RESENSI BUKU BERTULIS : SYAHADAH KEDUA, tulisan Syazreen Mohd, terbitan Ilham Books.

"Untuk literalis, apa yang tak batil?"

Provokasi murahan seperti ini antara reaksi yang diterima ketika aku memuatnaik gambar salah satu muka surat dari buku Syahadah Kedua yang bagi aku, sebahagian hal yang ditulis bercanggah dengan kepercayaan dasar Islam yang aku anuti.

Buku setebal kurang lebih 193 muka surat ini, dilihat dipuji melambung oleh sebahagian orang. Rata-rata mereka bersetuju dengan mungkin sebahagian konsep yang dibawa oleh penulis yang banyak memetik kalam sosok tubuh kontroversi dalam lapangan tarikat iaitu Ibnu Arabi.

Cuba untuk tidak terburu-buru menilai atau menghukum sebelum membaca, aku mengambil keputusan untuk memberikan komentar penuh hanya selepas selesai membaca buku ini dan selepas selesai menyenaraikan hal-hal yang aku setuju dan tidak setuju dengan penulis.

ISU 1: SEMUA AGAMA BENAR?

Jelas tertulis kalam penulis yang bagi aku, mengiyakan syirik. Syirik dalam erti kata yang paling mudah difahami iaitu menyembah benda lain selain Allah SWT. Beralaskan konsep Nur Muhammad, Tajalli dan bertunjangkan konsep Tanzih dan Tasybih yang bergandingan, penulis dalam beberapa halaman seperti halaman 40,41 dan 42, kelihatan sangat lunak dengan agama lain (selain Islam) yang dikatakan benar juga oleh penulis, bahkan penyembahan berhala disamakan dengan ibadah solat.

"Wujud Tuhan juga terdapat dalam agama orang lain. Jadi, jangan angkuh dengan mendakwa satu-satu kebenaran hanya kepercayaan kita sahaja. Lantas bermati-matian mengajak orang lain menyembah Tuhan seperti sembahan kita; ghairah meletakkan simbol Tuhan untuk menampakkan Tuhan kita sahaja tanpa kompromi. Sikap itu bukan sahaja mendatangkan percakaran antara umat, boleh menjebakkan umat ke kancah perang semata-mata berebut wacana Tuhan." (Halaman 30)

"Penyembahan berhala atau patung cuma sebagai penzahiran - sama seperti solat." (Halaman 42)

Maaf, kelunakan ini aku tentang. Antara hal yang menghalang aku beriman dengan fahaman penulis ialah kerana konsep Nur Muhammad, konsep tajalli atau konsep manifestasi Tuhan dalam pelbagai rupa bentuk termasuk manusia, berhala dan sebagainya, setakat pembelajaran aku, mempunyai masalah pertikaian sumber asal. Sungguhpun bukan ahli dalam bidang agama, hal yang cuba meruntuhkan akidah Islam seperti yang dibawa penulis, perlu aku utarakan dan menyebutnya sebagai batil.

ISU 2: SYAHADAH PERTAMA MEMBAWA EXTREMISM ATAU KEGANASAN?

Penulis antara lain menyatakan:

"Sebaliknya, mempertahankan kalimat tauhid pada lafaz pertama boleh mendatangkan mudarat lebih besar pada nasib kemanusiaan."

"Sebab itu, lafaz kalimat pertama adalah asbab manusia berperang, bertarung, malah mengkafirkan semata-mata mereka mahu mempertahan bayangan Tuhan masing-masing."

Kedua-dua pernyataan ini dari halaman 5. Dapat dilihat juga pada halaman 18, kalimah syahadah pertama dikaitkan dengan jalan peperangan dan keganasan. Persoalan yang timbul sekarang ialah kenapa penulis seolah-olah menyalahkan konsep asas dalam Islam iaitu dua kalimah syahadah ini, padahal punca kepada keganasan dan peperangan itu sebenarnya datang dari kefahaman yang pincang oleh segelintir penganut agama Islam? Mengapa ingin digadaikan konsep tauhid asas Islam iaitu tidak ada Tuhan selain dari Allah dan tiada manifestasi atau jelmaan Allah itu melainkan segalanya adalah ciptaan-Nya, dan Nabi Muhammad itu bukan Nur Muhammad dalam kefahaman batiniyyah tetapi Nabi Muhammad adalah seorang manusia terpilih yang menyambung penyebaran risalah tauhid seperti nabi-nabi yang terdahulu?

