RESENSI BUKU – Ulama Hadis: Makhluk Asing dari Bumi, karangan Kamilin Jamilin.

Bacaan yang berjaya dihabiskan selepas berakhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 ini sejujurnya memberikan lautan maklumat berkenaan satu aspek yang amat penting dalam Islam iaitu ulama hadis. Secara peribadi, saya bukanlah pembaca atau penuntut ilmu tentang ulama hadis secara tegar, makanya, buku ini membuatkan otak saya dihujani kisah-kisah yang tidak pernah saya baca sebelum ini. Adapun untuk beberapa kisah contohnya tentang Imam Nawawi Rahimahullah, Imam Syafi’i Rahimahullah dan lain-lain, ada kisah yang saya pernah tahu sedikit mengenainya, ada pula yang amat baru untuk saya.

Buku berketebalan 233 halaman ini didatangkan dalam persembahan yang santai. Rujukan sengaja tidak diletakkan tetapi penulis memberitahu berapa anggaran sumber yang dirujuk. Bagi orang awam seperti saya, hal itu sudah memadai.

Saya memulakan pembacaan dengan satu lintasan minda.

“Apa beza kisah-kisah yang Dr. Kamilin Jamilin lampirkan dalam buku ini dengan kisah-kisah yang dibawa oleh penglipur lara di Malaysia?”

Cara pandang daripada soalan di atas yang saya bawa dan jaja ketika membaca buku ini dari awal sehingga tamat. Saya mohon kepada Allah S.W.T supaya saya dapat sampaikan hasil dapatan bacaan saya dengan jelas. Moga tiada salah faham terbit dari resensi buku kali ini. Ameen.

BAGAIMANA MENGUKUR LULUS SAKHARATUL MAUT?

Halaman 2 membuatkan personaliti inkuiri saya muncul dan mula bermonolog. Kerana, kisah sakharatul maut seorang ulama yang dibawa penulis, tidak dapat saya cerna dengan baik kayu ukurnya. Kisah ini ialah berkenaan Imam Abu Al-Hasan ‘Ali Bin Muhammad al-Mawardi yang diceritakan oleh penulis bahawa beliau berpesan jika semasa sakharatul maut, beliau menggenggam tangan orang yang dipercayainya, maka penulisan kitab-kitabnya itu tertolak sebagai amalan – jika begitu beliau menyuruh orang kepercayaannya itu mencampak kitab-kitabnya ke Sungai Dijlah, manakala jika beliau melepaskan tangan orang kepercayaannya itu, maka kitab itu diterima sebagai amalan kebaikannya. Soalan saya, adakah peristiwa menggenggam tangan tanda terima atau tertolak amalan ini boleh diamal oleh semua orang? Atau adakah kisah ini khas untuk ulama itu sahaja?

ULAMA ANTI-POPULARITI?

Membaca kisah ulama yang tidak mahukan populariti amatlah menjentik hati saya sebagai pembaca dan pengulas/pengkritik buku kerana keikhlasan semasa menulis atau merakam resensi untuk disebarkan amat perlu dititikberatkan. Ulama hadis perlu dikenali peribadi dan keilmuan mereka sebagai salah satu syarat ilmu mereka diterima, maka populariti mereka terkadang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Ilmu dan peribadi mereka membuatkan mereka dikenali, kerana ilmu daripada sumber yang tidak dikenali, tidak diterima ahlinya.” (Halaman 4)

SEMBUNYIKAN AMALAN.

Penulis mula memuatkan kisah ulama hadis yang amat mementingkan supaya amal solehnya tidak diketahui orang lain di halaman 8 dan 9. Kisah Abdullah bin Al-Mubarak adalah salah satu kisah yang memberikan inspirasi supaya insan kerdil seperti saya ini, lebih menyembunyikan amalan soleh (jika ada) daripada menayangkan kepada orang ramai.

INSPIRASI BELAJAR DAN KESUNGGUHAN MENUNTUT ILMU.

Kisah Imam as-Syafi’i pada halaman 25 yang diberikan inspirasi oleh seorang lelaki untuk menekuni ilmu Fiqh amat mempesonakan saya sebagai pembaca dan membawa saya teringat akan inspirasi yang lebih kurang sama yang diberikan oleh seorang guru bahasa kepada saya ketika beliau bertanyakan tidakkah saya berminat menjadi seorang guru? Walaupun sekarang, saya tidak bekerja secara rasmi sebagai seorang guru, tetapi inspirasi beliau sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada saya untuk cuba menyumbang dalam hal pendidikan dan penyebaran semangat membaca serta keghairahan menuntut ilmu.

