Resensi Buku Bertulis: SAKA

Penulis Buku: Edi Arjuna

SAKA adalah sebuah buku kompilasi kisah seram tulisan Edi Arjuna. Pengalaman aku mendapatkan buku ini sangat menarik kerana aku dihubungi sendiri oleh Tuan Edi atau lebih mesra aku panggil Abang Edi. Aku pasti pembaca yang lain juga ada pengalaman yang sama apabila dihubungi penulis untuk mengesahkan alamat pengeposan. Seperti yang diketahui umum, penulisan Edi Arjuna ada keunikan tersendiri. Selain perincian suasana keseraman yang sangat ‘real’, beliau juga sangat terkenal dengan unsur jenaka yang sering diselitkan dalam kisah seram beliau. Ini menjadikan Abang Edi berbeza dengan penulis-penulis kisah seram yang lain. Buku ini menghimpunkan 2 kisah seram penulis yang dikompilasi menjadi sebuah buku.

Disebabkan ini adalah resensi buku bertulis pertama aku, aku akan cuba untuk memudahkan kalian untuk membaca resensi ini dengan memecahkannya kepada 2 bahagian. Bahagian yang pertama aku akan huraikan beberapa perkara yang aku rasa perlu diperbaiki oleh penulis dan di bahagian kedua, aku akan cuba huraikan beberapa perkara yang pada pendapat aku, sangat menarik untuk dibaca.

(Bahagian 1)

Sebagai pembaca, bahasa yang digunakan di dalam sesebuah buku sangat memberi kesan terhadap pembacaan kita. Di dalam buku SAKA, penulis tampak sangat selesa menggunakan loghat utara dalam tulisan beliau. Untuk orang utara, membaca tulisan Edi Arjuna terasa seperti mendengar beliau berceloteh di tepi telinga anda. Pada pendapat aku, dengan rendah dirinya, aku tidak setuju dengan gaya penulisan sebegini. Buku ini berformatkan penceritaan pengalaman seram penulis sendiri. Aku kurang selesa apabila penulis menggunakan loghat utara dalam penceritaan beliau. Aku dapat memahami mengapa penulis menggunakan loghat Pulau Pinang dalam dialog kerana Tuan Edi memang berasal dari negeri tersebut. Sebagai individu yang memang berasal dari utara tanah air, semestinya aku memahami setiap bait perkataan yang ingin dilontarkan penulis. Cuma, beberapa perkataan yang digunakan penulis ini mungkin agak sukar difahami oleh pembaca yang bukan dari utara.  Antara contoh perkataan yang digunakan oleh penulis adalah celapak, serelum, marka, amjadah, le teww (ms 15), tomeh (ms21), menerap (ms61), lumoq (ms61) menunjukkan yang penulis agak kurang mengambil berat perihal menghormati tatabahasa dan disiplin bahasa yang betul dalam penulisan. Aku yakin penulis semestinya sudah terlalu selesa dalam penulisan berloghat utara tetapi aku masih kurang selesa apabila penulisan sebegini dibukukan. Ada juga beberapa perkataan Bahasa Inggeris yang telah ‘diutarakan’ penulis contohnya owning (ms23), menten (ms87). Aku berpendapat yang penulis perlu lebih berhati hati dalam penggunaan bahasa dan kalau pun penulis sudah terlalu selesa dengan gaya penulisan sebegini, aku cadangkan supaya penulis sediakan ruangan ‘Glosari’ di bahagian akhir buku.

Orang utara juga sangat dikenali dengan gaya percakapan yang sedikit kasar. Penulis juga nampaknya tidak dapat lari dari penggunaan perkataan-perkataan yang tampak kasar walaupun secara dasarnya, aku tahu yang penulis tidak ada niat untuk mencarut atau memaki hamun sesiapa. Cuma, dalam percakapan biasa orang utara, perkataan seperti kamjat (ms51), dejey (ms65), hareyyy (ms67) sudah menjadi pelengkap kepada gaya percakapan orang utara. Aku kurang selesa apabila memikirkan mungkin ada pembaca bawah umur yang membaca buku ini. Kalau nak digunakan juga, mungkin penulis boleh beri nasihat supaya tidak ada yang mencontohi beliau atau kurangkan sedikit penggunaan perkataan seperti yang telah disebutkan.