Mengapa disebabkan kesalahfahaman umat yang alpa dan tersilap langkah, yang terjerumus ke kancah extremism, akhirnya prinsip asas dalam Islam seperti dalam hadith Jibril yang dibawa oleh penulis sendiri, akhirnya ditebuk dan diubah serta diselarikan dengan konsep tajalli, Nur Muhammad dan pluralisme yang akhirnya terang dan nyata menerima syirik sebagai akidah benar?

Dalam halaman lain, penulis sendiri menyatakan:

"Yang dibolehkan, kritik atas kesalahan individu agama lain, bukan ajarannya. Kritikan harus dibidik kepada penganut atau paderi, tetapi jangan sesekali sentuh ajarannya." (Halaman 118)

(Untuk berlaku adil, konteks petikan ayat dari halaman 118 ini adalah berkenaan teguran penulis supaya jangan dikritik agama lain dan pada masa yang sama, penulis menyatakan bahawa hanya penganut agama tertentu sahaja yang patut mengkritik agama mereka, bukan penganut agama lain. Penulis memetik kata-kata Hans Kung dalam isu ini.)

Keanehannya ialah pada sikap penulis yang berat sebelah. Agama Kristian dan agama selain Islam, tidak dibenarkan dikritik melainkan kepada penganut dan paderi. Tetapi, kita boleh baca berkali-kali penulis mengkritik dasar tauhid agama Islam berdasarkan kefahaman para sahabat sepertimana yang Nabi Muhammad S.A.W ajarkan persis yang diarahkan oleh Allah S.W.T. Pilih kasih seperti ini tidak wajar diamalkan terutama untuk seseorang yang ada latar belakang pembelajaran agama Islam, tak kira dalam atau luar negara. 

Sepatutnya dasar agama Islam dalam ruang lingkup Al-Quran dan Sunnah yang sahih dijunjung dan tidak dikritik seperti yang penulis lakukan.

Terlalu ingin berlunak dengan kesyirikan, dasar agama lain dipelihara, tetapi dasar agama sendiri, dikritik dan dirobek. Ya, mungkin penulis konsisten dengan pegangannya, tetapi malangnya penulis konsisten dengan kebatilan.

ISU 3: TAUHID ASLI TIDAK MEMBAWA KEADILAN SOSIAL?

Sesedap rasa penulis tampil dengan perkataan 'Tauhid Universal' bersama pernyataan mengiyakan syirik dan berenang dalam pluralisme. Padahal, Tauhid Asli yang dibawa oleh para Nabi sesuai arahan Allah S.W.T sudah tentu mampu menyelesaikan masalah sosial bahkan ianya penyelesaian yang paling tuntas untuk menegakkan keadilan sosial dalam kalangan masyarakat.

Aku lihat dalam perspektif yang mudah. Apabila kita mengaku dan menerima adanya Tuhan yang mencipta alam dan diri kita (bukan alam ini jelmaan Tuhan), kita akan sedar bahawa kita mempunyai Tuan. Kita perlu mengikut arahan. Kemudian apabila kita bertemu dengan Islam hasil hidayah dari Allah S.W.T, kita akan belajar sedikit semi sedikit arahan yang kita perlu ikuti sebagai seorang hamba kepada Tuhan. Pada masa yang sama, kita akan lebih insaf dan sedar bahawa orang lain, tidak kira agama dan kepercayaannya, juga hamba Allah dan kita tidak boleh menzalimi mereka. Segala hak perlu diberikan sesuai dengan arahan Allah dan Rasul. Tidak membunuh tanpa sebab yang kukuh, tidak membuat keganasan kepada orang yang bukan Islam jika tiada sebab yang benar, tidak mengambil harta atau hak mana-mana individu dan pada masa yang sama, memegang janji dan menjaga keselamatan jiran, masyarakat awam dan semua orang yang kita bermuamalat, sesuai dengan arahan dan suruhan Allah dan Rasul, seperti yang diajarkan dan diwarisi dari generasi terbaik, generasi salafi iaitu tiga kurun yang diiktiraf Nabi Muhammad S.A.W. 

Ini asas kepada keadilan sosial. Tidak perlu diubah dan diolah dengan konsep batil yang dibawa penulis.

Cuma persoalannya, bahkan bahagian yang mungkin aku bersetuju dengan penulis, kita umat Islam mempunyai masalah dalam pengamalan. Islam yang dijaja hari ini, kebanyakannya Islam Puitis, bukan Islam Praktis. Islam praktis dalam erti kata mengikut ajaran Allah dan Rasul sesuai dengan teks dan maksud asal. Krisis di Syria, muslim dibedil oleh Syiah, sepatutnya kita kecam kerana yang dibedil itu saudara seagama dengan kita. Begitu juga apabila Saudi membedil Yaman, jika perbuatan Saudi itu salah, kita kecam habis-habisan kerana yang dibedil itu juga saudara kita dalam kemanusiaan, sesiapa sahaja manusia bahkan binatang jika dizalimi, kita tidak tinggal diam. Kita bantah!

