz Noor Derus:

1. Ustaz Noor Derus melakukan kesalahan jika beliau bermaksud mengatakan bahawa kajian tentang lalat dan antibiotik dengan mudah dapat dicari dalam carian Google. Hal ini kerana, setelah mencari kertas kajian tersebut, yang mudah didapati ialah kajian tentang lalat yang menjadi pembawa kuman yang mempunyai kerintangan atau kekebalan kepada antibiotik.

Setelah saya bertanya melalui email kepada Ustaz Noor Derus, jawapan yang saya terima ialah artikel kajian itu boleh didapati dalam Bahasa Arab. Ustaz Noor Derus turut 
memberikan pautan kajian itu kepada saya, malangnya atas faktor halangan bahasa, saya tidak dapat menilai artikel tersebut. Namun, sekadar pembacaan artikel kajian saintifik yang saya lakukan, terdapat satu kajian yang dilakukan di Microbiology and Immunology Department, National Research Center, Mesir yang menyatakan seperti berikut:

“The cultivated plates on nutrient agar media and potato dextrose agar media demonstrate both bacterial and fungal growth for the left wings extract plates however there were no bacterial or fungal growth for the right ones…”

Pada pandangan saya, kajian ini boleh dikuatkan lagi dengan mengkaji lebih banyak spesis lalat atau mempelbagaikan keadaan kajian yang mirip dengan keadaan sekeliling sewaktu Nabi Muhammad S.A.W mengeluarkan kenyataan ini. Aspek persekitaran seperti adakah lalat pada zaman Nabi S.A.W menghurung benda-benda jijik di sekeliling atau tidak mungkin boleh diberikan perhatian. Jika kajian ini boleh diperluas kepada kajian berskala besar, melibatkan kajian pelbagai spesis lalat dan dikaji adakah setiap gelas air yang dicelup badan lalat itu ke dalamnya akan mempunyai kandungan racun yang memudaratkan atau tidak, maka 
kekuatan kajian itu, pada pandangan saya, akan lebih kuat dan mungkin boleh dijadikan sebagai syor dalam praktis perubatan pada masa akan datang serta boleh dikaji secara lebih mendalam antibiotik jenis apa yang boleh didapati dari sayap lalat berkenaan.

Rumusan saya, pertelingkahan dua individu (Benz Ali dan Ustaz Noor Derus) ini perlu diselesaikan dengan membawakan bukti kajian yang boleh dibaca oleh umum dalam bahasa yang boleh difahami sebelum sebarang konklusi dapat dibuat. Tinggal lagi, Benz Ali hanya mengemukakan beberapa kata-kata dari tokoh dan beberapa individu bernama janggal, manakala Ustaz Noor Derus mengemukakan satu kajian yang tidak dapat diteliti atas faktor kekangan bahasa. Kedua-dua individu ini membawa bukti yang agak lemah, tetapi pandangan yang dinukil oleh Benz Ali kelihatan lebih lemah kerana beliau tidak dapat memberikan sebarang kajian yang membuktikan air celupan lalat memang mendatangkan mudarat kepada peminumnya dan hanya berbekalkan persepsi dan andaian 'dari zaman sekolah' tanpa kajian.

Menjadi seorang ‘yang pembaca’ sahaja dan mengutip pandangan beberapa orang ber-Phd sebelum menggunakan kata-kata mereka untuk menolak hadith Nabi Muhammad S.A.W bukanlah satu tindakan yang bijak. Kebolehan menilai kajian sains yang spesifik terhadap hal yang menjadi pertikaian perlu ada di samping mengetahui bahawa sains bersifat falsifiable serta pada masa yang sama, kebolehan menilai hadith dengan disiplinnya juga amat penting. 

Nampaknya dua ciri-ciri penting ini tidak terdapat kepada seorang Benz Ali.

Wallahualam.

Lokman Hakim dan Talhah Wasabi,
Book Surgeon.

Comments

Popular Posts