KETIKA ROKOK DIGULUNG (2) - RESENSI ZIMAM TRAGEDI TRANSISI.

Sudah beberapa ketika apabila jari ini mula mengetik papan kekunci di komputer riba milik aku ini. Sekali lagi aku akan cuba memberi pandangan yang tidak seberapa terhadap sebuah karya terbitan Book Surgeon. Cuma kali ini naskhah yang dihasilkan bukan berbentuk separa ilmiah namun dikeluarkan dalam bentuk novel. Mengambil kira novel yang dihasilkan ini berbentuk penyiasatan konspirasi dunia, maka aku tidak akan menggulung rokok daun nipah disulami tembakau cap jawa tapi aku akan membakar curut Cuba berjenama Quintero bagi membangkitkan perasaan konspirator itu. Habis duit simpanan gaji acah marhaen ini. Sesedut dahulu dan aku mulakan. 

Zimam Tragedi Transisi sebuah tajuk bagi novel ini yang dikarang oleh Talhah Wasabi atau Rozaidy Pakdy merupakan novel pertama terbitan kedua dari Book Surgeon. Secara jujurnya aku kagum dengan usaha yang dilakukan oleh kumpulan ini yang memperjuangkan harga bagi sebuah buku yang kini dipandang sepi oleh rakyat Malaysia. Katanya hendak berjuang tapi buku tidak dipegang sekadar anganan bangang menjatuhkan bajang. 

Novel ini aku dapati dari penulis sendiri dengan harga RM30 (baca:murah untuk naskhah yang berkualiti. Jangan berkira lah, langgan OnlyFans boleh pula), dan diposkan kepada aku untuk beberapa tempoh masa. Jadi ini bukan ulasan berbayar. Setelah aku mendapat novel ini, tanpa basa-basi aku terus baca dan menelaah novel ini. Durasi masa selama 2 jam diperlukan oleh aku untuk menghabiskan bacaan dari kulit ke kulit. Sekejap, sesedut lagi Quintero ini bersama secangkir kopi Melayu. Keseluruhannya, aku dapat simpulkan, novel ini sebagai sebuah novel bacaan santai namun membawa mesej yang besar. Sesekali aku seperti membaca karya Ramlee Awang Murshid dari sudut naratifnya. Sesekali aku seperti menonton filem Angels and Demons lakonan Tom Hanks. Ini merupakan pujian yang dapat aku berikan kepada Talhah Wasabi. 
 Aku tidak berminat untuk berkongsi sinopsis novel ini kerana telah banyak sinopsis yang dikongsikan oleh pembaca-pembaca terdahulu daripada aku. Salah satu aspek yang aku puji mengenai novel ini adalah isu yang cuba diketengahkan oleh penulis. Pembaca akan dibawa belayar dalam satu pengembaraan konspirasi mengenai Freemason, New World Order, Lucifer, Lady Gaga, Princemeed dan sebagainya sehinggalah akhirnya pembaca akan terpana dengan isu sebenar yang cuba dibawa oleh penulis iaitu ajaran Manunggaling Kawulo Gusti (cari jangan malas, siapa yang faham dia senyum je). Plot penceritaan yang baik (baca: bukan terbaik) telah dihidangkan oleh penulis. Satu perkara yang menakjubkan bagi aku untuk seorang penulis bukan fiksyen seperti Mamu Rozaidy. Memang seperti membaca karya Ramlee Awang Murshid.
 
Satu lagi aspek yang aku boleh berikan kredit kepada penulis adalah penzahiran aksi perlawanan dalam novel. Bagi aku sendiri untuk menghidupkan aksi perlawanan atau pergaduhan menerusi penulisan adalah sesuatu yang agak sukar dilakukan. Penulis perlu mempunyai latar belakang pertahanan diri atau pernah bergocoh disebabkan bola atau cinggey ataupun mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Aku tidak pasti Mamu Rozaidy kategori yang mana, tapi aksi perlawanan yang dizahirkan dalam novel Zimam ini realistik dan logikal. Penulis juga mempunyai pengetahuan yang baik dari segi Seni Silat Gayung kerana buah pukul dan buah kunci yang dizahirkan bertepatan dengan perguruan itu. Kredit buat penulis. 
Ketika curut disedut, kopi dihirup. 

Satu lagi perkara yang boleh aku angkat daripada novel ini adalah permainan perkataan yang penulis letakkan. Bagi aku sendiri, permainan kata dalam novel penyiasatan atau novel pengembaraan amat penting untuk mengheret pembaca terlibat secara langsung dalam penyiasatan itu. Pembaca yang sudah selesai membaca mungkin akan faham apa yang cuba aku sampaikan. Perkara ini akan membangkitkan perasaan ingin tahu pembaca dalam menghabiskan pembacaan. Novel Zimam ini aku lihat berjaya menggunakan aspek tersebut dengan baik dan teliti. Terdapat kesinambungan dari satu situasi ke satu situasi dengan permainan perkataan itu walaupun tidak berapa sempurna. Nama watak-watak dalam novel juga perlu diberi perhatian agar pembaca dapat menghubung kaitkan isu yang dibawa penulis dengan realiti masyarakat di luar sana.