(Bahagian 2)

Dari sudut teknikal, buku ini sangat selesa untuk dibaca. ‘Spacing’ dan ‘font’ yang dipilih sangat wajar menerima pujian kerana ia memudahkan pembaca. Kulit buku juga sangat menarik dan berjaya menampilkan genre ‘seram’ yang cuba dibawa penulis. Kredit untuk penulis yang sanggup menurunkan tanda tangan beliau pada semua pembaca yang membeli buku ini.
Antara sebab aku tertarik dengan penulisan Edi Arjuna adalah unsur nasihat yang sering beliau bawa dalam penulisan beliau. Penulis sangat suka memetik nasihat-nasihat yang ditinggalkan oleh arwah bapa beliau dan nasihat yang diberikan sangat berguna dan mendalam hingga kadang-kala nasihat itu buatkan aku terdiam dan merenung kembali nasihat tersebut.

Ada banyak nasihat yang dibawa oleh saudara penulis dan aku akan cuba petik beberapa nasihat yang aku rasakan sangat berguna dan memberi kesan dalam hidup aku. Nasihat-nasihat itu antaranya:

Ms25 ‘kalau sesat dalam hutan..'

Ms45 ‘siapa buat tak penting…’

Ms 68 dan 69 - Kaedah rawatan islam untuk mencegah sihir.

Ms 85 ‘Jangan tinggal solat. Jangan tinggal Al Quran’.

Ms223 ‘Balik pada apa Tuhan dan Nabi ajaq…’ (pesanan yang paling memberi kesan pada aku).

Ms 257-258 Dalam rawatan islam, kita tak guna benda-benda tu semua..’ Ini 1 ruang nasihat yang paling aku suka apabila penulis membetulkan kembali pemahaman masyarakat melayu di Malaysia yang terlalu taksub dengan garam dan kemenyan.

Ms 260-261 ‘Astaghfirullah. Jangan cakap camtu…’

Dialog antara saudara penulis dan Intan Norlaila ini penuh dengan unsur nasihat yang boleh diambil iktibar dan panduan dalam hidup. Apabila Intan Norlaila sudah mula berputus asa, penulis tidak putus-putus memberi nasihat dan nasihat tersebut sangat berguna untuk rakan pembaca yang hampir berputus asa.
Halaman 73 ada dimuatkan pesanan penulis supaya tidak membaca jampi (mantera) berulang kali.

Ini juga adalah salah satu usaha baik dari penulis untuk mengingatkan pembaca supaya tidak membaca jampi berulang kali. Pesan penulis ini sewajarnya diambil serius bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.

Penulis juga juga ada menggunakan beberapa petikan ayat Al-Quran di dalam buku ini. Antaranya di halaman 84. Perkara ini juga sangat menarik perhatian aku dan aku dapat rasakan usaha penulis untuk membuat pembaca akhirnya kembali kepada sumber utama umat islam iaitu Al Quran dan Hadis apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang sulit terutamanya perkara ghaib.

Seperti yang aku nyatakan di awal penulisan ini, Edi Arjuna terkenal dengan identiti penulisan yang sangat unik iaitu seram+komedi. Babak penulisan yang sangat mencuit hati dan membuatkan aku ketawa sampai terbahak-bahak adalah pada muka surat 277. Aku rahsiakan dulu kandungan babak ini supaya ia tak menjadi spoiler kepada pembaca yang belum baca buku ini. Sejujurnya, sepanjang aku membaca buku ini, aku dihidangkan dengan perasaan yang bercampur-baur antara seram dan jenaka yang mana ini adalah 1 keunikan yang aku belum jumpa dalam mana-mana buku bergenre seram.

(Kesimpulan)

Secara keseluruhan, buku ini telah berjaya membuka mata aku tentang perihal hantu. Hantu yang diterjemahkan oleh masyarakat melayu adalah Jin. Kita ketahui kewujudannya tapi tak perlu lah kita terlalu taksub kepadanya. Kisah ‘OFFICEMATE’ dan ‘SAKA’ yang ditulis oleh saudara penulis sepatutnya membuka mata kita berkenaan kesan dan akibat buruk yang bakal kita hadapi jika kita membuat sebarang perjanjian dengan makhluk yang bernama Jin ini.

Jika diukur dengan 5 bintang, buku saudara Edi Arjuna ini aku berikan 3.8/5 bintang secara keseluruhan. Aku doakan saudara penulis dikurniakan lebih banyak idea yang menarik dan dipermudahkan segala urusan. Sekalung tahniah dari Book Surgeon atas penulisan dan penerbitan buku ni. Semoga tulisan ini bermanfaat kepada semua. Sekian, terima kasih.

Syazwan Azahar,
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#AyuhLebihBanyakMembaca

Comments

Popular Posts