RESENSI BUKU : KRISIS INTELEKTUAL MUSLIM tulisan Malik Bennabi.

RESENSI BUKU : KRISIS INTELEKTUAL MUSLIM, karya Malik Bennabi, diterjemahkan oleh Zulkarnain Mohamed dan Farid Mat Zain. 

Terbitan KARISMA PUBLICATION SDN. BHD.

Beberapa kali mendengar nama Malik Bennabi tanpa membaca karyanya membuatkan buku yang diberikan sebagai hadiah perkahwinan saya ini dipilih menjadi bacaan seterusnya bagi tahun 2022. Perkataan yang dipilih pada tajuk buku itu sendiri membuatkan jus minda dan sel otak bergelojak dan cuba mengalir ke seluas kawasan otak yang mampu diterpa.

Perbincangan buku tidak dimulakan dengan biografi penulis yang saya kira satu hal yang patut dipuji kerana ia dapat mengelakkan sebarang bentuk bias terhadap penulis yang merupakan seorang tokoh yang besar. Saya amat menyukai langkah yang diambil ini kerana saya ingin menilai idea yang dibentangkan, serumit mana pun idea itu, tanpa mempunyai sebarang kecenderungan kepada pembentang idea. Alhamdulillah.

Bermula seawal halaman 2, penulis mengajak pembaca supaya memikirkan semula maksud atau definisi keintelektualan itu sendiri. Terselit kritikan terbuka penulis berkenaan tiadanya definisi atau ta’rif intelektual dari warga tamadun Islam apabila mendefinisikan keintelektualan dari kaca mata Islam.

“Sebenarnya krisis intelektual ialah krisis bagaimana kita mendefinisikannya secara umum dan bagaimana ia dapat digambarkan dalam pemikiran.” (Halaman 2)

Halaman ke-7 menyaksikan kritikan penulis dari aspek definisi ini semakin berkembang apabila penulis menyatakan:

“Memang diakui istilah tsaqafah sesuai dipadankan dengan maksud culture namun ramai cendekiawan Islam masih belum yakin dengan istilah Islam tersebut.”

Halaman ke-4 mula menyemai bibit-bibit kritikan saya terhadap buku ini apabila satu persoalan timbul di minda saya berkenaan satu dakwaan penulis yang berbunyi seperti berikut:

“Ayat al-Quran tersebut merupakan bentuk simbolik aktiviti pertama akal manusia ketika mana Nabi Adam cuba memahami perkara-perkara di depan secara mendalam. Baginda cuba memberi nama terhadap perkara-perkara tersebut dan aktiviti ini tidak mampu dilakukan oleh golongan Malaikat.”

Dakwaan penulis ini dinyatakan ketika beliau mengulas ayat ke-32 Surah al-Baqarah (Surah ke-2 dalam Al-Quran). Persoalan di minda saya, adakah sebenarnya Nabi Adam A.S. cuba memberi nama terhadap perkara-perkara atau adakah baginda terus mengucapkan nama-nama tersebut yang hakikatnya diajarkan oleh Allah S.W.T secara langsung, berpandukan Surah al-Baqarah ayat 31?

Perbincangan memasuki isu yang selanjutnya iaitu berhubung dengan kebudayaan. Setakat kefahaman saya yang cetek, penulis menggunakan istilah Keintelektualan dan Kebudayaan secara bertukar ganti (interchangeable). Berbalik kepada persoalan definisi intelektual yang sepatutnya diberikan oleh warga tamadun itu sendiri, kritikan yang sama diberikan oleh penulis dalam definisi Kebudayaan. Hal ini jelas antaranya pada halaman 18.