Perkara lain yang aku suka dalam novel ini adalah perlambangan atau metafora yang penulis gunakan. Penulis tidak menjamu perkara tersebut secara langsung kepada pembaca dan meninggalkan pembaca dengan tafsiran sendiri. Perlambangan yang aku suka dalam novel ini ialah watak seorang tua dalam penjara. Bagi aku pelbagai tafsiran akan diberikan oleh pembaca. Sama ada orang tua itu wujud atau tidak, mungkin orang tua tahanan ISA, mungkin tahanan Macau Scam. Atau mungkin orang tua itu tidak wujud secara zahir syariat. Mungkin diri Zimam sendiri, mungkin Nabi Khidir, mungkin iblis. Penulis membiarkan pembaca membuat tafsiran. Ada sedikit persamaan teknik penulis dengan penulis Naguib Mahfouz (cari sendiri). Aku merasakan seperti menonton babak filem Ayat-Ayat Cinta 1 (babak Fahri dipenjara). Kredit untuk Mamu Rozaidy.  

Ketika curut disedut, kopi dihirup.
 
Baik, bagi aku tiada novel yang sempurna. Novel Zimam ini aku lihat ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki dari masa ke masa. Apabila membaca novel ini aku seperti membaca hasil karya 3 penulis berbeza. 100 muka surat pertama gaya dan teknik penulisan yang lain. 100 muka surat kedua penulis lain dan 100 muka surat ketiga penulis yang berbeza. Ini terjadi disebabkan oleh proses penulisan yang lama telah diambil bagi menyiapkan novel ini. Itu merupakan perkara pertama yang aku sedar dalam novel ini. Tak percaya, Tanya Mamu Rozaidy. 

Seterusnya, dari sudut latar tempat. Bila aku membaca novel ini aku tidak dapat menggambarkan kedudukan aku sebagai pembaca untuk berada di mana. Di dalam novel ini, secara umunya, penulis menggambarkan watak Zimam sebagai seorang rakyat Malaysia. Itu sahaja yang dapat aku katakan tanpa aku boleh kecilkan skop lokasi tersebut di mana. Apabila terjadi perkara sebegini, sedikit sebanyak akan mengganggu perhatian pembaca dalam menfokuskan latar tempat bagi setiap insiden yang berlaku. Aku turut memberi perhatian kepada tarikh-tarikh yang disertakan oleh penulis pada setiap kejadian. Jika menurut tarikh dan latar tempat yang disajikan kepada pembaca, ianya dilihat agak kontradik dan sedikit tidak logik. Jadinya, untuk penambah baikan aku sarankan kepada penulis untuk memasukkan nama-nama bangunan atau tempat terkenal tertentu dalam karya beliau. Tidak perlu banyak, hanya sekadar 2-3 tempat yang dapat menangkap perhatian pembaca dalam mengenal pasti latar tempat novel tersebut. 

Ketika curut disedut.

Kedua, watak Zimam selaku watak utama. Pada pandangan aku, watak Zimam itu terlalu muda untuk dia mengecapi pelbagai gelaran yang ada padanya selaku penyiasat persendirian. Agak tidak rasional bagi seorang pemuda mempunyai pelbagai kejayaan dalam usia sebegitu. Dan latar belakang watak Zimam juga agak kabur. Mungkin penulis ingin menerbitkan sambungan bagi novel ini dan menjelaskan tentang siapa diri Zimam yang sebenarnya. Watak-watak rakan Zimam yang lain juga bagi aku agak kurang jelas dan tidak berpadanan dengan usia mereka. Namun, siapa tahu, Book Surgeon akan menerbitkan lagi sambungan siri Zimam ini. 

Ketiga, satu perkara yang dapat aku temui dalam novel ini adalah ia mempunyai terlalu banyak jeda (intermission) dari sudut babak ke babak yang lain. Dan jeda ini seperti melompat-lompat dari babak A ke babak B kemudian kembali ke babak A dan seterusnya. Jeda dalam novel perlu ada dan tidak akan menjadikan naratif itu segaris sahaja (linear) namun saranan aku elakkan untuk memasukkan terlalu banyak jeda di dalam satu bab. Satu lagi perkara sebelum kopi aku habis, adalah berkenaan sub-plot dan watak yang tidak perlu di dalam novel ini. Aku lihat terdapat beberapa sub-plot dan watak yang tidak perlu dimasukkan kerana tidak menambah isi dalam naratif novel. Jika penulis ingin mengembangkan sub-plot tersebut, mungkin ia akan menjadi lebih menarik. Perkara ini aku temui ketika babak di dalam surau tempat Zimam sering bersolat. Cari dan anda akan faham maksud aku. 

Ketika curut dipotong, kopi dah kosong.

Secara keseluruhannya, novel Zimam Tragedi Transisi ini merupakan percubaan berani Talhah Wasabi dalam mengangkat isu marhaen dalam bentuk fiksyen. Walaupun percubaan pertama, tapi aku melihat seolah-olah beliau telah menulis beberapa novel sebelum ini. Tidak akan rugi RM 30 anda apabila membeli novel ini. Jalan cerita menarik dan santai disulami dengan isu yang berat cuba disampaikan. Terdapat beberapa kelainan plot (plot twist) yang anda akan dapati dengan membaca novel ini. Jika skala novel ini sehingga takat 10, aku akan berikan skala 7. 

Terbaik anak antoo 07!!

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#Zimam
#TragediTransisi
#ReviewMakanDalam

Comments

Popular Posts