Kepentingan mencatat ilmu dititikberatkan dalam Cerita 8 antaranya pada perkataan Al-Sya’bi.

“Pesan Al-Sya’bi, ‘Jika kamu mendengar akan sesuatu (faedah), maka catatlah ia. Ini kerana kamu akan memerlukan ia satu hari nanti.’” (Halaman 31)

Penulis menyambung dengan kalam muhasabah yang berbunyi:

“Apa yang lebih dikesali adalah catatan merupakan simbol keazaman dan kegigihan kita sebagai penuntut ilmu. Bagaimana kita ingin menimba ilmu jika kita tidak mengutipnya?” (Halaman 31)

Kesungguhan menuntut ilmu yang dititikberatkan oleh penulis, tidak berhenti di halaman 31, bahkan sekali lagi penulis menukil kalam Al-Sya’bi pada halaman 34 dengan kata-kata yang lebih memberi kesan mendalam kepada jiwa saya.

“Kata Al-Sya’bi, ‘Jika seorang lelaki itu menjelajah dari hujung Syam ke hujung Yaman dan berhasil mengingati walau satu perkataan sahaja yang mampu memberi manfaat buatnya pada masa hadapan, aku kira pengembaraannya itu tidak sia-sia.’”

BEZA KAJIAN DENGAN IKUT-IKUTAN?

Tatkala saya membaca kisah ahli hadis, minat dan kesedaran keperluan mempelajari bidang hadis sedikit sebanyak makin membuak dalam jiwa saya. Namun, perasaan itu kembali dikawal ketika saya menjengah halaman 52.

“Mengkaji hal ehwal perawi bukanlah semudah yang disangka! Bukan semudah memetik daripada sesebuah kitab dan terus menetapkan sebarang hukum! Itu taqlid, bukan kajian!” 

Justeru, sebagai orang awam, melalui buku ini, saya diingatkan untuk lebih berhati-hati dan perlu membezakan antara kajian dengan sekadar menukil dari buku. Mungkin pada saya hal itu sama sahaja, tetapi sebenarnya apabila diteliti, ianya amat berbeza!

ULAMA HADIS PUNYA KELEMAHAN!

Satu kelainan yang menjadikan buku ini unik bagi saya di samping banyak manfaat yang dapat saya kutip ialah beberapa kisah kelemahan atau sifat buruk ulama yang disanjungi keilmuan mereka, turut disentuh oleh penulis. Dalam erti kata lain, ketelusan penulis dalam menceritakan perkara sebenar tentang ulama hadis walaupun sebenarnya hal itu adalah sesuatu yang merendahkan, tetap disebutkan kelemahan-kelemahan itu seperti yang diriwayatkan, tetapi terselit di situ pengajaran yang besar untuk kita kutip bersama sebagai pembaca. Antara pengajarannya ialah untuk kita sedar bahawa setinggi mana pun keilmuan seseorang ulama atau ahli ilmu, beliau masih mempunyai salah silap di mana-mana. Bukanlah bermaksud kita perlu mencari aib dan menyebar kesalahan mereka itu, tinggal lagi, jika kita berjumpa guru yang seperti itu, bolehlah kita mengingati kisah-kisah yang diselit oleh penulis ini untuk bekalan membina kesabaran.

Halaman 64 dan 65 menjadi contoh kepada pernyataan saya di atas.

“Seorang perawi Bernama ‘Ali bin ‘Asim bin Suhayb al-Wasiti yang agak ulung ketokohannya dalam periwayatan hadis juga dikritik hebat kerana kebebalannya untuk kembali kepada kebenaran. Ini walaupun telah ditegur akan kesilapannya dalam periwayatan.”

Namun, tidak kurang kisah ulama yang berani membetulkan kesalahan mereka ketika mereka ditegur silap dalam meriwayatkan hadis. Hal ini yang berlaku kepada Nu’aym bin Hammad yang ditegur oleh Yahya bin Ma’in. Walaupun pada mulanya beliau marah, namun beliau bangun pergi memeriksa kitab beliau dan kemudiannya akur dengan kesalahannya dan kembali membetulkannya. Kisah yang mengangkat taraf ulama hadis ini dimuatkan antaranya di halaman 84 buku ini oleh penulis.