Malangnya, solat dan pegangan sebahagian kita terhadap Islam ini, gagal kita hayati dalam erti kata sebenar mengikut ajaran Allah dan Rasul, sehinggakan kita jatuh ke kancah ekstrim. Berlainan dengan penulis, apa yang aku cadangkan ialah muhasabah kendiri, bukan merobek dasar agama. Kita perlu muhasabah bagaimana kita menganut dan mengamalkan Islam dan perlu konsisten mengkritik dan mengecam ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku.

Hal ini diharap menjawab lontaran kritikan penulis di halaman 145. 

ISU 4: NABI WAJAR DIKRITIK?

"Sikap taasub terjadi kepada umat Nabi Nuh A.S. kerana baginda gagal mengajar mereka kefahaman yang betul-betul benar tentang sang Mutlak - kesilapan metodologi." (Halaman 47)

Kenyataan biadap ini adalah rentetan dari kenyataan biadap dari beberapa halaman yang lain, misalnya halaman 39, 40, 45 dan 46.

"Mengikut beliau, Nabi Nuh A.S. sangat obses ketika memyempurnakan nama Allah kepada umatnya yang jahil. Dakwah yang disampaikan kepada umatnya yang menyembah berhala tidak seimbang. Nabi Nuh A.S. hanya menumpukan tanzih semata-mata tetapi seakan gagal membuktikan penampakan Tuhan (tasybih)." (Halaman 39) (Konteks - penulis menukilkan pandangan Ibnu Arabi dalam Fusus al-Hikam)

Pertama, penulis biadap apabila mengatakan bahawa elemen syirik yang sepatutnya dimasukkan dalam dakwah Nabi Nuh A.S. Adakah wajar seorang nabi mengajak umatnya menyamakan Allah dengan sesuatu, apatah lagi dengan berhala yang ditentang penyembahannya?

Kedua, aku berpegang bahawa para nabi maksum, bebas dosa. Tetapi, para nabi tetap tidak bebas dari kesalahan sebagai manusia. Namun, yang layak menegur dan membetulkan kesalahan para Nabi dan Rasul, hanyalah Allah S.W.T yang bebas cacat cela. Syazreen Mohd dan Ibnu Arabi pujaannya tidak layak langsung mengkritik Nabi Nuh A.S.

"Bayangkan, begitu mudah misi kenabian jika sekadar menghancurkan berhala Uzza, Latta dan Manna. Sebaliknya, itu bukan tugas atau tujuan kenabian. Sebaliknya, tujuan kenabian adalah mengesakan Tuhan dengan menghancurkan berhala kezaliman, penindasan, ketidakadilan, dan keangkuhan dalam hati setiap manusia." (Halaman 42)

"Tidak perlu Nabi menanggung jerih perih beban menyempurnakan amanah kewahyuan andai sekadar untuk menumbangkan berhala ke tanah. Semua orang boleh jadi Nabi jika semudah itu misi kenabian." (Halaman 43)

Memandang rendah usaha menghapus syirik (berhala dan penyembahan selain Allah), menunjukkan bahawa penulis berada di pihak yang bathil. Umum mengetahui betapa kuatnya penentangan Nabi Ibrahim A.S., Nabi Nuh A.S. dan Nabi Muhammad S.A.W terhadap penyembahan berhala. Bahkan, semua Nabi membawa risalah tauhid yang mengajak umat menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah S.W.T. Sudah tentu Allah memilih insan yang berkebolehan dan berkemampuan untuk menghapus syirik dan memperingatkan umat supaya menjauhi syirik.

Allah tidak pernah silap. Nabi Nuh tidak salah metodologi dan kefahaman tauhid baginda, yang salah di sini ialah Ibnu Arabi dan Syazreen Mohd.

ISU 5: PARADOKS PENULIS.

Dapat dilihat dengan jelas dari penulisan penulis bahawa Tuhan itu tidak boleh diketahui oleh manusia. Hal ini menonjol pada halaman 5.

