Pegawai Berlagak Tuhan

l Pegawai Berlagak Tuhan? l

I’m sorry miss.

Why apologize? It’s not your fault to begin with.

Dialog ringkas di atas adalah fantasi dalam dunia orang yang baru bekerja. Mungkin kerana dia seorang pekerja kontrak dan dia perlu ‘perform’ supaya dia boleh mendapat pekerjaan tetap, maka dia merasa takut atau terlalu takut sehinggakan dia terpaksa meminta maaf walaupun ketika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Atau, mungkin juga, dia telah lama ditakut-takutkan dengan ugutan.

“Kamu kalau tak dapat markah lebih 80%, kamu akan kena extend! Maksudnya, peluang kamu untuk mendapat pekerjaan tetap di sini memang rendah.”

Ayat di atas ialah ayat yang keluar daripada mulut pegawai yang cuba memberi inspirasi (kononnya) menggunakan ugutan. Namun, bagi aku, menakut-nakutkan tidak boleh disamakan dengan memberi semangat dan motivasi. Kerana, secara peribadi, aku tidak dapat menahan desakan rasa ketakutan. Tambahan pula, taktik ini adalah antara taktik yang digunakan oleh Firaun suatu ketika dahulu untuk menguasai Bani Israil. Perkara ini aku pelajari daripada 3 siri khutbah oleh Ustadh Nouman Ali Khan seperti dalam pautan di bawah.


Dalam khutbahnya yang ketiga, ketika menjelaskan aspek ‘shame’ yang digunakan oleh Firaun kepada Nabi Musa, Ustadh Nouman Ali Khan menjelaskan bahawa Firaun melakukan perkara tersebut untuk membuatkan Nabi Musa merasa malu dengan diri sendiri justeru tenggelam dalam ketakutan tersebut dan akhirnya perlu berhenti untuk melawan Firaun atas kezaliman yang telah dia lakukan kepada Bani Israel yang juga kaum Nabi Musa.

Di penghujung khutbah yang ketiga ini juga, Ustadh Nouman Ali Khan memberikan penjelasan bahawa seseorang yang diserang dengan ‘shame’ ini, akan ‘constantly apologizing’. Dalam erti kata yang lain, sifat seseorang yang merasakan dirinya sangat teruk, naïf dan tidak bernilai, akan meminta maaf atas perkara yang kadang kala itu bukan salah individu tersebut hanya kerana terlalu merasakan diri sendiri hina di hadapan orang yang terus-menerus menghinanya.

Perkara ini tidak janggal dalam dunia pekerjaan. Pegawai-pegawai atasan yang merasakan diri lebih berkuasa daripada orang lain atau merasakan dia lebih bijak daripada orang lain akan menghina pekerja bawahan (tambahan pula jika pegawai itu pegawai yang belum diserap tetap), semata-mata ingin memaklumkan kepada pegawai tersebut, siapa yang lebih berkuasa. Atau mungkin atas alasan lain, aku tidak pasti.

Adakah golongan manusia seperti ini cuba berlagak seperti Tuhan dalam dunia pekerjaan?
Atau, mereka ini sebenarnya cuba menyembunyikan sesuatu daripada pegawai yang berpangkat lebih tinggi daripada mereka?

Atau mungkinkah yang mereka takutkan ialah potensi pegawai bawahan mereka yang mungkin suatu hari nanti akan mengatasi mereka?

Tidak kiralah apa jua alasannya, perangai pegawai seperti ini patut diperangi!

Nabi Musa yang dahulunya pernah melakukan kesilapan membunuh seorang pegawai Firaun, meminta ampun kepada Allah dan kemudiannya merasa yakin baginda akan diampunkan lalu meneruskan hidupnya sebelum diberikan tugasan oleh Allah untuk menghadapi Firaun yang zalim. Andai kata Nabi Musa masih dihurung rasa malu akan diri sendiri, sudah tentu Nabi Musa tidak akan mampu dengan yakin menentang Firaun. Maka kunci keyakinan itu ialah menyerah diri kepada Allah (satu-satunya Tuhan yang Maha Berkuasa) dan bukan kepada Tuhan Palsu seperti Firaun dan golongan yang serupa dengannya.

Maka, untuk pegawai yang cuba menjadi Tuhan di tempat kerja, ayuh kita lawan golongan ini dengan keyakinan kepada Tuhan yang sebenar dan kita pupuk kekuatan dengan menyerah diri hanya kepada Dia.


#MelawanPegawaiBerlagakTuhan
#BilisSinis

Comments

Popular Posts