HANYA AHLI YANG MEMAHAMI.

Pernyataan ini sekilas pandang mungkin kedengaran seperti kenyataan orang yang mendakwa diri mengenal Allah, mengenal diri atau mendakwa diri hampir dengan Allah dan sebagainya. Tetapi hakikatnya tidak. Pernyataan ini saya tuliskan untuk menggambarkan keadaan ilmu ulama hadis yang digambarkan oleh penulis dalam buku ini.

Pada halaman 151, penulis menukilkan kata-kata dari Ibnu al-Qayyim yang berbunyi:

“Pengetahuan tentang hadis dan kecacatannya yang tersembunyi (al-‘ilal) adalah suatu rasa dan cahaya yang Allah campakkannya dalam hati. Ia membuatkannya berasa yakin tanpa syak pada (penilaian)nya. Mereka yang tiada cetusan ini tidak mampu merasakannya.”

Justeru, hal ini mengganggu fikiran saya kerana sekali baca ia seolah-olah mengeksklufsifkan ilmu ini hanya kepada golongannya saja dan tidak boleh dimiliki kepakaran seperti itu oleh orang lain pada zaman kita hari ini. Tetapi, semasa saya cuba memikirkan hal ini, beberapa contoh terpapar di minda saya sekaligus membantu saya memahami pernyataan yang disampaikan oleh Ibnu al-Qayyim di atas.

Saya pernah mendengar kisah seorang mekanik pembaiki kereta atau motorsikal yang hanya dengan mendengar bunyi enjin, dia dapat menentukan apa masalah kenderaan tersebut yang perlu dibaiki. Saya pernah mendengar perkongsian pengalaman seorang pembuat kuih yang dapat menyatakan kandungan bahan apa yang lebih atau kurang dalam kuih yang sudah siap dimasak hanya dengan meletakkan kuih itu di atas tapak tangannya. Saya pernah melihat seorang doktor pakar ketika membuat rondaan harian di wad, dengan tiba-tiba menyuruh ujian HIV dilakukan kepada pesakit yang menghidapi jangkitan kuman di lapisan otak, dengan alasan pesakit itu mempunyai keadaan tertentu yang doktor itu rasakan tepat dengan ciri-ciri penghidap HIV dan apabila ujian dijalankan, ternyata, pesakit itu positif HIV!

Maka untuk saya memahami ahli hadis dalam ilmu menilai kecacatan hadis dan sebagainya, bagaimana mereka dapat menyatakan sesuatu hadis itu mempunyai masalah tetapi tidak dapat menjelaskan bagaimana mereka sampai ke kesimpulan seperti itu, barangkali mungkin sama keadaannya barang sedikit dengan pakar-pakar yang saya sebutkan di atas.

AMBO NAQAL JAH?

Ayat ini jika diamati mungkin akan membina panas di jiwa sebahagian pihak. Tetapi, hakikatnya, itulah yang akan menjadi pertanyaan saya untuk penulis jika penulis membaca resensi kerdil saya ini. Hal ini kerana, pada halaman 193 buku ini, penulis membawakan kisah Imam al-Bukhari Rahimahullah yang mengatakan seperti berikut:

“Kami cuma meriwayatkan (kata-kata ulama) sahaja bukannya datang dari diri kami sendiri.” 

Pernyataan ini diceritakan penulis, disebutkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah ketika dikhabarkan kepada beliau bahawa ada sebahagian orang yang menghentam karya beliau yang mempunyai banyak umpatan di dalamnya.

Jika kita lihat pada halaman 195, penulis ada menyatakan:
“Adakah memadai kelak kita sekadar beralasankan ‘Aku hanya menukil daripada fulan dan fulan ataupun tulisan sekian-sekian,’ tanpa benar-benar memastikan?”

Maka soalan saya ialah, adakah pernyataan penulis pada halaman 195 itu terpakai kepada Imam al-Bukhari yang meriwayatkan kata-kata ulama sahaja, bukan umpatan dari dirinya sendiri? Ataupun sebenarnya istilah meriwayatkan dan menukilkan sahaja itu berbeza? Atau adakah usaha Imam al-Bukhari itu amat berbeza dengan sesetengah orang yang hanya menukilkan daripada sumber yang tidak jelas, bahkan akhirnya terbukti pernyataan itu dusta?

