RESENSI BUKU BERTULIS: GELOMBANG BARU, karangan Hilal Asyraf

GELOMBANG BARU : JANGAN TERLEPAS PANDANG.

Alhamdulillah, saya sudah selesai membaca sebuah karya dari seorang penulis Novel Islami yang tak perlu diperkenalkan lagi iaitu saudara Hilal Asyraf. Novel yang berfokus kepada sukan bola tampar, pelajar sekolah agama dan kepentingan sukan sebagai alat berdakwah ini, diyakini amat menarik perhatian bukan sahaja saya seorang tetapi ramai lagi pembaca awam di luar sana.

Sudah tentu pujian wajar kita berikan kepada penulis yang berjaya mengarang dan memperinci gerakan-gerakan dalam sukan bola tampar serta pada masa yang sama, menyusun rapi misteri dalam watak Hussam dan Faiz. Tetapi, dalam penulisan kali ini, saya terpanggil dan sebenarnya ingin berpesan kepada pembaca dan keseluruhan peminat buku-buku Hilal Asyraf supaya tidak TERLEPAS PANDANG akan beberapa hal.

Pesan saya, JANGAN TERLEPAS PANDANG akan isu-isu manusiawi yang diketengahkan oleh penulis. Hal ini kerana, pada pengamatan saya, isu-isu manusiawi yang diketengahkan inilah yang menjadikan novel Hilal Asyraf yang pernah saya baca (SAGA HERO dan GELOMBANG BARU) sangat istimewa.

Dalam trilogi Gelombang Baru ini, ada beberapa isu manusiawi yang sangat-sangat penting untuk pembaca fokus kepadanya dan amat rugi jika TERLEPAS PANDANG. Antaranya:

1. GILA PANGKAT. Salah satu watak antagonis, seorang guru dalam Gelombang Baru, ditonjolkan sebagai seorang yang sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan gelaran dan pangkat menjadi miliknya. Akibat dari sikap ini, seorang guru yang sepatutnya membimbing anak muridnya telah bertukar menjadi satu sosok tubuh yang menunjukkan contoh buruk. Kata-kata kesat, makian dan taktik kotor dalam bersukan, menjadi halal untuk guru ini, hanya untuk mengekalkan kemenangan pasukannya dan untuk beliau memperoleh gelaran yang diimpikan.

2. RASUAH. Masih berlegar seputar karakter yang sama. Guru ini sanggup merasuah pihak urus setia untuk menggagalkan usaha pasukan lawan yang paling berpotensi iaitu pasukan bola tampar MATRI sekaligus mewujudkan laluan mudah untuk mengekalkan kemenangan pasukan beliau. Bayangkan, di peringkat persekolahan, yang sepatutnya menjadi tempat benih yang sedang bercambah dibaja dan dijaga rapi, akhirnya menjadi tempat rasuah bermaharajalela di belakang tabir. Bagi saya, pengajaran ini amat penting untuk ditumpukan perhatian oleh anak muda remaja yang membaca buku Gelombang Baru. Pucuk baru yang akan membina negara kita kelak, tidak wajar mengamalkan rasuah tak kira di peringkat mana sekalipun.

3. ISLAM PRAKTIS. Gelombang Baru menerusi watak Hussam dan beberapa bekas pelajar MATRI serta guru-guru MATRI berjaya memberikan pesanan supaya pembaca membawa dan menunjukkan praktis Islam yang sebenar ke alam nyata ini. Sekaligus hal ini merobek cakap-cakap liar di luar sana kononnya pengamalan Islam pada zaman ini sudah tidak praktikal dan keterbelakang. Islam Praktis yang ditonjolkan ini, pada saya, berpaksi pada konsep bersederhana, seimbang dan bersungguh-sungguh yang digarap molek dan indah oleh penulis. Ternyata, konsep-konsep praktikal dalam Islam ini, amat indah dalam tulisan sebuah novel dan kita YAKIN PASTI bahawa pengamalannya juga beribu kali lebih indah di dunia realiti.

4. SAINS vs SASTERA. Perbincangan yang mungkin dilihat agak lapok dan sudah basi ini pada saya, amat penting untuk diketengahkan dalam minda para remaja. Sudah tentu, mungkin pada masa hadapan, sudah tidak ada isu SAINS dan SASTERA ini, tetapi, mesej am yang penting di sini ialah isu tidak membanding beza antara bidang-bidang keilmuwan dan pekerjaan yang akan wujud kelak. Siapa sahaja sama ada ahli sains, penggiat sastera, Youtuber, Booktuber, anggota penjaga keamanan atau penjaga kebersihan, adalah kerjaya yang mulia dan hebat selagi kerjaya atau bidang itu mempunyai visi jelas untuk memberi manfaat kepada orang ramai. Keterbukaan dan nilai menghormati bidang ilmu dan kerjaya ini, amat penting untuk diambil cakna oleh remaja kita dan pembaca secara amnya, untuk mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni. Pasti kita sudah melihat hal negatif dalam masyarakat kita pada hari ini, yang menghadapi pandemik Covid-19 dengan sebahagian anggotanya yang tidak lagi menghormati orang dalam bidang ilmu dan kerjaya tertentu? Barah ini perlu dihentikan, salah satu caranya adalah dengan pemupukan nilai murni dari novel yang baik seperti Gelombang Baru ini.

5. KEPENTINGAN AKADEMIK. Isu ini sangat signifikan kedudukannya dalam trilogi Gelombang Baru apabila pemain bola tampar pasukan MATRI tidak akan dibenarkan berentap dalam kejohanan yang akan menjulang nama sekolah, jika mereka gagal dalam peperiksaan. Sesungguhnya, perkara ini menjadi teguran yang amat tepat kepada penuntut ilmu dalam pelbagai bidang di pelbagai peringkat yang kadang-kala menggadaikan fokus utama menuntut ilmu berbekal alasan ingin fokus kepada perkara sampingan seperti kegiatan "jemaah Islam" atau sukan dan lain-lain. Semoga pemikiran remaja kita bersih dari penyakit salah-letak prioriti seperti ini.

Isu-isu manusiawi yang diketengahkan di atas adalah 5 isu dari mungkin lebih banyak isu dan pengajaran yang dapat dikutip dari pembacaan trilogi ini.

Mungkin penting untuk penulis melakar sedikit gambarajah posisi permainan bola tampar di muka surat hadapan trilogi ini sebagai lampiran rujukan untuk memudahkan pembaca yang tidak biasa dengan peraturan sukan bola tampar untuk merujuk posisi seperti sub, fast, open dan sebagainya yang banyak disentuh dalam penceritaan. Soal fungsi Spiker, Setter, Libero dan sebagainya, hal itu akan difahami oleh pembaca seiring penceritaan berlangsung.

Semoga lebih banyak novel berisi nilai penting seperti ini dapat dilahirkan. Semoga semua pembaca TIDAK TERLEPAS PANDANG isu manusiawi yang diketengahkan dalam apa jua buku yang dibaca.

Semoga anak remaja yang gemar membaca menjadi GELOMBANG BARU bagi memperbaiki negara kita dan meletakkan Islam di tempat sepatutnya.

Ya Rabb, makbulkan doa kami.

Sekian ulasan saya.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CeritaRemaja
#AzamMemperbaikiMalaysia

Comments

Popular Posts