RESENSI BUKU BERTULIS : KOMPAS AL-MULK, karangan Syaari Ab Rahman.

Terpanggil untuk memiliki naskah Kompas Al-Mulk terbitan PARADIGMA IBRAH SDN. BHD., kerana diselubungi keinginan untuk memahami kandungan sebuah surah yang pasti dibaca Nabi Muhammad S.A.W setiap malam sebelum baginda tidur. Apabila sesebuah surah basah di bibir kekasih Allah S.W.T ini, pasti rahsia-rahsia besar disebaliknya perlu dipelajari dan dihayati oleh kita ummat baginda S.A.W. Justeru, buku setebal kurang lebih 428 halaman ini, diselak satu persatu, ditanda tinta yang ini dan yang itu, kemudian dihayati penjelasannya, dipersoalkan bahagian yang tidak difahami ketika membacanya, bermula Ramadan sehingga pertengahan Syawal 1442h.

Buku ini bermula dengan penjelasan dari penulis yang menyatakan apakah tujuan buku ini ditulis dan jika pembaca berkongsi niat yang sama, maka lebih mudah tujuan itu diperolehi. Bahagian awal buku ini juga mengajak kita semua membaca Surah al-Mulk, 30 ayat sehingga tamat. Selepas itu, hadith-hadith berkaitan surah ini dibentang kepada pembaca. Seterusnya, surah ini seakan dibedah satu ayat demi satu ayat, disamping penelitian tertumpu diberikan kepada beberapa kalimah dalam surah ini yang perlu difahami maknanya dengan lebih mendalam supaya proses penghafalan dan tadabbur surah berjalan dengan lancar. Maka, secara tidak langsung, tertempelaklah golongan yang mengatakan ada apa pada tafsir literal dan apa yang nak ditafsirkan lagi dengan perkataan? Sememangnya lautan tafsiran itu sangat luas kerana Allah S.W.T memilih bahasa Arab klasik untuk memelihara kalam-Nya yang terakhir ini sebagai bekalan hidayah kepada ummat keseluruhannya.

Saya tertarik dengan pendekatan terjemahan yang diambil oleh penulis yang meletakkan sekali beberapa penjelasan ringkas dalam terjemahan supaya maksudnya dapat diserap oleh otak pembaca setiap kali ayat-ayat tersebut dibaca terjemahannya. Misalannya dalam menjelaskan ayat ke-12 surah al-Mulk, pada halaman 24 buku ini diletakkan terjemahan seperti berikut:

“Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.”

Terjemahan ini, berbeza dengan terjemahan al-Quran yang saya rujuk dalam beberapa naskah terjemahan al-Quran. Perbezaan ini, kemudiannya dijelaskan dalam huraian tafsiran kalimah bil-ghaib pada halaman 152 yang menjelaskan ‘ghaib’ di sini membawa 3 maksud iaitu:

1. Zat Allah S.W.T yang ghaib.
2. Ketika yang berdoa ghaib.
3. Azab neraka yang ghaib.

Maka wajar saya katakan, pendekatan penulisan seperti ini membantu membina kefahaman tentang surah al-Mulk dengan lebih mendalam buat orang awam seperti saya yang baru sahaja ingin merangkak memahami kalam Allah S.W.T.

Selain menyertakan rujukan kitab, rujukan tokoh dan status hadith yang dirujuk, penulis mengolah semua hasil rujukan ini dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang awam. Tidak timbul isu tafsiran berbelit-belit yang terlalu teknikal dan akhirnya membuatkan pembaca menyerah kalah untuk memahami tulisan tafsiran dan tadabbur yang dibuat oleh penulis.

Sungguhpun begitu, masih terdapat beberapa persoalan yang timbul di benak saya secara peribadi ketika membaca buku ini. Persoalan itu berkait soal ilmu Munasabah ayat al-Quran. Contohnya, pada halaman 107 ketika penulis mengatakan bahawa ayat 6 surah al-Mulk ini membuktikan bahawa jin adalah makhluk yang mukhalaf, walhal, saya masih tidak dapat mengaitkan hal ini dengan ayat sebelumnya atau surah sebelumnya dan sebagainya untuk membuktikan pernyataan oleh penulis. Sehinggalah persoalan ini saya tujukan terus kepada penulis di Facebook beliau, beliau memberikan jawapan rujukan daripada surah-surah lain, yang masih lagi saya cuba rujuk dan cuba memahami jawapan beliau itu. Mungkin, hal ini dapat ditambahbaik dalam cetakan akan datang. Barangkali untuk pembaca lain, hal itu dapat difahami, tetapi untuk saya secara peribadi, hal ini tidak dijelaskan dengan baik dalam buku ini.

Akhir sekali saya katakan, selepas membaca buku ini, hafalan al-Mulk saya semakin baik mungkin sedikit sebanyak disebabkan akronim dan kata kunci yang dibekalkan oleh penulis di bahagian akhir buku ini.

Saya ingin mengajak semua bukuwan yang mengikuti kami, Book Surgeon, untuk berusaha mendapatkan buku ini dan membacanya sehingga tamat, mudah-mudahan Allah meminjamkan kefahaman kepada kita dalam mendalami kalam Allah S.W.T yang mulia.

Sungguh, terlalu banyak khazanah tafsiran yang masih tersembunyi dari kita, orang awam yang saya kira dipinjamkan kesedaran untuk mendekatkan diri dengan agama Allah S.W.T dengan mengambil serius dan lebih menghayati keindahan hidayah dan penjelasan dari Allah S.W.T iaitu al-Quran yang Agung.
Semoga Allah memberkati usaha penulis dan keseluruhan kumpulan Tadabbur Centre, ameen.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CoretanKompasAlMulk
#AllahSelamatkanKamiDariWabak
#KompasAlMulk

Comments

Popular Posts