TENTANG PERGI : KRITIKAN JUJUR

Alhamdulillah saya direzekikan dapat meminjam naskah Tentang Pergi tulisan saudara Hafizul Faiz dari seorang teman yang juga berdepan dan berperang dengan masalah kesihatan mental. Saya cuba membaca dan menyelami sebagai seorang pembaca awam. Terdapat beberapa kritikan yang saya fikir wajar saya kemukakan dan mungkin beberapa persoalan yang saya sangat harap dijawab oleh penulis. Ya, sangat saya harapkan jawapan dari penulis.

Pertama, fungsi buku ‘healing’ itu sendiri sudah lama saya pertikaikan. Sebagai seorang Ahli Farmasi Komuniti, saya terikat dengan Evidence Based Medicine (EBM), satu konsep dalam perubatan yang perlu dirujuk apabila kita berbicara tentang penyakit, ubat dan rawatan. Sejauh mana tiga hal ini berkesan, perlu dibuktikan dengan kajian. Justeru, jolokan buku ‘healing’ itu apabila saya kaitkan dengan EBM, membuatkan saya buntu tidak menemukan jawapan. Jika benar ada kajian yang saya terlepas pandang, mohon dipanjangkan ya.

Kedua, kritikan dan pertikaian saya terhadap buku Tentang Pergi ini ialah harganya yang amat mahal untuk buku yang nipis, kecil, ringkas dan hitam putih. Soalan saya, kenapa harganya begitu mahal? Jika dahulu, buku indie nipis yang fizikalnya kurang lebih buku Tentang Pergi, mungkin akan dijual pada harga RM15 ke RM20. Itu agakan saya, mungkin inflasi atau faktor ekonomi yang membuatkan buku ini perlu dijual lebih mahal. Namun, apapun alasannya, saya tidak boleh berdamai dengan harganya yang mahal. Mujur saya sekadar meminjam buku ini dari teman.

Ketiga, saya amat terganggu dengan tulisan demi tulisan penulis yang seakan tidak boleh keluar dari masa lalu. Bibit-bibit tulisan tentang cinta yang tak kesampaian, atau dalam bahasa orang sekarang, ‘tidak boleh move-on’ amat mengganggu. Saya risau generasi akan datang atau bahkan generasi sekarang akan semakin lembik jiwanya jika hari-hari yang dilalui dipenuhi dengan rasa tidak boleh berdamai dengan masa lalu. Ironinya, penulisan buku ini seakan ingin mengajar untuk berdamai dengan masa lalu, berserah dan pasrah dengan takdir dan sekadar mencari pasangan lain jika bunga atau kumbang yang kita cintai itu tidak membalas tepukan sebelah tangan kita, tetapi pandangan saya berubah kerana saya rasakan banyak halaman buku ini yang semakin mengekalkan ingatan masa lalu kepada hal yang tidak kesampaian terutama dalam isu perhubungan. 

Saya pernah majukan soalan saya tentang isu kesihatan mental ini kepada Ustaz Nouman Ali Khan, di salah satu sesi Story Night beliau di Pulau Pinang. Saya timbulkan isu manipulasi soal kesihatan mental ini. Beliau antara lain menekankan isu ‘re-live the trauma’ dalam mekanisma ‘terapi’ hari ini yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Tegas beliau, trauma yang sudah kita lalui, tidak perlu kita ingati saban hari kerana hal itu sudah berlaku. Yang lebih produktif, jika trauma kita hari ini, kita jadikan punca kekuatan untuk kita bantu orang lain yang menghadapi trauma yang sama untuk keluar dari trauma tersebut. Mungkin hujah ini cuba digunakan penulis, bahawa beliau juga cuba membantu orang ramai yang menghadapi masalah serupa, tetapi saya katakan penulisan-penulisannya seakan mengimbau masa lalu yang keterlaluan dan memaksa pembaca hidup dalam zaman itu, dan semakin susah untuk keluar, bukan sebaliknya.

