RESENSI BUKU BERTULIS : RAHSIA-RAHSIA PUASA terjemahan The Bibliopress.

Alhamdulillah, dihadiahkan buku ini oleh pihak The Bibliopress dan The Bibliophile sedikit sebanyak memberikan keseronokan di jiwa untuk membaca hasil terjemahan beberapa karya yang unik.

Saya mulakan dengan buku Rahsia-Rahsia Puasa oleh Imam Al-Ghazali, diterjemahkan oleh Muhammad Yusra Hulaimi. 

Buku yang senipis 56 halaman ini boleh dihabiskan pembacaan dalam sehari ke dua hari tetapi fokus yang lebih perlu diberikan kepada intipatinya membuatkan masa yang agak lama wajar dibelanjakan untuk meneliti hasil terjemahan dan hasil nukilan Ulama' yang kita sanjungi ini.

Buku yang sesuai untuk dijadikan pembacaan setiap kali Ramadan menjelma sebagai ulangkaji akan kepentingan dan kelebihan puasa yang sebenarnya, iaitu puasa yang bukan sahaja menahan diri dari lapar dahaga dan syahwat semata-mata.

Karya ini berjaya menjentik diri saya supaya berusaha lebih gigih untuk berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Antara kata-kata yang menarik perhatian dan menjentik keinsafan saya secara peribadi ialah:

"Adapun orang-orang yang makan dan minum tetapi hakikatnya berpuasa ialah orang-orang yang menjauhkan anggota-anggota badannya daripada dosa-dosa; dan orang-orang yang tidak sebenar-benarnya berpuasa ialah orang-orang yang berlapar dan dahaga tetapi bergelumang dalam segala jenis dosa." (Halaman 44)

Makanya sebagai seorang Muslim, saya amat berharap supaya saya dan kaum Muslimin seluruhnya tidak tergolong dalam kalangan orang yang sia-sia puasanya padahal diri amat penat menahan lapar dahaga dan mengekang kehendak syahwat.

Sungguhpun begitu, diharapkan nukilan kata-kata dari halaman 44 ini tidak dijadikan lesen besar untuk mereka yang tidak berpuasa secara sengaja, untuk menjustifikasikan tindakan mereka itu dengan sosok tubuh Imam Al-Ghazali.

Dari aspek kesalahan ejaan, sekadar pengamatan saya, buku ini tidak ada walaupun satu kesalahan ejaan. Tetapi mungkin dari aspek tatabahasa di halaman v, bahagian Kata Pengantar, terdapat kesalahan yang minimal.

Halaman 34 menarik minat naluri saya sebagai seorang farmasis apabila satu analogi menarik diketengahkan berkenaan ubat dan racun.

Dengan rendah diri, saya ingin mencadangkan supaya status hadith yang dinukilkan dalam buku ini disemak semula. Dikhuatiri terdapat penggunaan hadith yang tidak sahih di dalam buku ini, yang mungkin tidak diketengahkan oleh pihak penterjemah dan penerbit.

Panduan dari guru yang faqih diperlukan andai kata pembaca buku ini mempunyai persoalan tentang pandangan fiqh yang dikemukakan berkenaan hukum hakam berpuasa dari segi niat dan sebagainya.

Satu buku yang baik, diterjemah dan diterbitkan dengan usaha gigih yang mudah-mudahan mendapat ganjaran dari Allah S.W.T, insyaallah.

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CoretanBacaanRamadan
#AzamBukuwan

Comments

Popular Posts