Jujur, saya tidak berniat mengkritik Imam al-Bukhari Rahimahullah, apa yang cuba saya lakukan ialah melontarkan hal yang tidak saya fahami dari penulisan buku ini.

IMAM AN-NAWAWI SETANDING IBNU ARABI (SUFI BATINI)?

“Bukti kitab Fusus karangan Ibnu Arabi itu benar ialah kerana kitab itu kekal dalam tempoh yang lama! Sampai hari ini ada orang yang membacanya! Jika kitab ini batil, sudah tentu Tuhan menghapuskannya!”

Apa agaknya respon anda apabila mendengar pernyataan di atas?

Sudah tentu, pernyataan di atas bukan daripada penulis buku ini. Akan tetapi, dalam tulisan buku ini, bermula halaman 125, penulis memuji dan terus memuji Imam An-Nawawi Rahimahullah terutamanya pada bab kekal lama dan popularnya kitab karangan beliau yang hampir dikenali oleh semua orang! Bahkan penulis menyatakan di halaman 131:

“Dikatakan sejak dahulu hingga kini, tiada cetakan selain Quran yang sebanyak kitab Riyadh Salihin yang telah dicetak berjuta-juta naskah.”

Maka tulisan saya yang sedikit ini antara lain sedang cuba menunjukkan proses saya meluruskan cara fikir saya sendiri yang mungkin bermasalah jika saya berhujah bahawa bukti benar, berkat atau Ajaib seseorang itu hanya pada berapa lama kekalnya karya tokoh itu atau berapa ramai orang yang membaca karya tersebut atau berapa juta naskah karya beliau yang telah diambil manfaat atau berapa lama masa kekalnya kitab tulisan tokoh tersebut.
Saya tidak nafikan keberkatan kepada Imam An-Nawawi Rahimahullah jika Allah yang memberikan. Beliau ternyata seorang yang amat berdedikasi dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Mungkin dari keikhlasan dan kesolehan Imam An-Nawawi Rahimahullah, Allah kurniakan keberkatan dalam karya beliau selepas kewafatannya. Tetapi, apa akan berlaku jika tokoh yang membawa kekeliruan seperti Ibnu Arabi (Sufi Batini) yang diangkat dengan hujah serupa? Apa perlu kita respon jika ada manusia yang mengatakan kitab Fusus Ibnu Arabi itu benar kerana ianya kekal lama dan dicetak dalam pelbagai bahasa (contohnya)?

Maka saya kira perlu diluruskan di sini bahawa jika seseorang itu berada di atas landasan kebenaran, berjuang membawa al-Quran dan Sunnah seperti yang dibawakan oleh Nabi Muhammad S.A.W maka, kelamaan kekalnya karya beliau itu adalah bukti barakah dan nikmat serta anugerah besar dari Allah S.W.T. Akan tetapi jika tokoh itu membawa kesesatan dan kekeliruan umpamanya, karya beliau yang kekal lama tidak boleh dijadikan bukti kebenaran ajaran bawaan beliau. Moga pernyataan seperti ini jelas difahami, Insyaallah.

Pada halaman 143, saya dapati mungkin terdapat kesalahan nukilan ayat Al-Quran yang menyebut tentang Nabi Nuh A.S. tetapi disebut oleh penulis sebagai Nabi Ibrahim A.S. Mohon dibetulkan jika saya salah memahami konteks nukilan ayat ini.

KONKLUSI.

Buku ini amat baik untuk dibaca terutamanya untuk pembaca yang baru ingin berkenalan dengan ulama hadis dari aspek kehebatan hafalan mereka, kepekaan mereka menjaga amalan mereka dari diketahui orang ramai dan tidak dilupakan kelemahan mereka yang membuktikan mereka juga insan yang tidak maksum – sebagai peringatan buat kita.

Mohon ditegur kepincangan resensi kali ini, jika ada. 

Mohon dipanjangkan kepada orang lain jika penulisan ini mempunyai manfaat.

Wallahua’lam.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#AyuhMembacaSecaraKritis

Comments

Popular Posts