Keempat, saya gusar dengan perkataan ‘semesta’ yang beberapa kali digunakan penulis. Antaranya pada halaman 55 dan 87. Lebih menggusarkan jiwa, ‘semesta’ yang disebut itu cuba dikaitkan atau disinonimkan dengan Tuhan (saya harap tidak). Saya rujuk buku Tersesat – Kebatilan Gerakan New Age tulisan Ahmad Iqram Mohamad Noor, pada halaman 123, penulis menyebutkan:

“Akidah kesatuan alam ini melahirkan satu konsep kepercayaan bahawa setiap dari hidupan ini saling berhubung secara sedar atau tidak sedar. Ini kerana setiap hidupan yang hidup (memiliki roh) akan menghasilkan gelombang yang dihasilkan oleh minda atau seseorang yang akan mempengaruhi roh alam semesta samada dipanggil sebagai Tuhan, Universe atau Brahman.”

Saya risau dengan pesamaan istilah yang mungkin berlaku di sini. Saya bersangka baik mungkin ini ialah himpunan tulisan lama oleh penulis, mungkin penulis tersilap atau sudah mengubah tulisan beliau dengan perkataan yang lebih tepat atau mungkin beliau tidak tahu akan persamaan istilah ‘universe’ atau ‘semesta’ itu dengan isu kepercayaan New Age.

Hafizul Faiz dalam halaman 101 buku Tentang Pergi ada menyebutkan:

“Lagi banyak kamu membaca misalnya, lagi kukuh rasionalmu, dan lagi sukar untuk kamu hanyut dalam buaian emosi yang tidak menentu.”

Justeru saya tanyakan semula, bacaan yang bagaimana? Jika bacaan yang dimaksudkan ialah bacaan  buku ‘healing’ semisal Tentang Pergi, saya tidak bersetuju kerana saya rasakan lebih banyak buku-buku semisal ini dibaca, lebih kerap diri dibuai emosi tidak menentu.

Walau bagaimanapun, saya bersetuju dengan penulis buku Tentang Pergi pada halaman 121 bahawa kita adakalanya perlu mencatat perasaan kita yang sedih, galau, marah dan sebagainya, sebagai cara kita menguruskan naik-turunnya emosi dalam kehidupan. Adapun berkongsi di media sosial atau mencetak tangisan emosi kita yang mendayu-dayu untuk dijadikan buku, saya berbeza pendapat.

Akhir kritikan, ada sesuatu yang saya perlu luruskan.

Saya tidak menentang rawatan kepada penyakit mental. Seperti penyakit fizikal dan hormonal, penyakit mental juga perlu dirawat dan tiada aib jika kita menghidapnya. Carilah rawatan yang sesuai seperti sesi kaunseling, sesi berjumpa dengan psychiatrist dan patuhi pemakanan ubat-ubatan yang diberikan kepada anda jika ternyata anda (atau saya) menghidap penyakit mental dan perlukan rawatan.

Tetapi, jangan terus-menerus menjadikan buku healing sebagai tempat kita ‘menyembuhkan’ diri jika sebenarnya kita juga sedar, kita makin sakit selepas membacanya.

Setakat carian saya, saya tidak menjumpai Meta-Analysis atau Systematic Review yang menunjukkan buku ‘healing’ dapat menyembuhkan pesakit mental dalam skala yang besar. Jika ada, boleh nyatakan di sini, saya ingin membacanya.

Tiada niat buruk saya ingin menghina sesiapa dalam tulisan kritikan ini. Masih banyak buku ‘healing’ yang saya belum baca, mungkin pandangan saya akan berubah mengikut jenis buku yang mata saya tatap. Tetapi sekadar membaca buku Tentang Pergi, inilah suara jiwa kritis saya.

Wallahua’lam.

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon.

Comments

Popular Posts