Menjengah halaman 28, saya dapat menangkap satu lontaran idea penulis yang menggalakkan percambahan idea meskipun idea itu belum boleh diterjemah dalam bentuk perlaksanaan atau mungkin idea itu pada ketika ia diumumkan, kedengaran tidak masuk akal dan kurang praktikal. Penulis menyatakan:

“Contoh lain warisan Ibn Khaldun telah lama muncul dalam dunia Islam tetapi dalam pada itu ia tidak menyumbang ke arah pembangunan akal dan sosial umat Islam kerana warisan ini pada masa tersebut hanya berbentuk idea yang tidak ada hubungan dengan realiti masyarakat.”

Namun apabila kita melihat atau mendengar nama Ibn Khaldun pada masa sekarang, ternyata nama tokoh tersebut mahsyur dan mungkin manfaat penulisannya dahulu amat memberi kesan kepada banyak pihak yang mampu mencerna idea beliau. Maka, saya kutip di sini, jangan takut memberi idea yang kedengaran gila dan terputus dari realiti masyarakat sekarang kerana mungkin sahaja idea itu menjadi penghubung masa sekarang dengan keperluan kemajuan masa hadapan.

Halaman 29 menyaksikan penjelasan lanjut penulis berkenaan isu serupa apabila penulis menyebut nama tokoh Fizik Barat iaitu Newton. Penulis menjelaskan bahawa jika Newton mengemukakan idea graviti dari kejadian epal jatuh itu 1000 tahun sebelum zamannya, mungkin idea itu akan dipandang remeh. 

Ketidakmampuan masyarakat mencerna idea besar itu kemudiannya dikritik semula dalam konteks masyarakat Islam dengan coretan penulis:

“Begitu juga apa yang berlaku dalam masyarakat Islam sehingga kurun ke-19. Individu dalam masyarakat Islam tersebut tidak mempunyai kemampuan untuk mengembangkan idea Ibn Khaldun kerana masyarakat tersebut belum dapat mengembangkan aktiviti akal dan intelektual pada tahap yang sewajarnya.”

Hal yang boleh dipertikaikan di sini ialah adakah penulis mempunyai bias terhadap tamadun Barat dalam penulisannya yang satu ini? Apakah indikator yang penulis gunakan dalam menilai masyarakat Barat bersedia menerima idea Newton tetapi masyarakat Islam tidak boleh mencerna idea Ibn Khaldun? Mungkin saya perlu membaca lebih banyak penulisan tentang penulis untuk menjawab persoalan ini. Tambahan, tidak adil jika saya terus mengkritik idea penulis dengan hanya sangkaan dari terjemahan penulisan beliau.

Takrif Kebudayaan disebut akhirnya oleh penulis di halaman 51. Walaupun, saya berpendapat bahawa takrif ini bersifat gabungan dari kepelbagaian takrif yang disebutkan penulis dari beberapa tokoh tamadun lain, tetapi saya berpuas hati kerana akhirnya penulis membawakan definisi daripada kerangka pemikiran beliau.

“Oleh itu, kebudayaan secara praktisnya dapatlah disimpulkan bahawa ia merupakan himpunan sifat perilaku dan nilai sosial yang memberi pengaruh terhadap individu semenjak ia dilahirkan.”

Antara isu yang terbesar yang disebutkan oleh penulis ialah berkenaan Logik Praktikal. Dalam perkataan yang mudah, Logik Praktikal merujuk kepada bagaimana sesuatu perkara itu bukan sekadar boleh disebut, tetapi bagaimana mengaplikasikannya supaya matlamat atau manfaat dari tindakan itu dapat dicapai. Persoalan ini disentuh bermula halaman 61.

