RESENSI BUKU BERTULIS: KAJIAN WAHYU DALAM ASPEK PEMIKIRAN TAFSIR, FALSAFAH DAN PERUBATAN

Selesai dibaca.

Dari segi pengistilahan, buku ini berjaya menyuap minda saya dengan beberapa istilah baru seperti Konsep Hijau dalam al-Quran dan Falsafah Kepenggunaan Wasatiyyah. Sangat bagus dan berguna untuk ditelusuri dan dipelajari konsep-konsep baru ini.

Dari segi pendedahan kepada tokoh, Hamka umpamanya, buku ini berjaya mendedahkan saya dengan sejarah hidup tokoh hebat ini dan yang lebih penting, latar belakang pendidikan Hamka secara lebih mendalam. Sudah tentu, perjuangan Hamka dalam mendidik rakyat Islam Indonesia melalui kitab Tafsir al-Azharnya, antara yang disentuh oleh buku ini.

Untuk yang sudah mengenali Mulla Sadra dengan perbahasan konsep wujudnya, mungkin buku ini akan dapat menghanyutkan pembincangan sedikit sebanyak tentang aspek epistemologi konsep hijau dalam al-Quran yang menyentuh sumber ilmu yang abadi, subur dan bermanfaat. Sungguhpun Sadr ad-Din Shirazi atau Mulla Sadra ini seorang Syiah, tetapi konsep yang dihuraikannya, pada pandangan saya secara peribadi, amat menarik.

Terdapat beberapa kelemahan yang mungkin boleh diperbaiki dalam penulisan buku ini dalam terbitan akan datang.

Antaranya:

1. Huraian tentang konsep Falsafah Kepenggunaan Wasatiyyah dalam buku ini, pada saya, tidak begitu mendalam. Jika dapat dikritik sistem ekonomi liberal-kapitalis dengan lebih mendalam dan dikaitkan dengan ayat al-Quran yang menyuruh bersederhana dalam berbelanja dan tidak membazir, ianya akan lebih baik.

2. Jadual pada halaman 95 tertinggal bahagian Q5. Setelah dicari dan dipastikan dengan salah seorang penulis buku, akhirnya sahih bahawa bahagian itu tertinggal oleh pihak editor. Saya nyatakan kepada penulis tersebut bahawa kesalahan ini adalah sangat besar dan penulis telah ambil maklum akan hal ini. Bahagian Q5 tersebut sangat penting kerana ianya melibatkan ayat al-Quran dan huraiannya berkisar Tasawwur Perubatan Islam.

3. Definisi perubatan Islam yang dinyatakan di dalam buku ini, pada saya, gagal dihuraikan dengan lebih lanjut untuk memasukkan sekali Ilmu Perubatan Moden ke dalamnya, yang pada pengetahuan saya, ianya tidak terpisah dengan Islam.

Sungguhpun begitu, pada saya, orang awam wajar menghabiskan masa untuk membaca buku berketebalan 137 halaman ini, kerana ianya ditulis oleh barisan orang yang berkelayakan dalam bidang masing-masing dari segi pengetahuan atau pengamalan.

Ya, wujud kenyataan yang agak ganjil untuk saya contohnya pada halaman 109 apabila ditulis bahawa Jin Kafir antaranya berfahaman Komunis! Hal ini mungkin memerlukan huraian dan pembuktian serta penjelasan yang lebih mantap berbanding satu ayat ringkas.

Selamat membaca dan mengkritik!

Kita teruskan semangat membaca sehingga berjumpa tahun yang baru, Insyaallah!

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize

Comments

Popular Posts