RESENSI BUKU : DEPRESI - HEALING SEBELUM HILANG, karangan Aiman Banna.

Jolokan buku "healing" untuk buku ini, mungkin sedikit berbeza dengan buku "healing" yang lain kerana kali ini, tajuknya lebih spesifik merujuk kepada hal depresi. Penulis berkongsi berkenaan penyakit Major Depressive Disorder (MDD) dan masalah Anxiety Disorder sebagai bekas penghidap dua penyakit berkenaan.

Hal yang paling menarik perhatian saya ialah sebagai seorang yang berlatar belakang pengajian agama Islam, penulis tidak menolak kaedah rawatan melalui pemakanan ubat-ubatan bagi mengawal gejala penyakit mental. Sebaliknya, berkali-kali penulis mengesyorkan pembaca untuk bertanya kepada yang pakar, berjumpa doktor, berjumpa ahli psychiatrist dan jangan senang-senang mengaitkan kesedihan rutin dengan depresi sewenang-wenangnya. Hal ini saya kira wajar dipuji.

Mungkin dalam mengulas isu Depression dan Anxiety, penulis tidak boleh menyelam lebih dalam apabila mengatakan:

"Tatkala disebut depression, ianya terus bermakna: Major Depressive Disorder. Sama ada mild, moderate atau severe depression." (Halaman 19)

Saya memahami tujuan penulis menyatakan demikian untuk membezakan antara stres, sedih, kesunyian dan kekecewaan dengan depression (atau tekanan tidak terkawal). Tetapi setelah saya membuat sedikit carian, terdapat juga jenis depression lain seperti Postpartum Depression, dan depression yang diperolehi sebagai simptom penyakit mental yang lain. Oleh kerana penulis juga menyentuh soal anxiety, suka untuk diingatkan bahawa anxiety juga boleh terbahagi kepada beberapa diagnosis iaitu Generalized Anxiety Disorder, Panic Disorder dan Social Anxiety Disorder (atau mungkin beberapa jenis lagi yang saya terlepas pandang). Cadangan saya, mungkin penulis boleh mohon pandangan doktor atau ahli psychiatrist yang lain untuk perincian dan mengesahkan ketepatan pernyataan penulis dalam isu ini. Saya juga merujuk kepada doktor lain untuk bertanyakan isu diagnosis penyakit mental, menurutnya, diagnosis penyakit mental terkadang menggunakan istilah yang berbeza mengikut kefahaman dan "mazhab" perubatan masing-masing.

Pada halaman 166 penulis juga ada mengaitkan atau mendefinisikan sakit sawan sebagai "penyakit mental, yang bernama: epilepsi", yang saya kira juga kurang tepat kerana setahu saya (mohon teguran jika salah), epilepsi bukan penyakit mental tetapi epilepsi adalah penyakit berkenaan otak. Saranan saya juga serupa untuk isu ini, mungkin penulis boleh merujuk kepada ahli bidang untuk ketepatan maklumat.

Perlu diketahui bahawa buku Depresi - Healing Sebelum Hilang ini menghimpunkan perkongsian pengalaman peribadi penulis yang sudah dua kali menghidap depresi. Ianya mungkin sesuai untuk sebilangan pembaca, tetapi mungkin juga tidak sesuai untuk sebilangan pembaca yang lain. Akan tetapi saranan umum seperti mendapatkan rawatan pakar, makan ubat dengan betul, mendekatkan diri dengan Allah, berdoa supaya disembuhkan dan beberapa saranan lain, saya akui, sesuai untuk diambil dan diamalkan oleh semua pihak secara amnya.

Pada halaman 62, penulis ada menulis:

"Ada pesakit Muslim yang ada anxiety terus diberikan solusi untuk ada pasangan yang belum berkahwin, untuk berzina, kerana dengan berzina boleh mengurangkan penyakitnya menurut doktor tersebut. Sedangkan dalam Islam, zina ialah dosa besar!"

Persoalan saya, adakah pernyataan penulis ini bersifat contoh, andaian atau sememangnya wujud cadangan solusi seperti ini? Jika wujud, sememangnya patut "solusi" itu ditolak kerana ia bercanggah dengan pengamalan agama Islam. Cuma jika ianya sekadar contoh andaian, saya kira penulis patut menjelaskan sedikit kerana dikhuatiri sangkaan salah dan melulu akan dibuat oleh pembaca.

Seperkara lagi yang patut dipuji dalam penulisan buku ini ialah penulis tidak terus mengaitkan masalah mental dengan kurangnya iman seseorang. Hal ini boleh dilihat contohnya pada halaman 73,

"Konklusinya: Orang yang diuji dengan depresi tidak semestinya kerana imannya lemah. Ada banyak punca penyebab depresi. Namun tidak boleh dinafikan bahawa orang yang diuji dengan depresi, boleh jadi puncanya ialah kerana iman yang lemah."

Konklusi ini ditulis selepas penulis menyatakan dua respon berbeza seorang ilmuwan kepada soalan yang ditanya oleh orang awam kepadanya berkenaan depresi.

Cadangan saya buat penulis, mungkin jika buku ini bertujuan untuk memujuk orang yang menghidapi penyakit mental, diketepikan dahulu perkaitan atau ayat 'boleh jadi puncanya ialah kerana iman yang lemah' kerana hal ini mungkin akan membantutkan pujukan itu. Akan tetapi mungkin boleh dibincangkan isu ini dengan lebih mendalam dalam buku yang lain tentang perkaitan iman dengan penyakit mental. Lagipun, penulis sudah pun menyebut tentang meninggalkan dosa, maksiat, banyakkan beristighfar dan memohon ampun kepada Allah dalam "pil healing" yang lain dalam buku ini, saya rasakan itu sudah cukup sebagai rawatan kerohanian awam untuk orang yang diuji dengan depresi tanpa perlu tenggelam dalam perbincangan perkaitan iman dengan penyakit mental.

Kebanyakan hujah atau 'pil healing' yang ditulis oleh penulis berkaitan dengan cara fikir, cara hati meletakkan sangkaan terhadap sesuatu dan merangkum tujuan ibadat dilakukan dalam kehidupan seharian. Betapa pentingnya rutin seorang Muslim dan cara fikir dan sangkaan terhadap Allah dalam menanggapi penyakit mental sebagai ujian. Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, penerimaan setiap orang adalah berbeza. Maka, tidak boleh untuk kita terus katakan orang yang berpenyakit mental dan dalam fasa seolah-olah "memberontak" dengan ketentuan Tuhan sebagai orang yang tidak beriman. Fasa individu tersebut tidak kita fahami, maka hukuman melalui label itu tidak wajar untuk kita berikan.

Penulis dilihat dapat menjelaskan persoalan taqdir berubah atau tidak dengan baik. Perbezaan taqdir yang sudah tetap dengan taqdir yang boleh diubah dengan doa, dihurai dengan perkataan yang mudah. Maka mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan, nilai tambah untuk pembaca buku ini agak banyak. Tidak hanya berfokus kepada masalah tekanan jiwa semata-mata, banyak juga ditekankan ilmu tentang taqdir Tuhan dan penyakit dan musibah sebagai ujian serta bagaimana manusia-manusia terpilih iaitu para nabi-nabi juga diuji dengan ujian yang berat dalam kehidupan.

Itu sahaja ulasan dan kritikan saya untuk kali ini. Saya cadangkan penulis menyemak semula beberapa ejaan perkataan yang mungkin tersilap di beberapa tempat untuk cetakan akan datang.

Wallahu'alam.

Talhah Wasabi.
Salah seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#AyuhKritisDalamPembacaan

Comments

Popular Posts