Isu Intelektual tidak boleh lari dari isu Krisis Keintelektualan. Malik Bennabi memberikan satu gambaran yang unik tentang Krisis Keintelektualan dengan katanya:

“Perkara pertama kita perlu kenal pasti ialah apakah yang dimaksudkan dengan krisis keintelektualan ini. Jawapan kepada persoalan ini senang, iaitu setiap masyarakat apabila melakukan tanggungjawabnya mengikut tindak tanduk segelintir individu dengan alasan untuk memberi kebebasan atau sebagainya. Seterusnya mereka dapat menghilangkan tekanan tuntutan sosial kemudian. Segelintir individu tersebut dibiarkan bebas daripada sebarang ikatan agama ataupun perlembagaan segelintir individu ini akan merosakkan prinsip-prinsip agama atau perlembagaan. Dengan kata lain, struktur masyarakat keseluruhannya dimusnahkan oleh mereka.” (Halaman 66,67)

Hal yang saya dapat fahami di sini ialah fenomena penunggangan agama atau undang-undang dan perlembagaan. Makanya kerosakan akibat penunggangan ini yang akan dirasai oleh keseluruhan tamadun manusia. Dalam kerosakan itu terdapat rasuah, bias, berat sebelah, diskriminasi, kezaliman dan penindasan. Satu isu yang sangat dekat dengan jiwa kita bukan walaupun buku ini mula ditulis pada tahun 1959?

Satu lagi persoalan yang menarik yang ditonjolkan oleh penulis ialah berkenaan bagaimana kontangnya intelektual tempatan Afrika dalam menyelesaikan masalah keintelektualan setempat dek kerana menerima pembelajaran dari luar Afrika. Penulis menyatakan:

“Terdapat intelektual Afrika yang menerima pengalaman intelektualannya di Paris dan London berasa diri mereka lebih terikat dengan tempat mereka membina keintelektualan dari tempat mereka dilahirkan iaitu Afrika.” (Halaman 97)

Teguran penulis ini tidaklah hanya sekadar teguran tanpa penyelesaian. Setakat kefahaman saya, isu yang cuba diutarakan oleh penulis ialah sepatutnya Intelektual Afrika tidak memutuskan kefahaman mereka dengan realiti Afrika itu sendiri. Tidaklah bermaksud intelektual tempatan perlu hanya memuji segala perkara yang dilakukan oleh bangsanya sendiri, tidak. Namun, kritikan terhadap bangsa sendiri dan galakan untuk mencontohi tamadun luar perlu didasari hujah yang mantap dan meraikan realiti semasa. Saya tambah di sini, aspek Sejarah bangsa termasuk isu bangsa itu pernah dijajah atau tidak, amat perlu dititikberatkan. Mungkin ini merupakan salah satu hal yang boleh kita kutip dan ikuti dalam kita menilai realiti masyarakat kita di Malaysia sekaligus cuba mengubah kekurangan bangsa kita.

Menyentuh isu penjajahan dan keamanan, terserlah dari kata-kata penulis ketika menyebut tentang permainan kanak-kanak sebagai lambang keamanan atau peperangan yang berlaku di sekitar mereka satu harapan bahawa satu hari nanti masyarakatnya akan dapat menikmati keamanan dalam erti kata yang sebenar.

“Selagi mana penulis Afrika berpegang kepada prinsip ini dan menterjemahkannya dalam karya untuk mencapai keamanan sudah pasti kita akan lihat seorang kanak-kanak pada suatu ketika nanti akan bermain permainan yang melambangkan keamanan.” (Halaman 102)

Buku ini bagi saya secara peribadi, walaupun nipis berhalaman 140 muka surat sahaja, tetapi idea dan saranan yang disuarakan jika diteliti dalam konteks negara asal penulis dan situasi yang mereka hadapi, termasuk mengambil kira peralihan tempat menetap penulis merangkumi perpindahannya ke Perancis dan Mesir, mungkin serba sedikit dapat membantu kita untuk setidaknya cuba membina dan menguatkan lagi tamadun kita di Malaysia ini supaya bukan sahaja kemajuan perkara atau benda yang kita buru dan dapat menawannya, bahkan kemajuan dari segi intelektual dapat kita suburkan di samping menghapuskan krisis keintelektualan yang sebenarnya sering dan sedang berlaku di Malaysia.

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#AzamBinaKeintelektualanTamadun

Comments

Popular Posts