"Tidak perlu untuk manusia menghabiskan kudrat memikirkan tentang-Nya sehingga mencapai sikap taasub berlebih-lebihan seperti bagaimana, di mana dan apa keadaan Tuhan. Mustahil Dzat-Nya dapat diketahui oleh manusia." (Halaman 5)

Ya benar. Islam yang aku pelajari, tidak menyuruh umatnya berfikir tentang Dzat Tuhan atau bagaimana keadaan Tuhan yang tidak dapat kita fahami. Tetapi, kita faham dan ketahui Tuhan sesuai dengan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan Sunnah (Hadith Sahih dari Nabi Muhammad S.A.W.). Apa yang diajar oleh kedua sumber ini, kita ikut dan imani, walaupun tidak dapat kita bayangkan bagaimana Tuhan itu sebenarnya.

Berlaku keanehan sekali lagi, bahkan keanehan yang paling besar dari diri penulis apabila Tuhan yang penulis katakan sangat misteri dan tidak boleh disifatkan itu, akhirnya diberikan sifat oleh penulis dan tokoh sanjungannya, Ibnu Arabi. Bahkan, penulis mengakui paradoks yang berlaku ini dalam buku ini sendiri!

"Wujud Tuhan dimaknai dengan sikap terbuka dalam menerima kepelbagaian. Kerana Tuhan menyatu dalam kepelbagaian yang beragam meskipun Dia Wujud secara tunggal." (Halaman 85)

Tidakkah ini penceritaan penulis tentang Tuhan? Sedangkan penulis sendiri setuju dengan Ibnu Arabi bahawa Tuhan itu misteri.

Apabila dirujuk halaman 10, nota kaki ke 10, penulis mengakui sesuatu hakikat.

"Walaupun tulisan ini tertumpu kepada jalan keluar polemik teologi tatkala memikirkan tentang Tuhan, secara tidak sedari, penulis juga tidak terlepas dalam lingkaran paradoks yang mengitari perbahasan tentang Tuhan. Meskipun kecenderungan berpihak kepada aliran Ibn Arabi tentang memilih pendekatan seperti ketidakupayaan dalam mengetahui dan memikirkan Tuhan. Hakikatnya, ketika mahu melepaskan diri tentang pengetahuan Tuhan, tanpa sedar kritikan itu juga berpaling ke atas diri, Ibn Arabi sekali pun dalam usaha mengeluarkan polemik tersebut tidak akan mampu melepaskan 'itu adalah tafsiran pengetahuan paling benar' tentang bahawa itu adalah tuhan."

Soalannya:

1. Jika Tuhan itu tidak akan diketahui oleh sesiapa, maka, bagaimana Ibnu Arabi dan Syazreen Mohd bercerita tentang Tuhan?

2. Jika Tuhan yang diceritakan oleh ahli kalam yang dikritik Ibnu Arabi dan Syazreen Mohd itu, bukan Tuhan kerana Tuhan itu tidak dapat diketahui langsung, bagaimana pula Tuhan yang diceritakan oleh Ibnu Arabi dan Syazreen Mohd, adakah itu Tuhan yang sebenar? Bukankah Tuhan itu tidak boleh diketahui?

Solusinya?

Ayuh beriman dengan Tuhan iaitu Allah S.W.T. persis seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan Sunnah (Hadith yang sahih) sahaja. Jika tidak mampu akal kita menggambarkan Tuhan itu bagaimana (sudah tentu tidak mampu), sedarlah bahawa kita manusia yang lemah, tidak akan mampu kita mengetahui hal tentang Tuhan, melainkan apa yang Tuhan beritahu melalui wahyu. Itu sahaja.

PENUTUP.

Syahadah Kedua cuba menegur pengabaian aspek kemanusiaan sebilangan umat Islam. Itu hal yang aku puji, sanjung dan junjung. Tetapi, jangan melampau. Jangan disebabkan mahukan damai, prinsip asas Islam iaitu tauhid asli bawaan Nabi Muhammad S.A.W. persis yang Allah S.W.T mahukan, digadai.

Aku menolak keterbalikan syahadah yang dibawa oleh penulis. Aku tolak "damai" dan "lunak"nya penulis dengan syirik beralaskan konsep tajalli, Nur Muhammad dan Tanzih seiring Tasybih yang dibawa oleh penulis.

Kredit aku berikan kepada penulis yang sedar akan paradoks dirinya dan Ibnu Arabi. Malangnya, paradoks itu terus dianuti oleh penulis. Adalah lebih cocok dan selamat, kita beriman dengan Allah S.W.T. dan agama Islam, sesuai yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan generasi terbaik yang diiktiraf oleh baginda. Itu jalan paling selamat dan menghapus kekeliruan.

Sekali lagi ingin dijelaskan, aku masih merangkak mencari ilmu agama, tetapi saat prinsip asas agama Islam dirobek atas dasar inginkan "kedamaian" kononnya, aku tidak boleh tinggal diam.

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#Azam2021

Comments